---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Wednesday, September 16, 2009

Anugerah Malam Khatam Quran 1430H

Antara gambar-gambar dalam klip video yang sempat disunting untuk tatapan ahli qariah semua. Macam-macam gaya, macam-macam eksyen.... bolehlah , lebih hebat dari Anugerah Grammy Award lagi.... Alhamdulillah..










Tuesday, September 15, 2009

Alhamdulillah, Majlis Khatam Al-Quran sempena tamatnya tadarus Al-Quran dibulan Ramadhan pada tahun ini selamat disempurnakan malam tadi si Surau At-Tarbiyyah selepas solat Tarawih dan Witir bertepatan 25hb Ramadhan 1430H.

Majlis dipengerusikan oleh Tn Hj Syed Salim selaku Pengerusi Surau At-Tarbiyyah dan terima kasih juga kepada Dato' Hj Muhammad Nazir selaku penaung Surau At-Tarbiyyah yang sudi hadir bagi menceriakan lagi majlis.

Bacaan Al-Quran dikemudikan oleh Imam Tn Hj Salleh dan bacaan doa dibacakan oleh Tn Hj Raduan. Selesai bacaan doa, majlis dengan sukacitanya memberi hadiah kepada semua peserta Tadarus dan juga AJK surau yang bertugas sepanjang Ramadhan ini, tanpa mereka maka pincanglah aktiviti dan pengurusan surau .

Kami sempat merakam beberapa keping gambar kenangan yang berlangsung malam tadi.






















Wednesday, September 2, 2009

Alam Mahsyar

  1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
  2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
  3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
  4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yang disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
  5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
  6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
  7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
  8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
  9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
  10. Terdapat satu kolam ( حوض‎ ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kauthar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
  11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
    1. Pemimpin yang adil.
    2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
    3. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
    4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
    5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
    6. Lelaki yang bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
    7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
  12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
  13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.
  14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
  15. ‘Arasy ( عرش‎ ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
  16. Kursi ( كرسي‎ ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
  17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
  18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
  19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
  20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
  21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
  22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
  23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
  24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
  25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
  26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
    a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
    b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
    c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
    Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
  27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
  28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
  29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
  30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004

Friday, August 28, 2009

Emel Palsu Ust Dato' Ismail Kamus

Assalamualaikum w.b.t.
Mulai malam tadi telefon bimbit tidak henti-henti menerima SMS palsu berkenaan dengan pemergian Ust Dato' Ismail Kamus di Mekah. Mungkin ada yang mengambil kesempatan tertentu. Sehingga pagi ini, masih lagi menerima SMS tersebut. Harap maklum.
Al-Fatihah ke atas Allahyarham Dr Ismail Salleh yang telah pergi menemui Ilahi semalam di Singapura.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa bersungguh-sungguh. Penggal pertama adalah Rahmah. Sama-samalah kita mengambil peluang terbuka yang Allah sediakan untuk hambaNya yang ingin beribadah.
Wallahuwaklam.

Thursday, August 27, 2009

Perutusan Pengerusi Surau At-Tarbiyyah

Assalamu’alaikum Wr. Wb.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in. Kita masih berada difasa pertama ramadhan, sepertimana Nabi sebut, awal ramadhan adalah Rahmah. Allah yang segala sifat terpuji bagiNya, menyediakan kita ruang dimana pintu rahmah dibuka seluas-luasnya. Sehingga pahala amalan dilipat ganda sepanjang ramadhan. Berbahagialah umatNya yang mempergunakan ruang masa, disebalik kesibukan urusan duniawi.


Dalam kesempatan ramadhan tahun ini, pihak pengurusan surau sedang merangka satu projek baru, iaitu membina sebuah bangunan yang dipanggil Madrasah At-Tarbiyyah. Ianya sebuah bangunan dua tingkat, dibina diatas tapak kawasan memasak yang sedia ada. Tingkat satu merupakan sebuah bangunan untuk dijadikan kelas pengajian, dilengkapi dengan kemudahan kerusi, system PA dan penghawa dingin untuk pembelajaran yang lebih efektif. Manakala tingkat bawah, adalah kawasan kosong untuk kegunaan persediaan memasak, cabinet dapur dan ruang pelbagai guna.







