---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Friday, November 14, 2008

Marah Ibarat Api

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya.
Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya. Sifat pemarah ini ada pada hampir semua orang seperti juga hasad dengki. Kenapa kita mesti marah ?

Telah berkata Mujahid di dalam sebuah bait syair: "Takdir Allah telah putus dan putusan Allah telah terjadi. Istirehatkan hati dari kata-kata "Barangkali" dan "Kalau". Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian untuk kita. Allah mahu melihat bagaimana sabarnya kita dan malunya kita kepada Allah dengan mengucapkan " Inna lillahi wainna lillahi raji'un".

Pernah ditanya Ahnaf bin Qais, bagaimana dia boleh mengekalkan sifatnya yang lemah lembut itu. Ahnaf menjawab : "Aku belajar dengan Qais bin Asim iaitu pada satu hari sedang berehat-rehat, masuk hambanya membawa panggang besi yang berisi daging panggang yang masih panas.

Belum sempat daging itu diletakkan dihadapan Qias, tanpa sengaja besi pemanggang yang panas itu jatuh terkena anak kecil Qais. Menjerit-jeritlah si anak, kesakitan dan kepanasan sehingga meninggal dunia. Qais yang melihat peristiwa itu dengan tenang berkata kepada hambanya yang sedang pucat dan menunggu hukuman, "Aku bukan sahaja tidak marah kepada kamu tetapi mulai hari ini aku akan membebaskan kamu."

Begitulah sopan santunnya dan pemaafnya Qais bin Asim" Kata Ahnaf mengakhiri ceritanya. Bukannya Qais tidak menyayangi anaknya tetapi Qais memandang segala kejadian itu adalah dari Allah. Jikalau dia bertindak memarahi hambanya, maka hakikatnya dia memarahi Allah. Dia redha dengan ujian yang ditimpakan kepadanya.

Tidak ada di dalam kamus hidupnya perkataan kalau atau barangkali. Hatinya tidak terasa dia " tuan" kerana apa yang ada padanya dirasakan amanah dari Allah. Yang bila sampai ketikanya Allah akan ambil kembali. Kita mesti ubati hati kita. Kita mesti buang rasa "ketuanan" kita yang menyebabkan kita menjadi pemarah dengan melakukan 'mujahadatun nafsi'.

Di antara langkah yang perlu kita hadapi untuk menghilangkan marah ialah :
  • Mula-mula kita perlu malu dengan Allah s. n.w akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.
  • Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.
  • Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.
  • Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.
  • Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah, ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.
  • Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
  • Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.
  • Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur. Kerana ianya akan meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur
  • Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah.

Kenapa kita perlu marah. Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang. Satu cara lagi, apabila datangnya marah, sedangkan anda berdiri, maka duduklah, sekiranya duduk, maka bersandarlah, InsyaAllah kemarahan akan mulai reda. Dengan cara demikian, keegoan akan berkurangan.

Tetapi apa yang berlaku, apabila naik marah, yang bersandar akan mula menetapkan duduknya dan seterusnya berdiri, maka kemarahan sudah tidak dapat dikawal. Marah ertinya gerakan nafsu diri, seketika meluap darah jantung dari suruhan syahwat utk mempertahankan diri dan untuk melepaskan dendam.

Cuma kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya. Bila kemarahan telah timbul tidak ditahan dengan fikiran dan akal sebelum dia menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yang membakar, darah naik laksana wap, memenuhi otak, sehingga gelap menyelubungi hati sehingga tidak sanggup berfikir.

Menyelimuti seluruh urat saraf, penglihatan nampak kecil bila memandang orang, ketika itu pertimbangan hilang, akal tertutup, fikiran tersentak, angan-angan habis. Orang yang marah adalah laksana gua batu yang terbakar api terkurung didalamnya dan angin masuk juga mengipasnya sehinggalah terkumpullah di dalam gua asap dan wap yang menambahkan panas.

Kedengaran api memakan kelilingnya habis menjadi bara. Meskipun diusahakan menyiram, maka air penyiram itu akhirnya akan menjadi minyak tanah menambah kerasnya api. Banyakkanlah beristighfar itulah senjata orang-orang Mukmin.


Wallahuwaklam.

Thursday, November 13, 2008

25 Pesanan Luqman El-Hakim kepada anak-anaknya

  1. Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yg bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.
  2. Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.
  3. Hai anakku, orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.
  4. Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.
  5. Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.
  6. Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takut ( taqwa ), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.
  7. Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seseorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal- hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.
  8. Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih berat lagi daripada semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.
  9. Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.
  10. Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.
  11. Hai anakku, bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.
  12. Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.
  13. Hai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja kerana pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.
  14. Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang-orang yang taqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.
  15. Hai anakku, bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.
  16. Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati-hatilah.
  17. Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang yang berharga.
  18. Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.
  19. Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharapkan sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya' yang akan mendatangkan cela pada dirimu.
  20. Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.
  21. Hai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.
  22. Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.
  23. Barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.
  24. Hai anakku, bergaul rapatlah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.
  25. Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.
Wallahuwaklam

Wednesday, November 12, 2008

Hormatilah Azan

Kematian itu pasti menjelma. Hanya masa dan waktunya yang tidak kita ketahui. Cuba kita amati. Mengapa kebanyakan orang yang nazak, hampir ajal tidak dapat berkata apa-apa, lidahnya kelu, keras dan hanya mimik mukanya yang menahan kesakitan 'sakaratul maut' .
Diriwayatkan sebuah hadis yang bermaksud: "Hendaklah kamu mendiamkan diri ketika azan, jika tidak Allah akan kelukan lidahnya ketika maut menghampirinya. " Ini jelas menunjukkan, kita disarankan agar mendiamkan diri, jangan berkata apa-apa pun semasa azan berkumandang. Sebagai orang beragama Islam kita wajib menghormati azan, banyak fadhilatnya . Jika lagu kebangsaan kita diajar agar berdiri tegak dan diamkan diri, mengapa ketika azan kita tidak boleh mendiamkan diri?

Lantas sesiapa yang berkata-kata ketika azan, Allah akan kelukan lidahnya ketika nazak . Kita takut dengan kelunya lidah kita semasa ajal hampir tiba maka kita tidak dapat mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." yang mana sesiapa yang dapat mengucapkan kalimah ini ketika nyawanya akan dicabut Allah dengan izinNya menjanjikan syurga untuk mereka. Dari itu marilah kita sama-sama menghormati azan dan mohon kepada Allah supaya lidah ini tidak kelu semasa nyawa kita sedang dicabut.

"Ya Allah! Anugerahkanlah kematian kami dengan kematian yang baik lagi mulia, lancarkan lidah kami mengucap kalimah "Lailahaillallah. ." semasa sakaratul maut menghampiri kami. Amin!!

Tuesday, November 11, 2008

Iman Semut vs Iman Manusia

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut: "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab: "Rezeki di tangan ALLAH, aku percaya rezeki di tangan ALLAH, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untuk ku". Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut: "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan". Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan: "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi Allah Sulaiman ambil sebiji gandum, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggalkan semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut, "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut: "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apa pun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepadamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!! Iman manusia pulak bagaimana?? Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu.

Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik. Dia nak tengok macamana rupa mayat setelah di temuduga oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur.

Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya: "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?".

Jawab Imam Suffian: "Di akhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih.

Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia. Kata Saidina Ali kepada Kamil: " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMUBERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN".

Renungan
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Nabi s.a.w telah ditanya: Apakah yang dapat dibandingkan dengan jihad pada jalan Allah? Nabi s.a.w menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pertanyaan tersebut diulang sehingga dua atau tiga kali. Tetapi baginda masih menjawab: Kamu tidak akan sanggup melakukannya. Pada kali yang ketiganya baginda bersabda: Perumpamaan orang yang berjihad pada jalan Allah samalah seperti seorang yang selalu berpuasa dan selalu melakukan ibadat malam serta taat kepada ayat-ayat Allah. Beliau tidak merasa letih dari puasa dan sembahyangnya sehinggalah orang yang berjihad pada jalan Allah itu kembali.


Wallahuwaklam.

Monday, November 10, 2008

Hukum Isteri Meleteri Suami

"Abang ni balik je kerja, tak nak langsung tolong saya siapkan kerja rumah. Baca suratkhabar, menghadap TV, itu jelah yang awak tahu. Kitakan sama-sama bekerja bang. Saya pun penat macam abang juga. Sekurang- kurangnya buatlah air kopi sendiri, bukannya susah pun. Tukarkan lampin anak ke, ringan sikit kerja saya ni. Nak masak lagi. Abang juga yang nak makan nanti... pot.. pet.. pot.. pet..... " leter Ina kepada suaminya sejurus kembali dari pejabat masing-masing.

