---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, April 18, 2025

Berakhlak Dalam Pertuturan


عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (kematian ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu kematian dan laknat!. Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu mencintai kelembutan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(HR Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kelembutan dalam semua perkara termasuk semasa kita dihina atau marah. Kelembutan dalam pertuturan membantu meredakan ketegangan dan menjaga hubungan.

3.  Walaupun orang lain mungkin bersikap kasar atau menghina kita, Islam mengajarkan kita untuk tidak membalas keburukan dengan keburukan. Sebaliknya, kita hendaklah menunjukkan akhlak yang baik dan bersabar. Hal ini adalah cara yang lebih mulia dan akan menerima ganjaran di sisi Allah.

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا


Maksudnya: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. Malangnya rata-rata di media sosial hari ini komen berbentuk celaan, makian, umpatan serta fitnah telah menjadi makanan harian.

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

Thursday, April 17, 2025

Derhaka kepada ibubapa

Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan dipandang oleh Allah SWT dan pahala amalannya menjadi sia² di sisi-Nya. Rasulullah ﷺ bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يَقْبَلُ اللهُ مِنْهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا: عَاقٌّ، وَمَنَّانٌ، وَمُكَذِّبٌ بِالْقَدَرِ

"Tiga golongan yang Allah tidak akan menerima dari mereka amalan wajib dan sunat mereka pada hari Kiamat kelak; derhaka kepada orang tuanya, mengungkit² sedekah pemberiannya dan mendustakan takdir."
(Riwayat Ibn Abi Ashim)

Antara bentuk sifat derhaka adalah menimbulkan sesuatu yang tidak disukai oleh kedua ibu bapanya, baik dengan perkataan (ucapan) atau pun perbuatan yang membuat orang tua itu sedih atau sakit hati.

MUTIARA KATA
°<><><><><><>°
Ya Allah, aku tidak punya apa²pun yang boleh ku tunjukkan, namun aku berharap Engkau menyukai salah satu kebaikanku walau kebanyakan yang aku miliki adalah "dosa".