---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Selamat Menyambut Tahun Baru 2016 semoga kita sentiasa mendapat keberkatan Allah.

Wednesday, November 17, 2010

Sambutan Idil-Adha dan Korban

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar. Walillah hilham.

Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke 10, 11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah setiap tahun.

Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.

Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalendar Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada kebiasaannya solat sunat Aidiladha dicepatkan sedikit berbanding solat sunat Aidilfitri. Hikmahnya dicepatkan sedikit waktu solat sunat Aidiladha adalah bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri pula adalah bagi memberi peluang bagi mereka yang belum membayar zakat menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid.


Hadis-hadis Rasulullah saw:

  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: "Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)
  • Berdasarkan kepada hadis (terjemahan) “Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: "Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih."
  • Berdasarkan sebuah hadis (terjemahan) Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a: Diriwayatkan daripada Ibnu Juraij katanya: Aku telah diberitahu oleh Ata' daripada Ibnu Abbas dan Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a kedua-duanya berkata: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri) dan sembahyang Hari Raya Korban (Aidiladha). Selepas beberapa ketika aku bertanya Ata' tentang perkara tersebut: Lantas dia menjawab dengan berkata: Aku telah diberitahu oleh Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a bahawa: Tidak ada azan bagi sembahyang Hari Raya Fitrah (Aidilfitri), baik ketika imam keluar atau sesudahnya. Juga tiada iqamat atau apa-apa pun.

Hari ini 17hb Nov 2010 bersamaan 10 Zulhijjah 1431H, Surau At-Tarbiyyah juga tidak ketinggalan mengadakan Solat Sunat Idil-Adha dan menjalankan ibadah korban seperti yang dituntut.

2 ekor lembu (14 bahagian) dan 4 ekor kambing (Sumbangan CELCOM) telah ditumbangkan. 6 bahagian lembu lagi disalurkan kepada penduduk Kemboja melalui Al-Ameen Serve Holding.

Majlis Solat Sunat Idil-Adha bermula jam 8:15 pagi diimamkan oleh Ust Syukri Hj Salleh. Khutbah Idil-Adha yang dibacakan oleh imam juga banyak berkisar mengenai sejarah dan tuntutan korban dalam Islam.

Tepat jam 9.00 pagi, acara korban telah dimulakan diketuai oleh Tn Hj Fadzil b Hj Bidin. 4 ekor kambing sumbangan CELCOM telah ditumbangkan dan dilapah beramai-ramai oleh para jemaah secara gotong-royong. Berkat kerjasama dan ukhwah sesama jemaah, semua yang berat menjadi ringan, semua yang susah menjadi senang, dalam 30 minit, semua kambing telah siap dilapah.

Tepat jam 9.30 pagi lembu korban yang ditunggu sejak semalam telah pun tiba diperkarangan surau. Pihak Gembala Resources memohon maaf atas kelewatan menghantar lembu seperti yang dijadualkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Orang yang paling lega dengan ketibaan 2 ekor lembu korban itu adalah Setiausaha kita. Sejak petang semalam para jemaah dan AJK menunggu ketibaan 2 ekor lembu dari Meru, Klang ini. Setiausaha yang telah diamanahkan untuk berunding dengan Gembala Resources nampak tidak senang duduk sehingga tidak dapat melelapkan mata semalaman kerana menunggu 2 ekor lembu yang tak kunjung tiba.

Alhamdulillah, berkat doa semua, akhirnya 2 ekor lembu korban telah pun tiba dan anggaplah semua itu adalah dugaan Allah swt. Bolehlah setiausaha senyum sikit!!!!!!!!

Lembu pertama yang diturunkan dari lori nampak begitu liar dan bengis, maklumlah seharian terkurung dalam lori. Sebaik sahaja turun dari lori, lembu tersebut mula mengamuk dan tali yang mengikat lehernya telah pun putus, apa lagi semua jemaah mula mengambil tempat berlindung.

Setelah bertarung hampir 30 minit, akhirnya lembu tersebut telah selamat ditumbangkan disembelih oleh Tn Hj Fadzil kita dangan bantuan ahli jemaah lain. Alhamdulillah. Lembu terakhir siap disembelih lebih kurang jam 10.30 pagi.

Para jemaah bertungkus lumus melapah, memotong daging untuk ditimbang dan diagihkan kepada para jemaah, dan diasingkan sebahagiannya untuk dimasak. Tn Hj Salleh telah ditugaskan untuk memasak nasi putih, sup tulang lembu, daging lembu goreng, manakala Saudara Ariff pula ditugaskan untuk memasak gulai kambing ala Kandahar, Afghanistan.

Tepat jam 12.30 tengahari, kerja-kerja memasak telah pun selesai dan selepas solat zohor secara berjemaah, semua jemaah dihidangkan dengan masakan panas daging korban. Mmmmm.... seronok makan beramai-ramai ni.... Alhamdulillah...

Majlis berakhir jam 3.30 petang apabila kerja-kerja pembersihan selesai. Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jemaah yang turut serta memberi tenaga bagi menjayakan ibadah korban kali ini. Terima kasih juga kepada semua peserta korban yang terlibat.

Terima kasih juga kepada CELCOM atas sumbangan 4 ekor kambing bagi tujuan korban.

Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Walilla-hilham.

Antara gambar-gambar menarik sepanjang ibadah korban:

Ehhh!!! Ni bukan Al-Qaeda.... jangan salah faham pulak... Al-Qaeda tak main baldi tau... hehehe.. Ni Tn Hj Fadzil, penyembelih utama korban... awat Hj.. penat ke dok risau lembu liar tu...

Tuesday, November 16, 2010

Majlis Solat Hajat HAS-RAZ

Syukur kehadhrat Ilahi, majlis solat hajat, bacaan Yassin dan tahlil, hajat daripada HASRAZ (Tn Hj Razi dan Hj Hassan) telah selamat diadakan di ruang premis mereka iaitu di HASRAZ Western Food & Beverage, Ampang Waterfront.

Jemaah mula memenuhi setiap ruang premis selepas solat Isyak. Tn Hj Radzuan telah sudi mengetuai Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yassin serta tahlil arwah. Semoga Allah memberkati usaha mereka, memberkati perniagaan mereka agar bertambah maju dan sukses, dijauhkan hasad dengki dan prasangka buruk, memperolehi keuntungan berlipat ganda dan sentiasa menyediakan makanan yang halal lagi baik dan bersih kepada tetamu yang berkunjung. Amin.

Berikut adalah beberapa foto yang sempat dirakam:


Sunday, November 14, 2010

Gotong Royong Persediaan Hari Idil-Adha 1431H



Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah S.N.W dengan limpah rahmatNya, majlis gotong royong yang dirancang telah selamat diadakan di Surau At-Tarbiyyah pada hari ini 14hb Nov 2010 tepat jam 9.00 pagi.

Kerja-kerja menyediakan lubang sembelihan, menyusun atur batu bata ditepi setor, mencantas dahan pokok yang mengancam keselamatan jemaah dan membersihkan peti sejuk beku telah di laksanakan dengan jayanya.

Pada kali ini 2 ekor lembu (14 bahagian) dan 4 ekor kambing(sumbangan Celcom) akan ditumbangkan pada Hari Raya Idil-Adha nanti. Manakala 5 bahagian kurban lagi disumbangkan melalui Al-Ameen Holding untuk ahli qariah di Kemboja.

Semoga ibadah kurban yang dilakukan mendapat hidayah dan rahmat dari Allah S.N.W. Bersama-samalah kita hadir beramai-ramai untuk Solat Sunat Idil-Adha jam 8.00 pagi dan seterusnya acara ibadah kurban pada Hari Raya Idil-Adha nanti, 17hb Nov 2010.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat diambil ketika gotong royong pagi tadi: