---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Monday, March 9, 2009

Majlis Maulidur Rasul


Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
  1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang.
  2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi s.a.w diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi s.a.w berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  3. Wafatnya junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

Pada hari ini 9hb Mac 2009 bersamaan 12 Rabiulawal 1430H, bertempat di Perkarangan Masjid Bukit Indah, telah berlangsung perarakan Maulidurrasul dengan meriah sekali. Seawal 7:30 pagi, program ini disertai oleh qariah Surau Insaniah, Surau Al-Huda, Surau Ulul Azmi, Surau Tiara, murid-murid dan guru Sek Men Bukit Indah, Sek Ren Bukit Indah, Sek Seri Ilmi dan sudah semestinya Surau At-Tarbiyyah.


Taklimat ringkas disampaikan oleh Pegawai-pegawai Masjid Bukit Indah. Perbarisan dimulakan tepat jam 8:15 pagi. Lihatlah betapa segaknya Pasukan Surau At-Tarbiyyah berarak sambil berselawat.

Dipertengahan perarakan, hujan rahmat telah turun membasahi semua peserta, namun mereka tetap bersemangat tanpa berganjak. Jauhnya perarakan adalah dalam lingkungan 2.2 Km. Hujan bertambah lebat apabila jemaah Surau At-Tarbiyyah menghampiri pintu utama Masjid Bukit Indah. Basah kuyup masing-masing, tetapi tetap berselawat.

Lebih kurang jam 9:00 pagi, semua peserta telah memenuhi ruang dalam Masjid Bukit Indah untuk acara berzanji dan berselawat bagi Majlis Bercukur Rambut bayi anak qariah masjid. Pegawai Masjid telah mengambil kesempatan mengumumkan Juara Pearakan tahun ini adalah Surau Insaniah, tempat kedua Sek Seri Ilmi dan tempat ketiga Persatuan Silat, Sek men Bukit Indah.

Tepat jam 10:00 pagi seperti yang dijanjikan, Y Bhg Dato' Ismail Kamus tiba bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk "Ketaatan Kepada Rasulullah s.a.w.". Dengan gaya yang tersendiri, Dato' Ismail Kamus berjaya memukau para jemaah dengan ceramahnya sambil menyelitkan unsur-unsur jenaka.

Di antara gambar-gambar yang sempat difokus :

Thursday, March 5, 2009

Pertandingan Hafazan - Tahniah Fathy Nabila Najla

Pada hari Jumaat yang lalu, 27hb Feb 2009 bertempat di Masjid As-Sobirin, Taman Permata, Hulu Kelang, telah berlangsung Majlis Pertandingan Hafazan Negeri Selangor bagi Peringkat Daerah Gombak.

Pertandingan dibahagikan kepada 3 kategori iaitu dari Juz 1 - 5, Juz 1 -15 dan Juz 1 - 30. Masjid Bukit Indah telah diwakili oleh Sdri Fathy Nabila Najla binti M Fuad bagi kategori Juz 1 - 15. Beliau merupakan anak sulong kepada Sdr M Fuad, berusia 19 tahun, yang sedang menuntut di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu dibawah tajaan JAKIM dalam semester akhir.

Mula menghafal Quran sejak Tahun 1, di Sekolah Rendah Islam Al-Amin, Kuala Lumpur. Menceburi hafazan Quran secara bertasmiq dengan ustaz yang bertauliah secara intensif mulai Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak sehingga berjaya menghafal 11 Juz dalam Tingkatan 5.


Alhamdulillah, beliau berjaya menduduki tempat kedua dalam pertandingan tersebut. Walaupun sedikit kecewa tetapi kita tetap berbangga dengan pencapaian beliau sebagai wakil dari Masjid Bukit Indah, Ampang.





Tempat pertama disandang oleh teman rapat beliau sejak dibangku Sekolah Ren Islam Al-Amin dan Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak, Sdri Adibah bt Paiman, juga sedang melanjutkan pelajaran di Darul Quran, Kuala Kubu. Persahabatan mereka ibarat isi dan kuku.


