---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Friday, August 12, 2011

Muqaddimah Surah An-Nisaa

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 176 ayat. Dinamakan surah An-Nisaa (Perihal Perempuan) kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai kaum perempuan ada disebutkan disini.

Menerangkan hukum beristeri lebih dari satu; bayaran mas kahwin; perintah supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan jangan terburu-buru menceraikannya jika timbul perasaan benci terhadapnya; larangan mengambil hartabenda yang telah diberikan kepada isteri setelah diceraikan.

Kaum perempuan - seperti kaum lelaki - ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; sebabnya kaum lelaki menjadi pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan; sifat isteri yang soleh; cara melayani isteri yang nusyuz (derhaka); lantikan "orang tengah" semasa berlaku perselisihan antara suami isteri untuk didamaikan.

Ditegaskan pula bahawa orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah, samalah seperti menelan bara dan mereka akan beroleh azab yang pedih. Pembahagian harta pusaka: Dalam surah ini diterangkan panjang lebar tentang orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang berhak mendapat harta pusaka, dan tentang bahagian yang akan didapati oleh tiap-tiap seorang menurut cara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.

Orang-orang yang menjalankan pembahagian harta pusaka bertentangan dengan hukum syarak diberi amaran yang sekeras-kerasnya bahawa mereka akan disiksa dalam neraka.

Selain dari itu, surah An-Nisaa dipenuhi dengan hukum-hukum yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam menjalankannya untuk mengurus soal-soal hidup dan menegakkan taraf mereka sebagai umat dalam negara yang merdeka dan berdaulat; dan juga supaya mereka bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menentang sebarang pengkhianatan atau sebarang serangan bersenjata dari pihak musuh.

Wallahuwaklam.

Monday, August 8, 2011

Muqaddimah Surah Al-Imran

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 200 ayat, dinamakan suran Al-Imran (Perihal Keluarga Imran) kerana kisah mereka ada disebutkan mulai ayat 33. Kisah keluarga Imran ini menerangkan perihal Nabi Isa a.s yang sebenarnya dan kesesatan kaum Kristian yang menyifatkan Nabi Isa sebagai Tuhan atau Anak Tuhan.

Pada umumnya surah ini menggambarkan keadaan umat Islam di Madinah setelah mereka mencapai kemenangan yang besar di medan perang Badar dan berjaya menghancurkan kaum kafir musyrik yang menceroboh.

Kemenangan umat Islam ini menyebabkan kaum Yahudi dan kaum munafik di Madinah marah - kerana hasad dengkinya, lalu merancang berbagai-bagai pakatan jahat terhadap umat Islam.

Sebab itulah Allah Ta'ala mengingatkan sebagaimana yang tersebut di dalam surah ini supaya umat Islam sentiasa sedar dan waspada terhadap golongan-golongan kafir yang memusuhi Islam.

Apa yang telah dan sedang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Komunis terhadap Islam dan umat Islam makin menjelaskan hakikat ini. Dalam surah ini juga diterangkan peristiwa "Peperangan Uhud" dan sebab-sebab yang menjadikan orang-orang Islam gagal dalam peperangan itu, iaitu sebahagian diantara mereka melanggar perintah Rasulullah SAW.

Untuk menanamkan semangat perjuangan jihad, ditegaskan dalam surah ini, bahawa orang-orang Islam yang telah gugur syahid dalam perjuangan membela Islam bukanlah orang yang mati dan lenyap denagn tidak disebut-sebut dan dikenang, bahkan mereka hidup secara istimewa dan meningkat ke tempat yang mulia disisi Allah dengan dilimpahi Nur dan pelbagai nikmat yang disediakan oleh Allah Ta'ala di dalam syurga.

Wallahuwaklam.

Saturday, August 6, 2011

Keajaiban Al-Quran - Mencari halaman bagi setiap JUZ Al-Quran

Assalamualaikum w.b.t
Tahukan kita semua bahawa kehebatan Al-Quran merangkumi semua aspek, baik luaran mahupun dalaman. Al-Quran juga mempunyai kehebatan sifir matematik yang luar biasa yang jarang diketahui umum.

