---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Thursday, September 2, 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim

Alhamdulillah, bertepatan 31hb Ogos 2010 iaitu cuti umum Sambutan Hari Kebangsaan, bersamaan 21 Ramadhan 1431H, pihak pengurusan Surau At-Tarbiyyah telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Darul Hayah, Kg Melayu , Ampang, Selangor.
Initiatif yang dimulakan oleh Lajnah Muslimah telah membuahkan hasil, apabila cadangan tersebut diterima sebulat suara AJK dan memang dialu-alukan. Seramai 20 orang anak-anak yatim telah diraikan dari berbagai peringkat umur, 15 lelaki dan 5 perempuan.

Darul Hayah ini adalah satu badan yang bergerak atas nama individu pada peringkat awalnya dan dimulakan oleh Tn Hj Khalil sejak tahun 2005 beralamat di 220, Jalan Jati, Kg Melayu, Ampang bermula dengan 5 orang anak yatim.

Dengan kapasiti kewangan dan tenaga yang terhad, bantuan demi bantuan diterima sehinggalah bilangan anak-anak yatim sudah pun bertambah seramai 20 orang. Menurut Tn Hj Khalil, sememangnya telah dirancang agar kewujudan Darul Hayah ini tidak diperhebahkan atas sebab-sebab kapasiti dan kemampuan.

Bukan mudah untuk menguruskan sebuah pusat anak-anak yatim tanpa bantuan dari berbagai pihak termasuk masyarakat. Tahniah kepada Tn Hj Khalil atas usaha murni yang tak terhingga dan hanya Allah s.n.w yang mampu membalasnya.

Acara bermula seawal jam 6 petang dengan dihadiri lebih kurang 130 ahli qariah. Pengerusi majlis Tn Hj Radzuan mengalu-alukan kehadiran tetamu istimewa yang dirai Anak-anak Yatim Darul Hayah, Kg Melayu yang diketuai oleh Tn Hj Khalil, tetamu kehormat Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam, Timbalan Nazir Masjid Bukit Indah dan ahli-ahli qariah.



Tazkirah pendek telah disampaikan Ust Tn Hj Zamri dengan memetik beberapa hadis dan ayat-ayat Al-Quran bagaimana kita dituntut untuk mengambil berat hal-hal anak-anak yatim dan mencari jalan bagaimana dapat kita bersama-sama memberi keselesaan dan hak yang sama dengan ahli masyarakat yang lain umumnya.












Dalam ucapan Tn Pengerusi Surau At-Tarbiyyah pula, Tn Hj Syed Salim mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lajnah Muslimah atas dorongan cetusan idea berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Pengerusi Surau juga mengucapkan terima kasih kepada arkitek dan jurutera yang telah bertungkus lumus melukis pelan dan bangunan Madrasah Surau At-Tarbiyyah yang telah pun siap sekitar awal Ogos yang lalu.

Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada MNM Teambuilders atas kerjasama dan komitmen mereka bagi menyiapkan bangunan baru ini tepat pada masanya.
Majlis tidak ketinggalan memberi peluang kepada Tn Hj Khalil selaku penaung Darul Hayah bagi menyampaikan sepatah dua kata. Tn Hj Khalil mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah dan semua ahli qariah yang terlibat bagi meraikan anak-anak yatim Darul Hayah.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Y Bhg Dato' Muhammad Nazir diikuti oleh sumbangan peribadi oleh Ust Tn Hj Zamri dan juga Tn Hj Abd Rahman. Anak-anak yatim qariah juga diraikan dan diberi sumbangan. Tidak lupa juga para arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembangunan madrasah surau.

Tepat jam 7 petang, satu tahlil ringkas diadakan sementara menunggu waktu berbuka puasa dan telah diketuai oleh Imam 1, Lt Kol Tn Hj Amran b Haron. Waktu berbuka telah pun tiba, anak-anak yang diraikan telah hidangkan nasi putih, kari kambing, ayam goreng dan berbagai kuih muih.

Selesai solat maghrib berjemaah, satu majlis solat hajat bagi anak-anak mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM diadakan dan diimamkan oleh Imam 3, Tn Hj Radzuan Ahmad.

Antara gambar-gambar yang sempat dirakam:

Ustaz Tn Hj Zamri menyampaikan tazkirah ringkas mengenai tanggungjawab masyarakat membantu anak-anak yatim.
Tn Hj Khalil penaung Darul Hayah, dengan tenang memberi ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam meraikan anak-anak dibawah jagaannya.

Inilah sebahagian anak-anak yatim yang rata-rata berumur bawah 12 tahun, menunggu penuh sabar.
Anak-anak ibarat kain putih, terpulanglah kepada kita mencorakkannya.

