---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Monday, April 25, 2011

Cikgu Hj Roslan bergelar Datuk

Assalamualaikum. Tahniah kepada Cikgu Hj Roslan kerana mendapat gelaran "Datuk" buat selama-lamanya. Dah menimang cucu pertama pun, seorang puteri Nursyafiqah Aliya (ejaan nama salah mohon maaf datuk).

Lepas Isyak semalam Ahad 24hb April 2011 telah berlangsungnya Majlis Doa Selamat dan Aqiqah cucu tersayang di kediaman beliau di Jln Bukit Indah 1/14, Tmn Bukit Indah. Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa yang dipimpin oleh Tn Hj Raduan.

Bacaan selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW telah berkumandang menanda Majlis Cukur Jambul bermula. Majlis dimulakan dengan Tn Hj Raduan sebagai ketua jemaah malam ni untuk mencukur jambul puteri Aliya.

Majlis ditutup dengan bacaan doa oleh Tn Hj Jabbar. Ahli qariah seperti biasa dihidangkan kambing dan bermacam-macam lauk lagi ala-ala kampung. Apa lagi, ada yang nak sambung sahur pun ada.

Semoga Allah memperkenankan segala doa dan memberkati majlis ini. Amin! Amin!

Tahniah sekali lagi buat Cikgu Hj Roslan sekeluarga.

Tuesday, April 19, 2011

Pak Leh menolong akhirnya ditolong

Assalamualaikum w.b.t.
Tuan Imam kita Tn Hj Salleh b Abdullah atau lebih dikenali dengan Pak Leh, telah dimasukkan ke Ampang Puteri hari Ahad lalu 17hb April 2011 kerana terlibat dalam kemalangan kecil. Katanya dihempap batu.

Seribu persoalan timbul dalam hati ahli qariah, dimana Pak Leh pergi merantau sehingga terlibat dengan batu, bila pulak Pak Leh jadi kontraktor angkat batu bata sehingga terkena batu atau Pak Leh panjat gunung ke sehingga batu tergolek? Pak Leh...Pak Leh...

Bermacam-macam andaian dan rumusan sebaik sahaja berita ringkas SMS diterima. Rupa-rupanya pada pagi Ahad tu, beliau sedang mengisi minyak di Caltex, Bukit Indah, tiba-tiba sebuah kenderaan MPV Grand Livina yang dipandu oleh seorang wanita telah terbabas lalu melanggar tembok dan tersangkut ke dalam longkang Caltex.

Pak Leh bersama anaknya Ust Syukri lantas turun menghulurkan bantuan. Terdapat juga beberapa orang awam yang turut membantu, bermacam-macam cadangan sehingga sukar membuat pilihan tepat bagi mengeluarkan kenderaan ini dari longkang.

Akhirnya cadangan mengangkat konkrit simen penutup longkang dipersetujui ramai bagi membuat pengalas kenderaan mengundur. Alhamdulillah, kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan dengan selamat.

Malang memang tidak berbau. Niat baik untuk menolong akhirnya membuatkan Pak Leh menjerit terlolong..... Pak Leh dan beberapa orang awam telah mengusung konkrit longkang kembali ketempat asal, tetapi secara tiba-tiba salah seorang yang mengangkat konkrit tersebut telah terlepas dan Pak Leh yang tiba-tiba masih memegang konkrit tersebut terpaksa menahan sehinggalah batu tersebut melurut jatuh dan telah menghakis jari hantu tangan Pak Leh sebelah kiri.
Lurutan kasar tersebut telah menceraikan isi jari sehingga menampakkan tulang putih. Alhamdulillah, pada petang Isnin jam 5:45 petang, doktor telah selamat mencantum semula jari Pak Leh dengan meminjam sedikit daging dilengan kiri Pak Leh melalui pembedahan kecil.