Kalaulah Ina tahu, betapa besar hukuman serta dosanya meleteri suami sendiri, sudah tentu dia tidak akan mengulangi perbuatannya itu. Lebih-lebih lagi, sekiranya Intan menghayati ganjaran pahala yang tidak ternilai kerana berbakti kepada suaminya. Dia tidak akan merasa susah mahu pun penat dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.

Dewasa ini boleh dikatakan fenomena isteri meleteri suami atau dalam kata lain tidak menghormati suami. Bagaikan sudah menjadi satu perkara lumrah bagi kebanyakkan pasangan, tanpa sedikit pun merasa bersalah melayani mereka seperti adik lelaki sahaja lagaknya. Apa yang lebih mendukacitakan, apabila ada di kalangan isteri yang menyifatkan menjaga peribadinya dengan bersikap sopan terhadap suami sebagai ketinggalan zaman.

Keadaan ini juga akan menjadi model yang tidak baik kepada anak-anak yang mungkin diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain sehingga akhirnya menjadi satu budaya yang negatif. Banyak nas Al-Quran, terutamanya hadis Nabi yang membincangkan tentang kewajipan isteri mentaati suami, selagi tidak diminta melakukan perbuatan maksiat. Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: " Jika sekiranya aku berhak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku menyuruh para isteri sujud kepada suaminya. "

Hadis tersebut menerangkan betapa kepatuhan isteri terhadap suami amat diutamakan demi kebaikan sesebuah institusi keluarga, sesuai kedudukannya sebagai pemimpin rumah tangga. Demikian juga halnya ketika junjungan besar Nabi Muhammad s. a. w. mikraj kelangit. Baginda telah dipersaksikan dengan neraka dan penghuninya yang kebanyakkannya terdiri daripada kaum wanita.

Ali Karramallahu Wajhah berkata: "Aku masuk ke rumah Nabi beserta Fatimah, aku mendapati baginda sedang menangis tersedu-sedan ." Aku bertanya, " Ya Rasulullah, apa yang membuat anda menangis? " Baginda menjawab, " Ya Ali, pada malam aku diangkat ke langit, aku melihat kaum perempuan daripada umat ku disiksa di neraka dengan bermacam-macam seksaan. Lalu aku menangis kerana begitu berat seksaan mereka yang aku lihat. "

Baginda antara lain melihat perempuan yang digantungkan dengan lidahnya, sedangkan air panas dituangkan ke dalam tenggoroknya kerana ia telah menyakiti dan menyumpah-nyumpah suaminya. Ada isteri yang tergamak bercakap kasar malah mengherdik suaminya kerana tidak mendapat apa yang diminta seperti barang kemas, perabot rumah berupa set sofa dan TV rata 29 inci yang menjadi trend semasa.

Lebih buruk lagi perangai si isteri apabila membanding-bandingkan suami dengan jiran tetangga yang mampu menyediakan barangan terbabit, sekali gus dilabelkan sebagai suami mithali. Bukan tidak boleh sama sekali meminta sesuatu daripada suami tetapi janganlah menggesa mereka menuruti kemahuan anda sehingga membebankan dirinya.

Sebaliknya, isteri patut bersyukur kerana berpeluang meraih keredhaan Allah. Nabi Muhammad s. a. w. bersabda, " Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada seorang isteri yang tidak bersyukur kepada suaminya. " Hal ini biasa terjadi kepada suami yang miskin, manakala isterinya pula tergolong dalam orang-orang berada, yang suka mengungkit-ungkit mengenai hartanya, apatah lagi yang telah dinafkahkan kepada suaminya.

Mungkin ia agak sukar untuk dipenuhi apatah lagi bagi isteri yang bekerja, namun percayalah, ia bukan sahaja akan menjadi perkara biasa tetapi juga ringan dan lancar, jika kita menganggapnya sebagai ibadah dan juga satu jihad.

Marilah kita sama-sama merenungi kisah anakanda kesayangan Nabi Muhammad s. a.w. iaitu Fatimah Az-Zahra yang melaksanakan rutin hariannya sebagai seorang suri rumah tangga secara sendirian tanpa pembantu. Fatimah pada suatu hari telah meminta suaminya, Ali pergi menemui Rasulullah s. a. w. dan meminta jasa baik baginda untuk menyerahkan seorang wanita tawanan perang sebagai pembantu rumah.

Rasulullah bagaimanapun tidak dapat memperkenankan permintaan puterinya kerana semua harta rampasan perang termasuk wanita-wanita itu bukan menjadi milik baginda, tetapi milik negara Islam dan kaum Muslimin seluruhnya. Baginda tidak dapat memberikan sesuatu yang bukan menjadi miliknya. Permintaan Fatimah itu membimbangkan baginda, bukan kerana tugas berat yang sedang dipikul oleh puterinya itu tetapi disebabkan oleh bayangan keluh kesah seorang isteri yang tertekan akibat tugas-tugas yang perlu dibereskannya.

Pada sebelah malamnya, baginda telah mengunjungi rumah Fatimah dan menyatakan kepadanya: " Apakah kamu berdua (Fatimah dan Ali) suka kepada satu pemberian yang akan ku berikan ini, sedangkan ia lebih baik daripada apa yang kamu minta siang hari tadi? " Fatimah amat sukacita mendengarkan tawaran tersebut sekalipun dia tidak mengetahui apa bentuknya.
Rasulullah menyatakan kepada Fatimah bahawa hendaklah dia membaca Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar, masing-masing sebanyak 33 kali setiap kali sebelum tidurnya. Semenjak itu, wirid yang diajarkan oleh Rasulullah telah menjadi amalan anak dan menantunya. Hasilnya, Fatimah mendapati dia tidak lagi menjadi keluh kesah dalam menghadapi apa jua kerja-kerja sehariannya yang berat, malah merasa cukup bahagia melakukannya.

Baginya, segala tugasan yang disempurnakannya sebagai seorang suri rumah merupakan satu amalan yang solehah. Dengan taufik Allah, sesungguhnya walau seberat mana sekalipun tugasan yang menanti di rumah, tidak akan memenatkan selagi isteri tidak meletakkan dirinya seolah-olah sama taraf dengan suami, walau setinggi mana sekalipun darjatnya.

Kepada para suami, kita sama-sama maklum, dalam zaman moden yang serba mencabar ini terutamanya di bandar-bandar besar, kita tidak dapat mengelak kos sara hidup yang tinggi sekaligus memerlukan kedua-dua suami isteri keluar bekerja.

Si isteri telah melakukan pengorbanan mencari rezeki tambahan untuk menyara keluarga yang sepatutnya menjadi tanggungjawab suami. Jadi sudi apalah kiranya sang suami bersama-sama meringankan tugas si isteri seadanya. Bukankah Rasulullahs. a. w. telah berpesan supaya para suami berbuat baik kepada isteri mereka. Jikalau isteri taat kepada kalian, janganlah pula menyusahkan mereka.

Nabi Muhammad s. a. w. bersabda yang ertinya: " Orang-orang yang terbaik daripada kamu sekalian adalah yang lebih baik dalam mempergauli keluarganya dan saya adalah yang terbaik dalam mempergauli keluargaku. "

Bagi kaum wanita & lelaki yg sudah berumah-tangga, marilah kita sama-sama belajar saling tolong menolong meringankan beban pasangan kita. Semoga kisah tadi membawa menfaat bagi kita semua. Insya'Allah. Sikap isteri tidak menghormati suami adalah gejala sosial muslim sekarang.

Ia dilakukan kerana berfikir bahawa suami mesti buat seperti isteri dalam rumahtangga. Tabiat isteri suka meleteri suami dan tabiat suami yang suka meletakkan semua tanggungjawab rumahtangga ke atas bahu isteri semata-mata, mestilah dihentikan, demi mendidik MENTAL ZURIAT kita ke suatu BUDAYA IBADAT.


Wallahuwaklam.

Friday, November 7, 2008

Hujan Itu Rahmat

Keadaan sekarang ni boleh dikatakan setiap hari hujan, ribut petir dan guruh kan. Bila langit mula mendung, kekadang terdengar cakap-cakap orang-orang disekeliling "Cuaca buruk je akhir2 ni ye.."