Pengerusi Surau Ir Tn Hj Syed Salim, Penaung Darul Hayah Tn Hj Khalil dan Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam, dengan tekun mendengar tazkirah dari Ust Hj Zamri.

Apa yang menggelikan hati Tn Imam kita ni ya!!!!

Para AJK mengambil tempat yang "terbaik" bagi meluruskan mana-mana yang bengkok....

Sebahagian anak-anak yatim yang diraikan....


Majlis penyampaian sumbangan disampaikan oleh Y Bhg Dato' dan sumbangan peribadi disampaikan oleh Tn Hj Abd Rahman dan Ustaz Tn Hj Zamri

Lagi penyampaian sumbangan...

Apa lagi... perut dah keroncong, azan akan dilaungkan....ambik je lah kambing...kuih...

Para VIP yang hadir sedang menunggu azan berkumandang...

Anak-anak yatim sedang mengambil tempat untuk berbuka

Monday, August 23, 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim

Alhamdulillah, sudah hampir separuh Ramadhan meninggalkan kita, semoga kita semua menggandakan usaha kita yang murni bagi mencari keredhaan Allah s.n.w.

Bertepatan dengan bulan Ramadhan yang mulia ini juga, Surau At-Tarbiyyah dengan sukacita memaklumkan bahawa satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim akan diadakan pada 31hb Ogos 2010 bertepatan Cuti Umum Hari Kebangsaan, iaitu hari Selasa.

Anak-anak yatim yang akan diraikan adalah dari Kg Melayu, Ampang seramai 20 orang. Majlis dijangka bermula seawal jam 6 petang sehinggalah solat taraweh berjemaah. Meraikan anak-anak yatim adalah amat dituntut oleh agama apatah lagi di bulan Ramadhan A-Mubaraq yang penuh rahmat Allah s.n.w

Majlis ini juga akan dihadiri oleh Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam, Timbalan Nazir, Masjid Bukit Indah, Ampang dan akan menyampaikan cenderahati untuk anak-anak yatim.

Semoga kita semua dapat meluangkan masa pada hari tersebut bagi meraikan anak-anak yatim ini. Semoga Allah memberkati majlis kita ini. Insyallah.

Wednesday, August 11, 2010

Selamat Menyambut Ramadhan 1431H

Selamat Menjalani Ibadah Puasa. Umat Islam diseluruh dunia telah pun mula berpuasa pada hari ini 11 Ogos 2010 bersamaan 1 Ramadhan 1413H. Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah tidak ketinggalan mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubaraq kepada semua ahli qariah semoga Ramadhan kali ini memberi ganjaran dan rahmat Allah yang tidak terhingga kepada kita semua.

Malam tadi, sembahyang tarawih 8 rakaat telah bermula dan penuh sesak dengan ahli qariah. Semoga ianya berterusan hingga akhir Ramadhan dan seterusnya pada hari-hari selain Ramadhan.
Majlis tahlil juga akan diadakan selepas solat witir dan borang telah pun diedarkan.

Sudah menjadi kelaziman, Tadarrus juga diadakan selepas selesai jamuan MORE, terdapat lebih kurang 6 kumpulan tadarrus. Kemeriahan Ramadhan tidak akan wujud tanpa Tadarrus.

Tazkirah sebagai Santapan Rohani juga disediakan, dan jadual telah pun ditampal pada papan putih surau untuk rujukan ahli. Pada 31hb Ogos 2010 pula, satu majlis meraikan anak-anak yatim akan diadakan di Surau At-Tarbiyyah dimulai dengan Majlis Berbuka Puasa dan solat tarawih serta penyampaian cenderahati untuk anak-anak yatim.

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubaraq semoga kita semua diberi ganjaran, kemaafan dan rahmat Allah.

Wednesday, August 4, 2010

Gotong Royong 1hb Ogos 2010

Tanggal 1hb Ogos 2010 yang lalu, kerja-kerja gotong royong membersihkan Surau At-Tarbiyyah berjalan lancar dihadiri oleh lebih 20 ahli qariah. Kerja-kerja pembersihan dimulakan seawal jam 8:30 pagi dan berakhir jam 12:00 tgh.

Dengan siapnya bangunan baru, kerja-kerja gotong royong menjadi mudah dan barang-barang pentadbiran telah pun dialihkan ke bilik bangunan baru. Anak-anak juga tidak ketinggalan mengembeling tenaga bagi memastikan surau cantik dan bersih.