Malam tadi beberapa ahli qariah sempat melawat Pak Leh di Ampang Puteri di Tingkat 5, Wad WGW. Semoga Pak Leh bersabar dan cepat sembuh.
Pak Leh sedap bercerita, tangan tu sakit Pak Leh

Antara ahli qariah yang hadir, Tn Hj Razi, Sdra Hamzah, Tn Hj Fathul dan Tn Hj Jabbar.
Pak Leh macam nak halau je... baliklah Tn Syed... balik.... saya ok, isteri saya ada.... jururawat pun ada.... hahahaaa.... Sabar Tn Pengerusi... sabar

Saturday, April 9, 2011

Pedoman Hidup

Kubur setiap hari menyeru manusia sebanyak lima kali :
  1. Aku rumah yang terpencil, maka kamu akan senang dengan selalu membaca Al-Quran.
  2. Aku rumah yang gelap, maka terangilah aku dengan selalu solat malam.
  3. Aku rumah penuh dengan tanah dan debu, bawalah amal soleh yang menjadi hamparan.
  4. Aku rumah ular berbisa, maka bawalah amalan Basmallah sebagai penawar.
  5. Aku rumah pertanyaan Munkar dan Nakir, maka banyaklah bacaan "Laa ilahaillallah, Muhammadar Rasulullah",supaya kamu dapat jawaban kepadanya
Lima Jenis Racun dan Lima Penawarnya :
  1. Dunia itu racun, zuhud itu obatnya.
  2. Harta itu racun, zakat itu obatnya.
  3. Perkataan yang sia-sia itu racun, zikir itu obatnya.
  4. Seluruh umur itu racun, taat itu obatnya.
  5. Seluruh tahun itu racun, Ramadhan itu obatnya.
Nabi Muhammad S.A.W bersabda:
" Ada 4 di pandang sebagai ibu ", yaitu :
  1. Ibu dari segala UBAT adalah SEDIKIT MAKAN.
  2. Ibu dari segala ADAB adalah SEDIKIT BERBICARA.
  3. Ibu dari segala IBADAT adalah TAKUT BUAT DOSA.
  4. Ibu dari segala CITA-CITA adalah SABAR.
Berpesan-pesanlah kepada kebenaran dan Kesabaran. Beberapa kata renungan dari Qur'an bagi orang yang tidak melakukan sholat:
  • Subuh : Dijauhkan cahaya muka yang bersinar
  • Dzuhur : Tidak diberikan berkah dalam rezekinya
  • Ashar : Dijauhkan dari kesihatan/kekuatan
  • Maghrib : Tidak diberi santunan oleh anak-anaknya.
  • Isya' : Dijauhkan kedamaian dalam tidurnya

Lagi kejadian mencuri

Kejadian mencuri menjadi-jadi... apa nak jadi dengan taman kita ni.. terbaru adalah sebuah kenderaan ahli qariah surau kita, rumah pun depan surau... kereta Viva telah dicuri keempat-empat tayar beralaskan batu-bata....

Dengar khabar cakap-cakap kedai kopi , semua kerja ni adalah kerja-kerja buak-budak sekolah tamat SPM... entah betul entah tidak.... tapi itulah yang digambarkan oleh orang ramai. Mereka ni sudah tentunya kerja berkumpulan menaiki kereta Waja dan Iswara.

Dosa dan neraka tidak ada bagi mereka, perasaan ibubapa yang melahirkan mereka, dihina dan disumpah seranah oleh masyarakat... mereka tidak kisah... entah apa bentuk kepuasan hidup yang mereka cari....

Sama-samalah kita mengawasi anak-anak kita, agar tidak terpengaruh dengan kegiatan tidak bermoral ini...

Monday, April 4, 2011

Awasi Rumah Anda

Assalamualaikum wbt.

Sejak akhir-akhir ini kejadian mencuri menjadi-jadi di Taman Bukit Indah , Ampang. Ada kejadian mencuri basikal dan motorsikal yang diletak di dalam kawasan rumah dengan pagar berkunci. Ada juga kejadian mencuri tayar kenderaan yang diletak di luar halaman rumah.

Menurut aduan yang diperolehi, semua kejadian adalah berlaku ketika Maghrib, Isyak dan Subuh dan juga ketika hujan lebat. Ketika inilah, kebanyakan dari kita ke surau atau masjid menunaikan solat secara berjemaah.

Ketika kita sibuk beginilah, pencuri mengambil kesempatan atas kelekaan kita. Taktik terbaru dan canggih juga turut dipraktikkan oleh pencuri dengan memasang "SPY" atau "informer". Contohnya, apabila kita sekeluarga keluar dari rumah menaiki kereta, dengan lampu garaj terpasang, pintu pagar terkunci rapi (Pagar Remote), dalam masa 2 atau 3 minit selepas itu, seseorang akan datang ke rumah kita dengan menekan loceng.

Jika tiada sambutan dari dalam rumah, bermakna rumah kita memang kosong atau semua telah keluar menaiki kereta sebentar tadi. Pencuri ini menaiki kereta Waja dan akan meletakkan kenderaan betul-betul dihadapan rumah anda. Pencuri akan cuba merosakkan butang kekunci pada pagar automatik pada sebelah bawah. Hanya itu sahaja kunci yang ada untuk pagar automatik.

Apabila pagar berjaya dibuka, pencuri akan masukkan kereta Waja tadi ke dalam garaj rumah anda bagi menghalang pandangan awam terhadap kerja-kerja pecah pintu rumah. Ini diakui sendiri oleh mangsa kejadian di Fasa 2 dan 3, Tmn Bukit Indah.

Blogger sempat mengunjungi "Locksmith" Tmn Kosas, dan beliau sempat menunjukkan bagaimana kunci-kunci yang dipasang pada grill pintu hadapan dibuka dengan senangnya. Kunci-kunci yang berjenama S**** yang dulunya diakui gagah perkasa pun berjaya dipotong menggunakan pemotong besi.

Kunci yang tahan lasak pula dengan harga mencecah RM60 pula memang berbaloi kerana mereka gagal memotong kunci tersebut tetapi apabila mereka menggunakan jek kereta, lubang untuk mangga yang dipateri pada grill pulak yang patah, apa lagi, berpesta sakanlah mereka.

Pakar kunci telah menyarankan agar kita memasang "clamp" untuk grill rumah bagi mengelakkan lubang untuk mangga yang ada pada grill dipatahkan. Harga dalam lingkungan RM25 sahaja. Mungkin dengan memasang "clamp" nampak lebih selamat sedikit. Wallahuwaklam.

Oleh itu, berhati-hatilah sebelum meninggalkan rumah atau sebelum tidur. Pastikan rumah kita selamat dan kunci yang terbaik dipasang. Bukanlah rumah kita banyak harta tetapi keselamatan isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab kita.

Semoga Allah lindungi keluarga, kenderaan, rumah dan harta benda kita. Terangilah rumah kita dengan bacaan Al-Quran, insyallah rumah kita dilindungi Allah SWT. Insyallah.

Monday, February 28, 2011

Tn Hj Reza masuk wad

Assalamualaikum wbt, salah seorang jemaah kita Tn Hj Reza telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada hari Khamis 24hb Feb 2011 yang lalu kerana batuk yang tak hilang-hilang sejak bulan puasa lagi.

Sebelum tu beliau telah mendapat bekalan ubat yang kuat bagi mengatasi masalah batuk yang kronik, tetapi malangnya ubat tersebut mempunyai kesan sampingan kepada tubuh badan Tn Hj. Otot-otot menjadi kejang dan sukar untuk bergerak.

Beliau telah dirawat di Unit ICU, HKL pada hari Khamis dan sekarang sedang menjalani rawatan biasa di Wad 28, Bilik 5, Tingkat 5, HKL. Untuk keterangan lanjut, bolehlah hubungi Tn Hj Mej Tahayat.

Kita doakan semoga beliau cepat sembuh dan bersama-sama kita semula. Insyallah.

Tuesday, February 15, 2011

Maulidurrasul 14 Rabiulawal 1432H

Pengurusan Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Menyambut Maulidurrasul 1432H. Semoga kita semua dapat menghayati Sirah Rasulullah SAW, ketekunan baginda, ketabahan baginda, kesukaran dan kesabaran baginda, dakwah dan tarbiyyah baginda, kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat acuan baginda.

Kita sentiasa mengakui bahawa Muhammad itu Rasul Allah setiap kali kita sembahyang, tetapi pada masa yang sama kita menghina Rasulullah, mengabaikan sunnah Rasulullah, menghina hukum hakam yang Rasulullah bawa untuk kita dan apatah lagi mencontohi kehidupan Rasulullah.

Marilah kita sama-sama mengamal dan mencontohi kehidupan Rasulullah agar kita sentiasa mendapat hidayah dan petunjuk Allah SWT. Insyallah

Gotong Royong Sambutan Maulidurrasul

Alhamdulilah, kerja-kerja gotong royong membersihkan setor surau dan mengecat telah selamat diadakan pada hari Ahad, 13hb Feb 2011 yang lalu. Meskipun tidak ramai ahli qariah yang hadir namun, kerja tetap diteruskan.

Setor yang baru sahaja diubahsuai, telah dibersihkan dan barang-barang telah disusun atur. Barang-barang lusuh dan tidak digunakan lagi telah dihimpun setempat untuk dibuang. Kerja-kerja gotong royong telah dimulakan seawal 8:30 pagi dan berakhir kira-kira jam 12 tgh.

Antara gambar-gambar yang sempat dirakam:


Wednesday, February 2, 2011

Majlis Gotong Royong

As-Salam semua ahli qariah. Insyallah, pihak pengurusan Surau At-Tarbiyyah bercadang untuk mengadakan Majlis Gotong Royong membersihkan surau sempena Sambutan Maulidul Rasul pada hari Ahad 13hb Feb 2011, bermula jam 9 pagi. Harap maklum.

Thursday, January 20, 2011

Walimatulurus - Ustazah Asiah


Walimatulurus!!! Ustazah Asiah binti Husin, AJK Muslimah Surau At-Tarbiyyah dan suami Mohammad Farid bin Hj Yahya serta seisi keluarga menjemput ahli qariah ke Majlis Perkahwinan Anakanda mereka Muhammad Fairuz bin Mohammad Farid dengan pasangannya Rokeiyas binti Yusuf di kediaman beliau di 49, Jalan Bukit Indah 1/11, Taman Bukit Indah, Ampang pada 22hb Jan 2011 bersamaan hari Sabtu, 17 Safar 1432H.

Aturcara majlis adalah dari jam 11:30 pagi hingga 4:00 petang. Semoga kehadiran para jemputan akan menyerikan lagi majlis dan diberkati Allah S.W.T. Insyallah.

Sunday, January 16, 2011

Ayahanda Tn Hj Kamal kembali kerahmatullah

Innalillahhiwainna ilaihirojiun.

Ayah kepada bilal Tn Hj Kamal, Allahyarham Hj Abu Kassim telah pun kembali kerahmatullah pada hari Khamis 13hb Jan 2011 di rumahnya di Kg Pasir, Hulu Kelang. Majlis tahlil arwah telah dijalankan selama 3 malam berturut-turut di rumah arwah di Hulu Kelang.

Para jemaah tidak ketinggalan berkunjung dan menyertai tahlil arwah yang diadakan. Semoga Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan soleh. Pihak pengurusan mengucapkan takziah kepada Tn Hj Kamal atas pemergian ayahanda tercinta.

Al-Fatihah.

Naik taraf setor

Kerja-kerja menaiktaraf setor Surau At-Tarbiyyah sedang dibuat bagi menampung barang-barang surau yang terlalu banyak dan tidak terurus sedang dibuat. Kerja-kerja telah bermula pada 10hb Jan 2011 yang lalu dan dijangka siap pada 21hb Jan 2011.