Pihak pengurusan sedang menyiapkan pelan kejuruteraan untuk tujuan "submission" ke MPAJ dan diharapkan projek ini akan “kick off” pada akhir tahun ini atau awal tahun depan. Kos pembinaan madrasah ini dijangka menelan belanja sebanyak RM70,000.00.

InsyaAllah pihak pentadbiran surau akan melancarkan kutipan dana dalam masa yang terdekat ini. Semoga perancangan ini berjalan lancar dan mendapat keberkatan dari Allah SWT, InsyaAllah.

Terima Kasih.

Pengerusi,
Surau At-Tarbiyyah
Tn Syed Salim Abu Bakar.

Tuesday, August 25, 2009

Tadarus Al-Quran "Satu Tuntutan"

Tn Pengerusi dengan penuh khusyuk mendengar bacaan dari Tn Hj Rezza.. Alhamdulillah
Tn Hj Rasali... ni baca ke tidur.... nampak macam lelap je.. Dok baca tafsir tu...

Ehh... Nampak macam Pak Ya je... Sah lah tu.. Pak Ya masih sempat datang bertadarus selesai bertugas di Masjid Bukit Indah...
Alhamdulillah.. ramai ahli qariah bertadarus... Ini yang best ni...
Mmmm.. Dahaga sungguh Pak Ya.. nasib baik surau sediakan air mineral... Anak-anak pun ada kat belakang tu...
Ini kumpulan Hj Rahim, Bahari dan Abu... mmmm..rasanya kurang sorang lagi..Tn Hj Jabbar..

Yang ni tak payah nak diperkenalkan lagi.. Tiap tahun inilah kerja dia.. Tadarus sampai SYAHID!!!! Kalau tak dikejutkan sampai subuh ler kat situ... Balik ler.. orang dah berdoa dah tu... Tapi sempat lagi menyongeh tu hah... Isyh!!!!

Sunday, August 23, 2009

Ahlan ya-Ramadhan

Kami semua Ahli Jawatankuasa Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua ahli qariah Taman Bukit Indah, Ampang dan seluruh umat Islam umumnya. Semoga kedatangan Ramadhan kali ni dapat kita memanafaatkan seluruhnya ganjaran dan rahmat Allah.
Hari ini adalah hari ke-2 Ramadhan, dan kita telah lihat surau kita penuh dengan ahli qariah untuk bersama-sama Solat Tarawih, dan juga mengambil bahagian dalam Tadarus Al-Quran. Kursus atau Kelas Al-Quran yang dijalankan 4 bulan lalu telah membuahkan hasilnya dimana kebanyakan ahli yang mengambil bahagian dalam kelas tersebut turut menyertai Tadarus Al-Quran. Alhamdulillah.
Selamat Berpuasa!!!

