---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Tuesday, February 25, 2025

Jauhi Dosa Besar


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قُلْنَا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى قُلْتُ لَا يَسْكُتُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang termasuk dosa besar? Kami menjawab; "Tentu wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua." ketika itu baginda tengah bersandar, kemudian duduk lalu melanjutkan sabdanya: "Perkataan dusta dan kesaksian palsu, perkataan dusta dan kesaksian palsu." Baginda terus saja mengulanginya hingga saya mengira baginda tidak akan berhenti (mengingatkan kami tentang perkara ini)." (HR Bukhari No: 5519) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1. Menjadi kewajipan setiap Muslim menjauhi segala perkara dosa besar

2. Antara perkara yang termasuk dosa besar ialah:

a. Melakukan syirik (dosa yang tidak akan diampunkan melainkan bertaubat nasuhah)
b. Mendurhakai kedua orang tua
c. Berdusta atau bercakap bohong (bukan sahaja merosakkan hubungan manusia tetapi juga boleh menyebabkan fitnah, keburukan, dan ketidakadilan dalam Masyarakat)
d. Menjadi saksi palsu

3. Daripada Abu Bakar ash Shiddiq, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kalian mesti menjauhi dusta kerana dusta akan sentiasa bersama dengan kejahatan dan keduanya ada di dalam neraka“. (HR Ibnu Hibban dalam Shahihnya). Hari ini berdusta bukan hanya dengan lisan malah yang lebih parah ianya disebarkan melalui penulisan juga karikatur dipelbagai media sosial, ditulis, dilukis dan ditularkan.

4. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Bukhari No: 6477)

Hadis ini memberi amaran keras mengenai dosa-dosa besar yang melibatkan syirik kepada Allah, durhaka kepada ibu bapa, perkataan dusta, dan kesaksian palsu. Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga akhlak, kata-kata, dan tindakan kita, agar tidak terjerumus dalam dosa besar. Dalam kehidupan sehari-hari, kita perlu berusaha untuk sentiasa berkata benar, menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, dan menjauhi segala bentuk penipuan dan ketidakadilan.

Monday, February 24, 2025

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Daripada Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kebakhilan dan ketakutan." (Sunan Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (Surah at-Tahrim: 6)

2. Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah:

وَاعْلَمُوْا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندُ هُ أَجْرٌ عَضِيْمٌ

Maksudnya: “Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Surah Al Anfal: 28)

3. Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4. Al-Munawiy: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5. Al-Mawardiy: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…”

6. Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠

Maksudnya: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Surah Ali Imran:180)

Ketakutan dan kecemasan terhadap masa depan anak adalah perkara yang normal dan dialami oleh banyak ibu bapa. Namun, kita harus menghadapinya dengan penuh tawakal kepada Allah. Rasulullah SAW tidak menafikan perasaan ini, tetapi mengingatkan bahawa kita harus bersikap bijak dan seimbang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai orang tua. Moga anak-anak kita menjadi penyejuk mata, penenang jiwa dan penyubur untuk beramal bukan penyebab kita bakhil dan melalaikan perintah Allah.


Sunday, February 23, 2025

Larangan Memburukan Orang Lain


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

4. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

7. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.

Tuesday, February 18, 2025

Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan sunat dapat membantu meningkatkan kualiti ibadah seseorang dan menjadi penyelamat di hari akhirat kelak.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

4. Hadis ini memberikan dorongan yang kuat untuk menjaga solat sunat sebelum dan selepas solat Zuhur. Dengan menjaga amalan ini, seseorang tidak hanya mendekatkan dirinya kepada Allah, tetapi juga memperoleh perlindungan dari api neraka, sebagai balasan atas istiqamahnya dalam beribadah.

Monday, February 10, 2025

Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa

عَنْ ابْنِ شِهَابٍ أَنَّهُ قَالَ حَدَّثَنِي أَبُو عُبَيْدٍ مَوْلَى عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ وَكَانَ مِنْ الْقُرَّاءِ وَأَهْلِ الْفِقْهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُا قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ فَيَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ رَبِّي فَلَمْ يَسْتَجِبْ لِي

Daripada Ibnu Syihab bahwasanya ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abu Ubaid hamba Abdurrahman bin Auf yang mana dia termasuk dari para Qari (penghafal quran) dan Ahli fikah, dia berkata; Aku mendengar Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Doa seseorang dari kalian akan sentiasa dikabulkan selama ia tidak tergesa-gesa hingga mengatakan; Aku telah berdoa kepada Rabbku, namun Dia belum juga mengabulkan untukku' (HR Muslim No: 4917) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah

2. Doa seseorang tetap akan dikabulkan oleh Allah dengan keyakinan dan kebergantungan penuh kepada Allah.

3. Antara sebab doa seseorang tidak dikabulkan ialah sifat tergesa-gesa.

4. Orang yang tergesa-gesa ialah yang tidak sabar doanya dikabulkan dan mudah berputus asa dan enggan berdoa kembali.

5. Berdoalah dengan penuh keyakinan dan berbaik sangka dengan Allah. Sabda Nabi:

أُدْعُوا اللهَ تَعَالَى وَأَنتُمْ مُوقِنُونَ بِالْإِجَابَةِ, وَاعْلَمُوا أَنَّ اللهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِن قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: “Berdoalah kepada Allah sementara kalian yakin doa kalian dikabulkan. Ketahuilah, sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan dari hati yang lalai dan lengah” (HR Tirmizi No: 3479)

Hadis ini mengajar kita untuk berdoa dengan penuh keikhlasan, keyakinan, dan kesabaran. Doa yang tidak segera dimakbulkan bukanlah tanda penolakan, namun mungkin ia adalah ujian untuk meningkatkan keimanan kita atau Allah menghindarkan kita daripada musibah atau juga Allah menggantikan sesuatu yang lebih baik.

Wednesday, February 5, 2025

Doa Mustajab Di Malam Hari



عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

Dari Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) serta berzikir kepada Allah, lalu ia bangun pada waktu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.” (Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)


Pengajaran:

1.  Berwuduk sebelum tidur adalah sunnah yang membawa keberkatan dan perlindungan daripada gangguan syaitan semasa tidur.

2. Amalan zikir sebelum tidur (seperti tasbih, tahmid, istighfar, membaca doa sebelum tidur, ayat al-Kursi, 3 Qul) membantu mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada perkara duniawi.

3.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

4.  Latih diri untuk bangun malam walaupun hanya sekejap untuk solat sunat dan memohon kebaikan dunia dan akhirat.

Hadis ini memberikan panduan penting tentang kepentingan menjaga kesucian, zikir, dan hubungan dengan Allah sebelum tidur. Selain itu, ia mendorong umat Islam untuk memanfaatkan waktu malam sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan ibadah. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam hidup, tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari

Tuesday, February 4, 2025

Riya Itu Syirik Kecil



عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:

•  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat

•  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.

•  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiyam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata: ”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.

Friday, January 31, 2025

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit." (HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2.  Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3.  Rasulullah membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4.  Bulan Syaaban telah menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban. 

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”. (HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.

Wednesday, January 22, 2025

Berhutang penyebab berbohong dan berdusta


عَنْ عُرْوَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَخْبَرَتْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلَاةِ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنْ الْمَغْرَمِ قَالَ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ

Daripada 'Urwah bahawa 'Aisyah radliallahu 'anha mengkhabarkan kepadanya bahawa Rasulullah SAW sering berdoa dalam solat: "Allahumma innii a'uudzu bika minal ma'tsami wal maghram" (Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang). Lalu ada seseorang yang bertanya: "Mengapa anda banyak meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "Sesungguhnya seseorang apabila berhutang ketika dia berbicara biasanya dia berdusta dan bila berjanji sering mengingkarinya". (HR Bukhari No: 2222) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1. Rasulullah SAW sering berdoa agar dijauhi dari dosa dan terbeban dengan hutang

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ

(Ya Allah aku berlindung kepadamu dari berbuat dosa dan terlilit hutang)

2. Hutang bukan hanya menjejaskan kedudukan kewangan tetapi juga akhlak seseorang. Ia boleh menyebabkan seseorang mengabaikan sifat jujur dan amanah.

3. Hutang menjadi penyebab seseorang bercakap bohong dan berdusta. Orang yang terlibat dengan hutang, akan sanggup mencari pelbagai alasan yang direka sehingga menyebabkan orang lain bersimpati untuk meminjamkan kepadanya.

4. Hutang juga menyebabkan seseorang itu mengingkari janjinya dan mencari pelbagai alasan agar dapat menangguhkan pembayaran hutangnya.

5. Banyakkan doa agar kita terhindar daripada berhutang atau suka berhutang kerana mereka yang berhutang mudah terlibat dengan sifat orang munafik iaitu berbohong dan memungkiri janji.

6. Hadis ini memberi amaran kepada kita tentang bahaya hutang yang boleh membawa kepada dosa besar seperti berdusta dan memungkiri janji. Rasulullah SAW menunjukkan contoh agar kita sentiasa meminta perlindungan daripada Allah supaya terhindar daripada sifat-sifat yang merosakkan. Oleh itu, setiap Muslim harus berusaha untuk mengurus kewangan dengan bijak, mengelakkan hutang yang tidak perlu, dan jika berhutang, bersungguh-sungguh untuk melunaskannya dengan segera. Keikhlasan, kejujuran, dan tanggungjawab adalah kunci dalam menangani urusan hutang menurut Islam.