Tahniah kita ucapkan di atas kejayaan mereka berdua dalam usaha menghafal ayat-ayat Allah s.n.w. Walaupun ganjaran wang ringgit tidak sehebat Akademi Fantasia, One in One Million dan apa saja rancangan hiburan yang dipertandingkan, namun kita percaya inilah satu usaha yang murni yang patut digalakkan dikalangan anak-anak kita malahan kita sendiri.
Insyallah

Monday, March 2, 2009

Hutang

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramainya peminjam-peminjam yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta, syarikat mereka, ada juga yang lebih rela di gelar muflis asalkan tidak perlu membayar jumlah hutangnya yang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi ia pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.

Minggu ini, sama-sama kita mempelajari pandangan Islam dalam hal hutang ini. Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-


يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين


Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad s.a.w :


من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله


Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Rasulullah s.a.w juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :


هم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"



Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhar, 1/214 )

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain :

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, "Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ", "Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa aktiviti berhutang ini adalah kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh. Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan, ia seperti berikut :-

a) KAD KREDIT : Jauhkan diri dari menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang begitu hampir dengan kad kredit, ia juga amat menggalakan hutang secara berlebihan. Malah jika seseorang ingin menggunakannya, adalah amat di nasihatkan agar digunakan untuk memudahkan urusan di saat-saat yang benar-benar terdesak. Selain itu, adalah lebih baik juga menggunakan "Charge Card" atau "Debit Card" sahaja. Jauhkan diri dari ketagihan penggunaan kad kredit.

b) PINJAMAN PERIBADI : Ini satu lagi jenis produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu di sedari bahawa seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah di haramkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma, hari ini, terdapat beberapa Bank Islam dan perbankan Islam yang menawarkan Pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam. Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep "bai inah" ( jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat kontroversi dan di tolak oleh kebanyakan ulama timur tengah, bagaimanapun ianya di terima oleh ulama Malaysia dan Brunei. Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang di kenakan adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak juga perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

c) PERUMAHAN DAN KERETA : dua item ini mungkin keperluan yang asas bagi kebanyakkan individu. Bagi saya, seeloknya, hutang peribadi kita eloknya di hadkan kepada dua jenis ini sahaja. Itupun , mestilah menilai kemampuan kewangan dengan sebaiknya agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haramnya oleh seluruh ulama dunia.


d) UMRAH DAN HAJI SUNAT (KALI KEDUA): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanyalah sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami ‘priority' atau "awlawiyyat" di dalam pengendalian wang peribadi. Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukan untuk ke umrah dan Haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya untuk disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi yang bertimbun-timbun itu. Malangnya, ketidakfahaman kebanyakan umat islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.


Wallahuwaklam.

Sumbangan:

Oleh :
Ust Zaharuddin Hj Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Friday, February 27, 2009

Asal usul solat dan pengertian

SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan Dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama :- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua :- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s.,iaitu tatkala Allah s.n.w. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
Rakaat pertama :- Bersyukur bagi penebusan .
Rakaat kedua :- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya Dan juga anaknya .
Rakaat ketiga :- Bersyukur Dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat :- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama :- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua :- Kelam dengan air laut .
Rakaat ketiga :- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat :- Kelam dengan perut ikan Nun .

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan Dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
Rakaat pertama :- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua :- Untuk menafikan tuduhan Dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga :- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama :- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua :- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga :- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat :- Dukacita terhadap anak Firaun .

Pengertian Doa Iftitah
Allah Maha Besar Dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah:
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang Maha pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai Hari Pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah Dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai Dan bukan jalan mereka yang sesat.
Bacaan ketika rukuk:
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Agong Dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk:
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika sujud:
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi Dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud:
Ya Allah, ampunilah daku, rahmatilah daku, kayakan daku, angkatlah darjatku,rezekikan daku, berilah aku hidayah, sihatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal:
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir(Sambungan Tahiyat Awal) :
.... Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut:
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya .

Alangkah Maha Pemurahnya Allah, setiap perbuatan dalam sembahyang sentiasa memuji Allah dan diiringi doa. Tanpa kita sedari kita memuji dan mohon kepada Allah 17 kali berulang kali, belum termasuk solat sunat. Bayangkan jika kita tidak sembahyang, kita adalah orang-orang yang rugi. Kadang-kadang kita solat seperti mana Rasulullah solat, tetapi kita tidak rasa apa-apa nikmat melalui solat, mungkin juga kita tidak mengerti makna setiap bacaan dalam solat.

Jika kita amat-amati pengertian setiap bacaan atau lafaz dalam solat, mungkin kita akan lebih rendah diri, rasa begitu kerdil berhadapan Allah s.n.w. Jika benar kita memahaminya, kenapa diluar solat kita menjadi liar, riak, takabbur, mengingkari perintah Allah, membuat maksiat, melanggar hukum-hukum Allah, memperlekehkan kekasih Allah, mempersendakan hukum Allah dan sebagainya. Sedangkan solat itu menjadi penghalang kemungkaran. Dimana silapnya? Fikir-fikir dan hisablah!


Wallahuwaklam.

Thursday, February 26, 2009

Tuntutan Solat Fardu

قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم

من ترك صلاة الصبح فليس في وجهه نور و من ترك صلاة الظهر فليس في رزقه
Siapa yang meninggalkan solat subuh tiadalah padanya NUR di wajahnya dan siapa yang meninggalkan solat zohor tiadalah padanya rezeki yang berkat!
بركة و من ترك صلاة العصر فليس في جسمه قوة و من ترك صلاة المغرب فليس في
Dan barang siapa yang meninggalkan solat asar tiadalah padanya kekuatan badan, dan siapa yang meninggalkan solat maghrib tiadalah padanya anak-anak yang bermanfaat
أولاده ثمرة و من ترك صلاة العشاء فليس في نومه راحة
Dan barangsiapa yang meninggalkan solat isyak tiadalah padanya tidur yang nyenyak!
Bersama-samalah kita memastikan amalan solat kita terpelihara dari segala kelalaian, pastikan anak-anak kita juga tidak meninggalkan solat fardu. Kita bertanggungjawab sepenuhnya apa yang dilakukan oleh anak-anak kita selagi mereka dibawah tanggungan kita.

Tuesday, February 24, 2009

Tahniah Anak Qariah - Kau terbang jua

Pertamanya mohon maaf kerana sedikit terlewat namun masih belum terlambat. Sekalung tahniah buat anak-anak qariah yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Anak adalah permata buat ibubapa.

Anak-anak ibarat kain putih yang bersih, terpulanglah kepada kita mencorakkannya. Alhamdulillah, baru-baru ini 2 orang anak qariah kita telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.


Norshahidah bt Abu Hanifah, anak perempuan kepada ahli qariah kita Abu Hanifah Lan, atau lebih senang dengan panggilan "Abu" sahaja telah berjaya menlanjutkan pelajaran ke Universiti Alexandariah, Mesir dalam bidang perubatan, dibawah tajaan MARA. Bakal doktor ini telah pun mendaftar pada 17hb September 2008 yang lalu. Sekali lagi mohon maaf atas kelewatan penyiaran berita ini.


Muhammad Nurfarhan, anak sulong kepada Tn Hj Mohd Fadzil bin Bidin, atau lebih manja dengan panggilan "Bang Haji" telah pun terbang ke Sydney pada 21hb Feb 2009 baru-baru ini dibawah tajaan JPA. Beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang "Actuarial Science" di Universiti of New South Wales, Sydney, Australia.

Semoga kejayaan mereka berdua dan yang lain-lain sebelum ini menjadi penyuntik semangat kepada anak-anak qariah yang lain untuk terus mencari ilmu yang tidak pernah berkesudahan dan seterusnya membawa kejayaan ke arah mencapai matlamat anak soleh dan solehah.

Tahniah sekali lagi!!

Majlis Aqiqah - Ahmad Haziq Shaharuddin

Pada hari Ahad yang lalu, 22hb Feb 2009, bertempat di Surau At-Tarbiyyah, satu Majlis Aqiqah telah diadakan sebelum waktu zohor. Majlis ini diadakan bagi meraikan kelahiran anakanda Shaharuddin, Ahmad Haziq bin Shaharuddin.







Majlis dimulakan dengan bertahlil, berselawat dan seterusnya mencukur rambut anakanda.





Kelihatan Imam mengambil giliran pertama menggunting rambut bayi, menyuap manisan kurma dan menitiskan air zam-zam kemulut bayi. Majlis boleh dikatakan sungguh meriah dengan kehadiran ahli qariah, bergilir-gilir mengambil giliran untuk menggunting rambut bayi, menyuapkan manisan kurma dan setitis air zam-zam. Itulah yang disyariatkan dan dituntut oleh agama kita.






Antara ahli qariah yang hadir di Majlis Aqiqah, Tn Hj Mej Tahayyat dan Tn Hj Abd Rahman. Tidak syak lagi, dindinglah yang dicari untuk membetulkan pinggang.


Selesai sahaja doa selamat, ahli qariah dihidangkan dengan Nasi Beryani Arab berlaukkan kambing aqiqah. Apa lagi, masa yang ditunggu dah pun tiba. Belasah sajalah!!!!

Bab ni memang teman tak setuju, kita lihat siapa dalam gambar ni. Inilah Tn Hj Razi yang terkehel tangan kanannya akibat terlibat kemalangan motorsikal minggu lalu.



Masyallah, tengoklah lauk dia.. ini makanan orang sihat ke orang sakit.

Kita zoom sikit lauk dia, itu dia.. mak aiiii... kaki kambing jadi pilihannya.. , ingat apa, kaki kambing tu boleh masuk ganti tangan kanan tu ke??

Isyhh..isyhh.. ini baru dinamakan "Kambing Maniac"... dah mintak izin ngan tuan punya kambing ke belum? Tak sia-sia bawa Hj Razi ni ke majlis, memang berbaloi!!!

Thursday, February 19, 2009

Dunia tiba dipenghujungnya

1) Penaklukan Baitulmuqaddis.
Dari Auf b. Malik r.a. katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Aku menghitung 6 perkara menjelang hari kiamat. Baginda menyebutkan salah 1 diantaranya, iaitu penaklukan Baitulmuqaddis." ~ Sahih Bukhari ~
2) Zina bermaharajalela.
"Dan tinggallah manusia-manusia yang buruk, yang seenaknya melakukan persetubuhan seperti himar (keldai). Maka pada zaman mereka inilah kiamat akan datang." ~ Sahih Muslim ~
3) Bermaharajalela alat muzik.
"Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan & perubahan muka". Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?", Baginda menjawab: "Apabila telah bermaharajalela bunyian(muzik) & penyanyi-penyanyi wanita" ~ Ibnu Majah ~
4) Menghias masjid & membanggakannya.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya kiamat ialah manusia bermegahan dalam mendirikan masjid" ~Riwayat Nasai. ~
5) Munculnya kekejian, memutuskan hubungan dengan tetangga dan kerabat.
"Tidak akan datang kiamat sehingga banyak perbuatan & perkataan keji, memutuskan hubungan silaturahim & sikap yang buruk dalam tetangga." ~Riwayat Ahmad dan Hakim. ~
6) Ramai orang soleh meninggal dunia.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang-orang yang baik& ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang-orang yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran" ~ Riwayat Ahmad ~
7) Orang yang hina mendapat kedudukan terhormat.
"Di antara tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka' bin Luka' (orang yang bodoh & hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh 2 orang mulia" ~ Riwayat Thabrani ~
8) Mengucapkan salam kepada orang yang dikenalnya sahaja.
"Sesungguhnya di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan salam kepada orang lain kecuali yang dikenalnya saja." ~ Riwayat Ahmad ~
9) Banyak wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. "Di antara tanda-tanda telah hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita & apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang".
10) Bulan sabit kelihatan besar.
"Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah menggelembung (membesarnya) bulan sabit." ~ Riwayat Thabrani ~
11) Banyak dusta & tidak tepat dalam menyampaikan berita.
"Pada akhir zaman akan muncul pembohong-pembohong besar yang datang kepadamu dengan membawa berita-berita yang belum pernah kamu dengar & belum pernah didengar oleh bapa-bapa kamu sebelumnya, kerana itu jauhkanlah dirimu dari mereka agar mereka tidak menyesatkanmu & memfitnahmu" ~ Sahih Muslim ~
12)Banyak saksi palsu & menyimpan kesaksian yang benar.
"Sesungguhnya sebelum datangnya hari kiamat akan banyak kesaksian palsu & disembunyikan kesaksian yang benar." ~ Riwayat Ahmad ~
13) Negara Arab menjadi padang rumput & sungai.
"Tidak akan datang hari kiamat sehingga negeri Arab kembali menjadi padang rumput & sungai-sungai" ~ Sahih Muslim ~
Hitung-hitunglah amalan kita.
Wallahuwaklam

Tuesday, February 17, 2009

Kerak-kerak Nasi

Hari ini semua adik beradik pulang beraya di Kuala Lumpur setelah beraya di kampung mertua. Ibu yang di KL agak kesunyian, tetapi setelah mendengar abang dan kakak-kakak hendak datang beraya, ibu gagahi juga bangun pagi menggoreng nasi buat santapan pagi mereka yang akan datang nanti.

Aku yang bongsu tinggal dirumah sambil menolong apa yang patut memerhati kegagahan ibu yang sememangnya aku tahu sakit dan bengkak kakinya semakin menjadi-jadi semenjak bulan puasa tempohari. Aku minta untuk membantu , "takpayah" katanya "biar mak yang buat nanti lain rasanya".


Aku biarkan sahaja walaupun dalam hati terasa pedih dan sayu melihat kegagahan mak nak juga
sediakan nasi goreng untuk anak-anaknya yang baru nak merayakan hari raya bersamanya. Aku tahu disudut hati mak ada rasa sedih dan sayu kerana anak lelakinya tak beraya bersama di pagi raya, tetapi langsung tidak ditunjuk malah ingin pula menjamu anaknya. Terhinjut-hinjut mak kesana ke mari mengambil bahan-bahan nasi goreng. Bukan main khusyuk dan bersungguh cuba menyediakan juadah yang semampunya.

Bila semuanya dah sampai aku mula hidangkan nasi yang digoreng mak untuk abang dan kakak yang tiba dengan anak-anak mereka. Semuanya pakat menjamu selera, memang berselera semua sukakan nasi goreng mak..mak tahu anak-anaknya sukakan nasi goreng air tangannya.


Dalam tak sedar nasi dah hampir habis. Terdetik dihatiku..." ahhh mak belum makan apa-apa semenjak pagi kerana sibuk sediakan nasi tu", seraya tu abang ku bertanya "siapa tak makan lagi nasi ni". Aku menjawab "mak belum makan apa lagi tu".


Mak dengan bersungguh menjawab "Ehh mak tak mau, tak lalulah nasi goreng, nak makan roti ja sat lagi" dua tiga kali kami pelawa begitu juga jawabnya. Kata ku dalam hati, "oohh mungkin juga mak nak makan roti sebab nak kawal penyakit diebetisnya"


Bila semua dah pulang, aku lihat mak terhinjut-hinjut kedapur, lantas aku tanya "mak nak apa, nak ambilkan". "Tak apa nak rasa ni sikit". Sayu sedih dan terguris sungguh hati aku, bila ku lihat mak rupanya sedang mengikis kerak-kerak nasi goreng yang masih berbaki dalam kuali untuk dimakan.


Itulah kasih seorang ibu pada anak-anaknya, zaman sekarang pun masih ada ibu yang sanggup berlapar dan mendahulukan anak-anaknya asal mereka semua kenyang. Aku benar-benar kalah dengan apa yang aku saksikan.


YA RABB!! Engkau peliharalah Ibuku, Ampunilah Dosanya, Berilah kekuatan pada anak-anaknya untu membalas jasa ibu yang tak terhingga.


AMIN, YA ROBBAL'ALAMIN.

Monday, February 16, 2009

Tn Hj Razi bebas simen

Assalamualaikum w.b.t
Untuk makluman, TnHj Razi telah pun keluar dari Hospital Ampang Puteri 2 hari yang lalu dengan tangan bersimen. Walaubagaimanapun, malam tadi beliau telah pun membuka balutan simen untuk lebih selesa akibat tangan yang semakin membengkak.
Beliau telah mendapat rawatan tradisional malam tadi bersama Cik Gu Rock dan beliau kelihatan sangat ceria dengan ketiadaan lengan gergasi. Insyallah, dalam seminggu ni bolehlah main golf balik. Itu pun kalau selera!!
Berhati-hati ketika menuggang motorsikal ke surau atau kemana sahaja. Malang tidak berbau.

Friday, February 13, 2009

Lawak Rumahtangga

Tersebutlah suatu kisah dimana si isteri telah meluahkan rasa tidak puas hatinya pada sang suami yang berbunyi lebih kurang begini.

Isteri : Apalah abang nie...asalkan kawan abang datang, abang mesti cakap rumah abang, kereta abang, TV abang, sofa abang...tak adil lah macam nie...asyik asyik abang aje...

Suami: La... habis ayang nak cakap macam mana??.

Isteri : Abang cakap la...rumah kita...kereta kita... TV kita...sofa kita... bukankah semua harta benda ni hak milik kita bersama...

Suami: Ahhh..iyalah...iyalah...

Isteri: Hmm....abang dari tadi lagi terhegeh-hegeh cari apa?...

Suami: Haa...ada awak nampak...seluar dalam KITA...???


Isteri: #$% $$~?96


Moral cerita ni, bukan semua boleh jadi hak kita.

Thursday, February 12, 2009

Tn Hj Razi kemalangan motorsikal

Sedikit terlewat tetapi belum terlambat. Tn Hj Mohd Razi bin Hasan salah seorang jemaah kita yang lebih dikenali sebagai "Ketua Pembangkang" telah terlibat dalam kemalangan pada hari Selasa 10hb Feb 2009 ketika sedang menunggang motorsikalnya menuju ke Surau At-Tarbiyyah untuk solat Maghrib.

Beliau sedang mengekori sebuah kenderaan MPV di hadapan beliau, tiba-tiba sebuah Toyota Rush dari arah hadapan yang dipandu oleh seorang wanita telah membelok ke kanan secara tiba-tiba sebaik sahaja melepasi belakang MPV, tanpa menyedari Tn Hj Razi kita sedang mengekori di belakang MPV.

Malang tidak berbau. Pepatah ada mengatakan, motorsikal ni ibarat mentimun dan pisau. Dia menggolek pun kena, pisau mencincang pun dia kena. Beliau mengalami luka-luka kecil di kedua-dua belah kaki dan sedikit bibir akibat tersungkur ke jalanraya.

Walaubagaimanapun, pergelangan tangan kanan beliau patah. Beliau telah dirawat di Hospital Ampang Puteri, Ampang dan mulai petang semalam, tangan kanan beliau telah mula disimen. Beliau masih ditahan diwad 515 untuk menjalani ujian X-Ray sekali lagi pagi ini dan insyallah akan keluar hari ini atau esok.


Maklumat akan dikemaskini nanti.

Wednesday, February 11, 2009

Kambing Jadi Mangsa

Sempena Hari Wilayah yang lalu, ahli qariah Surau At-Tarbiyyah telah membanting tulang, bergotong royong mengerjakan kambing. Kambing dikerjakan tanpa belas kasihan, dilapah, digaul rempah, dipanggang, dikipas, dilahap dan apa lagi lah.... hingga menjilat dulang-dulang.



Tengoklah tu, masing-masing sedang menunggu masaknya kambing yang dipanggang.... amboi!!! Habis baju tu Pak Haji.. bau kambing ler...





Alamak.. Dato' pun ada ke? Isyhh..Isyhh.. Kena bebenor ler yeop... Ini sudah kira bagus, Kambing Masalla juga mari... Biasanya kalau Dato' ada ni, mesti special punyalah!!!