Sunday, August 9, 2009

Gotong Royong Pada 9hb Ogos 2009

Tn Haji Kamal sedang membuang sisa tanah dan kotoran yang tersumbat dari longkang. Kerja bang.. kerja bang
Tn Hj Rahim terkejut... tengah sedap-sedap mengolap, ado pulak wartawan ambik gambar... apo lah ekau. Lap tingkap tu Hj... jangan pecah udah
Ini Azman.. Pro dalam bidang-bidang speaker and sound system... Surau dapat speaker baru!!! Lepas ni suara Imam jadi komersial ler... tak caya... jap lagi Tn Syed test... 1..2..3
Tn Syed pagi-pagi dah terpacak kat luar surau... menyembur air ke tembok pagar surau yang berlumut tu... Mana anak buah lagi Tn Syed...
Ha...... Ajis..Ajis... Sampai kona baring dibuatnya... Itu kipas yeop... bukan motorsikal.. kalau nak rempit pun kat luar ler.. Ajis ni memang suka buang isi perut kipas ni.. terburai hah!!! Akhirnya, kipas tu beroperasi semula
Aiiikk....!!! Ini apa hal si Hamzah ni... cuci kolah rupanya... jangan kau melepas kat situ sudah lah Hamzah ooiiii.. Yang Tn Hj Kamal tu dok main water-jet buat apa.. sembur je lah si Hamzah tu hah
Tengok.... betapa berganding bahunya ahli qariah kita ni... berat sama dipikul, jinjing kau soranglah bawak...hahhaa...
Alamak!!! Bila pulak surau kita ada MUSK MAN... Isyhh..hari ni Pak Leh tak niaga.. semata-mata nak jadi MUSK MAN kat surau.... lap jangan tak lap..
Ceeeewahh.... Tn Hj Mej Tahiyyat ni boleh servis Air-Cond rupanya...betul ke ni.. ke dok cari semut dalam tu... hehehee
Hah.... Ni tak lain tak bukan lah ni... dah penat lelah..eloklah tu pekena teh tarik secawan, sembang-sembang mana yang patut.. Hj Jabbar jadi leader ni.. hehhee

Wednesday, August 5, 2009

Nisfu Syaaban 5hb Ogos 2009

Bulan Sya‘ban mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam, samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang juga mempunyai kelebihan, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah SWT.

Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Baginda paling banyak berpuasa sunat pada bulan Sya‘ban
Perkara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan di bulan ini , ia juga merupakan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan

Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah SWT, sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:

1. Memperbanyakkan puasa sunat.
Nabi SAW lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan Beristiqhfar
Bertaubat dan beristigfar boleh mensucikan jiwa dari dosa, kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas dari melakukan dosa. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.
Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syarat-syaratnya, contohnya jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan:
  • Dia hendaklah meninggalkan dosa atau maksiat itu.
  • Dia hendaklah benar-benar menyesali dan merasa sedih dengan perbuatan maksiatnya itu.
  • Dia berjanji dan berazam untuk tidak akan mengulangi dan melakukannya.
    Manakala jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan.
3. Memperbanyak zikir dan berdoa
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang membesar dan mengagungkan Allah. Ini bersesuaian dengan janji Allah SWT bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
Antara keistimewaan amalan zikir itu pula ialah:
  • Zikir boleh dilaksanakan bila-bila masa. Ia juga boleh dilaksanakan dalam keadaan duduk, berdiri dan baring. Boleh dilaksanakan walaupun dalam keadaan berhadas sama ada hadas kecil mahu pun hadas besar. Begitu juga dengan ibadat doa. Doa boleh dilakukan tanpa mengira tempat dan masa. Doa ialah memohon sesuatu hajat atau perlindungan daripada Allah SWT dengan cara merendahkan diri kepada-Nya.

Selain daripada itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan di bulan Sya‘ban ini sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadhan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama di waktu malam, banyak bersedekah dan sebagainya.
Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada di bulan Sya‘ban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita. Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat di bulan Sya‘ban berbanding bulan-bulan yang lain? Baginda bersabda yang bermaksud:

“Bulan itu (Sya‘ban) yang berada di antara Rejab dan Ramadhan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia adalah bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadah ku di angkat ketika aku berpuasa”.(HR an-Nasaie)

Malam Nisfu Sya‘ban
Kelebihan Malam Nisfu Sya‘ban itu telah disebutkan di dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal r.a Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
“Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya di Malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhlu-kNya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (H.R Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)

Pada malam Nisfu Sya‘ban juga, adalah di antara malam-malam yang dikabulkan doa. Menyedut pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm telah berkata: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan: sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu: pada malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam Hari Raya ‘Aidil fitri, malam pertama di bulan Rejab dan malam nisfu Sya‘ban.”
Kita boleh Menghidupkan Malam Nisfu Sya‘ban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

Penutup
Kesimpulannya amalan yang berterusan ini akan membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta meyambut kedatangan Ramadhan dengan hati yang bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.

Sabda Nabi SAW maksudnya: “ Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu. Sembahyang yang paling disukai oleh Nabi SAW iaitu yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit apabila baginda sembahyang. Apa jua sembahyang ia akan lakukan secara berterusan” (HR Bukhari)


Sumbangan:
Ust Zakaria Othman
JAKIM

Monday, August 3, 2009

Gotong Royong pada 9hb dan 16hb Ogos

Ramadhan kian menjelma tak lama lagi. Insyallah pada 22hb Ogos kita mula puasa. Semoga Allah panjangkan usia kita untuk sama-sama beribadah di bulan Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini.
Sehubungan dengan itu, kerja-kerja Gotong Royong membersihkan surau dan sekitarnya akan diadakan pada 9hb dan 16hb Ogos iaitu pada hari Ahad di Surau At-Tarbiyyah. Ahli qariah yang berkelapangan, insyallah dijemput bersama-sama bagi membersihkan surau kita.
Acara ini sudah menjadi acara tahunan sebelum tibanya puasa. Insyallah.

Wednesday, July 29, 2009

HAS RAZ WESTERN FOOD & BEVERAGE





Alhamdulillah... Tn Haji Razi telah pun melebarkan operasi perniagaan Western Food and Beverage pada hari Sabtu yang lalu yang diberi nama HAS RAZ Western Food & Beverage beralamat di No-8, Grnd Flr, Jln AWF 3, Ampang Water Front, Ampang.
Berbagai-bagai jenis makanan ala barat ada dihidangkan ala-carte. Pesan sahaja, insyallah dalam 8 minit makanan anda siap dihidangkan. Chicken Chop, Lamb Chop, Chicken Chop Sizzling dan Fish & Chips dan bermacam-macam lagi... Kunjungilah bersama keluarga dan rakan taulan.
Sedap lagi halal.... Ada diskaun lagi tuuuhhh.... JOM... JALAN-JALAN CARI MAKAN.... SELAMAT BERAMAL...

Tuesday, July 21, 2009

Peristiwa Israk Mikraj

1. Sebelum Israk dan Mikraj, Rasulullah s.a.w mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda s.a.w. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah s.a.w. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

2. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah s.a.w. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
  • Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
  • Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu daripada Allah;
  • Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah s.a.w. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
  • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah s.a.w. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
  • Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
  • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
  • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
  • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
  • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
  • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
  • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
  • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
  • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
  • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
  • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
  • Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum. Rasulullah s.a.w. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah s.a.w. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
  • Langit Pertama: Rasulullah s.a.w. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
  • Langit Kedua: Nabi s.a.w. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa a.s dan Nabi Yahya a.s
  • Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf a.s
  • Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris a.s
  • Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
  • Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa a.s Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
  • Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah s.a.w., Nabi Ibrahim a.s bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH". Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim a.s bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
  • Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah s.a.w. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
  • Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah s.a.w. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
  • Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya: Allah S. W. T : Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S. W. T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan. Allah S. W. T : aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.


4. Selesai munajat, Rasulullah s.a.w. di bawa menemui Nabi Ibrahim a.s kemudian Nabi Musa a.s yang kemudiannya menyuruh Rasulullah s.a.w. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj Rasulullah s.a.w. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). (Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik.
Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya. Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala.
Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.Mafhum Firman Allah S. W. T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1). wallahua'lam..

