---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, December 25, 2013

Fadilat Al-Quran - 40 hadith


 


Hazrat Abu Sa'id r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Allah SWT berfirman, "Jikalau sesiapa mendapati tidak ada masa untuk mengingatiKu dan berdoa kepadaKu kerana sibuk dengan Al-Quran maka Aku akan mengurniakan kepadanya perkara yang terbaik yang Aku kurniakan kepada orang yang berdoa kepadaKu.

Ketinggian perkataan Allah SWT ke atas segala perkataan adalah seumpama ketinggian Allah SWT ke atas segala makhluk (ciptaanNya)." (Hadith riwayat Tirmizi, Darimi dan Baihaqi).

Keterangan:
Maksud hadith di atas ialah, seseorang yang sentiasa sibuk menghafal, mempelajari atau memahami Al-Quran sehingga tidak ada masa untuk berdoa maka Allah SWT akan mengurniakan kepadanya sesuatu yang lebih baik daripada yang diberikan kepada orang lain yang berdoa kepadaNya.

Suatu perkara yang lumrah didunia ini ialah apabila ada seseorang yang sedang membahagi-bahagikan kuih muih dan salah seorang yang layak menerima kuih itu sibuk melakukan urusan bagi sipembahagi itu sendiri sehingga menyebabkan dia tidak dapat hadir untuk mendapatkan bahagiannya maka sudah tentu bahagian untuknya akan disimpan terlebih dahulu.

Berkenaan keadaan yang sama seperti hadith di atas, dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa Allah SWT akan mengurniakan kepada orang yang sibuk dengan Al-Quran pahala yang lebih afdal daripada pahala yang diberikan kepada hamba-hambaNya yang bersyukur.

Wednesday, December 18, 2013

Firman Allah SWT Terhadap Orang Yang Memperbanyakkan Solat Sunat

Allah SWT berfirman (dalam hadith qudsi), "Sesiapa yang memusuhi wali-waliKu maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun dapat menghampiri Aku kecuali dengan apa yang Aku telah fardukan kepadanya. (Yakni, penghampiran kepada Allah SWT paling banyak dapat dihasilkan dengan menunaikan segala amalan yang fardu).

Dengan perantaraan amalan sunat seseorang hamba itu akan berterusan dapat menghampiriKu sehingga Aku menjadikan kekasihKu. Kemudian Aku akan menjadi telinganya yang dia mendengar dengan telinga itu.

Aku akan menjadi matanya yang dia melihat dengan mata itu. Aku akan menjadi tangannya yang dia memegang dengan tangan itu. Aku akan menjadi kakinya yang dia berjalan dengan kaki itu. Sekiranya dia meminta sesuatu daripadaKu pasti Aku tunaikan dan sekiranya dia meminta perlindungan daripadaKu terhadap sesuatu, pasti Aku akan melindunginya." [Jam'ul-Fawaid].

Keterangan:
Maksud 'menjadikan mata dan telinga......' ialah penglihatan, pendengaran dan pergerakannya akan mengikut kesukaan Allah SWT dan tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku bertentangan dengan keredaan Allah SWT.

Alangkah bertuahnya mereka yang mendapat taufik untuk memperbanyakkan amalan sunat setelah menunaikan amalan fardu dan seterusnya mendapat kelebihan ini. Semoga Allah SWT dengan limpahanNya mengurniakan kelebihan in ikepada saya dan semua rakan saya.

Sunday, December 15, 2013

Keghairahan Mendirikan Solah Serta Khusyuk dan Khuduk Dalam Solah - Rasulullah SAW Bersolah Sepanjang Malam

Seseorang telah memohon kepada Hazrat 'Aishah r.anha, "Ceritakanlah kepadaku apakah perkara yang aneh yang kamu lihat pada diri Rasulullah s.a.w?" Beliau menjawab, "Adakah perkara yang tidak aneh pada diri Rasulullah? Setiap perkara yang dilakukan oleh Baginda s.a.w ialah aneh.

Pada suatu hari, Baginda s.a.w telah pulang pada waktu malam dan terus berbaring di sisi saya. Kemudian Baginda s.a.w bersabda, "Biarkanlah aku. Aku ingin beribadat kepada Tuhanku."

Setelah berkata demikian, Baginda s.a.w terus berdiri bersolah dan Baginda s.a.w mula menangis sehingga air mata membasahi dada Baginda s.a.w. Kemudian Baginda s.a.w rukuk. Dalam rukuk pun Baginda s.a.w terus menangis. Kemudian Baginda s.a.w sujud.

