---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Saturday, January 1, 2011

Sdra Aziz berpindah ke teratak baru

Syukur kehadrat Allah s.n.w dengan limpah kurniaNya, telah memberi rezeki kepada Sdra Aziz b Atan untuk berpindah ke rumah baru beliau. Hari ni tepat jam 10:30 pagi, majlis doa selamat dan tahlil telah selamat diadakan di teratak baru beliau sekeluarga.

Para jemaah dan rakan taulan serta keluarga telah berkumpul sejak jam 10:00 pagi lagi dan bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Tn Hj Syed Salim dan doa penutup dibacakan oleh Imam Tn Hj Amran.

Rumah baru beliau betul-betul berjiran dengan rumah Imam Tn Hj Radzuan. Alhamdulillah, selesai bacaan doa, para jemaah dijamukan oleh hidangan Nasi Dagang, Nasi Berlauk, kuih-muih dan macam-macam lagi yang disediakan oleh Oleander Catering, Tn Hj Amarudin kita.

Majlis tamat jam 11:45 pagi. Tahniah untuk Sdra Aziz dan keluarga.

Yob!!!! Letih tahlil ya yob!!!!!

Tn Hj Mazlan selamat menjalani pembedahan


Alhamdulillah, Tn Hj Mazlan bilal Surau At-Tarbiyyah telah selamat menjalani pembedahan Apendiks seminggu yang lalu di Hospital Ampang, Pandan Indah. Menurut beliau, rasa sakit sebelah kanan perutnya telah lama berlaku lebih-lebih lagi sebelah pagi(subuh) dan rasa loya-loya.

Hasil ujian yang dilakukan oleh para medik di hospital berkenaan mendapati Apendiks beliau telah pun pecah dan membahayakan kesihatan beliau. Satu pembedahan untuk membuang Apendiks dan mencuci bahagian dalaman perut terpaksa dilakukan.

Beliau telah ditahan di wad selama seminggu lamanya sebelum dibenarkan pulang. Beberapa orang ahli qariah sempat menziarah beliau di rumahnya. Semoga Tn Hj Mazlan dapat beristirehat dan sembuh dengan segera. Insyallah.

Tuesday, December 28, 2010

Ikan Bakar Adnan Hasan


Sesiapa yang berkunjung ke Pulau Mutiara (Pulau Pinang), eloklah luangkan masa ke Kampong Teluk Tempoyak, di Batu Maung, Pulau Pinang. Bolehlah nikmati ikan bakar fresh seperti Siakap, Jenahak, Merah, Pari...isyhh..macam-macam lagilah..... memang betul-betul di jeti nelayan, Batu Maung.

Singgahlah di gerai Adnan Hasan, pakar ikan bakar...bermula jam 6 petang hingga 11:30 malam, Para pengunjung mula tiba jam 5:00 petang lagi untuk mengambil tempat meletak kenderaan, melihat gelagat nelayan yang balik dari menangkap ikan, melihat matahari terbenam dengan pemandangan yang indah.

Sungguh ramai pengunjung yang datang, apatah lagi kalau hari Sabtu dan Ahad, rata-rata adalah dari luar Pulau Pinang. Udang kertas sebesar ibu jari, lebih kurang 6 inci panjang, RM60.00 sekilo, bila dah bakar tu, mak aiiii....cicah pulak sos cuka bawang tu.... mmmmmm..kecor liur yobbbb!!!!!

Jomlah..... memang sedap dimakan kalau ramai-ramai kesana.... mintak nasi putih lauk tomyam ke, ngan sayur sikit..lain-lain tu ratah ikan dan udang lah.... kao-kao oooooo...


Saturday, December 11, 2010

Penghijrahan Tn Hj Awang Selamat

Alhamdulillah. Sempena Maal Hijrah 1432H, salah seorang ahli qariah kita telah memulakan penghijrahan baru dari berniaga secala kecil-kecilan kepada membuka restoran sendiri. Impian yang telah lama diimpikan itu menjadi kenyataan, apabila beliau sanggup menyewa sebuah kedai di Taman Bukit Indah dihadapan Balai Polis, Taman Bukit Indah, Ampang.

Tanpa timbang-timbang lagi, terus bulatkan hati, Tn Hj Awang bertekad untuk pergi lebih jauh bagi merialisasikan impian menjadi kenyataan.

Tn Hj Awang Selamat atau lebih mesra dikenali sebagai Hj Mat, telah mengadakan Majlis Doa Selamat sempena pembukaan restoran barunya. Mengikut beliau, perniagaan akan bermula awal pagi hingga malam dengan menyediakan juadah Nasi Campur dan yang tidak asing lagi Yong Tow Foo.

Majlis doa selamat telah dimulakan pada jam 11:45 pagi diketuai oleh Imam Tn Hj Radzuan dengan dihadiri oleh para ahli qariah Surau At-Tarbiyyah. Majlis berakhir jam 12:30 tghari dengan dihidangkan nasi campur masakan ala kampung. Itu kira "promotion" lah tu....

