---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Sunday, August 5, 2012

Wakaf Saham


Assalamualaikum w.b.t. Pihak pengurusan surau dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor akan membuka kaunter di Surau At-Tarbiyyah pada 6hb Ogos 2012, hari Isnin, bermula jam 7:00 ptg sehingga jam 11:00 malam bagi memberi peluang kepada ahli jemaah sekian, menginfaqkan sedikit dana dalam bentuk saham wakaf.

Bersama-samalah kita mengambil bahagian dalam skim ini. Terima kasih.

Friday, July 20, 2012

Ahlan Wasahlan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t
Bersyukur kita kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, diberi rezeki dan umur kepada kita semua untuk bertemu bulan Ramadhan Al-Mubaraq yang penuh keberkatan. Malam ini akan bermulalah Solat Tarawih berjemaah disurau-surau dan masjid seluruh negara.

Begitu juga dengan Surau At-Tarbiyyah, persiapan telah pun diatur menjelang Ramadhan kali ini. Mulai petang semalam, ahli qariah telah diimamkan oleh imam jemputan kita, anak-anak tahfiz sekolah pondok dari Pattani, Selatan Thailand.

Dalam usia yang muda 18 dan 20 tahun, mereka sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata memenuhi jemputan kita untuk bersama-sama ahli qariah bersolat Tarawih. Mulai malam tadi, mereka telah pun memulakan tugas sebagai Imam untuk solat maghrib dan Isyak, serta subuh hari ini. 

Insyallah, mereka akan mengimami Solat Tarawih kita pada kali ini. Bersama-samalah kita memenuhi ruang solat seawal masuk waktu Isyak untuk bersama-sama mengerjakan solat sunat Tarawih, bertazkirah, bertahlil dan seterusnya bertadarus Al-Quran selepas selesai solat Tarawih.

Kami mengalu-alukan penyertaan semua ahli qariah untuk bersama-sama bertadarus disamping membetulkan bacaan masing-masing. Tidak ada apa yang lebih mulia selain mengisi masa dengan bacaan Al-Quran, kalam Allah, ayat-ayat Allah yang penuh keberkatan dan mukjizat. 

Marilah kita sama-sama menghayati erti Ramadhan yang sebenar, menjalani ibadah puasa dengan kadar yang terbaik, lebih baik dari tahun-tahun yang lalu, mungkin inikah Ramadhan kita yang terakhir, ambillah kesempatan yang Allah berikan ini dimana bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Bulan ini juga adalah bulan yang digalakkan amalan bersedekah, apatah lagi meraikan atau menjamu anak-anak yatim berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma.

Semoga kita semua memperolehi keberkatan dari Allah SWT dan dapat mengharungi cabaran Ramadhan dengan kesabaran. Insyallah

Saturday, July 14, 2012

Bagaimana mudahnya Myvi boleh jadi mangsa

 
Salam Sejahtera kepada semua ahli qariah dan juga pembaca blog yang setia. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan beberapa insiden kecurian kereta khususnya Perodua Myvi dan Viva. Kecurian ini dilakukan sebegitu licik tanpa diketahui oleh tuan punya kereta atau pun jiran tetangga, walhal kereta tersebut diletakkan betul-betul di halaman rumah.

Khusus untuk pemilik Myvi dan Viva, perasan tak bahawa jika kita membuka atau mengunci kereta menggunakan remote, kereta tersebut tidak mengeluarkan bunyi, hanya lampu signal yang berkelip, sekali bererti kunci dan 2 kali maknanya buka. Dan jika butang merah ditekan pada remote atau ada pintu yang tidak rapat ketika dikunci menggunakan remote, maka alarm atau penggera akan berbunyi. Tahukah anda bagaimana bunyinya? Sudah tentu Perodua direka menggunakan hon sebagai alat penggera dan hon tersebut pula dipasang di belakang bumper depan kereta dan boleh dicapai melalui tangan kita dari bawah bumper.

