---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Orang yang tak solat akan banyak masalah, tidak tenang, cepat marah, susah nak terima kenyataan dan selalu nampak salah orang lain.

Friday, November 13, 2009

Mutiara Kata - Renungkanlah


Assalamualaikum w.b.t


Sekadar renungan kata-kata mutiara yang selalu kita dengar dan terdetik dihati nurani kita sebagai insan yang serba kekurangan.


Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.


Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.


Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.


Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup dan masih diberi peluang untuk beribadat dan memperbaiki amalan kita!



Insyaallah.

Monday, November 9, 2009

Anak Tn Hj Kamal selamat pembedahan

Assalamualaikum w.b.t
Alhamudulilah. Anak kepada Tn Hj Kamal telah pun selamat pulang ke rumah, setelah menjalani pembedahan tulang belakang pada hari Isnin yang lalu. Insyallah, atas keberkatan dan doa kita semua dan juga izin Allah, semuanya berjalan lancar, semoga cepat sembuh.
Mohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog surau akhir-akhir ini.
Jazakallah.

Wednesday, October 28, 2009

Selamat Berangkat ke Tanah Suci

Assalamualaikum w.b.t.
2 orang ahli qariah kita akan berangkat menunaikan Fardu Haji iaitu Sdr Fatul dan Sdr Hj Shaharudin. Insyallah, Sdr Fatul akan berangkat selepas asar petang ini 28hb Okt 2009 manakala Sdr Hj Shaharudin akan berangkat petang esok 29hb Okt 2009 jam 6 petang.

Semoga Allah memberi rahmat, kesihatan yang baik, keselesaan dan kemudahan dalam mengerjakan haji dan seterusnya selamat kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur. selamat. Insyallah.

Harap maklum. Terima kasih
.

Friday, October 23, 2009

Pembedahan Anak Hj Kamal

Assalamualaikum w.b.t
Adalah dimaklumkan bahawa anak kedua kepada Tn Hj Kamal akan menjalani pembedahan tulang belakang pada Hari Selasa 27hb Okt 2009 di HUKM. Solat hajat dan kutipan derma kilat telah dilakukan malam tadi di surau dan jika ada ahli qariah yang ingin menyumbang bagi meringankan kos rawatan yang mencecah RM30,000 bolehlah menghubungi Bendahari Surau iaitu Tn Hamzah.
Bersamalah kita membantu.
Sekian, terima kasih.

Wednesday, October 21, 2009

Isteri Sujud Pada Suami

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
"Jika aku hendak menyuruh seseorang supaya sujud kepada seseorang tentulah aku perintahkan isteri supaya sujud kepada suaminya." (Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Baihaqi dan al-Wahidi).

Firman Allah SWT di dalam al-Quran, surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud:
"Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh dari isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertakwa."

Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersamanya. Dalam keluarga, suami adalah seperti imam dengan makmum yang merupakan orang yang paling utama untuk memimpin keluarga ke mercu kejayaan.

Bahkan kejayaan hanya akan terbukti apabila dia dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan baik terhadap isteri dan anak-anak hingga menjadi isteri dan anak-anak yang baik dan beriman. Suami yang bertanggungjawab seperti inilah yang wajib ditaati hatta boleh sampai ke tahap disembah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis di atas.

MALANGNYA, hari ini mungkin hanya sedikit dalam kalangan lelaki bergelar suami yang layak dikategorikan seperti di dalam hadis di atas lantaran banyak sekali pengabaian tanggungjawab yang dilakukan oleh mereka. Bahkan tidak dinafikan banyak sekali kes-kes 'kaki suami' yang hinggap di pundak isteri mahupun anak-anak tanpa sebarang perasaan belas kasihan.

Selalu benar seorang suami itu cenderung kepada mencari kesalahan isterinya sedangkan hak isteri tidak dipenuhi. Isteri yang solehah dan taatkan suami hanya akan terhasil jika suami juga seorang yang soleh dan bertanggungjawab.