Kita doakan semoga Tn Hj Awang dan keluarga memperolehi kejayaan dalam bidang perniagaan ini yang telah menyahut cabaran agar berhijrah dari satu tahap ke tahap yang lebih baik. Insyallah.

Antara gambar yang sempat dirakam di restoran Tn Hj Awang:

Thursday, December 9, 2010

Soal selidik Program Kelas Al-Quran

Pihak Pengurusan surau sedang merangka satu program Kelas Membaca Al-Quran (Muqaddam) kepada anak-anak qairah Tmn Bukit Indah, dari umur 5 tahun keatas. Kelas ini akan diurustadbir oleh pihak Surau At-Tarbiyyah dengan bantuan Guru Al-Quran.

Oleh yang demikian, satu borang soal selidik telah diedarkan untuk ahli qariah semua bagi membuat bancian mengenai sambutan ibubapa dan anak-anak mengenai kelas yang akan diperkenalkan nanti.

Jika sambutan adalah menggalakkan, insyallah kelas akan dimulakan pada awal tahun hadapan, 2011. Semoga ahli qariah semua menggunakan peluang ini untuk bersama-sama mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran anak-anak kita. Harap maklum.

Monday, December 6, 2010

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1432H

Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah kepada semua muslimin dan muslimat semoga doa akhir tahun dan awal tahun yang kita sama-sama aminkan dapat kita usahakan dan bukan setakat berdoa tanpa usaha.

Semoga Allah membuka hati kita untuk melakukan perubahan dari yang jelek kepada yang baik dan yang baik kepada yang lebih baik. Selamat Menyambut Maal Hirah.

Sunday, December 5, 2010

Selamat Pengantin Baru YM Raja Nazri dan Dayang Aimi Shahira

Selamat Pengantin Baru kepada YM Raja Nazri b Raja Aziz dan pasangannya Dayang Aimi Shahira binti Mustapha Kamal yang telah selamat diijabqabulkan di Masjid Bukit Indah pagi tadi Ahad, 5hb Dis 2010.

Majlis meraikan pengantin telah diadakan di kediaman YM Hj Raja Aziz di No:68, Jln Bukit Indah 1/9, Tmn Bukit Indah tepat jam 12:00 tgh. Kedua-dua mempelai turut tiba jam 12:00 tgh 2 jam lebih awal dari yang dijadualkan.

Sanak saudara dan sahabat handai memenuhi khemah jamuan yang telah dihidangkan dengan sajian dari Faris Catering. Untuk makluman, pengantin perempuan Dayang Aimi Shahira adalah anak kepada pelakon terkenal Sdra Mustapha Kamal.

Majlis berakhir tepat jam 4 ptg. Kita doakan semoga kedua-dua mempelai dapat hidup dengan aman damai, bahagia keakhir hayat, dikurnai zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa mentaati perintah Allah snw.

Kepada YM Hj Raja Aziz dan isteri Hjh Haznah, Selamat menerima menantu semoga berbahagia disamping anak dan cucu.

YM Hj Raja Aziz juga turut mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama ahli qariah yang turut membantu dalam menjayakan majlis tersebut. Antara gambar yang sempat dirakam:


Saturday, December 4, 2010

Walimatulurus Mohd Fakhrurozi & Masni

Alhamdulilah, dengan limpah dan rahmatNya, Majlis Walimatulurus Tn Hj Ghazali bin Omar bagi meraikan perkahwinan anakandanya Mohd Fakhrurozi bin Mohd Nor dan pasangannya Masni binti Abdullah Ashaari telah selamat diadakan pada hari ini 4hb Dis 2010 bersamaan 27 Zulhijjah 1431H.

Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan doa selamat tepat jam 11:30 pagi di kediaman beliau di 42, Jln Bukit Indah 1/12, Tmn Bkt Indah. Majlis tahlil dan doa tersebut telah diketuai oleh oleh Imam Surau At-Tarbiyyah, Lt Kol Hj Amran.

Para tetamu mula tiba tepat jam 12:00 tengahari dan telah disajikan dengan sajian dari Faris Catering. Pasangan pengantin diarak masuk pada jam 12:50 tengahari diiringi paluan kompang. Kedua-dua pasangan turut diiringi oleh sanak keluarga kedua-dua belah pihak.

Seperti biasa, penyambut tetamu adalah terdiri daripada ahli-ahli qariah secara gotong royong. Itulah akrabnya persahabatan yang terjalin antara jemaah di Taman Bukit Indah. Semoga Allah memberikan hidayah dan rahmatNya ke atas kedua-dua mempelai disamping dikurniakan zuriat yang soleh, hidup bahagia hingga ke akhir hayat dan saling memahami dalam menjalani kehidupan berumah tangga.

Majlis berakhir jam 4:00 petang. Dengan rasa rendah diri, Tn Hj Ghazali turut menyampaikan ucapan terima kasih tak terhingga kepada semua ahli qariah yang turut sama mengembelingkan tenaga bagi menjayakan majlis perkahwinan anakanda beliau.

Semoga Allah jua yang dapat membalasnya. Wassalam.

Antara gambar yang sempat dirakam: