---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Selamat menyambut Maulidul Rasul 1448H.

Friday, August 21, 2026

Selawat Ibrahimi


عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.


Daripada Ka'b ibnu Ujrah RA berkata, bahawa ketika diturunkan Firman Allah SWT: Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya (Surah al-Ahzab: 56) Lalu kami bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu, tetapi bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?". Rasulullah SAW menjawab: Ucapkanlah: "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan limpahkanlah barakah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” Dan perawi Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan (Rahmat) juga kepada kami bersama dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.    Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin.

2.    Menurut Abul Aliyah, yang dimaksudkan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa daripada para Malaikat untuk Nabi SAW.

3.    Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4.    Al-Qurtubi menafsirkan bahawa perintah berselawat dalam al-Quran bukan hanya satu ibadah sunat, bahkan merupakan tanda penghormatan tertinggi kepada Nabi SAW. Selawat kepada Nabi SAW adalah salah satu ibadah yang mendatangkan syafaat daripada baginda di akhirat kelak.

5.    Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Selawat yang afdhal adalah selawat yang dibaca semasa tahiyat akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau dipanggil Selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

6.    Muslim dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

–   صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ

Atau

–   عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

7.    Ibn Rajab menjelaskan: memperbanyakkan selawat akan menambahkan kecintaan kepada Rasulullah SAW; menghidupkan sunnah; membersihkan hati daripada kelalaian; menguatkan hubungan rohani; dan menjadi sebab memperoleh rahmat Allah SWT.
 
8.    Berselawat untuk Nabi SAW menjadi sebab turunnya rahmat Allah dan memperoleh syafaat Nabi. Rabiul Awal, bulan yang mengingatkan kita kepada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Jom banyakkan selawat sebagai satu daripada cara mencintai Nabi kita.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448
 

No comments:

Post a Comment