---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, February 28, 2025

Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ


Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ". (HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:


1. Berkhidmat dan berbakti kepada ibu bapa boleh dianggap sebagai jihad, khususnya jika mereka memerlukan perhatian dan sokongan. Hal ini menunjukkan keutamaan menjaga ibu bapa dalam keadaan tertentu, lebih daripada berjihad di medan perang.

2. Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad di medan perang dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup terutama yang memerlukan bantuan.

3. Rasulullah SAW menunjukkan bahawa jihad tidak hanya terbatas pada berperang di medan perang. Berjihad juga boleh dilakukan dengan melakukan kebaikan, menghormati, dan melayani ibu bapa, terutamanya apabila mereka memerlukan perhatian dan kasih sayang anak-anak mereka.

4. Ibu bapa yang telah banyak berkorban dan bekerja keras dalam membesarkan anak-anak mereka seharusnya menerima penghargaan yang setimpal. Berbakti kepada mereka, termasuk membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

5. Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.” (HR Bukhari No: 1953)

Hadis ini mengajarkan kita bahawa setiap pengorbanan yang kita lakukan, terhadap  ibu bapa, adalah amalan yang sangat mulia. Menghormati ibu bapa adalah bentuk pengorbanan yang besar dalam konteks ini berbanding berjihad di medan perang. Berbuat baiklah kepada ibu bapa yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.


Tuesday, February 25, 2025

Jauhi Dosa Besar


عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ قُلْنَا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ فَمَا زَالَ يَقُولُهَا حَتَّى قُلْتُ لَا يَسْكُتُ

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu sesuatu yang termasuk dosa besar? Kami menjawab; "Tentu wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Menyekutukan Allah dan mendurhakai kedua orang tua." ketika itu baginda tengah bersandar, kemudian duduk lalu melanjutkan sabdanya: "Perkataan dusta dan kesaksian palsu, perkataan dusta dan kesaksian palsu." Baginda terus saja mengulanginya hingga saya mengira baginda tidak akan berhenti (mengingatkan kami tentang perkara ini)." (HR Bukhari No: 5519) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1. Menjadi kewajipan setiap Muslim menjauhi segala perkara dosa besar

2. Antara perkara yang termasuk dosa besar ialah:

a. Melakukan syirik (dosa yang tidak akan diampunkan melainkan bertaubat nasuhah)
b. Mendurhakai kedua orang tua
c. Berdusta atau bercakap bohong (bukan sahaja merosakkan hubungan manusia tetapi juga boleh menyebabkan fitnah, keburukan, dan ketidakadilan dalam Masyarakat)
d. Menjadi saksi palsu

3. Daripada Abu Bakar ash Shiddiq, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Kalian mesti menjauhi dusta kerana dusta akan sentiasa bersama dengan kejahatan dan keduanya ada di dalam neraka“. (HR Ibnu Hibban dalam Shahihnya). Hari ini berdusta bukan hanya dengan lisan malah yang lebih parah ianya disebarkan melalui penulisan juga karikatur dipelbagai media sosial, ditulis, dilukis dan ditularkan.

4. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Daripada Abu Hurairah:

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ فِيهَا يَزِلُّ بِهَا فِي النَّارِ أَبْعَدَ مِمَّا بَيْنَ الْمَشْرِق

“Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.” (HR Bukhari No: 6477)

Hadis ini memberi amaran keras mengenai dosa-dosa besar yang melibatkan syirik kepada Allah, durhaka kepada ibu bapa, perkataan dusta, dan kesaksian palsu. Rasulullah SAW menekankan pentingnya menjaga akhlak, kata-kata, dan tindakan kita, agar tidak terjerumus dalam dosa besar. Dalam kehidupan sehari-hari, kita perlu berusaha untuk sentiasa berkata benar, menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, dan menjauhi segala bentuk penipuan dan ketidakadilan.

Monday, February 24, 2025

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Daripada Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah sesuatu yang boleh mendatangkan kebakhilan dan ketakutan." (Sunan Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا


Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (Surah at-Tahrim: 6)

2. Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah:

وَاعْلَمُوْا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندُ هُ أَجْرٌ عَضِيْمٌ

Maksudnya: “Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (Surah Al Anfal: 28)

3. Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4. Al-Munawiy: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5. Al-Mawardiy: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…”

6. Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠

Maksudnya: “Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Surah Ali Imran:180)

Ketakutan dan kecemasan terhadap masa depan anak adalah perkara yang normal dan dialami oleh banyak ibu bapa. Namun, kita harus menghadapinya dengan penuh tawakal kepada Allah. Rasulullah SAW tidak menafikan perasaan ini, tetapi mengingatkan bahawa kita harus bersikap bijak dan seimbang dalam menjalankan tanggungjawab sebagai orang tua. Moga anak-anak kita menjadi penyejuk mata, penenang jiwa dan penyubur untuk beramal bukan penyebab kita bakhil dan melalaikan perintah Allah.


Sunday, February 23, 2025

Larangan Memburukan Orang Lain


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

4. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

7. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.