Antara kerja-kerja yang akan dilakukan adalah:

1. Membuat lantai simen setor 2 (ditinggikan).
2. Memecah dinding bagi menghubungkan kedua-dua setor.
3. Membaiki pintu dan kunci
4. Membuat lantai kakilima sekeliling setor
5. Memasang dawai jaring untuk halangan tikus
6. Menebang dan membuang keluar 2 batang pokok
7. Memasang dawai kawat berduri dipintu pagar masuk utama dan pintu pagar flat
8. Membuka tingkap sediada dan membina dinding batubata dan mengecat bahagian luar Mehrab.

Semoga surau kita akan lebih kemas dan tersusun untuk keselesaan para jemaah.

Wednesday, January 5, 2011

Kelas Al-Quran untuk anak-anak telah bermula


Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SNW, dengan limpah dan perkenanNya, Kelas Al-Quran yang diimpi-impikan oleh Pengurusan Surau At-Tarbiyyah menjadi kenyataan jua akhirnya. Bermula malam tadi, para ibubapa telah pun mendaftarkan anak-anak tepat jam 8 malam di bangunan baru , Surau At-Tarbiyyah.

Ustaz yang bertugas adalah Ustaz Shahrolnizam guru Bahasa Arab dari Sekolah Wangsa Melawati. Kelas akan bermula setiap Selasa, Rabu dan Khamis bermula jam 8 malam hingga 10 malam.

Terdapat lebih 25 orang pelajar rata-rata berumur dari 5 hingga 13 tahun telah mendaftarkan diri. Satu sambutan yang diluar dugaan sama sekali. Tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus memberi idea dan cadangan bernas bagi mengimarahkan surau kita.

Pihak pengurusan sedang merangka satu lagi kelas pengajian Al-Quran atau Kelas Bahasa Arab bagi kaum bapa/ibu. Insyallah, segala perkembangan akan diberitahu kelak.

Para bapa sedang berehat sementara menunggu anak-anak tamat kelas Al-Quran jam 10 malam. Minum-minumlah dulu.... lambat lagi tu.....

Saturday, January 1, 2011

Sdra Aziz berpindah ke teratak baru

Syukur kehadrat Allah s.n.w dengan limpah kurniaNya, telah memberi rezeki kepada Sdra Aziz b Atan untuk berpindah ke rumah baru beliau. Hari ni tepat jam 10:30 pagi, majlis doa selamat dan tahlil telah selamat diadakan di teratak baru beliau sekeluarga.

Para jemaah dan rakan taulan serta keluarga telah berkumpul sejak jam 10:00 pagi lagi dan bacaan doa selamat telah dipimpin oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Tn Hj Syed Salim dan doa penutup dibacakan oleh Imam Tn Hj Amran.

Rumah baru beliau betul-betul berjiran dengan rumah Imam Tn Hj Radzuan. Alhamdulillah, selesai bacaan doa, para jemaah dijamukan oleh hidangan Nasi Dagang, Nasi Berlauk, kuih-muih dan macam-macam lagi yang disediakan oleh Oleander Catering, Tn Hj Amarudin kita.

Majlis tamat jam 11:45 pagi. Tahniah untuk Sdra Aziz dan keluarga.

Yob!!!! Letih tahlil ya yob!!!!!

Tn Hj Mazlan selamat menjalani pembedahan


Alhamdulillah, Tn Hj Mazlan bilal Surau At-Tarbiyyah telah selamat menjalani pembedahan Apendiks seminggu yang lalu di Hospital Ampang, Pandan Indah. Menurut beliau, rasa sakit sebelah kanan perutnya telah lama berlaku lebih-lebih lagi sebelah pagi(subuh) dan rasa loya-loya.

Hasil ujian yang dilakukan oleh para medik di hospital berkenaan mendapati Apendiks beliau telah pun pecah dan membahayakan kesihatan beliau. Satu pembedahan untuk membuang Apendiks dan mencuci bahagian dalaman perut terpaksa dilakukan.

Beliau telah ditahan di wad selama seminggu lamanya sebelum dibenarkan pulang. Beberapa orang ahli qariah sempat menziarah beliau di rumahnya. Semoga Tn Hj Mazlan dapat beristirehat dan sembuh dengan segera. Insyallah.