Oleh itu, modus operandi PENYANGAK atau pencuri ni sebagai langkah pertama ialah mencabut wayar pada hon tersebut, maka sudah tentu alarm tidak akan berbunyi jika pintu dibuka. Oleh itu PENYANGAK akan bermaharaja lela mengambil masa selama mana mungkin untuk cuba menghidupkan injin dengan memotong kunci utama. Operasi biasanya dilakukan antara jam 3- 4 pagi bila mana kita semua sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi.

Sebatang besi akan dimasukkan melalui bahagian atas pintu, iaitu 3 - 4 inci jaraknya dari bahagian atas cermin hadapan. Getah antara pintu dan body kereta akan ditarik keluar menggunakan cangkuk besi, maka akan terdapat ruang antara pintu dan body kereta. Ketika inilah sebatang besi yang panjang akan dimasukkan dan menolak kekunci pintu dari dalam. Pintu dengan senang dibuka tanpa diganggu oleh alat penggera yang bergantung penuh kepada hon.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pemilik Perodua dinasihatkan untuk memasang hon tambahan atau ganti saja dengan hon lain (Air-horn/BM horn) dan pasangkan pada bahagian dalam injin atau tempat yang sukar dicapai oleh tangan. Insyallah, alat penggera masih boleh berfungsi. Namun begitu kerja ini agak menyusahkan kita kerana mekanik terpaksa membuka bumper hadapan untuk membuat ubahsuai disamping berbelanja seratus-dua.

Setelah usaha dibuat, maka kita berserahlah pula kepada Allah SWT. Kepada Dia lah kita berserah dan berdoa agar semuanya selamat dan dalam penjagaannya. Wallahuwaklam.


Tn Hj Hamzah di Wad 420, Ampang Puteri

Assalamualaikum w.b.t. Adalah dengan dukacitanya, Bendahari kita, Tn Hj Hamzah telah disahkan menghidap Demam Denggi dan telah ditahan di wad 420, Hospital Ampang Puteri, jam 12:00 tgh tadi. Insyallah, marilah kita sama-sama berdoa agar beliau segera sembuh. Amin!!!

Wednesday, July 4, 2012

Pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi - Malam Nisfu Syaaban


"Apabila tiba bulan Sya`ban, ramai ummat Islam khususnya di Malaysia akan diberitahu oleh para imam dan ustadz-ustadz di masjid mengenai suatu hari yang dipanggil malam Nisfu Sya`ban. Yang mana beberapa kaifiat khusus biasanya diajar kepada masyarakat bagaimana menyambutnya. Mari kita baca apa nasihat dan pandangan ulama muktabar dunia Islam iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai sambutan Nisfu Sya`ban untuk sama-sama kita muhasabah mengenainya:

(1) Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

(2) Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”

Saturday, May 19, 2012

Alhamdulillah, Kelab Riadah Surau At-Tarbiyyah telah menaikkan taraf gelanggang dengan net yang baru, ketinggian mengikut ISO standard 2.43m.. terima kasih kepada semua ahli yang menyumbangkan tenaga dan keringat dari minggu lepas dan hari ini bagi memastikan kerja-kerja naiktaraf selesai.

Net dah baru, persekitaran pun dan ditebas rumput panjang, antena baru, tapi main masih tahap lama..hehee... yuran tu kenalah bayar tepat masa ya... itulah sahaja sumber kewangan kita untuk membeli bola, net dan keperluan asas lain seperti penyapu dan mop. 

Kepada ahli(beryuran) yang berkesempatan, bolehlah turun setiap hari bekerja mulai jam 6:10 ptg kecuali hari Isnin dan setiap hari Sabtu/Ahad dan Cuti Umum mulai jam 5:45ptg...  Aminnn...

Tuesday, April 10, 2012

Selamat Pengantin Baru Syukri & Balqis

Assalamualaikum w.b.t
Selamat Pengantin Baru kepada Syukri dan Balqis. Pada tanggal 7hb April 2012 yang lalu, telah berlangsungnya Majlis Perkahwinan anakanda kepada Imam Surau At-Tarbiyyah, Tn Hj Salleh Abdullah dan isteri Hjh Azizah Mohamad di kediaman mereka No 45, Jln Bukit Indah 1/6, Tmn Bkt Indah, Ampang.

