---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Wednesday, September 7, 2011

Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Ramadhan

Alhamdulillah, dengan berkat bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, Majlis Berbuka Puasa telah selamat diadakan di Surau At-Tarbiyyah pada 20hb Ogos 2011 bersamaan dengan 20 Ramadhan 1432H.


Majlis dihadiri oleh ahli qariah yang berkelapangan, beberapa jemputan khas seperti Persatuan Ibu Tunggal Nur Hati, Taman Rasmi Jaya, anak-anak yatim qariah dan anak-anak faqir yang telah dikenalpasti.

Para jemputan telah pun tiba seawal jam 6:30 ptg lagi kerana pada perancangan awalnya akan dimulakan dengan tazkirah ringkas, tetapi terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana keuzuran penceramah.

Majlis ini juga diserikan lagi dengan penyampaian sumbangan Ramadhan oleh Surau At-Tarbiyyah dan juga oleh Tn Hj Abd Rahman secara peribadi. Tn Hj Abd Rahman adalah penyampai sumbangan tetap setiap tahun, dan pihak surau mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau atas sumbangan tak terhingga.

Antara gambar yang sempat dirakamkan:

Tuesday, September 6, 2011

Majlis Khatam Quran 1432H

Pertamanya mohon maaf kerana agak terlewat blog ini dikeluarkan untuk tatapan ahli semua, kerana terdapat sedikit masalah download gambar. Alhamdulillah, pada 25 Ramadhan 1432H tempoh hari, Majlis Khatam Quran Surau At-Tarbiyyah telah selamat dijalankan.

Majlis telah diadakan selepas solat maghrib dan dihadiri oleh para ahli qariah dan tetamu istimewa Dato' Muhammad Nazir Meraslam. Bacaan doa telah dibacakan oleh Imam Tn Hj Raduan. Penyampaian hadiah telahselamat disempurnakan oleh Dato' Hj Muhammad Nazir Meraslam kepada semua peserta.

Semoga keberkatan Al-Quran menjadi pendinding kepada kita semua. Insyallah. Beberapa gambar yang sempat dirakam.

Friday, August 12, 2011

Muqaddimah Surah An-Nisaa

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 176 ayat. Dinamakan surah An-Nisaa (Perihal Perempuan) kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai kaum perempuan ada disebutkan disini.

Menerangkan hukum beristeri lebih dari satu; bayaran mas kahwin; perintah supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan jangan terburu-buru menceraikannya jika timbul perasaan benci terhadapnya; larangan mengambil hartabenda yang telah diberikan kepada isteri setelah diceraikan.

Kaum perempuan - seperti kaum lelaki - ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; sebabnya kaum lelaki menjadi pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan; sifat isteri yang soleh; cara melayani isteri yang nusyuz (derhaka); lantikan "orang tengah" semasa berlaku perselisihan antara suami isteri untuk didamaikan.

Ditegaskan pula bahawa orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah, samalah seperti menelan bara dan mereka akan beroleh azab yang pedih. Pembahagian harta pusaka: Dalam surah ini diterangkan panjang lebar tentang orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang berhak mendapat harta pusaka, dan tentang bahagian yang akan didapati oleh tiap-tiap seorang menurut cara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.

Orang-orang yang menjalankan pembahagian harta pusaka bertentangan dengan hukum syarak diberi amaran yang sekeras-kerasnya bahawa mereka akan disiksa dalam neraka.

Selain dari itu, surah An-Nisaa dipenuhi dengan hukum-hukum yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam menjalankannya untuk mengurus soal-soal hidup dan menegakkan taraf mereka sebagai umat dalam negara yang merdeka dan berdaulat; dan juga supaya mereka bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menentang sebarang pengkhianatan atau sebarang serangan bersenjata dari pihak musuh.

Wallahuwaklam.

Monday, August 8, 2011

Muqaddimah Surah Al-Imran

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 200 ayat, dinamakan suran Al-Imran (Perihal Keluarga Imran) kerana kisah mereka ada disebutkan mulai ayat 33. Kisah keluarga Imran ini menerangkan perihal Nabi Isa a.s yang sebenarnya dan kesesatan kaum Kristian yang menyifatkan Nabi Isa sebagai Tuhan atau Anak Tuhan.

