---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Friday, October 9, 2009

Gambar Suasana I'dul Fitri 1430H

Assalamualaikum w.b.t
Selamat Hari Raya I'dul Fitri. Kita masih lagi berada dalam bulan Syawal 1430H. Pada hari Ahad yang lalu kita telah pun meraikan Hari Raya I'dul Fitri anjuran Surau At-Tarbiyyah. Untuk tidak menghampakan tuan/puan semua, sila klik laman web dibawah untuk melihat gambar-gambar menarik sekitar majlis tersebut.
Perhatian:
Tuan/Puan tidak digalakkan untuk muat turun gambar-gambar dari laman web ini bagi tujuan percetakan, kerana mutu gambar yang akan di muat turun nanti adalah tersangat rendah kualitinya. Sila hubungi pihak AJK Surau jika inginkan "imej digital" bagi gambar-gambar yang berkenaan.
Nikmatilah :


Jemputan Majlis Aqiqah 10hb Okt 2009 (Sabtu)

Assalamualaikum w.b.t
Adalah dengan sukacitanya, Tn Hj Zakaria Mohamad (Pak Ya Kedah) menjemput tuan-tuan ahli qariah Surau At-Tarbiyyah ke Majlis Aqiqah Cucundanya pada tarikh dan tempat yang tertera dibawah:
Tarikh : 10hb Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 10:30 pagi
Tempat : No-18, Jalan Bukit Indah 2/16, Tmn Bukit Indah
Kehadiran tuan-tuan amat dihargai bagi menyerikan lagi majlis tersebut.
Terima kasih.

Monday, October 5, 2009

Sambutan I'dul-Fitri 2009 Meriah

Assalamualaikum w.b.t

Jazakallah. Semalam 4hb Oktober 2009 bersamaan dengan 15hb Syawal 1430H Sambutan I'dul Fitri 1430 telah diadakan diperkarangan Surau At-Tarbiyyah dengan penuh meriah walaupun sederhana. Ahli qariah mula memenuhi khemah seawal jam 10:30 pagi.

Semuanya berjalan lancar dengan kerjasama seluruh ahli qariah baik tua atau muda, kecil atau besar, semua bekerjasama bergotong royong bagi memastikan majlis berjalan dengan baik. Alhamdulillah, semuanya selamat dan amat membanggakan.

Ramai sungguh tetamu yang hadir. Semuanya ceria dengan anak-anak berpakaian baru ditambah pula ada wang raya dan hadiah. Mak dan ayah yang mengiringi anak-anak tak dapat wang raya tetapi tetap ceria, apatah lagi dengan hidangan kambing, lemang, satay, ketupat dan bermacam-macam lagi.

Tengok ni!! Memang ceria. Abang Haji dan puterinya, dah kena kambing 2-3 ketul, nasi entah berapa pinggan senyum pun dah S E N Y U M _ _ _ _ _ _ _!!!!! Isyhhh... tu baru kambing....

Gambar-gambar suasana Majlis Sambutan I'dul Fitri akan dimuat turun sedikit masa lagi. Harap semua boleh bersabar!!!

Jazakallah.

Tuesday, September 29, 2009

Jemputan Majlis Sambutan I'dul Fitri 1430H


Assalamualaikum w.b.t.

Surau At-Tarbiyyah seperti tahun-tahun yang lalu akan mengadakan satu majlis Sambutan Hari Raya I'dul Fitri bagi tahun 1430H. Berbagai juadah seperti Kurma Kambing, Sate, Lemang, Rendang, Mee Hoon, Air Batu Campur (ABC) dan lain-lain disamping duit raya untuk anak-anak disediakan. Aturcara sambutan majlis tersebut adalah seperti berikut:


Hari : Ahad
Tarikh: 15hb Syawal 1430H bersamaan 4hb Okt 2009

Agenda:

10:30 pagi - 2:00 ptg : Jamuan Makan
1:07 tgh : Solat Zuhur
2:00 ptg : Gotong Royong Pembersihan

Semua ahlii qariah dan keluarga dijemout hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

AJK Surau At-Tarbiyyah sekali lagi mengucapkan "Selamat Hari Raya I'dul Fitri dan Maaf Zahir Batin" kepada semua ahli qariah dan keluarga.