Majlis berlangsung tepat jam 12:00 tgh, manakala pengantin diraikan pada jam 1:00 petang. Imam Tn Hj Radzuan telah sudi membacakan doa selamat sebaik pengantin tiba. Juadah yang dihidangkan ini disediakan oleh Faris Catering, Kg Pandan.

Majlis berakhir jam 4:00 petang. Semoga kedua-dua mempelai dapat mengharungi kehidupan berumahtangga dengan aman damai sehingga akhir hayat dan dikurniakan cahaya mata yang soleh dan solehah. Amin...

Kepada semua AJK yang bertugas pada hari tersebut, jutaan terima kasih semua dan memang anda yang terbaikkkkkk!!!

Sunday, April 1, 2012

Ust Ghazali Ibrahim TV9


Alhamdulillah. Syukur kehadrat Ilahi, dengan limpah kurniaNya, hari ini diberi kesempatan dan peluang untuk kita sama-sama mendengar taklimat mengenai Wasiat dan Kefahamannya Menurut Islam oleh Ust Ghazali Ibrahim.

Kita selalunya mengikuti kuliah Ust Ghazali melalui TV9, tetapi pada hari ini kita dapat mengikuti secara langsung kuliah dan wajah beliau bak kata Ust Ghazali, secara langsung melihat ceramah dan wajah beliau walaupun tidak disiar secara langsung oleh TV9.

Taklimat dibuka bicara oleh Ust Zamri selaku pengerusi majlis dan Tn Syed Salim selaku Pengerusi Surau At-Tarbiyyah telah memberi sepatah dua kata dalam ucapan aluan. Beliau meminta para jemaah agar memberi perhatian khusus mengenai wasiat ini yang mana terdapat banyak kemusykilan dan salah faham mengenai pembahagian harta dan sebagainya.

Tepat jam 10 pagi, majlis diserahkan kepada Ust Ghazali untuk memulakan kuliah. Beliau yang bersahaja dan sentiasa mencuit hati ahli jemaah telah memberi kuliah dengan baik mengenai takrif sebenar penama, wasiat, hibah, faraid dan sebagainya.

Pendek kata jika dilanjutkan kuliah ini hingga ke petang pun, masih banyak persoalan yang perlu dijawab oleh beliau. Terlalu luas ruang mengenai soal harta benda ini, apatah lagi jika dilengah-lengahkan soal pembahagian harta ke atas yang berhak ke atasnya.

Dibawah adalah beberapa keping gambar yang sempat dirakamkan oleh sukarelawan kita Tn Hj Shamlan. Semoga Allah memberkati usaha kita ini.

Insyallah.

Saturday, March 24, 2012

Ceramah Khas-Kepentingan Wasiat dan Kefahaman Dari Sudut Islam


Assalamualaikum w.b.t
Satu ceramah khas mengenai Kepentingan Wasiat dan Kefahaman Dari Sudut Islam akan diadakan di Surau At-Tarbiyyah, pada hari Ahad 1hb April 2012, bermula jam 09:30 pagi bertempat di Ruang Solat, Surau At-Tarbiyyah, Taman Bukit Indah, Ampang.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua ahli qariah. Ceramah ini akan disampaikan oleh Ustaz Ghazali Ibrahim yakni adik kepada Allahyarham Asri (Kumpulan Rabbani). Jamuan tengahari insyallah akan disediakan.

Marilah kita beramai-ramai menyertai program mengenai wasiat yang julung kalinya diadakan. Majlis dijangka tamat pada jam 12:30 tengahari.

Wallahuwaklam.

Friday, March 23, 2012

Semakan Daftar Ahli Qariah

Assalamualaikum w.b.t
Mesyuarat Agong Masjid Bukit Indah (MBI) akan diadakan pada 21hb April 2012 sempena Pemilihan AJK baru sesi 2012-2015. Sehubungan dengan itu ahli qariah diminta menyemak senarai nama ahli qariah yang akan ditampal di papan kenyataan Surau At-Tarbiyyah tidak lama lagi.