Dalam sujud pun demikian juga, Baginda s.a.w terus menangis. Setelah bangun daripada sujud pun, Baginda s.a.w masih menangis, sehinggalah Hazrat Bilal datang melaungkan azan untuk solat Suuh.

Saya telah bertanya, "Ya Rasulullah, tuan menangis begitu banyak sekali sedangkan tuan ialah maksum - segala dosa dahulu dan sekarang (kalau ditakdirkan ada sekali pun) telah diampunkan oleh Allah SWT. Baginda s.a.w menjawab, "Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?"

Selepas itu Baginda s.a.w bersabda, "Betapa tidak aku melakukan demikian sedangkan hari ini ayat-ayat ini telah diturunkan kepadaku:



"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah SWT semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata), "Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka"
(Al-Imran : ayat 190 & 191)

Terdapat dalam beberapa hadith bahawa Rasulullah s.a.w bersolah begitu lama sehingga kaki Baginda s.a.w menjadi bengkak kerana terlalu lama berdiri. Orang ramai bertanya, "Ya Rasulullah, tuan begitu bertungkus-lumus sedangkan tuan sudah diampunkan? "Baginda s.a.w bersabda. "Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" [Bukhari].

Wednesday, August 14, 2013

Struktur Organisasi Terbaru Pengurusan Surau At-Tarbiyyah

Struktur Organisasi terbaru Surau At-Tarbiyyah bagi perlantikan 2013


Tuesday, August 6, 2013

Zikir Munajat dan Zikir Taubat


Zikir Munajat & Zikir Taubat 

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
Maha Suci Allah dan segala pujian bagi Allah serta tidak ada Tuhan
melainkan Allah dan Allahlah Yang Maha Besar
اللهُ ، اللهُ ، اللهُ ، يَا اللهُ
Allah , Allah , Allah , Ya Allah
حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ ، مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ ، نُوْرُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku , Tiada di dalam
hatiku melainkan Allah dan nur (cahaya) Muhammad s.a.w.
تُبْنَا إِلَى اللهِ وَرَجَعْنَا إِلَى اللهِ وَنَدِمْنَا عَلَى مَا فَعَلْنَا
Kami bertaubat kepada Allah dan kami kembali kepada Allah , dan kami menyesal
di atas apa yang telah kami lakukan
فَسُبْحَانَ مَنْ لاَ يَقْدِرُ الْخَلْقُ قَدْرَهُ
Maha Suci Allah Yang mana tiada kekuasaan makhluk yang boleh mengatasi kekuasaan-Nya
وَمَنْ هُوَ فَوْقَ الْعَرْشِ فَرْدٌ مُوَحَّدٌ
(Iaitu) Dialah satu-satunya yang bersemayam di atas ‘arasy yang diesakan
مَلِيْكٌ عَلَى عَرْشِ السَّمَاءِ مُهَيْمِنُ
Raja Maha Gagah Yang Menguasai kerajaan langit
لِعِزَّتِهِ تَعْنُو الْوُجُوْهُ وَتَسْجُدُ
Kerana kebesaran-Nya itu (maka) tunduk dan sujudlah segala makhluk (wajah-wajah)
حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ  ، مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ ، نُوْرُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ
Cukuplah Allah Yang Maha Agung sebagai Tuhanku , Tiada di dalam
hatiku melainkan Allah dan nur (cahaya) Muhammad s.a.w.
لَيْسَ لَهَا مِنْ دُوْنِ اللهِ كَاشِفَةٌ
Tidak ada yang lain (dihatiku) melainkan Allah sebagai tempat pemberi hidayah
لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ الْمُبِيْنُ
Tiada Tuhan melainkan Allah Raja Yang Maha Besar
مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ اللهِ صَادِقُ الْوَعْدِ اْلأَمِيْنُ
Nabi Muhammad itu Rasul Allah yang benar segala janji-janjinya lagi dipercayai
أَسْتَغْفِرُ اللهَ إِنَّ اللهَ كَانَ تَوَّابًا
Aku memohon ampun daripada Allah sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat
إِلَهِيْ لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلاً
Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga Mu
وَلاَ أَقْوَى عَلَى نَارِ الْجَحِيْمِ
Namun tak pula aku sanggup ke neraka Mu
فَهَبْ لِيْ تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوْبِيْ
Ampunkan dosa ku terimalah taubat ku dan ampunkan dosa-dosaku
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنْبِ الْعَظِيْمِ
Sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar

Monday, August 5, 2013

Selamat Hari Idilfitri 1434H

Assalamualaikum w.b.t
Ramadhan telah pun hampir kepenghujungnya. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum kita menyambut 1 Syawal 1434H pada 8hb Ogos 2013 bersamaan dengan hari Khamis. Adakah Ramadhan kita pada tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun-tahun kebelakangan?