Bagaimanakah kita mencari juzuk Al-Quran dengan kaedah matematik? Ilmu Allah begitu hebat hingga tidak terfikir oleh kita semua. Setiap yang Allah jadikan bukan sia-sia, pasti ada hikmah tersendiri yang tersembunyi dan memerlukan ianya direnung, dikaji dah diamalkan oleh manusa selaku hamba dan Dialah pencipta.

Buku kamus kita, buku manual pejabat atau buku apa sahaja, kita tidak akan jumpa sesuatu yang dibuat atau dijilid hingga menjadi sebuah buku itu penuh dengan kehebatan dan rahsia seperti kitab Al-Quran.

Kehebatan luaran yang dimaksudkan adalah bagaimana kita hendak mencari halaman atau muka surat bagi sesuatu Juz dalam Al-Quran tanpa melihat indeks mukasurat pada bahagian belakang Al-Quran?

Sebagai contoh, kita ingin melihat Juz-3, maka nombor Juz iaitu 3, ditolak dengan angka 1, kemudian jawapan itu didarab dengan 2. Hasilnya kemudian akan dicantumkan dengan meletakkan nombor 2 dibelakang jumlah hasil darab tersebut.

Mari kita acu cuba uji test tengok keberkesanan ilmu matematik ini:

Juz 5, maka 5 - 1 = 4, maka 4 X 2 = 8, letak angka 2 dibelakang 8, maka Juz 5 terletak dimukasurat 82.

Juz 10, maka 10 - 1 = 9, maka 9 X 2 = 18, letak angka 2 dibelakang 18, maka Juz 10 terletak dimukasurat 182.

Kecuali Juz 7 dan 11 yang istimewa dimana nombor belakang adalah 1, yang mana cara kiraannya sama cuma nombor pada bahagian belakang adalah 1 dan bukan 2.

Cubalah sendiri, kita akan menemui keajaiban ini dan sungguh menakjubkan.

Wallahuwaklam.

Thursday, August 4, 2011

Muqaddimah Surah Al-Baqarah

Surah ini ialah surah yang paling panjang sekali diantara surah-surah Al-Quran iaitu mengandungi 286 ayat dan meliputi juz 1, 2 dan 3/8 dari juz ke-3. Surah Al-Baqarah ini diturunkan di Madinah sebaik-baik sahaja Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan orang-orang Islam terbentuk sebagai satu umat dalam sebuah negara merdeka yakni Negara Islam, yang berpenduduk bukan sahaja dari orang-orang Islam tetapi juga sebahagian kecil diantaranya ialah orang-orang Yahudi dan lain-lain.

Bagi memenuhi hajat umat Islam yang baharu terbentuk itu, yang memerlukan hukum-hukum syara' untuk mengatur hidupnya supaya selamat sempurna, dan memandu usaha mengembangkan Islam kepada orang-orang yang bukan Islam, maka turunlah ayat-ayat suci yang terkandung didalam Surah Al-Baqarah ini dari semasa ke semasa, menurut peristiwa-peristiwa yang berlaku, memenuhi maksud-maksud dan tujuan yang tersebut.

Kandungan Surah Al-Baqarah ini pada umumnya terbahagi kepada 2 bahagian:

  • Dalam bahagian pertama - kecuali beberapa ayat pada permulaan surah ini yang menegaskan kebenaran Al-Quran dan menerangkan sifat-sifat orang yang beriman, orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan menyeru umat manusia seluruhnya supaya menyembah Allah Yang Maha Esa dan jangan mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain, serta diterangkan tentang kejadian manusia dan alam langit dan bumi, dan tentang balasan baik (nikmat syurga), dan balasan buruk (azab neraka), dan juga tentang perihal Nabi Adam a.s serta keingkaran Iblis - mulai dari ayat 39, firman Allah Ta'ala ditujukan kepada kaum musyrik Arab dan kaum Yahudi supaya mereka memeluk Islam, dengan beriman kepada Kitab Allah Al-Quran dan kepada RasulNya Nabi Muhammad SAW.
  • Dalam bahagian kedua - diterangkan secara luas tentang hukum syara' bagi mengatur kehidupan umat Islam meliputi: Ibadat (solat, zakat, puasa, haji dan pelbagai jenis kebajikan); Muamalat (jualbeli, hutang piutang, wasiat, menjadi saksi dan sebagainya); Munakahat (nikah kahwin, talaq dan segala yang sehubungan dengannya); Jinayat (jenayah serta soal-soal umum yang lain)
Dalam Sahih Muslim ada satu hadis yang maksudnya: "Bacalah kamu surah Al-Baqarah kerana sesungguhnya menerima ajarannya mendatangkan berkat (kebaikan yang banyak) dan membiarkannya menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa, dan orang-orang yang menceburkan diri dalam keadaan yang batil (salah) tidak akan dapat menggunakan ajarannya.

Semoga dengan penerangan ringkasan ini dapat difahami maksud sebenar surah ini dan sejarah penurunannya.

Wallahuwaklam

Wednesday, August 3, 2011

Sdra Aziz kehilangan ibu mertua

Assalamualaikum w.b.t
Pihak pengurusan mengucapkan takziah kepada Sdra Aziz b Atan, atas pemergian ibu mertua yang tersayang jam 1:10pg tadi. Semoga rohnya berada dikalangan orang-orang yang beriman dan solehah. Semoga Sdra Aziz dan keluarga cekal menghadapi dugaan dibulan Ramadhan Al-Mubaraq ini....

Monday, August 1, 2011

Ihya Ramadhan 1432H

Assalamualaikum wbt.
Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh umat Islam terutamanya ahli qariah Taman Bukit Indah, semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna dan semoga kita semua mengambil sebanyak mungkin rahmat dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT.

Seperti biasa solat sunat Tarawih di Surau At-Tarbiyyah dibuat sebanyak 8 rakaat sahaja dengan dipimpin oleh 2 pelajar UIA. Tazkiran ringkas juga telah diatur bagi mengisi majlis ilmu. Selamat Berpuasa.

Tuesday, July 26, 2011

Kejadian mencuri berulang lagi



Kejadian mencuri tayar dan rim kenderaan Myvi menjadi-jadi. Yang terbaru malam Isnin yang lalu di Tmn Bukit Indah. Kenderaan Myvi menjadi sasaran pencuri kerana ianya ringan untuk diangkat. Tayar yang dicuri adalah tayar belakang, kerana ianya lebih ringan berbanding hadapan kerana terdapatnya enjin dibahagian tersebut.

Pihak awam berpendapat, pencuri ini akan melonggarkan skru roda terlebih dahulu sebelum mengangkat bahagian belakang beramai-ramai dan melapik dengan batu-bata. Selagi pencuri ini tidak ditangkap, selagi itulah penduduk Taman Bukit Indah menjadi tidak lelap tidur, maklum sajalah, ianya akan mengganggu tugas-tugas seharian penduduk yang akan keluar bekerja, menghantar anak ke sekolah dan sebagainya.

Ahli qariah yang perihatin bolehlah sama-sama memantau jika terdapat kenderaan yang mencurigakan menghampiri sasaran. Bersama-samalah kita membenteras jenayah. Wallahuwaklam.

Saturday, July 23, 2011

Gotong Royong Sambutan Ramadhan lancar

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, Majlis Gotong Royong Surau At-Tarbiyyah yang dijadualkan hari ini telah dijalankan dengan lancar sekali. Ramai ahli jemaah yang hadir seawal jam 8 pagi lagi. Beberapa keping foto telah berjaya dirakamkan sekitar gotong royong pagi tadi.

Tn Hj Jabbar, Tn Hj Rasali dan Tn Hj Rahim sedang sibuk menyusun Surah Yassin

Sdra Aziz dan Tn Hj Tahayat bertukar bidang "wireman" lah pulak.... pandai ke tu?