Friday, September 18, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Idilfitri 1430H


Assalamualaikum w.b.t


Dikesempatan ini, kami semua AJK Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Idilfitri 1430H kepada semua ahli qariah semoga Hari Raya tahun ini lebih bermakna buat saudara/i sekalian.


Alhamdulillah, dengan berkat Allah s.n.w kita telah pun hampir mengakhiri sebulan berpuasa, bertarawih dan bertadarus bersama-sama. Semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Namun kita hanya merancang tapi Allah jua yang lebih baik perancanganNya.


Dengan itu, kami semua AJK Surau At-Tarbiyyah memohon kemaafan zahir dan batin jika selama ini ada tutur kata dan perbuatan yang menyinggung perasaan mana-mana ahli qariah. Sama-samalah kita meneruskan usaha untuk terus mengimarahkan surau kita.


Akhir kata, Selamat Menyambut Idilfitri Minal Wafa-izin, berhati-hati memandu pulang ke kampung halaman dengan selamat, ingatlah yang tersayang.


Jazakallah.

Wednesday, September 16, 2009

Anugerah Malam Khatam Quran 1430H

Antara gambar-gambar dalam klip video yang sempat disunting untuk tatapan ahli qariah semua. Macam-macam gaya, macam-macam eksyen.... bolehlah , lebih hebat dari Anugerah Grammy Award lagi.... Alhamdulillah..










Tuesday, September 15, 2009

Alhamdulillah, Majlis Khatam Al-Quran sempena tamatnya tadarus Al-Quran dibulan Ramadhan pada tahun ini selamat disempurnakan malam tadi si Surau At-Tarbiyyah selepas solat Tarawih dan Witir bertepatan 25hb Ramadhan 1430H.

Majlis dipengerusikan oleh Tn Hj Syed Salim selaku Pengerusi Surau At-Tarbiyyah dan terima kasih juga kepada Dato' Hj Muhammad Nazir selaku penaung Surau At-Tarbiyyah yang sudi hadir bagi menceriakan lagi majlis.

Bacaan Al-Quran dikemudikan oleh Imam Tn Hj Salleh dan bacaan doa dibacakan oleh Tn Hj Raduan. Selesai bacaan doa, majlis dengan sukacitanya memberi hadiah kepada semua peserta Tadarus dan juga AJK surau yang bertugas sepanjang Ramadhan ini, tanpa mereka maka pincanglah aktiviti dan pengurusan surau .

Kami sempat merakam beberapa keping gambar kenangan yang berlangsung malam tadi.






















Wednesday, September 2, 2009

Alam Mahsyar

  1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
  2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
  3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
  4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yang disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
  5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
  6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
  7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
  8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
  9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
  10. Terdapat satu kolam ( حوض‎ ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kauthar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
  11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
    1. Pemimpin yang adil.
    2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
    3. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
    4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
    5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
    6. Lelaki yang bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
    7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
  12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
  13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.
  14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
  15. ‘Arasy ( عرش‎ ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
  16. Kursi ( كرسي‎ ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
  17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
  18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
  19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
  20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
  21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
  22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
  23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
  24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
  25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
  26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
    a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
    b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
    c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
    Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
  27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
  28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
  29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
  30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004

Friday, August 28, 2009

Emel Palsu Ust Dato' Ismail Kamus

Assalamualaikum w.b.t.
Mulai malam tadi telefon bimbit tidak henti-henti menerima SMS palsu berkenaan dengan pemergian Ust Dato' Ismail Kamus di Mekah. Mungkin ada yang mengambil kesempatan tertentu. Sehingga pagi ini, masih lagi menerima SMS tersebut. Harap maklum.
Al-Fatihah ke atas Allahyarham Dr Ismail Salleh yang telah pergi menemui Ilahi semalam di Singapura.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa bersungguh-sungguh. Penggal pertama adalah Rahmah. Sama-samalah kita mengambil peluang terbuka yang Allah sediakan untuk hambaNya yang ingin beribadah.
Wallahuwaklam.