Alhamdulillah, Surau At-Tarbiyyah masih lagi dipenuhi oleh ahli qariah yang berlumba-lumba mengerjakan solat sunat Tarawih. Majlis Khatam Quran baru sahaja diadakan pada hari Jumaat lepas 2hb Ogos 2013. Ahli-ahli dan AJK yang mengambil bahagian telah menerima cenderahati sebagai tanda terima kasih daripada pihak surau.

Semoga program tadarus Al-Quran ini menjadi permulaan dan pendorong ahli-ahli qariah menyertai kelas-kelas Al-Quran yang diadakan selepas solat maghrib di Surau At-Tarbiyyah. Mempelajari Al-Quran adalah wajib bagi muslimin dan muslimat. Al-Quran itulah yang akan memberi syafaat dan menjadi teman kepada kita di alam barzakh nanti.

Kehadiran jemaah mengerjakan solat-solat fardu secara berjemaah begitu membanggakan dan adalah menjadi harapan agar perkara yang baik ini diteruskan dari masa ke semasa. AJK dan pengurusan tertinggi surau mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua ahli qariah Taman Bukit Indah. Berhati-hatilah ketika pulang memandu ke kampong halaman, semoga bertemu lagi selepas sambutan Hari Raya. Wassalam.


Saturday, March 16, 2013

Mesyuarat Khas Pencalonan

Assalamualaikum w.b.t. Mesyuarat Khas Pencalonan AJK Surau At-Tarbiyyah akan diadakan pada 21hb Mac 2013 bermula jam 8 malam di Dewan Solat, Surau At-Tarbiyyah. Semua ahli qariah dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada mana-mana ahli qariah yang dicalonkan bagi memperkukuhkan pengurusan surau yang kita sayangi.

Lantiklah mereka dikalangan orang-orang yang amanah dan ikhlas untuk menjalankan urusan surau. Semoga lantikan tuan/puan dapat membantu menggerakkan surau ke tahap yang lebih baik lagi. Sayugia diingatkan bahawa pencalonan kali ini tiada undian. Semua akan ditentukan oleh pihak JAIS. Insyallah..

Sunday, February 17, 2013

Cintai Rasulullah SAW - Ust Fauzi Mustaf

Alhamdulillah. Hajat pihak pengurusan untuk membawa Ust Fauzi Mustafa ke Surau At-Tarbiyyah akhirnya tercapai juga. Tanggal 14hb Feb 2013, bersamaan hari Khamis malam Jumaat, Ustaz Fauzi Mustafa yang terkenal dalam rancangan Al-Kuliyyah TV9, telah sudi meluangkan masa bersama ahli jemaah Surau At-Tarbiyyah bagi menyampaikan tazkirah.

Terima kasih kepada Ustaz Zamri yang telah berusaha membawa Ust Fauzi ke Surau At-Tarbiyyah. Dengan topik Kecintaan kepada Rasulullah SAW, beliau menekankan 3 perkara utama iaitu Cintanya Rasulullah SAW kepada umatnya, Bagaimana cintanya umat kepada Rasulullah dan apa untungnya dengan mencintai Rasulullah SAW.

Tazkiran dimulakan dengan detik-detik kelahiran Rasulullah SAW dan ketokohan baginda disamping sahabat-sahabat baginda yang terpilih. Bagaimana baginda mengetahui Perang Badar dan Uhud, apakah kesan jika ingkar arahan baginda dan kesan menuruti arahan baginda.

Bagaimana kisah para sahabat begitu cinta kepada Rasulullah SAW tanpa banyak bicara dengan penuh rela mati syahid demi Rasulullah SAW dan agama Allah. Adakah kita juga mencintai Rasulullah SAW sepertimana para sahabat, sedangkan kita tidak pernah menemui Rasulullah SAW?

Siapa juga yang mengaku dirinya Islam, maka wajib kita mencintai Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah begitu menitikberatkan keselamatan umatnya sehingga hampir wafat pun, baginda masih lagi memikirkan pasal umatnya.

Untuk lebih merasa cinta kita terhadap Rasulullah SAW, eloklah kita mengetahui Sirah Rasulullah SAW serba sedikit dengan banyak membaca buku-buku Sirah yang ditulis oleh ramai ulama yang terdahulu. Wallahuwaklam.

Sunday, January 27, 2013

Sambutan Maulidul Rasul 1434H

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, sambutan MaulidulRasul peringkat Masjid Bukit Indah telah selamat diadakan pada 24hb Jan 2013 yang lalu bertempat di Masjid Bukit Indah, Ampang.

Berbagai acara telah dijadualkan termasuk berselawat, berzanji, marhaban, pertandingan melukis peringkat kanak-kanak dan juga gerai-gerai jualan. Memang meriah sungguh dengan cuaca yang terang benderang. Tidak ketinggalan juga disampaikan Anugerah Tokoh Guru dan Murid bagi tahun 1434H.

Berikut adalah sedikit gambar yang sempat dirakam pada hari tersebut.





























Monday, January 14, 2013

Tahniah Tn Hj Radzuan dan Hjh Azirah

Tahniah kepada pasangan Tn Hj Radzuan bin Ahmad dan Pn Hjh Azirah bt Ibrahim, yang telah selamat melangsungkan perkahwinan puteri kesayangan mereka Ramizah binti Radzuan dan pasangannya Mohd Zulhimi bin Ujang.

Kedua-dua mempelai telah selamat diijabqabulkan pada hari Ahad 13hb Jan 2013 pada jam 11:15 pagi di Masjid Bukit Indah, Ampang. Sebelum itu Majlis Doa Selamat telah diselamat diadakan pada hari yang sama jam 9:30 pagi di rumah beliau, diiringi hujan rahmat yang gerimis.

Para tetamu telah diraikan pada jam 12:00 tengahari dengan dijamukan nasi minyak Faris Catering, dengan dibantu oleh semua AJK Surau At-Tarbiyyah. Para AJK bertungkus lumus memastikan semua aturcara berjalan lancar. Ada yang jadi penyambut tetamu, menyelia lauk pauk, menjaga lalulintas, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.

Pendek kata, tuan rumah tak perlu risau, semuanya ditanggung beres. Cuaca yang redup selepas hujan, menyenangkan para petugas dan tetamu. Dianggarkan lebih daripada 2000 tetamu yang hadir. Sekali lagi tahniah Tn Hj Raduan dan Hjh Azirah.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakam untuk ingatan ahli qariah sekalian.

 
 
 
 
 
 
 
 



Saturday, January 5, 2013

Wednesday, January 2, 2013

Kenapa aku malas sembahyang






Kenapa aku malas sembahyang,
Allah bagi aku jasad siap bayang-bayang,
Bukan ke lebih beruntung daripada sebatang tiang,
Berdiri tanpa roh malam siang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Kerja dah ada hidup pun dah senang,
Makan minum mudah, sapu saja apa terhidang,
Takkan 5 minit 5 waktu pun aku tak boleh luang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Allah bagi aku otak supaya tak bangang,
Allah bagi aku ilmu boleh fikir susah senang,
Allah bagi nikmat kenapa aku tak kenang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Main bola aku sanggup main sampai petang,
Beli tiket konsert aku sanggup beratur panjang,
Syurga itu bukan boleh dimasuk tanpa perhitungan,

Kenapa aku malas sembahyang,
Kena ingat umur kita bukannya panjang,
Pagi kita sihat petang boleh kejang,
Nanti dalam kubur kena seksa sorang-sorang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Sedut asap rokok panjang-panjang,
Katanya boleh memberi ilham,
Nikmat Allah tak terlintas untuk di bilang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Siksa neraka cubalah kita bayang,
Perjalanan akhirat memang terlalu panjang,
Janji Allah SWT akan tertunai tiada siapa boleh halang,

Kenapa aku malas sembahyang,
Bukannya kena pergi berperang,
Bayangkan jika kita sudah terlentang,
Kawan sekeliling belum tentu datang.

Kenapa aku malas sembahyang,
Tahun 2013 sudah pun datang,
Ubahlah sikap ubahlah fikiran,
Supaya Allah bertambah sayang.

Bila jasad sudah di kafan,
Walau kita malas sembahyang,
Kita tetap akan DI SEMBAHYANG,
Tunggu lah saja azab dan balasan.


Selamat tahun baru 2013.