Wednesday, January 15, 2025

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". (HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat yang ringan namun memberi manfaat yang besar untuk roh dan jasmani:

a.  Puasa sunat tiga hari sebulan

b.  Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari

c.  Solat witir setiap malam sebagai penutup malam 

2. Puasa sunat tiga hari setiap bulan seperti puasa pada hari puteh (13, 14 dan 15hb) atau puasa hari isnin dan khamis mampu mendidik jiwa untuk sabar, ikhlas, dan bersyukur atas nikmat Allah SWT. Ia juga menjadi latihan spiritual yang menambah ketakwaan.

3. Solat Dhuha dilaksanakan selepas terbit matahari hingga sebelum waktu Zuhur. Ia adalah solat sunat yang sangat digalakkan kerana ia menjadi sebab keberkatan rezeki dan penghapusan dosa kecil.

4. Solat Witir adalah penutup bagi ibadah solat malam. Bagi yang tidak mampu bangun malam, disarankan agar melaksanakannya sebelum tidur supaya tidak terlepas amalan ini. Solat Witir menjadi penyempurna bagi ibadah solat seharian.

Sempena kita berada di bulan Rejab yang mulia serta sebagai persiapan menemui Ramadan, marilah kita laksanakan ketiga-tiga wasiat Rasulullah ini. Usahakanlah untuk berpuasa sunat, solat sunat dhuha juga solat sunat witir setiap hari.

Tuesday, January 7, 2025

Doa Mohon Keampunan dan Keselamatan



عن ابن عمر رضي الله عنهما قَالَ: لَمْ يَكُنْ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يدع هؤلاء الكلمات إذا أصبح وَإذا أَمْسَى: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Daripada Ibn Umar RA berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Peliharalah aku dari hadapan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu daripada ancaman yang datang (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” (HR Abu Daud No: 5074) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut sentiasa berdoa memohon kepada Allah kerana ia adalah sebahagian daripada ibadah.

2.  Keselamatan di dunia dan akhirat adalah nikmat terbesar yang sering dilupakan manusia. Doa ini mengingatkan agar kita sentiasa mensyukuri nikmat tersebut.

3. Antara doa seorang Muslim adalah memohon keampunan iaitu  pelepasan daripada melakukan dosa dan memohon afiyah iaitu keselamatan di dunia dan akhirat.

3.  Syarah Sunan Ibn Majah menjelaskan: memohon ‘afiyah adalah memohon  keselamatan daripada sebarang kerosakan dan juga kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

4.  Menurut Imam al-Nawawi: makna ‘afiyah di dalam doa di atas, adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

5.  Syeikh al-Munawi menjelaskan: ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

6.  Doa ini memohon keselamatan dan kesejahteraan pada agama daripada segala bentuk fitnah, pada tubuh badan daripada segala penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah. Hal ini termasuklah perlindungan daripada pelbagai wabak penyakit.


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Doa ini mengandungi permohonan keampunan juga keselamatan hidup di dunia dan akhirat.  Semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta melindungi kita daripada segala perkara yang tidak baik yang mungkin datang dari segala penjuru dan arah. Semoga kita selamat di dunia mahupun di hari akhirat.


Saturday, January 4, 2025

Tadarus Pre-Ramadan bermula

Alhamdulillah, tadarus berkumpulan telah pun bermula pada 1 Rejab 1446H bersamaan 1hb Jan 2025. Terdapat 9 kumpulan yang telah didaftarkan. Semoga tadarus kali ini lebih meriah dan dapat menarik lebih ramai jemaah mengulangkaji bacaan Al-Quran.

Matlamat utama bukanlah khatam tetapi lebih kepada mengajak para jemaah bersama-sama membaca Al-Quran sambil dipantau dan dikesan kesalahan tajwid dan sebutan makhraj.

InsyaAllah, semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah Nya kepada kita.

Rejab bulan haram


عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2.  Mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor pada Rejab ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain. 

3.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4.  Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5.  Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak  menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. 

6.  Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Maksudnya: Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.

Sunday, September 22, 2024

Thursday, September 5, 2024

Amalan yang baik

 Orang yang suka berbuat baik kepada orang lain, tidak akan susah hidupnya,

kerana semua kebaikan itu akan kembali kepadanya. Tetaplah jadi orang baik