عَنْ أَبِي سَعِيدٍ وَأَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُمَا سَمِعَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ وَصَبٍ وَلَا نَصَبٍ وَلَا سَقَمٍ وَلَا حَزَنٍ حَتَّى الْهَمِّ يُهَمُّهُ إِلَّا كُفِّرَ بِهِ مِنْ سَيِّئَاتِهِ
Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawasanya kedua-duanya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Mukmin ditimpa penyakit yang berpanjangan, keletihan, kesakitan, kesedihan, bahkan keresahan yang merunsingkannya, melainkan dengannya dihapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya. (HR Muslim No: 4670) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Musibah berbentuk penyakit, keletihan, kesedihan dan keresahan yang dilalui oleh seseorang adalah ujian daripada Allah untuk hambanya.
2. Setiap Mukmin hendaklah bersangka baik kepada Allah ketika ditimpa ujian seperti sakit, letih, sedih juga gelisah.
3. Setiap ujian berbentuk penyakit, keletihan, kesusahan, kesedihan dan keresahan yang menimpa mukmin, akan menjadi penghapus dosa-dosanya.
4. Sabar menghadapi setiap ujian juga musibah akan menambah nilai kehidupan. Musibah menjadi kaffarah (penghapus dosa), sementara sabar dan redha membawa ganjaran pahala dan peningkatan darjat.
5. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan segala jenis kesakitan dan musibah yang menimpa seorang Muslim menjadi sebab penghapusan dosa, termasuk perkara yang kecil.
6. Ujian sepatutnya mendekatkan seseorang kepada Allah. Gunakan waktu sakit untuk memperbanyakkan doa, istighfar, zikir dan muhasabah mengikut kemampuan.