---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Thursday, March 19, 2009

Kisah 3 fakir miskin diuji

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a: Bahawa dia mendengar Nabi s.a.w bersabda: Sungguhnya ada tiga orang Bani Israel, seorang berkulit belang, seorang berkepala botak dan yang lain matanya buta. Allah ingin menguji mereka, maka Dia mengirim malaikat.

Malaikat ini mendatangi orang yang berkulit belang dan bertanya: Apa yang paling kamu sukai? Orang itu menjawab: Warna (kulit) yang bagus, kulit yang indah dan sembuhnya penyakit yang membuat orang jijik kepadaku. Malaikat tersebut mengusap tubuhnya, maka penyakitnya sembuh dan ia diberi warna yang bagus dan kulit yang indah.

Malaikat bertanya lagi: Harta apa yang paling kamu senangi? Orang itu menjawab: Unta Atau: Ia menjawab: Lembu. (Ishak ragu-ragu tentang itu). Lalu ia diberi unta yang hampir melahirkan lalu malaikat berkata: Semoga Allah memberkatimu.

Kemudian ia mendatangi orang yang botak lalu bertanya: Apa yang paling kamu sukai? Orang itu berkata: Rambut yang indah dan sembuhnya penyakit yang membuat orang jijik kepadaku. Malaikat mengusapnya, maka penyakitnya sembuh dan ia diberi rambut yang indah.

Malaikat bertanya lagi: Harta apa yang paling kamu senangi? ia menjawab: Lembu. Maka ia diberi lembu bunting lalu malaikat berkata: Semoga Allah memberkatimu.

Kemudian malaikat mendatangi yang buta, lalu bertanya: Apa yang paling kamu sukai? Ia menjawab: Allah mengembalikan penglihatanku, sehingga aku dapat melihat manusia. Maka Malaikat mengusapnya, sehingga penglihatannya kembali normal.

Malaikat itu bertanya lagi: Harta apa yang paling kamu sukai? Ia menjawab: Kambing. Maka ia diberi kambing yang beranak. Selanjutnya semua binatang yang diberikan itu beranak-pinak sehingga orang yang berpenyakit belang dapat mempunyai unta satu lembah, yang botak mempunyai lembu satu lembah dan yang asalnya buta memiliki kambing satu lembah.

Pada suatu ketika malaikat kembali mendatangi orang yang berpenyakit belang dalam bentuk dan cara seperti ia dahulu lalu berkata: Aku orang miskin yang telah terputus seluruh sumber rezeki dalam perjalananku, maka pada hari ini tidak ada lagi pengharapan, kecuali kepada Allah dan kamu.

Demi Tuhan yang telah menganugerahimu warna yang bagus, kulit yang indah serta harta benda, aku minta seekor unta untuk membantuku dalam perjalanan. Orang itu berkata: Masih banyak sekali hak-hak yang harus ku penuhi. Maka malaikat itu berkata kepadanya: Aku seperti mengenal kamu, bukankah kamu yang dahulu berpenyakit kulit belang yang manusia jijik kepadamu, serta yang dahulu fakir lalu diberi harta oleh Allah? Orang itu berkata: Aku mewarisi harta ini secara turun-temurun.

Malaikat berkata: Kalau kamu berdusta, semoga Allah menjadikan kamu seperti dahulu lagi. Setelah itu malaikat tadi mendatangi orang yang dahulu botak dalam bentuknya seperti dahulu lalu berkata kepadanya seperti apa yang dikatakannya kepada orang yang berkulit belang, dan orang itu menjawabnya seperti jawaban orang yang belang tadi.

Maka malaikat berkata: Jika kamu berdusta, semoga Allah menjadikan kamu seperti dahulu lagi. Kemudian sesudah itu malaikat mendatangi orang yang dahulu buta dalam bentuk dan cara seperti dahulu lalu berkata: Aku orang miskin yang mengembara dan telah terputus seluruh sumber rezeki dalam perjalananku, maka pada hari ini tidak ada lagi pengharapan, kecuali kepada Allah dan kamu.

Demi Tuhan yang telah memulihkan penglihatanmu, aku minta seekor kambing untuk membantuku dalam perjalanan. Orang itu berkata: Dahulu aku buta, lalu Allah memulihkan penglihatanku, maka ambillah apa yang kamu inginkan dan tinggalkanlah apa yang tidak kamu inginkan.

