---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Wednesday, September 10, 2008

Hadis 24

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Apabila salah seorang kamu lupa bahawa dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya dia telah diberi makan dan minum oleh Allah s.w.t"
Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim

Tuesday, September 9, 2008

Hadis 23

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka".

Monday, September 8, 2008

Hadis 22

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Semua amal anak Adam a.s dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekalian."

Hadis Riwayat: Muslim

Saturday, September 6, 2008

Imam Sharif Kembali Kerahmatullah

Tanggal 6hb September 2008, Imam Hj Mohd Sharif bin Mohd Yusof yang dikasihi telah kembali kerahmatullah. Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kosas jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, setelah selesai solat subuh, para jemaah surau At-Tarbiyyah telah berkunjung ke rumah Allahyarham bagi melaksanakan tahlil arwah. Jam 7.30 pagi, jenazah telah dibawa ke Masjid Bukit Indah.

Lebih kurang jam 9.00 pagi jenazah mula dimandikan dan dikafankan diketuai oleh Tn Hj Hussin, bilal Masjid Bukit Indah. Sanak saudara Allahyarham dari jauh dan dekat turut bersama-sama para jemaah menunaikan solat jenazah yang dipimpin oleh Lef.Kol Hj Amran, imam Surau At-Tarbiyyah.

Jenazah terus dibawa ke Tanah Perkuburan Kosas untuk pengkebumian. Alhamdulillah, semua kerja-kerja pengkebumian berjalan lancar dan cepat dengan ihsan Datuk Hj Mohd Nazir Merassalam, yang telah menggunakan jentera "backhoe" milik syarikatnya MNM, bagi menolak tanah yang agak lembab kerana hujan yang turun agak lebat petang semalam.

Hujan gerimis, hujan rahmat turun sebaik sahaja selesai kerja-kerja pengkebumian. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang beriman dan solehin. AMIN.
Al-Fatihah

Thursday, September 4, 2008

Penerbangan

Apabila kita akan berangkat dari alam dunia ini, ianya ibarat satu penerbangan ke sebuah negara lain iaitu Negara Kubur dan Akhirat. Di mana maklumat tentangnya tidak terdapat dalam sebarang "brochures" penerbangan, tetapi melalui Al-Quran dan Al-Hadith.

Di mana penerbangan bukannya melalui Air-Asia, MAS atau SIA, tetapi Al-Jenazah. Di mana bekalan kita bukan lagi beg seberat 23 kg, tetapi amalan yang tiada caj lebihan berat, tetapi caj lebihan berat adalah atas kesudian Pencipta kita, Allah s.n.w.
Di mana bajunya bukan Pierre Cardin, Dunhill, Polo atau setaraf dengannya tetapi hanyalah kain kapas putih. Di mana pewanginya bukan Channel, Ferrari atau Drakka, tetapi air mawar dan cendana.

Di mana paspot kita bukan Malaysia, British atau American, tetapi Al-Islam, dimana visa kita bukan lagi sekadar 6 bulan, tetapi selama-lamanya. Di mana pelayannya bukan pramugari jelita, tetapi Izrail dan lain-lain.

Di mana layanan di dalamnya bukan lagi kelas bisnes atau ekonomi, tetapi sekadar kain putih yang diwangikan. Di mana destinasi mendarat bukannya KLIA, Heathrow Airport atau Jeddah International, tetapi Tanah Perkuburan.

Di mana ruang menunggunya bukan lagi bilik air-cond dan berkarpet merah, tetapi bilik sepanjang 6 kaki dan lebarnya 3 kaki dalam gelap gelita. Di mana pegawai imegrisen bukanlah pihak Kastam, tetapi adalah malaikat Munkar dan Nakir.

Mereka hanya memeriksa samada kita layak ke destinasi yang di idamkan, tetapi bukanlah Disneyland, Paris atau London tetapi samada Syurga atau Neraka.

Di mana tidak perlu pegawai kastam dan alat pengimbas. Di mana lapangan terbang transit adalah Al-Barzakh. Dimana destinasi terakhir samada Syurga yang mengalir sungai di bawah nya atau Neraka Jahannam.

