---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Wednesday, August 15, 2012

Majlis Khatam Al-Quran 1433H

Syukur kehadrat Allah SWT dengan izinNya, malam tadi 14hb Ogos 2012 bersamaan 25 Ramadhan 1433H, berlangsungnya Majlis Khatam Quran Surau At-Tarbiyyah, Taman Bukit Indah. Majlis bermula setelah selesai solat sunat Taraweh yang dipimpin oleh Imam Tn Hj Raduan dan Tn Hj Salleh.

Tn Hj Raduan pada ucapan aluannya, mengalu-alukan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang memandangkan betapa pentingnya Al-Quran bagi umat Islam yang mengaku dirinya seorang Islam. Tiada rahmat yang diperolehi selain daripada membaca dan memahami qalam Allah, apa juga yang ada didunia ini telah diterjemahkan oleh Al-Quran sejak azali lagi, malah ia dikaji oleh orang-orang bukan Islam kerana mengetahui kebenaranNya meskipun mereka tidak beriman.

Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas. Pada tahun ini penyertaan kaum ibu atau muslimah paling ramai iaitu hampir 36 orang. Syabas kita ucapkan pada kaum ibu yang begitu komited dalam bulan Ramadhan Al-Mubaraq ini.

Tidak  kurang juga penyertaan dari anak-anak, saban tahun peningkatan penyertaan mereka amatlah membanggakan. Bagi kaum bapa, seperti biasa penyertaan masih lagi ditakuk lama iaitu terhad kepada penyertaan tahun-tahun sebelumnya. Insyallah, adalah diharapkan, penyertaan tahun hadapan lebih memberangsangkan. 

Sumbangan kain pelikat dan wang raya telah disampaikan oleh Tn Hj Hamzah, Bendahari kita. Tidak ketinggalan saban tahun, sumbangan ikhlas oleh Tn Hj Abd Rahman kepada anak-anak yang menyertai Tadarus Al-Quran. Tahniah kepada semua yang mengambil bahagian, semoga amalan ikhlas kita diterima Allah dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Insyallah.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakam buat kenang-kenangan. Jazakallah















Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim NurHati dan Nurul Hasanah

 Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, Majlis Iftar bersama anak-anak yatim Nur Hati dan Rumah Kasih Nurul Hasanah telah selamat diadakan pada hari Ahad yang lalu 12hb Ogos 2012 bersamaan 23 Ramadhan 1433H, bertempat di Surau At-Tarbiyyah, Tmn Bukit Indah, Ampang.

Majlis bermula agak lewat pada jam 6:40 petang kerana kelewatan ketibaan anak-anak yatim yang diraikan, namun begitu majlis telah selamat dan sempurna dijalankan. Jumlah kesemua anak-anak yatim termasuk ibu tunggal dan OKU adalah berjumlah 65 orang, tetapi yang hadir lebih kurang 40 orang sahaja.

Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg Dato' Mohamad Nazir Meraslam yang telah sudi bersama-sama hadir sejak jam 6:00 ptg lagi. Sumbangan seterusnya disampaikan oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Ir Tn Syed Salim b Syed Abu Bakar.

Majlis telah dipengerusikan oleh Imam Tn Hj Raduan dan bacaan doa telah dibacakan oleh Imam Kol Amran. Dikesempatan majlis ini juga, tazkirah pendek telah disampaikan oleh YBhg Dato' Ir Hj Ghazali Omar.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma individu atau pun syarikat yang telah bersama-sama menjayakan Majlis Iftar bersama anak-anak yatim kali ini, semoga Allah sahajalah yang membalasnya. Insyallah.

Berikut adalah sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakam. Jazakallah.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


Sunday, August 12, 2012

Majlis Iftar bersama Anak-anak Yatim

Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah SWT, dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi diberi peluang untuk terus berada dibulan Ramadhan Al-Mubaraq ini yang hanya berbaki beberapa hari saja lagi. Bulan yang penuh keberkatan, rahmat dan dijauhkan dari api neraka.

Seperti kebiasaannya, Surau At-Tarbiyyah akan mengadakan Majlis Iftar bagi meraikan Anak-Anak Yatim Nur Hati dan Nurul Hasanah pada hari Ahad, 12hb Ogos 2012 di Surau At-Tarbiyyah bermula jam 6:00ptg. Mengikut maklumat yang diperolehi, seramai 70 orang anak-anak yatim akan diraikan bersama esok.

Majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim bagi meringankan beban mereka juga akan diadakan disamping berbuka bersama mereka. Kepada semua ahli qariah yang berkelapangan, sukacitanya dijemput bersama-sama bagi meraikan mereka semua.

Sekian

Sunday, August 5, 2012

Wakaf Saham


Assalamualaikum w.b.t. Pihak pengurusan surau dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor akan membuka kaunter di Surau At-Tarbiyyah pada 6hb Ogos 2012, hari Isnin, bermula jam 7:00 ptg sehingga jam 11:00 malam bagi memberi peluang kepada ahli jemaah sekian, menginfaqkan sedikit dana dalam bentuk saham wakaf.

Bersama-samalah kita mengambil bahagian dalam skim ini. Terima kasih.

Friday, July 20, 2012

Ahlan Wasahlan Ramadhan

Assalamualaikum w.b.t
Bersyukur kita kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, diberi rezeki dan umur kepada kita semua untuk bertemu bulan Ramadhan Al-Mubaraq yang penuh keberkatan. Malam ini akan bermulalah Solat Tarawih berjemaah disurau-surau dan masjid seluruh negara.

Begitu juga dengan Surau At-Tarbiyyah, persiapan telah pun diatur menjelang Ramadhan kali ini. Mulai petang semalam, ahli qariah telah diimamkan oleh imam jemputan kita, anak-anak tahfiz sekolah pondok dari Pattani, Selatan Thailand.

Dalam usia yang muda 18 dan 20 tahun, mereka sanggup ke Kuala Lumpur semata-mata memenuhi jemputan kita untuk bersama-sama ahli qariah bersolat Tarawih. Mulai malam tadi, mereka telah pun memulakan tugas sebagai Imam untuk solat maghrib dan Isyak, serta subuh hari ini. 

Insyallah, mereka akan mengimami Solat Tarawih kita pada kali ini. Bersama-samalah kita memenuhi ruang solat seawal masuk waktu Isyak untuk bersama-sama mengerjakan solat sunat Tarawih, bertazkirah, bertahlil dan seterusnya bertadarus Al-Quran selepas selesai solat Tarawih.

Kami mengalu-alukan penyertaan semua ahli qariah untuk bersama-sama bertadarus disamping membetulkan bacaan masing-masing. Tidak ada apa yang lebih mulia selain mengisi masa dengan bacaan Al-Quran, kalam Allah, ayat-ayat Allah yang penuh keberkatan dan mukjizat. 

Marilah kita sama-sama menghayati erti Ramadhan yang sebenar, menjalani ibadah puasa dengan kadar yang terbaik, lebih baik dari tahun-tahun yang lalu, mungkin inikah Ramadhan kita yang terakhir, ambillah kesempatan yang Allah berikan ini dimana bulan yang lebih baik dari seribu bulan.

Bulan ini juga adalah bulan yang digalakkan amalan bersedekah, apatah lagi meraikan atau menjamu anak-anak yatim berbuka puasa walaupun hanya sebiji kurma.

Semoga kita semua memperolehi keberkatan dari Allah SWT dan dapat mengharungi cabaran Ramadhan dengan kesabaran. Insyallah

Saturday, July 14, 2012

Bagaimana mudahnya Myvi boleh jadi mangsa

 
Salam Sejahtera kepada semua ahli qariah dan juga pembaca blog yang setia. Akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan beberapa insiden kecurian kereta khususnya Perodua Myvi dan Viva. Kecurian ini dilakukan sebegitu licik tanpa diketahui oleh tuan punya kereta atau pun jiran tetangga, walhal kereta tersebut diletakkan betul-betul di halaman rumah.

Khusus untuk pemilik Myvi dan Viva, perasan tak bahawa jika kita membuka atau mengunci kereta menggunakan remote, kereta tersebut tidak mengeluarkan bunyi, hanya lampu signal yang berkelip, sekali bererti kunci dan 2 kali maknanya buka. Dan jika butang merah ditekan pada remote atau ada pintu yang tidak rapat ketika dikunci menggunakan remote, maka alarm atau penggera akan berbunyi. Tahukah anda bagaimana bunyinya? Sudah tentu Perodua direka menggunakan hon sebagai alat penggera dan hon tersebut pula dipasang di belakang bumper depan kereta dan boleh dicapai melalui tangan kita dari bawah bumper.

