Bagaimana Ingin Dikasihi Allah?
Secara umum kita mengetahui bahawa rahmat Allah begitu luas yang terkadang tidak terjangkau oleh akal fikiran kita dan tidak terhitung banyaknya.
Maka bagaimanakah pula cara-cara untuk mendapatkan rahmat atau kasih sayang Allah? Salah satu caranya adalah dengan berbuat baik dan berlaku ihsan serta mewujudkan sifat kasih sayang sesama manusia.
Manusia yang menyayangi saudaranya, pasti akan dikasihi Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak mengasihi, pasti tidak akan dikasihi oleh-Nya. Pernah terdapat seorang sahabat nabi yang mempunyai sepuluh orang anak, tetapi tidak pernah sedikitpun mencium anak-anaknya, lalu Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia juga tidak akan dikasihi oleh orang lain.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)
Mengasihi anak yatim juga adalah merupakan sifat yang amat dicintai oleh Allah dan Nabi SAW. Adalah menjadi kewajipan kita untuk mengasihi dan memuliakan serta menjaga kebajikan mereka. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:
“Orang-orang yang bertanggungjawab mengurus anak yatim, baik dari keluarga sendiri atau tidak, maka aku dan dia seperti dua jari ini di syurga kelak.” Dan baginda memberi isyarat dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengah (ertinya berdekatan)”.
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Selain itu, berbuat baik serta berlaku ihsan kepada haiwan juga adalah merupakan suatu sifat yang perlu kita semaikan dalam diri kita. Benar, memelihara haiwan ini memang amat dianjurkan dalam Islam, tetapi pemiliknya mestilah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya.
Oleh itu, jika kita ada memelihara haiwan peliharaan di rumah contohnya seperti ikan, kucing, arnab dan sebagainya, berilah makan dan minum kepada mereka dengan secukupnya, jagalah kebajikan mereka dengan baik agar haiwan tersebut dapat meneruskan kelangsungan kehidupannya dengan baik.
Pernah disebutkan dalam hadis bahawa ada pemilik haiwan yang diseksa kerana tidak memberikan hak yang sepatutnya kepada haiwan peliharaannya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Ada seorang wanita yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Wanita itu lalu masuk ke dalam neraka kerana kucing tersebut dikurungnya tanpa diberikannya makan dan minum dan tidak pula dibiarkannya bebas sehingga dia dapat memakan serangga tanah.”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Demikianlah beberapa contoh mudah tentang cara kita bersifat belas kasihan kepada seluruh makhluk Allah SWT di atas muka bumi ini. Oleh kerana itu, kita pasti akan dikasihi oleh Allah dan seluruh penduduk yang ada di langit jika memiliki sifat rahmat dan ihsan kepada seluruh makhluk-Nya. Mudah-mudahan ianya menjadi salah satu sebab untuk kita mendapat 99 lagi rahmat-Nya di Hari Akhirat kelak.
---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---
Thursday, March 18, 2021
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment