---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, March 28, 2025

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Sahih
 
2.  Ramadan adalah bulan anugerah istimewa kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk mendapat keampunan Allah dengan melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, iktikaf, wirid, zikir, istighfar, bersahur, berdoa dan bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa kita yang lalu.

4.  Memuliakan dan berbakti kepada kedua orang tua adalah suatu kewajipan, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tetapi tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka.

5.  Hadis ini memberi peringatan kepada kita mengenai tiga peluang besar yang boleh membawa kepada kebahagiaan dan keampunan Allah, iaitu berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, memanfaatkan bulan Ramadan untuk berdoa dan beribadah, serta berbakti kepada ibu bapa. Orang yang gagal dalam ketiga-tiga perkara ini akan merugikan diri mereka sendiri dan mendapat kecelakaan. Semoga Ramadan yang kita lalui ini benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa

No comments:

Post a Comment