---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---
Saturday, May 23, 2020
Monday, May 18, 2020
MUNAJAT RAMADHAN…
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Dalam dakapan Ramadhan yang suci ini, dengan rasa rendah
diri, kami yang kerdil dan hina ini memohon doa dengan penuh pengharapan kepada
Mu Ya Allah, semoga Engkau sudi mendengar permintaan kami, kerana sesungguhnya
Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar.
Ya Fattahu Ya 'alim,
Ajarkanlah kami yang lemah ini untuk melihat jalan keluar dari
semua masalah yang membelenggu kami, bukakanlah hijab kepada kami yang tak
mampu melihat setiap kebaikan pada kejadian dan takdirmu. Ya Allah, takdirkanlah
yang baik-baik untuk diri kami, janganlah kau menguji kami pada apa yang tidak
mampu kami lalui. Bukakanlah pintu-pintu rahmat Mu untuk kami Ya Allah.
Ya Allah Rabbul Jalil,
Sejahterakanlah untuk kami dengan kesihatan yang baik, supaya
dengannya kami dapat beribadah kepadaMu. Ya Allah, ampunkanlah segala dosa
kami, kerana kami terlalu byk dosa kepadaMu Ya Allah. Kami lupa akan Engkau ketika sihat, kami ingat padaMu bila
ditimpa sakit, Kami lupa kepadaMu ketika senang, kami ingat kepadaMu bila datang
kesusahan. Kami lupa kepada Mu disaat kami gembira, Kami ingat kepada Mu ketika
sedih dan kecewa, Kami habiskan usia muda dengan keseronokan dunia, kami mula
mengingati Mu ketika usia sudah tua, justeru ya Allah, ampunilah semua dosa
kami, berilah kekuatan kepada kami untuk melawan hawa nafsu dan dunia yang
sentiasa melalaikan kami daripada mengingati Mu Ya Allah.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Ampunkanlah dosa kedua ibubapa kami, setiap titik susu ibu yang
mengalir dalam diri kami, kau gantilah dengan kebajikan untuknya yang boleh membawanya
ke syurga Mu Ya Allah, Ya Rahman, pada setiap keringat yang mngalir pada tubuh
ayah kami dalam mencari rezeki kepada keluarga kami, kau gantikanlah dengan
keampunan yang membawa ke syurga Mu Ya Allah. Sesungguhnya pengorbanan mereka tidak
akan mampu kami membalasnya. Bahkan terkadang mereka hidup dalam kesusahan dan
kesempitan, sedangkan kami berada dalam kesenangan dan kemewahan, Justeru
kurniakanlah kepada kedua ibubapa kami tempat yang istimewa di syurga Mu ya
Allah
Ya Allah
Kami juga memohon ampun untuk kaum kerabat kami, sahabat-sahabat
kami dan guru-guru kami yang terlebih dahulu pergi meninggalkan kami ke alam
barzakh, golongkanlah mereka dalam golongan orang-orang yang Engkau redhai, apabila
tiba pula giliran kami menuju barzakh Mu, maka Kau ambillah kami dalam keadaan yang
baik-baik, dalam keampunan dan rahmat Mu Ya Allah.
Ya Allah Ya azizz
Kurniakanlah kepada kami jiwa yang tenang dan tenteram, hiasilah
hati kami dengan sifat syukur, redha, sabar, ikhlas, amanah dan
bertanggungjawab. Kau jauhkanlah daripada kami sifat ujub, riak, takabbur,
fitnah, mengadu domba, sangka buruk dan khianah.
Ya Rashid, Ya Rahman, Ya Rahim
Jika ada dikalangan kami mereka yang diuji dengan kesusahan,
maka kau bantulah mereka, permudahkanlah urusan mereka, jika ada di kalangan
kami mereka yang bersedih hati, berikanlah ketenangan dan jln keluar kepada
mereka, jika ada di kalangan kami sedang berhajat dengan keperluannya, maka
tunaikanlah hajat mereka, dan cukupkanlah keperluan mereka, jika ada di
kalangan kami mereka yang diuji dengan sakit, maka kau sembuhkanlah mereka Ya
Allah, agar dapat beribadah bersama kami. Jika ada dikalangan kami mereka yang
derhaka kepada ibubapa atau terkurang dalam melayani mereka, maka kau ampunilah
mereka, jadikanlah kami anak-anak yang taat dan berbakti. Sesungguhnya
Engkaulah Tuhan yang Maha Mendengar dan Mengasihi…
Ya Allah Ya Malikal Mulk
Ya Razak, Ya Fattahu Ya 'Alim
Kurniakan kepada kami rezeki yang halal lagi diberkati dan
jadikanlah dengan rezeki itu kami semakin dekat denganMu, sebaliknya, janganlah
kau jadikan kami daripada golongan yang lupa diri setelah mendapat kurniaannMu.
Ya Allah. Bantukanlah kami dalam menjalankan urusan agama kami,
Elokkanlah urusan dunia kami, yang padanya tempat kami mencari kehidupan,
Elokkanlah urusan akhirat kami, yang padanya tempat kami akan kembali untuk
selama2nya, jadikanlah kehidupan kami ini sebagai tambahan segala kebaikan kepada
kami, dan jadikanlah kematian sebagai ketenangan kepada kami dari segala
kejahatan, Sesungguhnya kami ingin kembali kepadaMu dengan jiwa yang tenang….
Ya Allah Ya Zal Jalali Wal Ikram
Ya Allah, Janganlah kau jadikan ramadhan ini sebagai yang
terakhir buat kami, temukanlah kami dengan Ramadhan yang akan datang
Tapi, andai ini Ramadhan terakhir buat kami, jadikankanlah
puasa kami sebagai puasa yang Kau rahmati, jadikanlah ramadhan ini paling
bererti, penuh dengan cahaya iman, menerangi kegelapan hati kami menuju redha
serta kasih sayang Mu Ya Allah, jadikanlah ramadhan ini sebagai penghapus dosa2
kami. Ya Allah, temukanlah kami dengan lailatul qadr, pilihlah kami dikalangan
hambaMu yang dapat beramal di malam al-Qadr. Ya Allah, terimalah amalan kami, terimalah
taubat kami, ampunkanlah segala dosa kami. amankanlah kehidupan kami disana
nanti yang kekal abadi, kurniakanlah kepada kami syurgamu yang maha luas
nikmatnya…
Subscribe to:
Posts (Atom)