---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Sunday, January 12, 2014

Fadhilat Membaca Al-Quran 2

Hazrat Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, "Perumpamaan seseorang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti limau manis, berbau sedap dan rasa limau itu manis. Perumpamaan seseorang mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar, sungguhpun tidak mempunyai bau namun berasa manis.

Perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran adalah seumpama buah 'peria pahit', buah ini tidak mempunyai bau dan berasa pahit. Perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran adalah seperti bunga 'raihanah' berbau harum tetapi berasa pahit. (Hadith riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Ibnu Majah).

Keterangan:
Hadith ini bermaksud membandingkan perkara yang tidak nyata (abstrak) dengan perkara yang nyata (konkrit) supaya perbezaan antara membaca dan tidak membaca Al-Quran mudah difahami oleh akal fikiran.

Walaupun demikian, kemanisan dan keharuman Al-Quran tidak boleh dibandingkan sama sekali dengan dengan limau manis dan buah tamar. Walau bagaimanapun, dalam perbandingan ini terdapat perkara-perkara khusus yang berkaitan dengan ilmu-ilmu kenabian dan kenyataan tersebut menjelaskan keluasan ilmu Nabi Muhammad SAW. 

Sebagai contoh ialah buah limau manis. Buah limau manis yang dimakan akan mewangikan mulut, membersihkan perut, menguatkan penghadaman dan lain-lain manfaat lagi. Nilai-nilai ini mempunyai kaitan yang rapat dengan pembacaan AL-Quran, contohnya mewangikan mulut, membersihkan batin (jiwa) dan menguatkan rohani.

Manfaat-manfaat ini diperolehi melalui pembacaan Al-Quran dan mempunyai banyak persamaan dengan sifat-sifat limau manis yang telah dinyatakan sebelum ini. Dikatakan juga bahawa terdapat kesan yang khusus pada limau manis, iaitu jika limau ini ada di dalam sesebuah rumah maka jin tidak dapat memasuki rumah tersebut.

Jika ini benar, maka limau ini mempunyai persamaan manfaat yang khas seperti Al-Quran. Saya mendengar daripada sesetengah ahli perubatan bahawa limau manis juga menguatkan ingatan. Selanjutnya dipetik daripada kitab 'Ihya Ulumuddin, daripada riwayat Hazrat Ali r.a bahawa 3 perkara menguatkan ingatan, iaitu pertama membersihkan gigi dengan miswak, kedua berpuasa dan ketiga membaca Al-Quran.

Dalam kitab Abu Daud, hadith ini telah diriwayatkan dengan sedikit tambahan yang sangat berfaedah, iaitu sahabat yang baik adalah seumpama penjual kasturi, sekiranya kamu tidak mendapat kasturi daripadanya pun, sekurang-kurangnya kamu dapat menghidu bau kasturi yang harum.

Kawan yang jahat adalah seumpama penjaga dapur arang, walaupun tidak terkena kesan hitam, masih tidak dapat mengelak daripada asap dapur itu. Ini adalah satu perkara yang sangat penting seseorang itu hendaklah selalu meneliti kawan-kawannya, orang yang jenis manakah yang sentiasa dia berkawan dan bercampur gaul?