Demi Allah aku tidak akan membebani kamu untuk mengembalikan sesuatu yang telah kamu ambil untuk Allah. Maka malaikat berkata: Peganglah hartamu itu semua, kerana kamu sekelian hanya sekedar diuji, kamu telah diredhai Tuhan, sedangkan kedua sahabatmu telah dimurkai Allah .

Wallahuwaklam.

Monday, March 16, 2009

Sirah Rasulullah - Siri 3

PEPERANGAN AL-FUJJAR
S
emasa usia Baginda lima belas tahun, berlaku satu peperangan, terkenal sebagai peperangan al-Fujjar, (peperangan penjahat) kerana jenayah perlanggaran di bulan-bulan haram. Pihak pertama ialah Quraisy dan Kinanah, yang kedua ialah Qais bin Ilan.
Tuan agong bagi Quraisy dan Kinanah ialah Harb bin Umaiyah kerana status beliau di kalangan masyarakat, Quraisy di samping faktor umur. Di awal hari kemenangan berpihak kepada Qais namun bila hari beralih ketengah hari Kinanah sudahpun menguasai medan pertempuran, di ceritakan bahawa Rasulullah telah turut serta di dalam peperangan ini, di mana Baginda menyediakan anak-anak panah untuk bapa saudaranya.

PERJANJIAN AL-FUDUL
Ekoran kepada peperangan al-Fujjar, telah diadakan satu perjanjian di dalam bulan Zulkaedah. Salah satu bulan Haram, padanya dijemput qabilah-qabilah Quraisy seperti Banu Hashim, Abu Abdul Mutalib, Asad bin Abdul al-Uzza, Zuhrah bin Kilab, Taiyim bin Murrah. Kesemua mereka berlaimpul di kediaman Abdullah bin Jadaan al-Taiyimi kerana faktor kedudukan yang disanjung dan juga faktor umur, memandangkan beliau tertua di antara.

Di dalam perjanjian ini semua mereka bersetuju dan berjanji untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dianiayai, dan bertindak terhadap penganiaya, hingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya, Rasulullah telah ulrut serta di dalam perjanjian ini setelah Baginda diutuskan dan memuji perjanjian berkenaan, dengan sabdanya: Daku telah menyertai satu perjanjian yang dilangsungkan di rumah Abdullah bin al-Jadaan. Perjanjian yang menyenangkan hatiku, lebih dari kesenanganku kepada unta-unta gemuk, sekiranya aku dijemput semasa di dalam Islam nescaya daku beri persetujuan segera.
Perjanjian ini menafikan semangat kefanatikan Jahiliah yang biasanya dimarakkan oleh perasaan asabiah kebangsaan atau perkabilahan, dikatakan bahawa dorongan yang mengarahkan kepada termeterainya perjanjian ini, ialah lantaran seorang lelaki dari Zubaid memasuki Kota Makkah dengan barangan perniagaannya, barangan itu telah dibeli oleh al-As ibnu Wail al-Sahmi, namun harganya tidak diselesaikan.
Sebagai tindakbalas darinya, beliau telah meminta pertolongan dari sekutunya Abdul al-Dar, Makhzum, Jumah, 'Adi, malangnya pihak sekutunya tidak memenuhi permintaannya itu, untuk selanjutnya beliau mendaki bukit Abi Qubis dengan menyuarakan peri penganiayaan terhadapnya, disuarakan di dalam madah syairnya, al-Zubair bin Abdul Mutalib bangun bertindak dengan katanya: Apa cerita ini semua membisu belaka?
Dengan itu mereka yang telah mengikat janji al-fudhul tadi penyokongnya, mereka semua segera menemui al-A'as bin Wail dan mengambil barangan lelaki Zubaid tadi dan dipulangkan kepadanya, setelah mereka memeterai perjanjian al-Fudhul itu.

HIDUP PENUH KEPERITAN
R
asulullah (s.a.w) tidak mempunyai satu pekerjaan yang tetap dipermulaan mudanya, namun demikian beberapa riwayat sering mengaitkan kerja Rasulullah di permulaan usia remajanya, sebagai penternak, mengembala kambing keluarga Banu Sa'd, dan di Makkah pula mengambil upah dari penduduk Makkah dengan beberapa qirat, bila Baginda meningkat dua puluh lima tahun, Baginda keluar ke negeri Syam sebagai peniaga dengan modal Khadijah (r.a).

Ibn Ishak menceritakan: Khadijah binti Khuwailid, adalah seorang wanita peniaga, mempunyai kedudukan termulia dan pelbagai harta, biasanya beliau menawar peniaga-peniaga untuk berniaga dengan hartanya, dengan berkongsi keuntungan, terutamanya orang-orang Quraisy memang terkenal sebagai ahli perniagaan.
Sebaik sahaja perkhabaran mengenai diri Rasululullah dengan keimanan dan kebenaran pertuturan Baginda, serta ketinggian akhlak mulia, tanpa berlengah beliau mengantar utusan, menawarkan kepada Baginda untuk keluar berniaga dengan hartanya ke negeri Syam, beliau menjanjikan Baginda untuk member kongsian lebih lumayan dari yang ,biasa diberi kepada peniaga-peniaga lain, untuk ke sana beliau telah menghantar budak suruhannya mengiringi Rasulullah, tawaran itu telah diterima oleh Rasulullah dengan baik. Baginda pun keluar ke sana bersama Maisarah budak suruhan Khadijah hingga tiba ke negeri Syam.

PERKAHWINAN BAGINDA DENGAN KHADIJAH (R.A)
S
ekembalinya Rasulullah ke Makkah dari perjalanannya, Khadijah mendapati hartanya terjaga dengan penuh amanah dan berkat, yang hingga kini belum pernah dilihatnya, tambahan dengan cerita-cerita yang dilaporkan oleh budak suruhannya Maisarah, mengenai segala sesuatu yang diperhatinya di s'epanjang pergaulannya dengan Rasulullah di sana, dengan perangai-perangai yang lemah lembut, pekerti-pekerti yang mulia, fikiran waras, minda penuh kepintaran dan perwatakan yang lurus, kini beliau sudah berjumpa dengan mutiara kehilangannya.
Sebelum ini pembesar-pembesar dan pemuka-pemuka Quraisy amat perihatin untuk mengawini beliau, namun kesemua lamaran dan permintaan mereka ditolak, kini hasrat dan cita-citanya itu didedahnya kepada sahabat karibnya Nafisah binti Manyah, Nafisah bertanggungjawab menemui Rasulullah untuk merestui hasrat Khadijah kepada Baginda, untuk mengahwininya, Rasulullah pun mempersetujui hasrat Khadijah dan menerima untuk berkahwin dengannya.
Baginda pun memberitahu persetujuan tadi kepada bapa-bapa saudaranya, dengan itu mereka semua telah datang menemui bapa-bapa saudara Khadijah dan terus meminang Khadijah untuk Rasulullah (s.a.w), tidak berapa lama upacara perkahwinan pun dilangsungkan, upacara akad nikah ini telah dihadiri oleh Banu Hashim dan kepala-kepala Bani Mudhar.
Perkahwinan terlaksana selepas dua bulan kepulangan Baginda dari negeri Syam, Mahar perkahwinan ialah dua puluh ekor unta betina, usianya dimasa itu sudah meningkat empat puloh tahun namun di ketika itu beliaulah seafdal-afdal wanita pilihannya dari segi nasab keturunannya, harta dan pemikiran. Beliau merupakan isteri pertama kepada Rasulullah. Dan Baginda tidak mengahwini manamana perempuan pun semasa hayatnya, hinggalah beliau meninggal.

Kesemua anak-anak Baginda adalah dari Khadijah (r.a) kecuali Ibrahim dari Mariah al-Qibtiyah, anak pertamanya bernama Qasim, dengannya Rasulullah digelar Abu al-Qasim, kemudian Zainab, Rukiah, Umi Kalthum, Fatimah dan Abdullah, beliau bergelar sebagai al-Tayyib dan al- Tahir, anak lelakinya kesemuanya meninggal semasa kecil, manakala anak-anak perempuannya kesemuanya sempat dengan kebangkitan Baginda sebagai Rasul utusan Allah, kesemua mereka memeluk Islam dan kesemua mereka berhijrah, semua mereka ini wafat semasa hayat Baginda kecuali Fatimah seorang sahaja yang wafat selepas kewafatan Baginda enam bulan kemudian.
Bersambung nanti dalam Siri 4.