---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, August 15, 2012

Majlis Khatam Al-Quran 1433H

Syukur kehadrat Allah SWT dengan izinNya, malam tadi 14hb Ogos 2012 bersamaan 25 Ramadhan 1433H, berlangsungnya Majlis Khatam Quran Surau At-Tarbiyyah, Taman Bukit Indah. Majlis bermula setelah selesai solat sunat Taraweh yang dipimpin oleh Imam Tn Hj Raduan dan Tn Hj Salleh.

Tn Hj Raduan pada ucapan aluannya, mengalu-alukan lebih banyak penyertaan pada masa akan datang memandangkan betapa pentingnya Al-Quran bagi umat Islam yang mengaku dirinya seorang Islam. Tiada rahmat yang diperolehi selain daripada membaca dan memahami qalam Allah, apa juga yang ada didunia ini telah diterjemahkan oleh Al-Quran sejak azali lagi, malah ia dikaji oleh orang-orang bukan Islam kerana mengetahui kebenaranNya meskipun mereka tidak beriman.

Majlis Khatam dimulakan dengan bacaan Surah Ad-Dhuha dan diakhiri dengan Surah An-Nas. Pada tahun ini penyertaan kaum ibu atau muslimah paling ramai iaitu hampir 36 orang. Syabas kita ucapkan pada kaum ibu yang begitu komited dalam bulan Ramadhan Al-Mubaraq ini.

Tidak  kurang juga penyertaan dari anak-anak, saban tahun peningkatan penyertaan mereka amatlah membanggakan. Bagi kaum bapa, seperti biasa penyertaan masih lagi ditakuk lama iaitu terhad kepada penyertaan tahun-tahun sebelumnya. Insyallah, adalah diharapkan, penyertaan tahun hadapan lebih memberangsangkan. 

Sumbangan kain pelikat dan wang raya telah disampaikan oleh Tn Hj Hamzah, Bendahari kita. Tidak ketinggalan saban tahun, sumbangan ikhlas oleh Tn Hj Abd Rahman kepada anak-anak yang menyertai Tadarus Al-Quran. Tahniah kepada semua yang mengambil bahagian, semoga amalan ikhlas kita diterima Allah dan mendapat ganjaran yang berlipat ganda. Insyallah.

Berikut adalah beberapa gambar yang sempat dirakam buat kenang-kenangan. Jazakallah















Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim NurHati dan Nurul Hasanah

 Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT dengan limpah kurniaNya, Majlis Iftar bersama anak-anak yatim Nur Hati dan Rumah Kasih Nurul Hasanah telah selamat diadakan pada hari Ahad yang lalu 12hb Ogos 2012 bersamaan 23 Ramadhan 1433H, bertempat di Surau At-Tarbiyyah, Tmn Bukit Indah, Ampang.

Majlis bermula agak lewat pada jam 6:40 petang kerana kelewatan ketibaan anak-anak yatim yang diraikan, namun begitu majlis telah selamat dan sempurna dijalankan. Jumlah kesemua anak-anak yatim termasuk ibu tunggal dan OKU adalah berjumlah 65 orang, tetapi yang hadir lebih kurang 40 orang sahaja.

Sumbangan telah disampaikan oleh YBhg Dato' Mohamad Nazir Meraslam yang telah sudi bersama-sama hadir sejak jam 6:00 ptg lagi. Sumbangan seterusnya disampaikan oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Ir Tn Syed Salim b Syed Abu Bakar.

Majlis telah dipengerusikan oleh Imam Tn Hj Raduan dan bacaan doa telah dibacakan oleh Imam Kol Amran. Dikesempatan majlis ini juga, tazkirah pendek telah disampaikan oleh YBhg Dato' Ir Hj Ghazali Omar.

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma individu atau pun syarikat yang telah bersama-sama menjayakan Majlis Iftar bersama anak-anak yatim kali ini, semoga Allah sahajalah yang membalasnya. Insyallah.

Berikut adalah sebahagian gambar-gambar yang sempat dirakam. Jazakallah.


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


Sunday, August 12, 2012

Majlis Iftar bersama Anak-anak Yatim

Alhamdulillah, segala pujian kepada Allah SWT, dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi diberi peluang untuk terus berada dibulan Ramadhan Al-Mubaraq ini yang hanya berbaki beberapa hari saja lagi. Bulan yang penuh keberkatan, rahmat dan dijauhkan dari api neraka.

Seperti kebiasaannya, Surau At-Tarbiyyah akan mengadakan Majlis Iftar bagi meraikan Anak-Anak Yatim Nur Hati dan Nurul Hasanah pada hari Ahad, 12hb Ogos 2012 di Surau At-Tarbiyyah bermula jam 6:00ptg. Mengikut maklumat yang diperolehi, seramai 70 orang anak-anak yatim akan diraikan bersama esok.

Majlis penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim bagi meringankan beban mereka juga akan diadakan disamping berbuka bersama mereka. Kepada semua ahli qariah yang berkelapangan, sukacitanya dijemput bersama-sama bagi meraikan mereka semua.

Sekian