Wednesday, July 8, 2009

Gunakan perkataan SALAM

Ilmu utk dikongsi bersama :Radio Ikim (91.50 fm), Ustaz Zawawi citer tentang sunnah Rasulullah s.a.w. Antaranya tentang bab memberi salam. Baginda memberi salam dgn lafaz “assalamualaikum” dan menjawab salam dari para sahabat dgn salam yg penuh “waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh”
Beri salam - assalamualaikum”
Jawab salam - “waalaikumussalam warahmatulallah hiwabarakatuh”

Apabila kira berkirim salam pada org lain, hendaklahkita berkata “Kirim salam assalamualaikum pada HJ ZUL ye” contoh lerr.. Bukannya : “Kirim salam kat HJ ZUL ye” . Dan bukannya ” Kirim salam maut” statement ini adalah berdosa, walaupun sekadar gurauan!Ingat kawanku..

Semoga ada manfaat.
“Akum = Avde Kokhavim U Mazzalot”
Maksud singkatan ” A’kum”Assalamu’alaikum
Untuk renungan bersama : Janganlah kita menggantikan perkataan “Assalamualaikum” dengan “A’kum” dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan “Salam” iaitu sama makna dengan Assalamualaikum.
Sesama lah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform A’kum dalam sms ataupun email. Perkataan ‘AKUM’ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud ‘BINATANG’ dalam Bahasa Ibrani.
Ia singkatan daripada perkataan ‘AvdeKokhavim U Mazzalot’ yang bermaksud ‘HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT’. Mulai sekarang jika ada orang hantar shortform “A’kum”, kita ingatkan dia guna “Salam” kerana salam ialah dari perkataan Assalamualaikum. Semoga ada manfaatnya.

JIKA ANDA TIDAK KEBERATAN ,FORWARD LAH CERITA KEPADA TEMAN TEMAN MU, KERANA SESUNGGUHNYA ILMU YANG BERMANFAAT ITU , AKAN ABADI JIKA DIAMALKAN.

Tuesday, July 7, 2009

Allah mencipta matahari

ALLAH berfirman yang bermaksud,'' Dan ALLAH menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita" ( Nuh:17) ALLAH menciptakan ini untuk kepentingan manusia, namun hanya ALLAH yang mengetahui segala ragam dah hakikatnya. Kita dapat menikmati indahnya suasana ketika matahari mulai terbit dan tenggelam.

Dari terang menjadi gelap. Di siang hari manusia bertebaran dimuka bumi ini dengan aktiviti masing-masing. Dan di waktu malam dapat merasakan ketenangan dan kesunyian untuk berehat merasakan ketenangan dan dapat mengembalikan kekuatan fizikal setelah letih beraktiviti dalam satu hari mencari dan mendapatkan apa yang di perlukan.


Matahari akan sentiasa berfungsi dan memberikan manfaat pada makhluk di dunia ini. Terbit tenggelam silih berganti, akibat putaran matahari dalam rangka memberikan kemaslahatan pada alam.


Fenomena tersebut telah di terangkan oleh ALLAH S.A.W dalam firman yang bermaksud;" Katakanlah, terangkanlah kepadaku jika ALLAH menjadikan untukmu malam itu terus menerus sampai hari kiamat, siapakahTuhan selain ALLAh yang akan mendatangkan sinar terang kepadamu. Oleh itu, apakah kamu tidak mendengar?".( Al-Qashash;71)


Perhatikan bagaimana ALLAH mengatur terbit matahari bagi kepentingan alam dan jarak waktu yang terjadi antara siang dan malam. Dan ALLAH jadikan gerhana matahari ada hikmahnya. Kita sebagai manusia menikmati ciptaan ALLAH yang tiada tandingnya untuk merenung kerana setiap yang ALLAH cipta dan kejadian-kejadian yangberlaku ada tersembunyi sesuatu dan ada yang tak tercapai oleh akal-akal manusia untuk menghuraikan secara terperinci.


Tiada yang kekal melainkan ALLAH, Hanya amal kita yang baik akan berkekalan hingga ke akhirat nanti. Ada mata lihatlah keagungan ciptaanNya, ada hati nilailah kenikmatanNya.