Persoalannya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk? Berapa ramai di kalangan kita yang mengeluh bila hari hujan? Ishh, tak kering lah baju kalau asyik hujan je!!! Alahai, hujan lagi!!!! Tiap-tiap hari hujan, susah lah mcm ni, nak main golf pun tak dapat, bola tampar apatah lagi. Payah nak buat apa2 kalau hujan. Tak boleh balik lagi, hujan!!!

Bukankah rungutan itu lebih baik digantikan dengan doa. "Allahumma syaiyiban nafi'a'", bermaksud "Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanafaat buat kami". Hakikatnya, hujan itu rahmat.'

"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (Al-A'raf : 57)

Sebenarnya hujan terlalu banyak manfaatnya.

  1. Membersihkan udara
  2. Menyubur tanaman
  3. Membekal air ke empangan
  4. Ingat kepada mati
Sedarkah kita? Bila hujan turun, rahmat dilimpahkan buat manusia. Sebab itu, Nabi pun pernah berpesan, bila hujan turun, doa itu mustajab. Sekarang ini, tempat kita ini tiap-tiap hari hujan. Tiap-tiap hari ada masa untuk doa menjadi mustajab. Kenapa lepaskan peluang dengan keluhan sia-sia di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah" (Al-Qamar : 11) Maka, BERDOALAH. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Dan semoga, hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Dalam ilmu tasawwuf (dan ilmu2 fardhu Ain lain pun ada jugak) mengingatkan kita tentang kebijaksanaan Allah. Tak payah kita tentukan, tak perlu kita perintahkan, Allah tahu bila nak turunkan hujan, kenapa perlu hujan, dan banyak mana atau lama mana nak diturunkan hujan.

Ini ada kena mengena dengan bab redha, sehingga kita sanggup terima apa saja, sebab yakin itu semua dari Allah. Lihatlah firman Allah yg bermaksud : "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (Al-Mukminun : 18)

Rupa-rupanya Allah turunkan hujan ADA SUKATAN. Baru hari ni kita tahu, bahawa Allah turunkan hujan lebat kat kita sekarang ni ada sebabnya, ada sukatannya. Kemudian, air tu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah.

"Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya." (Al-Hijr : 22)

Semoga ada iktibar untuk peringatan kita. "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."(Surah Hud : 123)


Wallahuwaklam.

Thursday, November 6, 2008

Solat

Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Firman Allah swt:




"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45) . Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam iaitu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya'.

Syarat wajib solat:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
Syarat sah solat:
  1. Suci badan dari dua hadas.
  2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
  3. Menutup aurat.
  4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
  5. Yakin masuk waktu solat.
Perkara-perkara yang membatalkan solat:
  1. Keluar/kedatangan hadas.
  2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
  3. Makan/minum walau sedikit.
  4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
  5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
  6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
  7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
  8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  10. Meninggalkan rukun solat.

Waktu-waktu Solat Fardhu:

Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:


  1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
  2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
  3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari terbenam.
  4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk barat.
  5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.

Perbuatan sunat sebelum solat:
  1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
  2. Iqamah.
  3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.

Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:


  1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
  2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
  3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
  4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
  5. Ketika masuk matahari.
Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Wednesday, November 5, 2008

Wuduk

Wuduk adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur'an. Perintah wajib wuduk ini turun bersama dengan perintah wajib solat. Firman Allah s.n.w, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki." (Al-Maidah : 6).
Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah s.n.w tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Hadis Riwayat: Abu Daud).

Syarat Wuduk ada lima:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Tidak berhadas besar
  4. Memakai air yang mutlak (suci dan menyucikan)
  5. Tidak ada yang menghalangi kulit
Rukun Wuduk ada enam:
  1. Niat dengan bacaan:
    "Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah."
  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
  3. Membasuh dua tangan sampai ke siku.
  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air.
  5. Membasuh dua kaki sampai mata kaki (buku lali).
  6. Tertib (berturutan).
Sunat Wuduk ada 12:
  1. Didahului dengan membaca Bismillah dalam hati.
  2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
  3. Berkumur.
  4. Menggosok gigi (bersiwak).
  5. Membersihkan hidung dengan air.
  6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
  7. Membasuh kedua cuping telinga.
  8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
  9. Tidak berbicara.
  10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
  11. Membasuh anggota wuduk sampai tiga kali.
  12. Membaca doa sesudah berwuduk:
    "Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Ya Allah jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang suci serta jadikanlah aku termasuk golongan hamba-hambaMu yang soleh."
Perkara yang dapat membatalkan Wuduk ada lima:
  1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
  3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
  5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).
Nota: Ada kekeliruan tentang sama ada batal wuduk apabila tersentuh yang bukan muhrim. Menurut mazhab Syafi'i, hukum wuduk batal secara mutlak (tanpa syarat) bila tersentuh bukan muhrim termasuk dengan isteri/suami sendiri ("bukan muhrim" ertinya tidak haram dinikahi). Menurut Mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk lelaki jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), ataupun merasai keghairahan ketika bersentuhan. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan. Wallahuwaklam.


Sumbangan Lt Kol Tn Hj Amran haron
Imam Surau At-Tarbiyyah



Tuesday, November 4, 2008

Taharah (Bersuci)

Ertinya:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu)
dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Pengertian bersuci:
Pada Bahasa: Membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Benda-benda najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-lain.

Erti pada Syarak: Menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatu benda disebabkan terkena najis. Iman Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya Ulumuddin bersuci itu terbahagi kepada empat tingkat iaitu:
  1. Mensucikan anggota-anggota lahir daripada hadas-hadas, anasir-anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu.
  2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
  3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
  4. Mensucikan kebatinan dari semua perkara selain daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan ini adalah cara bersuci para Nabi salawatullahi-alaihim dan juga pada Siddiqin.

Taharah zahir dan batin.
Taharah yang bersifat batin ialah mensucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan maksiat. Caranya ialah dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat. Dengan membersihkan hati daripada kotoran syirik, ragu-ragu, hasad, dengki, menipu dan dosa besar, juga daripada ujub, riya'. Perkara ini dilakukan dengan ikhlas, yakin, mencintai kebaikan, bersabar, jujur dan rendah diri. Serta sentiasa mengharapkan memperoleh keredaan Allah dengan niat dan amalan soleh.
Taharah yang bersifat lahiriah pula ialah dengan membersihkan kotoran dan hadas, membersihkan kotoran dengan cara menghilangkan najis dengan air yang suci lagi menyucikan dari badan, tempat, dan pakaian untuk mengerjakan solat.
Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Monday, November 3, 2008

Ibadah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 Hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.
Firman Allah s.n.w yang bermaksud: "Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah." Al-Kautsar:2.

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut: "Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya."

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Oleh yang demikian, surau kita juga tidak ketinggalan menjalankan ibadah korban. Pada tahun ini, 4 ekor lembu akan dikorbankan dan telah ditetapkan iaitu RM380.00 bagi satu bahagian. Para jemaah yang ingin mengambil bahagian bolehlah terus berhubung dengan Bendahari kita, Sdr Hamzah.

Thursday, October 30, 2008

Fakta Kelebihan Ais

Zat di dalam ais tidak akan mampu dihasilkan oleh mana-mana saintis mahupun manusia


  • Air Sejuk yang hening dapat menolong pesakit insomnia yang sukar tidur agar dapat kembali tidur seperti biasa.
  • Orang yang tidur dalam udara yang sejuk dan berselimut untuk memanaskan tubuhnya adalah kombinasi yang baik untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh dalam jangka masa pendek apatah lagi jangka panjang.
  • Udara panas lebih memudahkan penyebaran penyakit berjangkit kerana bakteria lebih agresif dan cepat membiak dalam cuaca begini.
  • Liputan ais di Antartika (daerah kutub Selatan) dan Artik (daerah kutub utara) adalah pengimbang dasar bumi yang amat panas.
  • Kombinasi dalam bumi yang panas dan luaran bumi yang sejuk adalah rahsia keseimbangan tekanan semulajadi alam yang mengawal graviti dan pergerakan bumi pada paksinya.
  • Ais atau air sejuk dapat mengembalikan memori atau sifat pelupa yang keterlaluan.
  • Benarkan anak anda mengunyah ais kerana ini akan menguatkan giginya dan benarkan anak anda memakan ais krim secara perlahan-lahan dan berterusan sehingga batuknya hilang dalam masa beberapa jam kerana mengambil ubat batuk biasanya akan mengambil masa satu minggu untuk melegakan batuk secara total.
  • Membiasakan diri mengunyah ais akan meningkatkan kecerdasan fikiran dan kepantasan pergerakan.
  • Ais amat diperlukan oleh mana-mana atlit sukan dalam kecederaan yang tidak disangka-sangkakan.
  • Air sejuk atau ais kini dijadikan bahan perencat kepada kecederaan yang akut seperti demam panas yang biasanya dihidapi oleh bayi yang mempunyai potensi menghidapi sawan.
  • Air sejuk adalah terapi yang amat popular sebagai penguat tulang yang telah patah dengan syarat ia dibalut dengan kain hitam.
  • Air sejuk dalam rahsia cuka adalah sangat baik untuk menguatkan tulang yang patah kerana ia dapat menyembuhkan tulang dengan lebih cepat.
  • Air suam dengan rahsia cuka yang diminum akan melemahkan dan mengecutkan sistem aliran darah yang menjadi penyebab utama terjadinya lumpuh.
  • Adalah makruh mengambil air sembahyang (wuduk) pada suhu yang tinggi atau yang telah terkena panas cahaya matahari yang pastinya akan mengganggu sistem deria pada kulit.
  • Air sejuk secara psikologinya amat ditakuti oleh pesakit yang mengalami gangguan jin atau dikuasai oleh unsur-unsur spiritual yang jahat.
  • Air sejuk mempunyai nada bunyi dalam tekanan rendah yang amat lembut lagi mengharmonikan.
  • Air sejuk akan menguatkan tulang bayi.
  • Air sejuk akan meningkatkan sistem imun yang luar biasa sebagai tenaga pencegahan berbagai penyakit alahan dan jangkitan.
  • Air sejuk dalam rahsia ais memegang rahsia kepadatan molekut kristal yang paling keras iaitu intan.
  • Air sejuk adalah kuasa penyerap yang amat sesuai dijadikan sistem penghantaran tenaga yang paling cekap sehingga ke dasar sel yang jauh dan menyeluruh.
  • Air sejuk mempunyai daya rangsangan yang boleh mengembalikan semangat orang yang telah hilang ingatan seperti pengsan, gila dan koma kembali sedar.
  • Mandi air sejuk akan menguatkan tulang. Tulang yang berlebihan urik asid akan meningkatkan suhu tulang dan melemahkan struktur tulang.
  • Air sejuk lebih stabil molekul atomnya.
  • Air sejuk lebih peka kepada gelombang frekuensi rendah yang dirakamkan melalui niat dalam amalan berwuduk.
  • Air sejuk dapat merakamkan gelombang frekuensi rendah lebih stabil.
  • Air sejuk sesuai dijadikan air penawar kepada orang yang ingin merakamkan bunyi dalaman yang disertai dengan rasa kasih sayang dan keikhlasan.
  • Air kelapa muda bersifat sejuk amat baik untuk kesihatan kerana ia amat berkesan untuk meneutralkan kesan keracunan dan keasidan yang berlebihan dalam aliran darah. Tubuh secara semulajadinya bersifat panas dan ia memerlukan pasangan yang bersifat sejuk.
  • Oksigen dan hidrogen bersifat panas dan ia menguasai bahagian perut. Adalah menjadi suatu kesalahan memulakan amalan pemakanan di waktu pagi dengan unsur-unsur yang panas. Minumlah seteguk air sejuk di awal pagi kerana ia menguatkan perut.
Petikan dari buku panduan dan aplikasi Seri Wajah (Aromatherapy Vibration) - Dr.Nohissam Mustafa


Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Wednesday, October 29, 2008

Apakah Istidraj - Siri Akhir

Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. "Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.

"Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya"

(Kitab Nasaibul Al-Ibad) Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap. Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu. Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap) , dia akan cuba melawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.

Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan.

Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia. Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya. Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun.

Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta. Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga. Jadi, jika kita kaji dan fikir betul-betul, maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.

Mengapa orang kafir kaya, dan orang yang berbuat maksiat hidup senang lenang dan mewah. Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya. Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya. Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya? Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.

Orang naik pangkat, istidraj. Orang-orang besar, istidraj. Jangan! Jangan! Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj. Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari. Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah. Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya. Dia akan menggunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha danikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah.

Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat. Wallahualam."Dari Abdullah bin ' Amr R. A, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat.."

Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Tuesday, October 28, 2008

Apa itu Istidraj?