Malah mana mungkin suami mengharapkan 'penyejuk mata' melalui isteri dan anak-anak tanpa terlebih dahulu mereka berikhtiar mendidik isteri dan anak dengan cara yang betul?Inilah punca terjadinya suami mahupun isteri berlaku curang dan sebagainya.

Sesungguhnya di sinilah letaknya soal kepimpinan melalui teladan, mengajar melalui tingkah laku dan bukan dengan konsep 'ketam berjalan' yang menjadi amalan kebanyakan kita.

Dimanakah pula posisi kita?


Renung-renungkanlah.

Monday, October 12, 2009

Ibadah Qurban - Penyertaan dibuka

Assalamu’alaikum Wr. Wb.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in.

Alhamdulillah, diam tak diam, kita sudah sampai ke penghujung bulan syawal. Namun begitu kemeriahan sambutan ‘aidil fitri masih tetap dirasakan, seolah-olah baru sahaja seminggu kita berhari raya. Masih lagi terdapat banyak rumah-rumah terbuka, lebih-lebih lagi pada hujung begitu. Banyak jemputan diterima dari tengahari sampai ke malam.

Disamping menjamu selera, hendaknya dapat lagi mengeratkan ikatan ukhuwah sesama kita. Inilah dia kejayaan dan kegembiraan setelah sebulan kita berpuasa. Kita berdoa semoga Allah SWT panjangkan umor dan kesihatan agar dapat bertemu kembali ramadhan dan syawal tahun hadapan, InsyaAllah.

Sebulan lagi kita akan meyambut kedatangan satu lagi hari raya, iaitu ‘Aidil Adha. Mulai 20 Oktober ini jemaah haji akan mula berangkat ketanah suci menjadi tetamu Allah. Ramai juga kalangan ahli kariah kita akan menunaikan fardhu haji tahun ini. Semoga mereka telah siap membuat persiapan untuk berangkat.

Sempena dengan sambutan hari raya ‘aidil adha, surau kita insyaAllah akan melaksanakan ibadah qurban, sebaik selesai kita melaksanakan solat hari raya. Ahli-ahli kariah yang berhajat untuk mengambil bahagian qurban, bolehlah memaklumkan kepada pentadbiran surau. Buat masa ini, satu bahagian dianggarkan sebanyak RM380.00. Borang penyertaan akan diedarkan sedikit masa lagi.

Amatlah diharapkan ahli kariah dapat sama-sama hadir menunaikan solat hari raya disurau kita dan turut serta bergotong-royong menyempurnakan ibadah qurban.


Terima Kasih.


Wassalam.
Syed Salim Abu Bakar
Pengerusi Surau At-Tarbiyyah
.

Sunday, October 11, 2009

Majlis Aqiqah Muhammad Akmal Hakim

Assalamualaikum w.b.t

10hb Okt 2009 genaplah 2 bulan usia MUHAMMAD AKMAL HAKIM BIN HERYANTO EFFENDI, cucu kepada Tn Hj Zakaria bin Mohamad atau lebih selesa dengan panggilan Pak Ya. Cucu pertama yang ditunggu-tunggu selama hampir 9 tahun, diraikan semalam dalam Majlis Aqiqah di rumah Pak Ya, No-18, Jalan Bkt Indah 2/16, Tmn Bukit Indah.

Majlis dimulai dengan berzanji, berselawat dan mencukur rambut. Majlis disusuli pula dengan bacaan Yassin dan tahlil serta doa selamat. Ramai saudara mara, sahabat serta rakan taulan dan ahli qariah seluruh Taman Bukit Indah mengunjungi rumah Pak Ya kebetulan kita masih lagi berada dibulan Syawal 1430H.



Kelihatan Pak Ya dan anak lelakinya Heryanto (Abang) sibuk melayani tetamu. Semoga kelahiran cucunda memberi keceriaan dan kebahagian Pak Ya sekeluarga. Amin, Ya Robbal Alamin.