Wednesday, July 1, 2009

Kelahiran Rasulullah s.a.w

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. pada 12 Rabiulawal, Tahun Gajah di Mekah al-Mukarramah sebagai pembuka rahmat di pelosok alam semesta. Kelahiran baginda menjadi seribu satu tanda bahawa baginda akan menjadi utusan terakhir dalam menyampaikan risalah Islam.
Ia merupakan peristiwa utama dalam sejarah Islam. Baginda mempunyai kelebihan luar biasa, bukan sahaja dilihat dalam konteks sebelum kelahirannya tetapi dalam konteks semasa dan selepas dilahirkan.
Peristiwa luar biasa ini disebut sebagai Irhas. Irhas bermaksud satu perkara luar biasa bagi manusia yang normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi. Irhas dikategorikan kepada tiga:
  1. Irhas yang dinyatakan di dalam kitab yang tidak boleh diubah atau dipinda.
  2. Alamat-alamat kerasulan yang dibuktikan melalui perkhabaran daripada orang alim melalui ilham dan sebagainya.
  3. Kejadian luar biasa yang berlaku semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Sehubungan itu, masih ramai masyarakat Islam yang sebenarnya tidak mengetahui peristiwa di sebalik kelahiran baginda. Ini kerana masih banyak lagi rahsia yang belum tersingkap. Sebenarnya banyak keajaiban yang berlaku sebelum kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.
Pertama, semasa Rasulullah s.a.w. berada di dalam kandungan bondanya, Aminah, beliau tidak merasa susah sebagaimana dialami oleh ibu-ibu yang hamil. Kehamilannya disedari melalui perkhabaran malaikat yang datang kepadanya ketika beliau sedang tidur. Malaikat mengatakan bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.
Selain itu kehamilannya ditandai dengan haidnya terputus dan berpindahnya cahaya daripada wajah Abdullah ke wajahnya.
Kedua, ketika Nur Muhammad masuk ke dalam rahim Aminah, Allah memerintahkan malaikat supaya membukakan pintu syurga Firdaus dan memberitahu semua penghuni langit dan bumi. Tanah-tanah di persekitaran kawasan tersebut yang kering menjadi subur, pohon-pohon kayu rimbun dan berbuah lebat. Begitu juga haiwan-haiwan di darat dan di laut sibuk membincangkannya.
Ketiga, peperangan tentera bergajah yang disebut di dalam al-Quran surah al-Fil, datang menyerang kota Mekah. Ia diketuai oleh tentera bergajah dengan menunggang seekor gajah besar bernama Mahmudi. Apabila mereka hampir sampai ke tempat tersebut, gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah. Namun demikian, sekumpulan burung Ababil datang menyerang dan menghancurkan mereka sebagaimana yang disebut di dalam al-Quran. Peristiwa ini amat menakjubkan dan diriwayatkan dalam kitab-kitab sejarah.
Keempat, Aminah turut mengalami mimpi yang menakjubkan. Beliau menadah tangan ke langit dan melihat sendiri malaikat turun dari langit. Ia diumpamakan kapas putih yang terapung di angkasa. Kemudian malaikat tersebut berdiri di hadapannya. Ia berkata "Khabar bahagia untuk saudara, wahai ibu daripada seorang nabi. Putera saudara itu menjadi penolong dan pembebas manusia. Namakan dia Ahmad.''
Semasa kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., Aminah ditemani Asiah dan Maryam. Dalam hal ini ia merupakan satu isyarat bahawa Nabi Muhammad lebih tinggi darjatnya daripada Nabi Isa dan Musa. Keadaan ini diterangkan dalam kitab Taurat dan Injil bahawa akan datang seorang nabi pada akhir zaman. Semasa baginda dilahirkan, bondanya menyaksikan nur atau cahaya keluar dari tubuh badan baginda.
Cahaya tersebut menyinari sehingga ke Istana Busra di Syria. Ia dilihat seolah-olah seperti anak panah bagaikan pelangi sehingga dari jauh kota-kota tersebut dapat dilihat. Ada juga yang berpendapat bahawa cahaya itu datang dan menerangi seluruh dunia. Ini dapat dijelaskan oleh sumber-sumber Arab yang paling awal yang menyatakan bahawa suatu cahaya terpancar dari rahim Aminah apabila baginda dilahirkan.
Aminah sendiri melihat baginda dalam keadaan terbaring dengan kedua tangannya mengangkat ke langit seperti seorang yang sedang berdoa. Kemudian bondanya melihat awan turun menyelimuti dirinya sehingga beliau mendengar sebuah seruan "Pimpinlah dia mengelilingi bumi Timur dan Barat, supaya mereka tahu dan dialah yang akan menghapuskan segala perkara syirik''.
Selepas itu awan tersebut lenyap daripada pandangan Aminah. Setengah riwayat menyatakan nabi dilahirkan dalam keadaan memandang ke arah langit sambil meletakkan tangannya ke tanah sebagai tanda ketinggian martabatnya daripada semua makhluk. Dikatakan juga pada malam kelahiran baginda, berhala-berhala yang terdapat di situ mengalami kerosakan dan kemusnahan.
Menurut riwayat daripada Abdul Mutalib, "Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, "telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui."
Selain itu di tempat yang lain pula satu goncangan berlaku di mahligai Kisra dan menyebabkan mahligai tersebut retak, manakala empat belas tiang serinya runtuh. Keadaan ini merupakan di antara tanda -tanda keruntuhan kerajaan tersebut. Namun, api di negara Parsi yang tidak pernah padam hampir selama seribu tahun telah padam dengan sendirinya.
Api tersebut merupakan api sembahan orang-orang Majusi yang dianggap sebagai tuhan. Peristiwa itu amat mengejutkan orang Parsi. Dalam waktu yang sama, pada malam kelahiran baginda, Tasik Sava yang dianggap suci tenggelam ke dalam tanah. Setelah baginda lahir, tembakan bintang menjadi kerap sebagai tanda bahawa pengetahuan syaitan dan jin mengenai perkara ghaib sudah tamat.
Dalam riwayat yang sahih dan masyhur, ketika baginda diasuh oleh ibu susunya iaitu Halimatus Sa'diah, ladang-ladang Halimah kembali menghijau setelah mengalami kemarau. Begitu juga binatang ternakan seperti kambing mengeluarkan susu yang banyak. Selain itu, Nabi tidak pernah diganggu walaupun oleh seekor lalat termasuk juga pakaian baginda.
Halimah dan suaminya juga beberapa kali melihat tompokan awan kecil di atas kepala melindungi baginda daripada panas matahari. Ketika berusia empat tahun, sedang baginda bermain-main dengan saudara susuannya, tiba-tiba datang malaikat mendekati baginda iaitu malaikat Jibril dan Mikail. Lalu membelah dada baginda dan mengeluarkan segumpal darah dan mencuci gumpalan darah itu dengan salji.
Ada yang meriwayatkan bahawa gumpalan darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam, lalu diletakkan semula di tempatnya. hal ini jelas diterangkan dalam surah Insyirah ayat 1 : Bukankah Kami telah melapangkan dadamu (wahai Muhammad)? Berdasarkan peristiwa tersebut jelaslah kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai keistimewaan tersendiri. Ini kerana baginda adalah khatamun nubuwwah, penutup segala nabi.
Perkara -perkara luar biasa ini telah membuktikan kepada kita kemuliaan baginda di sisi Allah, sekali gus sebagai bukti kerasulannya. Di samping itu, bukti -bukti tersebut juga dijelaskan di dalam kitab kitab terdahulu seperti kitab Taurat, Zabur dan Injil sebagai rasul yang terakhir.
Apa gunanya wajah yang tampan atau cantik rupawan dan tubuh badan yang sasa dan kuat seandainya solat lima waktu tidak dapat dijaga. Fikir-fikirkanlah.
Wallahuwaklam.