Usah gundah dan gulana. Penerbangan ini tidak dinyatakan nilainya.. Ianya percuma, jadi simpanan anda tidak akan dihabiskan. Penerbangan ini tidak akan dirampas, oleh itu anda tidak perlu khuatir.

Sebarang sajian tidak akan disediakan, oleh itu tak perlu risaukan masalah alergi atau halal-haram makanan. Jangan risaukan kelewatan. Penerbangan ini sentiasa tepat waktunya, ia berangkat dan tiba tepat pada masanya.

Jangan fikirkan tentang hiburan dalam penerbangan, anda telah hilang selera bersuka-ria. Jangan bimbang tentang tempahan, ianya telah siap ditempah sejak anda disenyawakan di dalam rahim ibu anda lagi.

Jangan bimbangkan siapa yang duduk di sebelah anda. Anda adalah satu-satunya penumpang penerbangan ini. Oleh itu ingatlah 5 perkara, muda sebelum datangnya tua, sihat sebelum datangnya sakit, lapang sebelum datangnya sempit, kaya sebelum datangnya miskin dan hidup sebelum datangnya mati.

INGATLAH!! Penerbangan ini datang tanpa AMARAN. Nama anda telah ditempah untuk penerbangan ini.

ADAKAH KITA TELAH BERSEDIA UNTUK BERANGKAT?

SUDAH KAH ANDA BERSEDIA UNTUK PENERBANGAN INI????

Wednesday, September 3, 2008

Hadis 21

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, "Sesiapa pun yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tindakan jahat pada bulan Ramadhan, Allah tidak akan memperkenan puasanya"

Tuesday, September 2, 2008

Memori 1 Ramadhan di At-Tarbiyyah

Ramadhan telah tiba!! Bulan yang mulia, bulan yang penuh keampunan dan rahmat. Seperti biasa, surau dan masjid menjadi tumpuan muslimin dan muslimat mengerjakan solat tarawih. Tidak ketinggalan juga Surau At-Tarbiyyah. 2 minggu berturut-turut sesi gotong royong diadakan bagi membersih dan mencantikkan surau bagi menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubaraq. Lampu neon dipasang sekeliling surau mengindahkan lagi suasana malam Ramadhan.

Pengerusi, Ir Tn Hj Syed Salim mengambil masa 5 minit bagi menyampaikan taklimat ringkas aktiviti surau kepada ahli jemaah. Menurut beliau, pihak surau telah membelanjakan lebih kurang RM40,000 bagi menaiktaraf kemudahan surau seperti penambahan penghawa dingin, penukaran karpet baru, dinding surau dicat baru, langsir tabir muslimah juga berwajah baru, atap yang usang ditukar, sistem pembesar suara dibaikpulih, kabinet quran dan kitab dibuat baru dengan sinaran lampu dalam yang indah dan persekitaran yang bersih.

Pengerusi dengan sinis menunjukkan almari kiri yang masih kosong, mengalu-alukan para jemaah yang ingin menginfaqkan kitab Al-Quran atau apa sahaja bahan bacaan. Seperti biasa tarawih akan dibuat sebanyak 8 rakaat sahaja dikuti dengan 3 rakaat 2 salam sembahyang witir. Selesai solat witir, tahlil arwah akan diadakan setiap malam dan para jemaah boleh memberikan nama-nama arwah kepada bendahari melalui borang yang diedarkan.

Sambutan para jemaah amat menggalakkan dan memenuhi
semua saf, lebih-lebih lagi dengan suasana sejuk belaian
penghawa dingin yang baru.

Bab ni memang tak boleh tinggal. Para jemaah bersama Pengerusi dan AJK sedang menikmati jamuan "more". Malam pertama "more" para jemaah dihidangkan roti canai sahaja.... kata bendahari "Malam pertama tak payah berat-berat...". Bab ni memang bendahari guna kuasa veto.