Pada umumnya surah ini menggambarkan keadaan umat Islam di Madinah setelah mereka mencapai kemenangan yang besar di medan perang Badar dan berjaya menghancurkan kaum kafir musyrik yang menceroboh.

Kemenangan umat Islam ini menyebabkan kaum Yahudi dan kaum munafik di Madinah marah - kerana hasad dengkinya, lalu merancang berbagai-bagai pakatan jahat terhadap umat Islam.

Sebab itulah Allah Ta'ala mengingatkan sebagaimana yang tersebut di dalam surah ini supaya umat Islam sentiasa sedar dan waspada terhadap golongan-golongan kafir yang memusuhi Islam.

Apa yang telah dan sedang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Komunis terhadap Islam dan umat Islam makin menjelaskan hakikat ini. Dalam surah ini juga diterangkan peristiwa "Peperangan Uhud" dan sebab-sebab yang menjadikan orang-orang Islam gagal dalam peperangan itu, iaitu sebahagian diantara mereka melanggar perintah Rasulullah SAW.

Untuk menanamkan semangat perjuangan jihad, ditegaskan dalam surah ini, bahawa orang-orang Islam yang telah gugur syahid dalam perjuangan membela Islam bukanlah orang yang mati dan lenyap denagn tidak disebut-sebut dan dikenang, bahkan mereka hidup secara istimewa dan meningkat ke tempat yang mulia disisi Allah dengan dilimpahi Nur dan pelbagai nikmat yang disediakan oleh Allah Ta'ala di dalam syurga.

Wallahuwaklam.

Saturday, August 6, 2011

Keajaiban Al-Quran - Mencari halaman bagi setiap JUZ Al-Quran

Assalamualaikum w.b.t
Tahukan kita semua bahawa kehebatan Al-Quran merangkumi semua aspek, baik luaran mahupun dalaman. Al-Quran juga mempunyai kehebatan sifir matematik yang luar biasa yang jarang diketahui umum.

Bagaimanakah kita mencari juzuk Al-Quran dengan kaedah matematik? Ilmu Allah begitu hebat hingga tidak terfikir oleh kita semua. Setiap yang Allah jadikan bukan sia-sia, pasti ada hikmah tersendiri yang tersembunyi dan memerlukan ianya direnung, dikaji dah diamalkan oleh manusa selaku hamba dan Dialah pencipta.

Buku kamus kita, buku manual pejabat atau buku apa sahaja, kita tidak akan jumpa sesuatu yang dibuat atau dijilid hingga menjadi sebuah buku itu penuh dengan kehebatan dan rahsia seperti kitab Al-Quran.

Kehebatan luaran yang dimaksudkan adalah bagaimana kita hendak mencari halaman atau muka surat bagi sesuatu Juz dalam Al-Quran tanpa melihat indeks mukasurat pada bahagian belakang Al-Quran?

Sebagai contoh, kita ingin melihat Juz-3, maka nombor Juz iaitu 3, ditolak dengan angka 1, kemudian jawapan itu didarab dengan 2. Hasilnya kemudian akan dicantumkan dengan meletakkan nombor 2 dibelakang jumlah hasil darab tersebut.

Mari kita acu cuba uji test tengok keberkesanan ilmu matematik ini:

Juz 5, maka 5 - 1 = 4, maka 4 X 2 = 8, letak angka 2 dibelakang 8, maka Juz 5 terletak dimukasurat 82.

Juz 10, maka 10 - 1 = 9, maka 9 X 2 = 18, letak angka 2 dibelakang 18, maka Juz 10 terletak dimukasurat 182.

Kecuali Juz 7 dan 11 yang istimewa dimana nombor belakang adalah 1, yang mana cara kiraannya sama cuma nombor pada bahagian belakang adalah 1 dan bukan 2.

Cubalah sendiri, kita akan menemui keajaiban ini dan sungguh menakjubkan.

Wallahuwaklam.