Mak aiii!!!! Macam kenduri kahwin haaa... berbaloi betul lah yeop!! Tapi teman tak ada malam tu, ni tak best nih... Ada yang tengah pulon, ada yang dah termenung, ada yang dok ukur meter tu... risau jugak ya, dah belasah kambing, tiba masanya kambing belasah kita pulak!!!! Cepat-cepatlah cek meter tu, sediakan ubat, jogging, main bolatampar, heheheee...





Tengok, berapa punya steady... kambing mambing, gua hentam cukup-cukup, Ayaq akaq kayu ada, mai minum, mujarabbb... badan teman dah paneh woooiiii.... silap teman pakai baju hitam....





Ehhh...ni apa hal pulak ni... lain macam je!!! Ya Allah!!! Manalah kambing aku tak sampai-sampai lagi ni, dah penat aku menunggu dari tadi, satu bau kambing pun tak dapat, apa punya kroni lah.... Sendiri bakar, sendiri makan ka??? Hampehh!!!!.... Mata pun dah layu ni, aku balik tidur je lah.... Nasib baik jiran aku tak ada, kalau tak malu aku nih.... Hehehehehe..



Sketsa ini tidak ada kena mengena dengan orang-orang yang telah pergi meninggalkan kita, kecuali kambing tu.

Kelas Al-Quran bermula

Alhamdulillah!!


Kelas Pengajian Al-Quran Peringkat Asas telah pun bermula mulai hari Isnin 9hb Feb 2009 yang lalu selepas solat Isyak. Seramai 15 peserta telah mengambil bahagian yang dibimbing oleh kedua-dua imam kita Tn Hj Salleh dan juga Tn Hj Raduan.

Kami mengalu-alukan ahli qariah agar menyertai kelas Al-Quran ini. Kelas telah dijadualkan 3 kali seminggu iaitu hari Isnin, Selasa dan Rabu mulai jam 9.00 malam dan berakhir jam 10 malam.

Thursday, February 5, 2009

Tangisan Rasulullah Gegarkan Arasy

Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang hilang.

Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang hilang.

Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segala-galanya telah hilang dari diri seseorang.

"Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah s.a.w. sedang asyik bertawaf di Kaabah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil berzikir:

"Ya Karim! Ya Karim!"

Rasulullah s.a.w. menirunya membaca "Ya Karim! Ya Karim!" Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Kaabah, dan berzikir lagi:

"Ya Karim! Ya Karim!"

Rasulullah s.a.w. yang berada di belakangnya mengikut zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!"

Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan yang belum pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata:

"Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkan ku, kerana aku ini adalah orang Arab Badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah."

Mendengar kata-kata orang Badwi itu, Rasulullah s.a.w. tersenyum, lalu bertanya:
"Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?" "Belum," jawab orang itu..
"Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?"

"Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya,
dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya,"
kata orang Arab Badwi itu pula.

Rasulullah s.a.w. pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah
Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!" Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya.

"Tuan ini Nabi Muhammad?" "Ya" jawab Nabi s.a.w. Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w. Melihat hal itu, Rasulullah s.a.w. menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:

"Wahal orang Arab! janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya, Ketahuilah, Allah mengutuskanku bukan untuk menjadi orang yang takabbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya. "

Ketika itulah, Malaikat Jibril a.s. turun membawa berita dari langit dia berkata: "Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu dan bersabda: "Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar!" Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi.

Maka orang Arab itu pula berkata:
"Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!" kata orang Arab badwi itu.
"Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah bertanya kepadanya. "Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahnya, " jawab orang itu.
"Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa keluasan pengampunan- Nya. Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanannya! '"

Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah s.a.w. pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab Badwi itu, air mata beliau meleleh membasahi janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata:

"Ya Muhammad! Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu, dan bersabda: Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehinggalah bergoncang. Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampuni semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!"

Betapa sukanya orang Arab Badwi itu, apabila mendengar berita tersebut. la lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya. "
Wallahuwaklam.