"Kenapa kadang kala kita lihat seseorang insan tu sentiasa dapat kegembiraan seperti dapat naik pangkat, murah rezeki dan lain-lain sedangkan dia tu selalu melakukan kemungkaran? " Kadang kala sesuatu anugerah Allah s.n.w kepada seseorang individu tu bukanlah sebab Allah sayangkan hambanya itu tetapi kerana Allah nak tengok sejauh mana keikhlasan orang itu.
Allah nak tengok adakah hambanya itu akan menyedari bahawa Allah amat bermurah hati dengannya jadi sepatutnya dia bersyukur dan berubah menjadi baik. Tapi jika individu itu masih tidak tahu bersyukur maka sesungguhnya dia telah menimbulkan kemurkaan Ar-Rahman.

Teringat pada satu penjelasan ustazah sekolah rendah dulu. Ada member tanya kenapa kadang-kadang kita dah banyak kali berdoa tapi belum dapat apa yang diimpikan. Ustazah kata itu tandanya Allah sayang pada kita.

Sebabnya Allah tahu kalau kita lambat atau belum dapat yang diimpikan, kita akan terus berdoa dan mengingati Ilahi. SebenarnyaAllah amat rindukan suara hamba-hambaNya merayu dan memujiNya. Kalau sekali berdoa terus dapat, kemungkinan besar lepas tu kita kita taksub dan lupa utk bersyukur pada yang Maha Esa.

Apakah dia istidraj itu? Istidraj adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan istidraj. Rasullulah s. a.w. bersabda : "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat(durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah s.n.w.
"(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi) Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.

Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian didunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah s.a.w dan berpegang teguh pada agama Islam. Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain. Tapi, hidup mereka biasa sahaja.

Ada yang susah juga. Kenapa? Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.

Bila kita tanya, apa kamu takut mati? Katanya, alahai, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah! Sombongnya mereka, takburnya mereka. Rasullulah s. a. w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong, NabiSulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di mukabumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong! Secantik-cantik NabiYusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong. Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.

Bersambung siri ke-2 nanti........

Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Monday, October 27, 2008

Jemputan rumah terbuka Tn Hj Bahdum



Waalaikummussalangg... Jeput, jeput masuk.... makanang siak doh... makang ahhh... nasik ada, ayang ada.. tuppak ada, tapir pun ada.... Itulah gaya Tn Hj Bahdum meraikan tamunya di rumah terbuka beliau semalam 26hb Syawal 1429H.
Orang ganu... memang bunyi gitu..




Tiba-tiba seorang jemaah bertanya, ha!!! TAPIR??? Mung makang TAPIR ke?? He..he..he Cepat-cepat Tn Hj Bahdum membetulkan keadaan, TAPIR tu TAPAI lah... kat teranu atau kelate memang dipanggil tapir... Jemaah dah sakit perut ketawa...

Dalam banyak-banyak hidangan tu, yang paling disukai ramai adalah ketupat palas ala terengganu, dan juga tapai pulut daun getah... Mmmmm... ramai yang memuji kelazatan tapai tu, memang dibuat oleh orang Timur.... rahsiaaa.... dalam gambar kelihatan Tn Hj Bahdum bersama puteri-puteri kesayangannya sedang melayani kerenah tetamu.











Macam tak nak balik je... Maklumlah, sedap betul tambah pula ada teh tarik.... Apa lagi.... Dah hampir sebulan kita meninggalkan Ramadhan, apakah kita masih berpeluang menemui Ramadhan akan datang? Bersamalah kita doakan agar kita semua dipertemukan di bulan Ramadhan akan datang dan seterusnya. AMIN.

Sunday, October 26, 2008

Rumah Terbuka Tn Hj Zakaria (Setiausaha)

Tanggal 25hb Syawal 1429H, rumah terbuka Setiausaha Surau At-Tarbiyyah, Tn Hj Zakaria telah diadakan di kediaman beliau lepas solat Isyak.







Kunjung mengunjung sudah menjadi perkara biasa yang diamalkan oleh qariah Taman Bukit Indah. Kelihatan para jemaah sedang menikmati juadah yang dihidangkan berupa Nasi Tomato, rendang daging, ayam pun ada dan macam-macam lagi. Hingga menjilat jari!!!



Antara yang sempat dirakam oleh lensa kamera. Ceria sunguh....