---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Selamat Menyambut Tahun Baru 2016 semoga kita sentiasa mendapat keberkatan Allah.

Saturday, September 6, 2008

Imam Sharif Kembali Kerahmatullah

Tanggal 6hb September 2008, Imam Hj Mohd Sharif bin Mohd Yusof yang dikasihi telah kembali kerahmatullah. Jenazah beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kosas jam 10.30 pagi.

Sebelum itu, setelah selesai solat subuh, para jemaah surau At-Tarbiyyah telah berkunjung ke rumah Allahyarham bagi melaksanakan tahlil arwah. Jam 7.30 pagi, jenazah telah dibawa ke Masjid Bukit Indah.

Lebih kurang jam 9.00 pagi jenazah mula dimandikan dan dikafankan diketuai oleh Tn Hj Hussin, bilal Masjid Bukit Indah. Sanak saudara Allahyarham dari jauh dan dekat turut bersama-sama para jemaah menunaikan solat jenazah yang dipimpin oleh Lef.Kol Hj Amran, imam Surau At-Tarbiyyah.

Jenazah terus dibawa ke Tanah Perkuburan Kosas untuk pengkebumian. Alhamdulillah, semua kerja-kerja pengkebumian berjalan lancar dan cepat dengan ihsan Datuk Hj Mohd Nazir Merassalam, yang telah menggunakan jentera "backhoe" milik syarikatnya MNM, bagi menolak tanah yang agak lembab kerana hujan yang turun agak lebat petang semalam.

Hujan gerimis, hujan rahmat turun sebaik sahaja selesai kerja-kerja pengkebumian. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang beriman dan solehin. AMIN.
Al-Fatihah

Thursday, September 4, 2008

Penerbangan

Apabila kita akan berangkat dari alam dunia ini, ianya ibarat satu penerbangan ke sebuah negara lain iaitu Negara Kubur dan Akhirat. Di mana maklumat tentangnya tidak terdapat dalam sebarang "brochures" penerbangan, tetapi melalui Al-Quran dan Al-Hadith.

Di mana penerbangan bukannya melalui Air-Asia, MAS atau SIA, tetapi Al-Jenazah. Di mana bekalan kita bukan lagi beg seberat 23 kg, tetapi amalan yang tiada caj lebihan berat, tetapi caj lebihan berat adalah atas kesudian Pencipta kita, Allah s.n.w.
Di mana bajunya bukan Pierre Cardin, Dunhill, Polo atau setaraf dengannya tetapi hanyalah kain kapas putih. Di mana pewanginya bukan Channel, Ferrari atau Drakka, tetapi air mawar dan cendana.

Di mana paspot kita bukan Malaysia, British atau American, tetapi Al-Islam, dimana visa kita bukan lagi sekadar 6 bulan, tetapi selama-lamanya. Di mana pelayannya bukan pramugari jelita, tetapi Izrail dan lain-lain.

Di mana layanan di dalamnya bukan lagi kelas bisnes atau ekonomi, tetapi sekadar kain putih yang diwangikan. Di mana destinasi mendarat bukannya KLIA, Heathrow Airport atau Jeddah International, tetapi Tanah Perkuburan.

Di mana ruang menunggunya bukan lagi bilik air-cond dan berkarpet merah, tetapi bilik sepanjang 6 kaki dan lebarnya 3 kaki dalam gelap gelita. Di mana pegawai imegrisen bukanlah pihak Kastam, tetapi adalah malaikat Munkar dan Nakir.

Mereka hanya memeriksa samada kita layak ke destinasi yang di idamkan, tetapi bukanlah Disneyland, Paris atau London tetapi samada Syurga atau Neraka.

Di mana tidak perlu pegawai kastam dan alat pengimbas. Di mana lapangan terbang transit adalah Al-Barzakh. Dimana destinasi terakhir samada Syurga yang mengalir sungai di bawah nya atau Neraka Jahannam.

Usah gundah dan gulana. Penerbangan ini tidak dinyatakan nilainya.. Ianya percuma, jadi simpanan anda tidak akan dihabiskan. Penerbangan ini tidak akan dirampas, oleh itu anda tidak perlu khuatir.

Sebarang sajian tidak akan disediakan, oleh itu tak perlu risaukan masalah alergi atau halal-haram makanan. Jangan risaukan kelewatan. Penerbangan ini sentiasa tepat waktunya, ia berangkat dan tiba tepat pada masanya.

Jangan fikirkan tentang hiburan dalam penerbangan, anda telah hilang selera bersuka-ria. Jangan bimbang tentang tempahan, ianya telah siap ditempah sejak anda disenyawakan di dalam rahim ibu anda lagi.

Jangan bimbangkan siapa yang duduk di sebelah anda. Anda adalah satu-satunya penumpang penerbangan ini. Oleh itu ingatlah 5 perkara, muda sebelum datangnya tua, sihat sebelum datangnya sakit, lapang sebelum datangnya sempit, kaya sebelum datangnya miskin dan hidup sebelum datangnya mati.

INGATLAH!! Penerbangan ini datang tanpa AMARAN. Nama anda telah ditempah untuk penerbangan ini.

ADAKAH KITA TELAH BERSEDIA UNTUK BERANGKAT?

SUDAH KAH ANDA BERSEDIA UNTUK PENERBANGAN INI????

Wednesday, September 3, 2008

Hadis 21

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, "Sesiapa pun yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan tindakan jahat pada bulan Ramadhan, Allah tidak akan memperkenan puasanya"

Tuesday, September 2, 2008

Memori 1 Ramadhan di At-Tarbiyyah

Ramadhan telah tiba!! Bulan yang mulia, bulan yang penuh keampunan dan rahmat. Seperti biasa, surau dan masjid menjadi tumpuan muslimin dan muslimat mengerjakan solat tarawih. Tidak ketinggalan juga Surau At-Tarbiyyah. 2 minggu berturut-turut sesi gotong royong diadakan bagi membersih dan mencantikkan surau bagi menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubaraq. Lampu neon dipasang sekeliling surau mengindahkan lagi suasana malam Ramadhan.

Pengerusi, Ir Tn Hj Syed Salim mengambil masa 5 minit bagi menyampaikan taklimat ringkas aktiviti surau kepada ahli jemaah. Menurut beliau, pihak surau telah membelanjakan lebih kurang RM40,000 bagi menaiktaraf kemudahan surau seperti penambahan penghawa dingin, penukaran karpet baru, dinding surau dicat baru, langsir tabir muslimah juga berwajah baru, atap yang usang ditukar, sistem pembesar suara dibaikpulih, kabinet quran dan kitab dibuat baru dengan sinaran lampu dalam yang indah dan persekitaran yang bersih.

Pengerusi dengan sinis menunjukkan almari kiri yang masih kosong, mengalu-alukan para jemaah yang ingin menginfaqkan kitab Al-Quran atau apa sahaja bahan bacaan. Seperti biasa tarawih akan dibuat sebanyak 8 rakaat sahaja dikuti dengan 3 rakaat 2 salam sembahyang witir. Selesai solat witir, tahlil arwah akan diadakan setiap malam dan para jemaah boleh memberikan nama-nama arwah kepada bendahari melalui borang yang diedarkan.

Sambutan para jemaah amat menggalakkan dan memenuhi
semua saf, lebih-lebih lagi dengan suasana sejuk belaian
penghawa dingin yang baru.

Bab ni memang tak boleh tinggal. Para jemaah bersama Pengerusi dan AJK sedang menikmati jamuan "more". Malam pertama "more" para jemaah dihidangkan roti canai sahaja.... kata bendahari "Malam pertama tak payah berat-berat...". Bab ni memang bendahari guna kuasa veto.


Setelah selesai jamuan "more", aktiviti tadarus Quran diteruskan dengan 3-4 orang satu kumpulan. Anak-anak juga tidak ketinggalan mempertingkatkan mutu bacaan Al-Quran. Semoga Ramadhan tahun ini, digunakan sebaiknya oleh para jemaah dengan mempertingkatkan amal ibadah dan amal jariah.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad s.a.w.
Allahuakbar!