Antara gambar-gambar menarik yang sempat dirakam:

Tn Hj Awang Selamat dan Sdra Aziz sedang memberikan khidmat yang terbaik

Tn Hj Jabbar, anakanda Sdra Akil dan cucunda... sedang sibuk memastikan longkang bersih

Bab ni paling best, semua dok rehat makan karipap dan kek pengantin Tn Hj Fathul... letih dah tu
Lepak lah pulak..... penat dah
Apa yang menarik sangat tu.... tengok Bendahari kita... Sdra Hamzah.. menyengih je....

Saturday, July 31, 2010

Selamat Pengantin Baru ALLY & SALSABIL

Selamat Pengantin Baru kepada Mohammad Elly Azreen b Hj Fathul Rahman dan Noor Salsabil bt Ali. Kedua-dua mempelai telah selamat diijabqabulkan pada 3hb Jul 2010 yang lalu di Kuala Pilah dan hari ni 31hb Jul 2010, tibalah pula acara sambut menantu di kediaman Tn Hj Fathul Rahman b Hj Sahari.

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Ilahi, Majlis Perkahwinan siang tadi berjalan dengan baik dan lancar dengan sinar sang suria yang menyinar sehingga majlis tamat jam 4 petang. Majlis bermula seawal 9 pagi lagi dengan Majlis Khatam Quran oleh kaum Muslimah Surau At-Tarbiyyah Bukit Indah.

Jam 11:30 pagi ahli qariah yang telah sukarela menjadi penyambut tetamu telah pun menikmati hidangan terlebih dahulu, maklumlah nak bertugas katakan... Hidangan kali ini disajikan oleh FARIS CATERING, Tn Hj Hameed Sultan, Kg Pandan.



Tepat jam 1 tgh, kompang dipalu menandakan ketibaan Raja Sehari. Para tetamu tidak sabar ingin melihat kedua-dua pengantin dari dekat. Kalau nak diikutkan, rasanya ikut adat Johor ni, yang mana apabila pengantin tiba, kedua-dua pengantin diberi minum air kosong terlebih dahulu, air tawar ni... mungkin sebagai tanda kesyukuranlah tu.. apa pun, mesti ada hikmah tertentu.

Bukan main cantik pengiring ni, montel... kedua-dua pengantin telah pun tiba berjalan seiring menuju khemah tetamu.

Inilah istiadat Johor, pengantin diberi minum terlebih dahulu. Yang lain tengok je ya!!!!

Mmmmm... pengantin perempuan pula diberi minum...dahaga kot... panas terik tu!!!

Apa lagi, pengantin dibawa ke kerusi khas, untuk menikmati panca silat yang digayakan oleh 2 pendekar Semerah Padi kita ni... boleh tahan silat dia orang ni... pengantin relax je, dah bersilat juga agaknya...

Panas pun panaslah, dah disuruh tengok silat, tengok je lah...

Ni dia.... pendekar Semerah Padi, baik-baik, jangan kau tercedok pengantin sudahlah... tikar dah dibentang, apa lagi hayun!!!!! Isyhh... Ahhhh... Isyhh...Arggghhh.. Main kasar nampak!!

Seterusnya pengantin dibawa masuk ke tempat persandingan, dan doa pengantin telah dibacakan oleh Imam 2 Surau At-Tarbiyyah, Tn Hj Radzuan b Ahmad. Doa yang ringkas tapi padat, semoga Allah memberi rahmat dan hidayah kepada kita semua.

Betapa cantiknya, pelamin dihias indah untuk raja sehari disandingkan.

Selesai majlis merenjis, pengantin dibawa ke Majlis Santapan, makan pengantin lah ringkasnya.. Kedua-dua pengantin diapit oleh keluarga masing-masing.


Alhamdulillah, sempurnalah sudah majlis perkahwinan ini, tetamu pun dah kenyang, pengantin pun dah santap, apa lagi... kita berkemas lah.... Semoga Allah memberkati majlis ini dan memberi hidayah dan rahmatNya kepada kedua-dua pengantin agar hidup sebagai suami isteri yang diredhai Allah. AMIN.

Antara gambar-gambar yang sempat dirakamkan:

Sdra Abu Hanafiah bersama keluarga sedang menikmati hidangan.

Keluarga pengantin perempuan, sedang menikmati juadah yang disediakan


Ini dia.... dulu baby lagi, sekarang sudah boleh bunyikan bunyi helekopter..Wuuuuuu... tidak lain tidak bukan, cucu Tn Hj Zakaria (Pak Ya)... atuk...tak penat ke tok...asyik dukung je...

Pendekar Semarah Padi belum habis lagi daaaaa.......

Ni sapa tak kenal, Tn Hj Kamal... janji nak siap awal, siap baju melayu samping.... isyhhh...

Antara tetamu kehormat yang hadir, Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam ditemani Pengerusi Surau kita, Tn Hj Syed Salim dan Ust Suhaimi, Masjid Bukit Indah.