Oleh itu, modus operandi PENYANGAK atau pencuri ni sebagai langkah pertama ialah mencabut wayar pada hon tersebut, maka sudah tentu alarm tidak akan berbunyi jika pintu dibuka. Oleh itu PENYANGAK akan bermaharaja lela mengambil masa selama mana mungkin untuk cuba menghidupkan injin dengan memotong kunci utama. Operasi biasanya dilakukan antara jam 3- 4 pagi bila mana kita semua sedang nyenyak tidur dan dibuai mimpi.

Sebatang besi akan dimasukkan melalui bahagian atas pintu, iaitu 3 - 4 inci jaraknya dari bahagian atas cermin hadapan. Getah antara pintu dan body kereta akan ditarik keluar menggunakan cangkuk besi, maka akan terdapat ruang antara pintu dan body kereta. Ketika inilah sebatang besi yang panjang akan dimasukkan dan menolak kekunci pintu dari dalam. Pintu dengan senang dibuka tanpa diganggu oleh alat penggera yang bergantung penuh kepada hon.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pemilik Perodua dinasihatkan untuk memasang hon tambahan atau ganti saja dengan hon lain (Air-horn/BM horn) dan pasangkan pada bahagian dalam injin atau tempat yang sukar dicapai oleh tangan. Insyallah, alat penggera masih boleh berfungsi. Namun begitu kerja ini agak menyusahkan kita kerana mekanik terpaksa membuka bumper hadapan untuk membuat ubahsuai disamping berbelanja seratus-dua.

Setelah usaha dibuat, maka kita berserahlah pula kepada Allah SWT. Kepada Dia lah kita berserah dan berdoa agar semuanya selamat dan dalam penjagaannya. Wallahuwaklam.


Tn Hj Hamzah di Wad 420, Ampang Puteri

Assalamualaikum w.b.t. Adalah dengan dukacitanya, Bendahari kita, Tn Hj Hamzah telah disahkan menghidap Demam Denggi dan telah ditahan di wad 420, Hospital Ampang Puteri, jam 12:00 tgh tadi. Insyallah, marilah kita sama-sama berdoa agar beliau segera sembuh. Amin!!!

Wednesday, July 4, 2012

Pandangan Dr Yusuf al-Qaradawi - Malam Nisfu Syaaban


"Apabila tiba bulan Sya`ban, ramai ummat Islam khususnya di Malaysia akan diberitahu oleh para imam dan ustadz-ustadz di masjid mengenai suatu hari yang dipanggil malam Nisfu Sya`ban. Yang mana beberapa kaifiat khusus biasanya diajar kepada masyarakat bagaimana menyambutnya. Mari kita baca apa nasihat dan pandangan ulama muktabar dunia Islam iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai sambutan Nisfu Sya`ban untuk sama-sama kita muhasabah mengenainya:

(1) Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Sya`ban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka.”

(Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut)

(2) Dr. Yusuf al-Qaradawi:

“(Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban, sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi saw hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah).

(Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya).”

Saturday, May 19, 2012

Alhamdulillah, Kelab Riadah Surau At-Tarbiyyah telah menaikkan taraf gelanggang dengan net yang baru, ketinggian mengikut ISO standard 2.43m.. terima kasih kepada semua ahli yang menyumbangkan tenaga dan keringat dari minggu lepas dan hari ini bagi memastikan kerja-kerja naiktaraf selesai.

Net dah baru, persekitaran pun dan ditebas rumput panjang, antena baru, tapi main masih tahap lama..hehee... yuran tu kenalah bayar tepat masa ya... itulah sahaja sumber kewangan kita untuk membeli bola, net dan keperluan asas lain seperti penyapu dan mop. 

Kepada ahli(beryuran) yang berkesempatan, bolehlah turun setiap hari bekerja mulai jam 6:10 ptg kecuali hari Isnin dan setiap hari Sabtu/Ahad dan Cuti Umum mulai jam 5:45ptg...  Aminnn...