Setelah selesai jamuan "more", aktiviti tadarus Quran diteruskan dengan 3-4 orang satu kumpulan. Anak-anak juga tidak ketinggalan mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran. Semoga Ramadhan tahun ini, digunakan sebaiknya oleh para jemaah dengan mempertingkatkan amal ibadah dan amal jariah.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
Allahuakbar!

Friday, August 29, 2008

Hadis 20



Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Siapa pada suatau malam dia mengalami kesakitan dimana dia bersabar dan redha kepada ketentuan Allah s.w.t maka, terkeluarlah dia daripada dosa-dosanya seperti keadaan dikala dia dilahirkan ibunya"
Hadis Riwayat: Al-Hakim

Wednesday, August 27, 2008

Hadis 19



Nabi Muhammad s.aw pernah bersabda: "janganlah engkau nikahi orang-orang yang masih berkerabat kerana anak dicipta laksana cahaya. Carilah wanita-wanita yang jauh dan janganlah engkau memilih yang dekat hubungannya."

Hadis Riwayat: Ahmad, Malik dan An-Nasai

Tuesday, August 26, 2008

Hadis 18


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, "Orang yang merawat seorang janda atau seorang miskin adalah seperti mujahid (orang yang berjihad) di jalan Allah, atau seperti orang yang mengerjakan solat sepanjang malam dan berpuasa sehari penuh"

Monday, August 25, 2008

Hadis 17



Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah berkata yang baik atau berdiam diri, Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari AKhirat, hendaklah berbuat baik kepada jiran tetangganya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah menghormati tetamunya."

Friday, August 22, 2008

Hadis 16



"Dari satu umrah ke umrah yang lain, adalah sebagai penebus dosa. Diantara dua itu dan haji mabrur tidak lain ganjarannya adalah syurga"

Hadis Riwayat: Mutaffaq Alaih

Friday, August 15, 2008

Nisfu Syaaban

Kebesaran hari ini diterangkan oleh Rasulullah s.a.w, "Malaikat Jibril mendatangiku pada malam Nisfu (15) Syaaban, seraya berkata "Hai Muhammad, malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka. Bangunlah dan solatlah, angkat kepalamu dan tadahkan dua tanganmu ke langit, "Rasulullah s.a.w bertanya, "Mengapa malam ni , Jibril?" Jibril menjawab, "Malam ini dibuka 300 pintu rahmat.
Tuhan mengampuni segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, kecuali tukang sihir, tukang nujum, orang bermusuhan, orang yang terus-menerus minum khamar (arak atau minuman keras), terus menerus berzina, makan riba, derhaka kepada ibubapa, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan silatulrahim.

Tuhan tidak mengampuni mereka sampai mereka bertaubat dan meninggalkan kejahatan itu"

Rasulullah pun keluar, lalu mengerjakan solat (sendirian) dan menangis dalam sujudnya, seraya berdoa, "Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari azab dan seksaMu, serta dari kemurkaanMu. Tiada kubatasi puji-pujian kepadaMu sebagaimana engkau telah memuji diriMu. Maka bagiMulah segala puji-pujian itu sehingga engkau rela."

Hadis Riwayat Abu Hurairah. Oleh itu malam tersebut sangat baik untuk beribadah dan memohon keampunan dari Allah s.n.w.

Wednesday, August 13, 2008

Hadis 15


"Orang yang menanggung anak yatim adalah seperti dua ini (jari telunjuk dan jari tengah) di syurga antara aku dan dia"

Hadis Riwayat: Muslim


"Barangsiapa mendidik dua anak perempuannya dan mencukupi keperluannya sehingga mereka baligh, maka aku dan dia pada hari Qiamat seperti ini (sambil menunjukkan dua jarinya)"

Hadis Riwayat: Muslim

Tuesday, August 12, 2008

Hadis 14


"Al-Quran adalah pemberi syafaat, hujah yang benar. Barangsiapa yang menjadikan Al-Quran sebagtai anutannya, maka ia akan menuntutnya ke Syurga, dan barangsiapa berpaling daripadanya, maka ia akan mengiringinya ke Neraka"