Thursday, August 4, 2011

Muqaddimah Surah Al-Baqarah

Surah ini ialah surah yang paling panjang sekali diantara surah-surah Al-Quran iaitu mengandungi 286 ayat dan meliputi juz 1, 2 dan 3/8 dari juz ke-3. Surah Al-Baqarah ini diturunkan di Madinah sebaik-baik sahaja Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara merdeka yakni Negara Islam, yang berpenduduk bukan sahaja dari orang-orang Islam tetapi juga sebahagian kecil diantaranya ialah orang-orang Yahudi dan lain-lain.

Bagi memenuhi hajat umat Islam yang baharu terbentuk itu, yang memerlukan hukum-hukum syara' untuk mengatur hidupnya supaya selamat sempurna, dan memandu usaha mengembangkan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam, maka turunlah ayat-ayat suci yang terkandung didalam Surah Al-Baqarah ini dari semasa ke semasa, menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku, memenuhi maksud-maksud dan tujuan yang tersebut.

Kandungan Surah Al-Baqarah ini pada umumnya terbahagi kepada 2 bahagian:

  • Dalam bahagian pertama - kecuali beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menegaskan kebenaran Al-Quran dan menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi, dan tentang balasan baik (nikmat syurga), dan balasan buruk (azab neraka), dan juga tentang perihal Nabi Adam a.s serta keingkaran Iblis - mulai dari ayat 39, firman Allah Ta'ala ditujukan kepada kaum musyrik Arab dan kaum Yahudi supaya mereka memeluk Islam, dengan beriman kepada Kitab Allah Al-Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad SAW.
  • Dalam bahagian kedua - diterangkan secara luas tentang hukum syara' bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi: Ibadat (solat, zakat, puasa, haji dan pelbagai jenis kebajikan); Muamalat (jualbeli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya); Munakahat (nikah kahwin, talaq dan segala yang sehubungan dengannya); Jinayat (jenayah serta soal-soal umum yang lain)
Dalam Sahih Muslim ada satu hadis yang maksudnya: "Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak) dan membiarkannya menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa, dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.

Semoga dengan penerangan ringkasan ini dapat difahami maksud sebenar surah ini dan sejarah penurunannya.

Wallahuwaklam

Wednesday, August 3, 2011

Sdra Aziz kehilangan ibu mertua

Assalamualaikum w.b.t
Pihak pengurusan mengucapkan takziah kepada Sdra Aziz b Atan, atas pemergian ibu mertua yang tersayang jam 1:10pg tadi. Semoga rohnya berada dikalangan orang-orang yang beriman dan solehah. Semoga Sdra Aziz dan keluarga cekal menghadapi dugaan dibulan Ramadhan Al-Mubaraq ini....

Monday, August 1, 2011

Ihya Ramadhan 1432H

Assalamualaikum wbt.
Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam terutamanya ahli qariah Taman Bukit Indah, semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan semoga kita semua mengambil sebanyak mungkin rahmat dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT.

Seperti biasa solat sunat Tarawih di Surau At-Tarbiyyah dibuat sebanyak 8 rakaat sahaja dengan dipimpin oleh 2 pelajar UIA. Tazkiran ringkas juga telah diatur bagi mengisi majlis ilmu. Selamat Berpuasa.

Tuesday, July 26, 2011

Kejadian mencuri berulang lagi



Kejadian mencuri tayar dan rim kenderaan Myvi menjadi-jadi. Yang terbaru malam Isnin yang lalu di Tmn Bukit Indah. Kenderaan Myvi menjadi sasaran pencuri kerana ianya ringan untuk diangkat. Tayar yang dicuri adalah tayar belakang, kerana ianya lebih ringan berbanding hadapan kerana terdapatnya enjin dibahagian tersebut.

Pihak awam berpendapat, pencuri ini akan melonggarkan skru roda terlebih dahulu sebelum mengangkat bahagian belakang beramai-ramai dan melapik dengan batu-bata. Selagi pencuri ini tidak ditangkap, selagi itulah penduduk Taman Bukit Indah menjadi tidak lelap tidur, maklum sajalah, ianya akan mengganggu tugas-tugas seharian penduduk yang akan keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Ahli qariah yang perihatin bolehlah sama-sama memantau jika terdapat kenderaan yang mencurigakan menghampiri sasaran. Bersama-samalah kita membenteras jenayah. Wallahuwaklam.