Thursday, August 27, 2009

Perutusan Pengerusi Surau At-Tarbiyyah

Assalamu’alaikum Wr. Wb.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in. Kita masih berada difasa pertama ramadhan, sepertimana Nabi sebut, awal ramadhan adalah Rahmah. Allah yang segala sifat terpuji bagiNya, menyediakan kita ruang dimana pintu rahmah dibuka seluas-luasnya. Sehingga pahala amalan dilipat ganda sepanjang ramadhan. Berbahagialah umatNya yang mempergunakan ruang masa, disebalik kesibukan urusan duniawi.


Dalam kesempatan ramadhan tahun ini, pihak pengurusan surau sedang merangka satu projek baru, iaitu membina sebuah bangunan yang dipanggil Madrasah At-Tarbiyyah. Ianya sebuah bangunan dua tingkat, dibina diatas tapak kawasan memasak yang sedia ada. Tingkat satu merupakan sebuah bangunan untuk dijadikan kelas pengajian, dilengkapi dengan kemudahan kerusi, system PA dan penghawa dingin untuk pembelajaran yang lebih efektif. Manakala tingkat bawah, adalah kawasan kosong untuk kegunaan persediaan memasak, cabinet dapur dan ruang pelbagai guna.







Pihak pengurusan sedang menyiapkan pelan kejuruteraan untuk tujuan "submission" ke MPAJ dan diharapkan projek ini akan “kick off” pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Kos pembinaan madrasah ini dijangka menelan belanja sebanyak RM70,000.00.

InsyaAllah pihak pentadbiran surau akan melancarkan kutipan dana dalam masa yang terdekat ini. Semoga perancangan ini berjalan lancar dan mendapat keberkatan dari Allah SWT, InsyaAllah.

Terima Kasih.

Pengerusi,
Surau At-Tarbiyyah
Tn Syed Salim Abu Bakar.

Tuesday, August 25, 2009

Tadarus Al-Quran "Satu Tuntutan"

Tn Pengerusi dengan penuh khusyuk mendengar bacaan dari Tn Hj Rezza.. Alhamdulillah
Tn Hj Rasali... ni baca ke tidur.... nampak macam lelap je.. Dok baca tafsir tu...

Ehh... Nampak macam Pak Ya je... Sah lah tu.. Pak Ya masih sempat datang bertadarus selesai bertugas di Masjid Bukit Indah...
Alhamdulillah.. ramai ahli qariah bertadarus... Ini yang best ni...
Mmmm.. Dahaga sungguh Pak Ya.. nasib baik surau sediakan air mineral... Anak-anak pun ada kat belakang tu...
Ini kumpulan Hj Rahim, Bahari dan Abu... mmmm..rasanya kurang sorang lagi..Tn Hj Jabbar..

Yang ni tak payah nak diperkenalkan lagi.. Tiap tahun inilah kerja dia.. Tadarus sampai SYAHID!!!! Kalau tak dikejutkan sampai subuh ler kat situ... Balik ler.. orang dah berdoa dah tu... Tapi sempat lagi menyongeh tu hah... Isyh!!!!

Sunday, August 23, 2009

Ahlan ya-Ramadhan

Kami semua Ahli Jawatankuasa Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli qariah Taman Bukit Indah, Ampang dan seluruh umat Islam umumnya. Semoga kedatangan Ramadhan kali ni dapat kita memanafaatkan seluruhnya ganjaran dan rahmat Allah.
Hari ini adalah hari ke-2 Ramadhan, dan kita telah lihat surau kita penuh dengan ahli qariah untuk bersama-sama Solat Tarawih, dan juga mengambil bahagian dalam Tadarus Al-Quran. Kursus atau Kelas Al-Quran yang dijalankan 4 bulan lalu telah membuahkan hasilnya dimana kebanyakan ahli yang mengambil bahagian dalam kelas tersebut turut menyertai Tadarus Al-Quran. Alhamdulillah.
Selamat Berpuasa!!!

Sunday, August 9, 2009

Gotong Royong Pada 9hb Ogos 2009

Tn Haji Kamal sedang membuang sisa tanah dan kotoran yang tersumbat dari longkang. Kerja bang.. kerja bang
Tn Hj Rahim terkejut... tengah sedap-sedap mengolap, ado pulak wartawan ambik gambar... apo lah ekau. Lap tingkap tu Hj... jangan pecah udah
Ini Azman.. Pro dalam bidang-bidang speaker and sound system... Surau dapat speaker baru!!! Lepas ni suara Imam jadi komersial ler... tak caya... jap lagi Tn Syed test... 1..2..3
Tn Syed pagi-pagi dah terpacak kat luar surau... menyembur air ke tembok pagar surau yang berlumut tu... Mana anak buah lagi Tn Syed...
Ha...... Ajis..Ajis... Sampai kona baring dibuatnya... Itu kipas yeop... bukan motorsikal.. kalau nak rempit pun kat luar ler.. Ajis ni memang suka buang isi perut kipas ni.. terburai hah!!! Akhirnya, kipas tu beroperasi semula
Aiiikk....!!! Ini apa hal si Hamzah ni... cuci kolah rupanya... jangan kau melepas kat situ sudah lah Hamzah ooiiii.. Yang Tn Hj Kamal tu dok main water-jet buat apa.. sembur je lah si Hamzah tu hah
Tengok.... betapa berganding bahunya ahli qariah kita ni... berat sama dipikul, jinjing kau soranglah bawak...hahhaa...
Alamak!!! Bila pulak surau kita ada MUSK MAN... Isyhh..hari ni Pak Leh tak niaga.. semata-mata nak jadi MUSK MAN kat surau.... lap jangan tak lap..
Ceeeewahh.... Tn Hj Mej Tahiyyat ni boleh servis Air-Cond rupanya...betul ke ni.. ke dok cari semut dalam tu... hehehee
Hah.... Ni tak lain tak bukan lah ni... dah penat lelah..eloklah tu pekena teh tarik secawan, sembang-sembang mana yang patut.. Hj Jabbar jadi leader ni.. hehhee

Wednesday, August 5, 2009

Nisfu Syaaban 5hb Ogos 2009

Bulan Sya‘ban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT.

Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Sya‘ban
Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini , ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1. Memperbanyakkan puasa sunat.
Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan Beristiqhfar
Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.
Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan:
  • Dia hendaklah meninggalkan dosa atau maksiat itu.
  • Dia hendaklah benar-benar menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.
  • Dia berjanji dan berazam untuk tidak akan mengulangi dan melakukannya.
    Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.
3. Memperbanyak zikir dan berdoa
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah. Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
Antara keistimewaan amalan zikir itu pula ialah:
  • Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, berdiri dan baring. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Begitu juga dengan ibadat doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya.
Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang bermaksud:

“Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.(HR an-Nasaie)

Malam Nisfu Sya‘ban
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”
Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

Penutup
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

Sabda Nabi SAW maksudnya: “ Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan” (HR Bukhari)


Sumbangan:
Ust Zakaria Othman
JAKIM

Monday, August 3, 2009

Gotong Royong pada 9hb dan 16hb Ogos

Ramadhan kian menjelma tak lama lagi. Insyallah pada 22hb Ogos kita mula puasa. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk sama-sama beribadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini.
Sehubungan dengan itu, kerja-kerja Gotong Royong membersihkan surau dan sekitarnya akan diadakan pada 9hb dan 16hb Ogos iaitu pada hari Ahad di Surau At-Tarbiyyah. Ahli qariah yang berkelapangan, insyallah dijemput bersama-sama bagi membersihkan surau kita.
Acara ini sudah menjadi acara tahunan sebelum tibanya puasa. Insyallah.