عَنْ سَهْلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُونَ فَيَقُومُونَ لَا يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ
Daripada Sahl RA, Nabi SAW telah bersabda: "Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa. Tidak akan ada seorangpun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Lalu dikatakan kepada mereka; Mana orang yang berpuasa?, maka orang yang berpuasa berdiri menghadap. Tidak akan ada seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut selain mereka. Apabila mereka telah masuk semuanya, maka pintu itu ditutup dan tidak akan ada lagi seorang pun yang masuk melewati pintu tersebut". (HR Bukhari No: 1896) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Sesungguhnya ujian daripada puasa itu amat besar dan kedudukannya di sisi Allah SWT sangat mulia di mana Allah SWT menyediakan pintu khas memasuki syurga yang dinamakan Ar-Rayyan kepada orang yang berpuasa. Malaikat yang menjaga pintu tersebut akan menyeru dan memanggil orang yang berpuasa untuk dimasukkan ke dalam syurga melaluinya dan tiada yang dapat melaluinya melainkan mereka yang layak sahaja.
2. Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim menyebut: Hadis ini menunjukkan kelebihan puasa dan kemuliaan orang yang berpuasa.
3. Pintu tersebut dinamakan “Ar-Rayyan” yang berasal dari kalimah “Array” dari segi bahasa membawa maksud titisan air hujan yang pertama. Kiasan kepada orang yang berpuasa apabila memasukinya akan hilanglah segala kehausannya selama-lamanya sebagaimana apabila kita sesat di padang pasir yang panas dalam keadaan kehausan dan apabila disebutkan air maka akan terasa kehausan itu semakin berkurangan walaupun sebenarnya kita belum meminumnya lagi. Bayangkanlah apabila kita dapat menikmati air tersebut tatkala kehausan. Betapakah nikmatnya tidak dapat diperkatakan.
4. Al-Rayyan membawa maksud: Orang yang tidak merasa dahaga. Ia kalimah atau sifat yang sangat sesuai kepada orang yang berpuasa.
5. Berkata Mulla al-Qari: “Maksud al-Rayyan itu sama ada dirinya sendiri tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang berada di sampingnya atau kerana yang sampai kepadanya (memasukinya) akan hilang rasa dahaga pada hari kiamat.”
6. Syurga itu indah dan terlalu mahal harganya. Sudah pasti untuk memasukinya memerlukan rahmat Allah SWT yang Maha Luas. Di bulan Ramadhan ini, rahmat Allah SWT mencurah-curah untuk hamba-Nya yang berpuasa dan sudah disediakan kepada orang yang berpuasa satu pintu untuk memasukinya. Orang yang berpuasa Ramadan, pada hari kiamat akan memasukki syurga melalui pintu Ar-Rayyan (pintu yang dikhaskan kepada orang yang berpuasa).
Ayuh kita laksanakan ibadah puasa dengah sungguh-sungguh, semoga kita menjadi salah seorang yang akan memasuki syurga melalui pintu ar-Rayyan.
---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---
Wednesday, March 5, 2025
Ar-Rayyan Pintu Khas Syurga Untuk Orang Berpuasa
Bersediakah kita dengan Ramadhan
Dari Abu Hurairah RA. Rasulullah SAW bersabda:
قد جاءكم رمضان شهر مبارك الفترض الله عليكم صيامة تفتح فيه أبواب الجنة
ويغلق فيه أبواب الحجيم
Maksudnya: Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan, Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa, pada bulan itu Allah membuka segala pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka. (Riwayat Ahmad)
Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan. Berkat bermaksud bertambah-tambah kebajikan dan pahala. Biarpun melakukan amalan yang sedikit tetapi Allah menjanjikan gandaan pahala yang cukup besar. Cuma adakah kita cukup bersedia merebut semua ganjaran yang diberikan itu? Ya bergantung kepada persediaan kita dalam menghadapi bulan yang berkat ini.
Terdapat sekurang-kurangnya empat persiapan penting untuk menyambut bulan Ramadan:
Pertama: Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan ini dalam keadaan sihat sejahtera. Apabila tubuh badan kita berada dalam keadaan sihat, kita dapat melaksanakan semua ibadah dengan sempurna; puasa, solat tarawih, tilawah dan sebagainya.
Kedua; Timbulkan rasa ghairah dan bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan. Wujudkan suasana yang ceria di dalam rumah. untuk menghadapi Ramadan seperti melekatkan poster-poster galakan ibadah dan kelebihan Ramadan di dinding dan pintu, membeli CD al-Quran yang baru, memasang CD al-Quran dan membuat halaqah al-Quran sebagainya.
Ketiga: Rancang kegiatan yang memberikan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadan. Ini kerana Ramadan amat singkat iaitu hanya sebulan sahaja maka penuhi setiap detiknya dengan amalan yang berharga yang dapat membersihkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Seterusnya sambut Ramadan dengan tekad meninggalkan dosa dan tabiat buruk seperti perbuatan mengumpat, mengadu, berbohong dan memfitnah.
Keempat: Persiapan hati dan jiwa. Persiapan ini yang akan mengatasi persiapan yang lain kerana hati dan jiwa yang bersih akan melahirkan jiwa yang benar-benar insaf dan mampu membuat perubahan. Koreksi diri, kenal pasti kelemahan diri sendiri, timbulkan perasaan untuk memperbaiki diri sepanjang Ramadan. Maka, Ramadan ini akan menghasilkan buah keimanan yang akan disambut dalam bulan Syawal nanti.
Kadangkala bermacam-macam persiapan yang dilakukan ketika menyambut kedatangan Ramadan, tetapi ia hanyalah persiapan adat dan budaya yang disambut setiap tahun. Ada yang bersedia menyambut Ramadan dengan amalan moreh, makan nasi bubur lambuk, makanan yang hanya ada pada bulan Ramadan. Persediaan diri untuk menghayati kewajipan agama yang lain seperti solat, sedekah, membaca al-Quran tidak pernah terlintas di dalam hati.
Monday, March 3, 2025
Puasa Ramadhan Menghapuskan Dosa Setahun Yang Lalu
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan (mengharap rahmat Allah), maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu". (HR Bukhari No: 37) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Berpuasa atas dasar iman ialah melaksanakan ibadat puasa dengan meyakini akan kewajipan melaksanakan ibadat puasa kerana perintah Allah.
2. Ihtisab adalah melakukan ibadat puasa dengan ikhlas, menyempurnakan ibadat puasa dengan memelihara perkara yang boleh merosakkan puasa dan hanya mengharap pahala dari Allah. Tidak merasa berat melaksanakannya dan tidak hanya sekadar mengikuti kebiasaan orang sekitar.
3. Puasa yang dilakukan atas dasar keimanan dan penuh keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu (dosa kecil). Rasulullah SAW bersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ وَالْجُمُعَةُ إِلَى الْجُمُعَةِ وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ مَا اجْتُنِبَتْ الْكَبَائِرُ
Daripada Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Solat lima waktu yang didirikan, satu Jumaat ke Jumaat yang berikutnya dan satu Ramadan kepada Ramadan yang berikutnya maka akan menghapuskan dosa-dosa antara keduanya selama mana dijauhi dosa-dosa besar". (HR. Ahmad No: 8830) Status Sahih
4. Hadis ini menekankan bahawa ibadah puasa tidak hanya melibatkan tindakan fizikal (iaitu menahan diri daripada makan dan minum), tetapi yang lebih penting adalah niat yang ikhlas dan tawakal kepada Allah. Puasa harus dilakukan dengan keyakinan iman, bukan sekadar sebagai kebiasaan atau terpaksa. Niat yang ikhlas kepada Allah akan membawa keberkatan dan ganjaran yang lebih besar.
Semoga ibadat Puasa yang dilaksanakan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan menjadi penghapus dosa-dosa yang lalu dan menjadikan kita hamba yang bertaqwa di sisi Allah.
Sunday, March 2, 2025
Makan dan Minum Ketika Berpuasa Kerana Terlupa
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ
Daripada Nabi SAW bersabda: "Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa) maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum" (HR Bukhari No: 1797) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang yang terlupa lalu dia makan atau minum di siang hari ketika berpuasa, puasanya tetap sah dan dia perlu memberhentikan pengambilan makanan atau minuman segera.
2. Orang yang terlupa tadi hendaklah meneruskan ibadat puasanya seperti biasa. Puasanya tidak perlu dibatalkan kerana perbuatan makan atau minum itu berlaku disebabkan oleh kelalaian atau lupa.
3. Hadis ini memberikan penjelasan bahawa jika seseorang lupa, puasanya tidak batal dan mereka tidak perlu menggantikannya atau mengqadha puasa tersebut. Hal ini menenangkan hati mereka yang khawatir akan hal tersebut.
4. Bagi orang yang terlupa, makanan dan minuman yang telah masuk ke dalam perutnya menunjukkan bahawa perbuatan makan atau minum yang berlaku akibat kelupaan bukan disebabkan oleh keinginan atau niat untuk melanggar puasa, tetapi ia merupakan suatu pemberian daripada Allah.
5. Hadis ini mencerminkan kasih sayang Allah yang besar terhadap hamba-Nya. Allah tidak membebani kita dengan kesulitan yang tidak mampu ditanggung. Jika seseorang berpuasa dan secara tidak sengaja melanggar puasanya akibat lupa, Allah tidak menghukum, tetapi memberikan kemudahan dan peluang untuk meneruskan puasa.