Firman Allah s.n.w, "Hai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain dan janganlah pula kamu memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk.
Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) nama fasik sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan yang fasik), maka mereka itulah orang-orang yang zalim." (Surah al-Hujuraat [049], ayat 11)
Ayat ini menceritakan keadaan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang bernama Thabit ibnu Qais ibnu Syammas. Beliau merupakan seorang yang pekak dan tuli. Walau bagaimanapun, beliau suka menghadiri ceramah-ceramah agama yang diadakan oleh Rasulullah SAW.
Setiap kali beliau hadir majlis ilmu tersebut, para sahabat yang lain akan memberikannya tempat duduk berdekatan dengan Rasulullah s.a.w supaya pendengarannya akan lebih jelas dan nyata. Dia juga dapat mendengar dengan lebih baik setiap apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.
Pada suatu hari, ketika beliau sampai di masjid, tempat yang biasa didudukinya telah diambil oleh orang lain. Beliau pun melangkah selangkah demi selangkah untuk sampai ke hadapan. Walau bagaimanapun langkahan kakinya tidak disukai oleh orang ramai kerana beliau melangkah di atas belakang dan kepala jemaah di dalam masjid.
Ketika beliau melangkah, beliau berkata, "Lapangkanlah, lapangkanlah, berilah aku ruang."
Walaupun begitu, kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh orang ramai. Beliau pun meneruskan lagi langkahnya sehinggalah sampai ke hadapan, kemudian beliau pun duduk.
Walaupun begitu, kata-katanya tidak diendahkan langsung oleh orang ramai. Beliau pun meneruskan lagi langkahnya sehinggalah sampai ke hadapan, kemudian beliau pun duduk.
Apabila beliau duduk, berkatalah lelaki di sebelahnya, "Ini tempat aku dan aku lebih berhak untuk duduk di situ." Thabit tidak mempedulikan kata-kata lelaki tadi. Beliau pun bertanya lelaki tadi, "Siapa kamu ini?"
Jawab lelaki itu, "Si anu anak kepada si anu." Thabit berasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Beliau pun bertanya lagi sambil menyebut nama ibu lelaki itu dengan panggilan yang memalukan di zaman jahiliah.
"Kamu anak kepada perempuan si anu binti si anukah?" Apabila mendengar pertanyaan Thabit tadi, lelaki itupun tertunduk malu. Dia malu kerana gelaran itu amat mengaibkan ibunya.
Selepas kejadian itu, maka turunlah ayat ini, ayat 11 surah al-Hujurat.
Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi pula, pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang lelaki yang mempunyai dua atau tiga nama gelaran. Orang ramai biasanya memanggil nama lelaki itu dengan nama gelaran yang ketiga. Lelaki tersebut tidak menyukai jolokan itu.
Sehubungan dengan itu, turunlah ayat tersebut di atas. Rasulullah s.a.w lalu membacakan ayat tersebut. Baginda melarang umat Islam memanggil seseorang lain dengan nama gelaran yang tidak elok.
Pengajaran
Jangan sesekali memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak disukai olehnya.
Informasi
SINGA Allah dan Singa Rasul adalah gelaran agung yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w kepada Hamzah bin Abdul Muttalib. Pada zaman Rasulullah, memang terdapat gelaran-gelaran yang diberikan baginda kepada para sahabatnya.
Contohnya:
- Abu Hurairah (Bapa Kucing) diberikan kepada Abdul Rahman Bin Saqr
- Humairah (Pipi Merah) diberikan kepada Siti Aisyah
- Asadullah (Singa Allah) diberikan kepada Hamzah Abdul Muttalib
- Saifullah (pedang Allah) diberikan kepada Khalid al-Walid.
Semua gelaran di atas bukan bertujuan menghina tetapi menunjukkan rapatnya hubungan Rasulullah s.a.w dengan mereka.
Firman Allah s.n.w, "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai..." (Surah Al-A'raaf [07], ayat 179)
No comments:
Post a Comment