Semua jemaah begitu sibuk dengan kerja masing-masing

Gril ni pun kena bersihkan... banyak sangat sawang ni....

Yang ni susah sikit ni... kerja dia asyik memanjat je.. nak jadi Spiderman tak dapat, jadi "Ceiling Man" pun ok jugaklah.... Bendahari kita Sdra Hamzah... sedang memantau jemaah buat kerja ke tidur!!!!

Tn Hj Kamal sedang membersihkan tikar-tikar dengan menggunakan "waterjet"

Kipas ni pun bukan main berhabuk lagi...

Ni Tn Hj Bahadum kita... jadi mandur kejap ni... sedang memberi arahan kepada Tn Hj Kamal...hehehee

Friday, July 22, 2011

Hadis Rasulullah SAW

Rasulullah SAW bersabda : "Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati. Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata, Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga."

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata, "Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih."

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala'ul A'laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah SAW bersabda : "Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat."

Wednesday, July 20, 2011

Rukun Solat

Berikut adalah panduan ringkas berbentuk grafik bagi memudahkan kita memahami rukun-rukun solat. Semoga menjadi panduan untuk kita semua dan anak-anak.

Gotong Royong Sambutan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t. Sempena Ramadhan Al-Mubaraq yang akan tiba beberapa hari lagi, satu majlis gotong royong membersihkan surau akan diadakan di Surau At-Tarbiyyah pada hari Sabtu dan Ahad 23-24hb Julai 2011 jam 9 pagi. Semua jemaah yang berkelapangan adalah dijemput.

Adalah amat dihargai jika peserta dapat membawa serba sedikit peralatan bagi melancarkan kerja-kerja gotong rotong nanti. Harap maklum.

Thursday, June 30, 2011

Mesyuarat AJK - Persiapan Ramadhan

Mesyuarat bagi menyambut Ramadhan Al-Mubaraq akan diadakan pada hari Isnin 4hb Julai 2011, jam 8 malam , bertempat di Surau At-Tarbiyyah. Antara agenda utama ialah membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan yang dinantikan, Ramadhan Al-Mubaraq, bulan yang penuh barakah.

Semua AJK dijemput hadir. Terima kasih.

Sunday, June 26, 2011

Tn Hj Reza telah pun pergi

Assalamualaikum w.b.t.
Seperti yang tuan/puan maklum, Allahyarham Tn Hj Reza telah pun kembali ke rahmatullah pada hari Khamis, 23hb Jun 2011, yang lalu setelah sekian lama terbaring di Hospital Ampang. Jenazah Allahyarham telah selamat dikapan dan disolatkan di Masjid Bukit Indah, Ampang dan telah selamat dikebumikan selepas solat Asar.

Pengurusan surau mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham semoga roh Allahyarham ditempatkan dikalangan orang-orang soleh. Amin.

Tuesday, June 14, 2011

Tn Hj Reza kini kritikal

Assalamualaikum w.b.t. Berita yang diterima petang semalam mengkhabarkan Tn Hj Reza yang telah lama terlantar di Hospital Ampang, kini kembali kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi.

Selepas solat maghrib semalam, ahli qariah telah bersama-sama mengadakan Solat Hajat memohon Allah mempermudahkan segala urusanNya. Insyallah. Majlis diteruskan dengan Bacaan Yassin.

Semoga kita semua diberi rahmat dan keredhaan Allah s.n.w. Insyallah.

Monday, May 9, 2011

Tn Hj Reza di Wad 6B

Assalamualaikum w.b.t. Untuk makluman Tn Hj Reza kini sedang menjalani rawatan di Wad 6B, Katil 26 (depan kaunter) di Hospital Ampang, Pandan Indah. Beliau baru sahaja selesai menjalani rawatan di ICU. Kepada ahli qariah yang berkelapangan bolehlah membuat usaha ziarah. Harap maklum.