Mana-mana ahli qariah yang namanya tidak tersenarai, bolehlah mendapatkan borang pendaftaran ahli daripada Setiausaha atau Bendahari surau. Borang yang telah diisi perlulah dilampirkan bersama salinan kad pengenalan.

Terima kasih.

Friday, March 9, 2012

Terima Kasih YB Khasim ADUN Lembah Jaya

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.n.w dengan limpah kurnianya, kita masih diberi kesempatan menikmati udara segar, diberi ruang seketika untuk bernafas, menikmati hidup berkeluarga dan bermasyarakat.

Pada petang hari Ahad yang lalu 4hb Mac 2012, Adun lembah Jaya, YB Khasim Abdul Aziz dan rombongan beliau, telah turun ke Gelanggang Bola Tampar, Surau At-Tarbiyyah untuk beramah mesra.

Dalam keadaan cuaca yang panas terik, tidak ada seorang pun daripada ahli qariah yang perasan ketibaan YB, al-maklumlah masing-masing sibuk beriadah. Dengan masa yang singkat itu, YB sempat menghulurkan sebiji bola tampar sebagai hadiah kepada ahli qariah untuk tujuan beriadah.

Walaupun nilai sebiji bola tidaklah seberapa, namun inilah kali pertama ADUN turun menjenguk ahli qariah beriadah dan bertanya khabar. Kita ada membuat sedikit permohonan secara tak rasmi agar keadaan padang atau gelanggang bola tampar sediada dinaik taraf infrastrukturnya seperti pagar, ketiadaan saliran air yang baik dan bahan buangan kerja-kerja pembinaan yang dilambakkan disekitar kawasan padang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Mohon YB dapat pertimbangkan apa yang baik.

Kami mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada YB dan rombongan semoga khidmat turun padang ini diteruskan bagi memudahkan ahli qariah menyampaikan rungutan dan masalah.

wallahuwaklam....

Tuesday, March 6, 2012

Kerja Ubahsuai selesai

Alhamdulillah. Kerja-kerja naik taraf surau telah pun selesai. Semoga ahli qariah dapat menafaatnya dan terus mengimarahkan surau kita. Dilampirkan bersama ini beberapa gambar yang sempat dirakam ketika dan selepas ubahsuai.









Thursday, February 16, 2012

Rumah Rasulullah SAW

"Diriwayatkan dari Anas ra dia berkata, “saya masuk ke rumah Rasulullah SAW, waktu itu baginda sedang tiduran di ranjang dengan mengenakan selimut. Di atas kepalanya bantal yang terbuat dari kulit yang diisi serabut. Lalu, seorang sahabat masuk ke kamarnya yang diikuti oleh Umar. Rasulullah SAW membalikkan badannya sehingga Umar melihat baju Rasulullah SAW tersingkap antara punggung dan seprei , lantas ia melihat ada bekas-bekas pada punggung Rasulullah SAW. Umar menangis.

Lalu, Rasulullah SAW bertanya kepadanya, “apakah yang membuat kamu menangis?”

Umar menjawab , “demi Allah, saya menangis setelah mengetahui bahawa engkau lebih mulia dari raja-raja dan kaisar. Mereka hidup sesuai dengan kemahuan di dunia (mewah dan kaya). Sementara engkau adalah Rasulullah(utusan Allah). Seperti yang saya lihat, engkau tidur di tempat seperti ini (sangat sederhana).”

Rasulullah SAW lalu bertanya, “bukankah kamu suka kalau mereka mendapat kesenangan dunia sementara kita mendapat kesenangan akhirat?”.

Umar menjawab, “ tentu, wahai Rasul.”. Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi, “ Memang demikianlah adanya.” -(HADIS RIWAYAT AHMAD)-

Nabi kita adalah kekasih ALLAH, namun tak pernah punya rumah besar, apa yang ada cuma sebuah rumah yang terbahagi kepada ruang solat, ruang tamu, kamar Saidatina Fatimah Az-Zahra iaitu puteri bongsu baginda dan kamar Rasulullah sendiri.

Sementara rumah itu pula hanya beratap pelepah daun kurma bagi menghalang cahaya matahari daripada menembusi ruang dalam rumah. itu lah gambaran Rasulullah SAW yang dapat "tukanglawan" cari.

Dibawah ini adalah gambar replika binaan semula rumah berkenaan untuk renungan kita.

Diriwayatkan dari Aisyah ra, dia berkata, “Rasulullah SAW menghamparkan sebahagian tikar diwaktu malam dan baginda solat di atasnya. Baginda pun menghamparkan tikar itu disiang hari untuk tempat orang-orang duduk” -(HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI DAN AL-BAIHAQI)-

Dibawah ini pula kesan-kesan runtuhan rumah Baginda


Di atas ini gambar sisa runtuhan rumah Nabi Saw & Sayyidah Khadijah as yang dilihat lebih dekat.
.


Gambar di atas ini adalah runtuhan pintu masuk ke kamar Rasul Saw di rumah Sayyidah Khadijah as

.

Di atas ini adalah Gambar runtuhan tempat Sayyidah Fatimah as, puteri kesayangan Rasulullah Saw dilahirkan.
.


Gambar di atas adalah sisa runtuhan kamar Rasul Saw dan Sayyidah Khadijah as.
.


Di atas ini adalah gambar runtuhan mihrab tempat Rasulullah saw bersolat.

Jikalau nak dibandingkan dengan rumah umat2nya sekarang…jauh berbeza sangat, dan kadang-kala rumah yang dibina itu bukan sekadar tempat berteduh, mungkin tidak salah miliki rumah besar yang selesa untuk keluarga, rumah yang besar dijadikan aras tanda kedudukan, lebih malang lagi ia jadi tanda bermegah-megah.

Moga kita hidup dalam kesederhanaa, miliki rumah besar itu tak salah, tapi biar berpada-pada, kerana masih ada insan yang duduk dibawah jambatan, apakah anda pernah terfikir untuk membantu mereka

Artikel ini disiarkan dari ehsan siasahkini.blogspot dan tranungkite.net
Terima kasih kepada penulis asal artikel ini yang menafaatkan seluruh umat Muhammad SAW.

Friday, February 10, 2012

Mesyuarat Pengurusan AJK 2/2012

Assalamualaikum w.b.t

Satu mesyuarat Pengurusan AJK Surau At-Tarbiyyah akan diadakan pada hari Isnin, 13hb Feb 2012 bertempat di Bilik Mesyuarat Surau jam 08:00 malam. Semua AJK diminta hadir. Antara agenda yang akan dibincangkan ialah:

  1. Mengesahkan Minit Mesyuarat 1/2012
  2. Perkara berbangkit
  3. Laporan Kewangan 2011
  4. Laporan Tahunan 2011
  5. Penyusunan semula lajnah
  6. Perancangan Tahunan 2012
  7. Lain-lain hal

Thursday, January 19, 2012

Surau sedang dalam proses pembaikan

Assalamualaikum w.b.t
Bagi memberi keselesaan sebaik mungkin kepada para jemaah, pihak pengurusan Surau At-Tarbiyyah telah meluluskan projek membaiki tandas dan bilik air muslimin dan muslimat, merobohkan kolah dan tempat wuduk sediada, serta menjadikan kawasan tersebut sebagai laluan khas kepada muslimah sahaja.

Kawasan tersebut boleh dijadikan ruang solat dibulan Ramadhan jika keadaan memerlukan. Marmar atau "tiles" akan ditukar ganti dengan yang baru bagi memberi keselesaan dan imej baru surau kita.

Pihak pengurusan memohon maaf diatas kesulitan yang dihadapi oleh para jemaah bagi tempoh 3 minggu ini, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat yang kebiasaannya diadakan majlis tahlil dan bacaan yassin.

Insyallah, selepas ini surau kita akan berimej baru dan berharap memberi keselesaan kepada para jemaah. Harap maklum.