Antara sedutan dari video:








Gambar-gambar lain boleh dilihat disini;

http://picasaweb.google.com/adinor88/AqiqahPakYa#slideshow



Jazakallah.

Friday, October 9, 2009

Gambar Suasana I'dul Fitri 1430H

Assalamualaikum w.b.t
Selamat Hari Raya I'dul Fitri. Kita masih lagi berada dalam bulan Syawal 1430H. Pada hari Ahad yang lalu kita telah pun meraikan Hari Raya I'dul Fitri anjuran Surau At-Tarbiyyah. Untuk tidak menghampakan tuan/puan semua, sila klik laman web dibawah untuk melihat gambar-gambar menarik sekitar majlis tersebut.
Perhatian:
Tuan/Puan tidak digalakkan untuk muat turun gambar-gambar dari laman web ini bagi tujuan percetakan, kerana mutu gambar yang akan di muat turun nanti adalah tersangat rendah kualitinya. Sila hubungi pihak AJK Surau jika inginkan "imej digital" bagi gambar-gambar yang berkenaan.
Nikmatilah :


Jemputan Majlis Aqiqah 10hb Okt 2009 (Sabtu)

Assalamualaikum w.b.t
Adalah dengan sukacitanya, Tn Hj Zakaria Mohamad (Pak Ya Kedah) menjemput tuan-tuan ahli qariah Surau At-Tarbiyyah ke Majlis Aqiqah Cucundanya pada tarikh dan tempat yang tertera dibawah:
Tarikh : 10hb Okt 2009 (Sabtu)
Masa : 10:30 pagi
Tempat : No-18, Jalan Bukit Indah 2/16, Tmn Bukit Indah
Kehadiran tuan-tuan amat dihargai bagi menyerikan lagi majlis tersebut.
Terima kasih.

Monday, October 5, 2009

Sambutan I'dul-Fitri 2009 Meriah

Assalamualaikum w.b.t

Jazakallah. Semalam 4hb Oktober 2009 bersamaan dengan 15hb Syawal 1430H Sambutan I'dul Fitri 1430 telah diadakan diperkarangan Surau At-Tarbiyyah dengan penuh meriah walaupun sederhana. Ahli qariah mula memenuhi khemah seawal jam 10:30 pagi.

Semuanya berjalan lancar dengan kerjasama seluruh ahli qariah baik tua atau muda, kecil atau besar, semua bekerjasama bergotong royong bagi memastikan majlis berjalan dengan baik. Alhamdulillah, semuanya selamat dan amat membanggakan.

Ramai sungguh tetamu yang hadir. Semuanya ceria dengan anak-anak berpakaian baru ditambah pula ada wang raya dan hadiah. Mak dan ayah yang mengiringi anak-anak tak dapat wang raya tetapi tetap ceria, apatah lagi dengan hidangan kambing, lemang, satay, ketupat dan bermacam-macam lagi.

Tengok ni!! Memang ceria. Abang Haji dan puterinya, dah kena kambing 2-3 ketul, nasi entah berapa pinggan senyum pun dah S E N Y U M _ _ _ _ _ _ _!!!!! Isyhhh... tu baru kambing....

Gambar-gambar suasana Majlis Sambutan I'dul Fitri akan dimuat turun sedikit masa lagi. Harap semua boleh bersabar!!!

Jazakallah.

Tuesday, September 29, 2009

Jemputan Majlis Sambutan I'dul Fitri 1430H


Assalamualaikum w.b.t.

Surau At-Tarbiyyah seperti tahun-tahun yang lalu akan mengadakan satu majlis Sambutan Hari Raya I'dul Fitri bagi tahun 1430H. Berbagai juadah seperti Kurma Kambing, Sate, Lemang, Rendang, Mee Hoon, Air Batu Campur (ABC) dan lain-lain disamping duit raya untuk anak-anak disediakan. Aturcara sambutan majlis tersebut adalah seperti berikut:


Hari : Ahad
Tarikh: 15hb Syawal 1430H bersamaan 4hb Okt 2009

Agenda:

10:30 pagi - 2:00 ptg : Jamuan Makan
1:07 tgh : Solat Zuhur
2:00 ptg : Gotong Royong Pembersihan

Semua ahlii qariah dan keluarga dijemout hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.

AJK Surau At-Tarbiyyah sekali lagi mengucapkan "Selamat Hari Raya I'dul Fitri dan Maaf Zahir Batin" kepada semua ahli qariah dan keluarga.

Friday, September 18, 2009

Selamat Menyambut Hari Raya Idilfitri 1430H


Assalamualaikum w.b.t


Dikesempatan ini, kami semua AJK Surau At-Tarbiyyah mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Idilfitri 1430H kepada semua ahli qariah semoga Hari Raya tahun ini lebih bermakna buat saudara/i sekalian.


Alhamdulillah, dengan berkat Allah s.n.w kita telah pun hampir mengakhiri sebulan berpuasa, bertarawih dan bertadarus bersama-sama. Semuanya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Namun kita hanya merancang tapi Allah jua yang lebih baik perancanganNya.


Dengan itu, kami semua AJK Surau At-Tarbiyyah memohon kemaafan zahir dan batin jika selama ini ada tutur kata dan perbuatan yang menyinggung perasaan mana-mana ahli qariah. Sama-samalah kita meneruskan usaha untuk terus mengimarahkan surau kita.


Akhir kata, Selamat Menyambut Idilfitri Minal Wafa-izin, berhati-hati memandu pulang ke kampung halaman dengan selamat, ingatlah yang tersayang.


Jazakallah.

Wednesday, September 16, 2009

Anugerah Malam Khatam Quran 1430H

Antara gambar-gambar dalam klip video yang sempat disunting untuk tatapan ahli qariah semua. Macam-macam gaya, macam-macam eksyen.... bolehlah , lebih hebat dari Anugerah Grammy Award lagi.... Alhamdulillah..










Tuesday, September 15, 2009

Alhamdulillah, Majlis Khatam Al-Quran sempena tamatnya tadarus Al-Quran dibulan Ramadhan pada tahun ini selamat disempurnakan malam tadi si Surau At-Tarbiyyah selepas solat Tarawih dan Witir bertepatan 25hb Ramadhan 1430H.

Majlis dipengerusikan oleh Tn Hj Syed Salim selaku Pengerusi Surau At-Tarbiyyah dan terima kasih juga kepada Dato' Hj Muhammad Nazir selaku penaung Surau At-Tarbiyyah yang sudi hadir bagi menceriakan lagi majlis.

Bacaan Al-Quran dikemudikan oleh Imam Tn Hj Salleh dan bacaan doa dibacakan oleh Tn Hj Raduan. Selesai bacaan doa, majlis dengan sukacitanya memberi hadiah kepada semua peserta Tadarus dan juga AJK surau yang bertugas sepanjang Ramadhan ini, tanpa mereka maka pincanglah aktiviti dan pengurusan surau .

Kami sempat merakam beberapa keping gambar kenangan yang berlangsung malam tadi.






















Wednesday, September 2, 2009

Alam Mahsyar

  1. Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
  2. Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa”. Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
  3. Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
  4. Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yang disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
  5. Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
  6. Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
  7. Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
  8. Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta’ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
  9. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
  10. Terdapat satu kolam ( حوض‎ ) kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kauthar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
  11. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
    1. Pemimpin yang adil.
    2. Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
    3. Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
    4. Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
    5. Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
    6. Lelaki yang bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
    7. Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
  12. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta’ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
  13. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta’ala. Lalu diperkenankan doa baginda.
  14. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
  15. ‘Arasy ( عرش‎ ) ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
  16. Kursi ( كرسي‎ ) iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
  17. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
  18. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing-masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
  19. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
  20. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
  21. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
  22. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
  23. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
  24. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata-kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
  25. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
  26. Syafaat Nabi Muhammad s.a.w. di akhirat :
    a. Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
    b. Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
    c. Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
    Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta’ala.
  27. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
  28. Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
  29. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
  30. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004