Antara penyambut tetamu yang bertugas... amboi segak sungguh Tn Hj Bahadum ni... ingat tadi dia yang pengantin...

Tetamu yang paling awal hadir... Tn Hj Salleh dan Tn Hj Amran... nak bertugas lah tu...

Khemah yang panjang ni sedia menanti kunjungan tetamu..

Pandangan dalam khemah, tetamu sudah pun memenuhi ruang makan...

Kroni-kroni sedang menikmati hidangan.



Catering: Faris Catering.

Thursday, July 29, 2010

Jasamu Dikenang

Khamis 29hb Julai 2010, telah berlangsung Anugerah Jasamu DiKenang bertempat disurau selepas solat Isyak bagi meraikan dan menghargai sumbangan semua AJK bagi sesi yang lalu. Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam telah sudi datang dan seterusnya menyampaikan cenderahati dan sijil penghargaan kepada 7 orang bekas AJK.

Alhamdulillah kesemua 7 orang AJK hadir dalam majlis ringkas tersebut, mereka adalah Tn Hj Othman, Tn Hj Nordin, Tn Hj Mej(B) Mat Tahyat, Tn Hj Zakaria, Sdra Wan Uzairi, Pn Hjh Aminah dan Pn Hjh Rohana.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan, pihak kami memohon maaf kerana tidak dapat menyiarkan gambar Pn Hjh Aminah dan Pn Hjh Rohana ketika menerima cenderahati tersebut atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Pengerusi, Tn Hj Syed Salim sedang memberi ucapan aluan atas kehadiran ahli qariah dan juga AJK yang diraikan

.Y Bhg Dato' bersama ayahanda tercinta penuh sabar menunggu majlis dimulakan.

Tn Hj Mej(B) Mat Tahayat pernah memegang jawatan Bilal bergambar bersama Y Bhg Dato' Muhammad Nazir

Tn Hj Nordin selaku bekas Siak, turut bergambar bersama Y Bhg Dato'

Tn Hj Othman bekas Bilal Jenazah, memberi pos istimewa bersama Y Bhg Dato'

Tn Hj Zakaria, bekas setiausaha kita yang memang sentiasa sibuk, turut bergambar bersama Y Bhg Dato'
Sdra Wan Uzairi AJK kita, terpaksa membatalkan perjalanan ke Ipoh semata-mata ingin bersama majlis ini

Monday, July 26, 2010

Persediaan Walimatulurus - Tn Hj Fathul Rahman

Alhamdulillah, Pada hari Ahad 25hb Julai 2010 lepas Isyak, telah berlangsung majlis "berkampung" di kediaman Tn Hj Fathul Rahman b Hj Sahari di No:34, Jalan Bukit Indah 1/13, Tmn Bkt Indah, Ampang.

Majlis ini adalah sebagai persediaan majlis sambut menantu pada 31hb Jul 2010 akan datang iaitu hari Sabtu ini di kediaman beliau. Anakanda sulong beliau Mohammad Elly Azreen telah pun selamat dinikahkan dengan pasangannya Noor Salsabil bt Ali di Kuala Pilah pada 3hb Jul 2010 yang lalu.

Antara yang dibincangkan adalah perkara-perkara asas yang dititikberatkan ketika majlis perkahwinan seperti:

  1. Kedudukan khemah - terdapat 8 khemah untuk jamuan makan dan 2 khemah khusus untuk bahagian dapur/lauk
  2. Ruang makan pengantin
  3. Penyambut tetamu untuk 2 arah - lebih kurang 6 orang penyambut tetamu diperlukan
  4. Khemah sementara bagi tetamu dan juga jemaah berehat
  5. Melantik ketua bahagian lauk-pauk ketika majlis berlangsung
  6. Memasang papan tanda arah pada hari Jumaat malam Sabtu lepas Isyak
  7. Melantik anggota rela bagi mengawal lalu lintas dan letak kereta
  8. Penyediaan tempat cenderahati (door gift)
  9. Keselamatan rumah ketika majlis
  10. Surau bagi menempatkan 40 ahli keluarga pengantin perempuan
  11. Bacaan doa majlis
  12. Majlis khatam Quran oleh kaum muslimah am 9 pagi Sabtu


Tn Hj Fathul memulakan majlis sambil diperhatikan oleh ahli jemaah yang lain. Pengerusi sibuk mencatat maklumat yang penting untuk dibincang bersama jemaah.

Apa yang seronok sangat Tn Hj Radzuan tu, sempat baca akhbar lagi tu... tak apa..telinga pasang tu..

Tn Hj Awang bukan main senyum lagi, maklumlah dah terhidu mee-hoon sup yang disediakan oleh tuan rumah...