---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, February 5, 2025

Doa Mustajab Di Malam Hari



عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

Dari Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim yang tidur dalam keadaan suci (berwuduk) serta berzikir kepada Allah, lalu ia bangun pada waktu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia dan akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.” (Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)


Pengajaran:

1.  Berwuduk sebelum tidur adalah sunnah yang membawa keberkatan dan perlindungan daripada gangguan syaitan semasa tidur.

2. Amalan zikir sebelum tidur (seperti tasbih, tahmid, istighfar, membaca doa sebelum tidur, ayat al-Kursi, 3 Qul) membantu mendekatkan diri kepada Allah dan membersihkan jiwa daripada perkara duniawi.

3.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

4.  Latih diri untuk bangun malam walaupun hanya sekejap untuk solat sunat dan memohon kebaikan dunia dan akhirat.

Hadis ini memberikan panduan penting tentang kepentingan menjaga kesucian, zikir, dan hubungan dengan Allah sebelum tidur. Selain itu, ia mendorong umat Islam untuk memanfaatkan waktu malam sebagai peluang mendekatkan diri kepada Allah melalui doa dan ibadah. Amalan ini bukan sahaja membawa keberkatan dalam hidup, tetapi juga memastikan keseimbangan antara keperluan dunia dan akhirat. Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari

Tuesday, February 4, 2025

Riya Itu Syirik Kecil



عَنْ مَحْمُودِ بْنِ لَبِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ قَالُوا وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً

Daripada Mahmud bin Labid Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Perkara yang paling aku takut terjadi pada kalian adalah Syirik yang kecil. Para Sahabat bertanya : apa itu syirik yang kecil wahai Rasulullah. Nabi saw bersabda : Itulah Riya’. Allah SWT akan befirman pada hari kiamat kelak: pergilah kepada orang yang kamu hendak tunjukkan amalan kamu kepadanya di dunia dan lihatlah adakah di sisi mereka itu ganjaran (dengan sebab amalam kamu).” HR Ahmad No: 23630. Status: Sanad Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syirik kecil merupakan perkara yang perlu dijauhi kerana ia menghilangkan segala pahala amal soleh yang dilakukan.

2.  Rasulullah SAW bimbang umatnya akan terjerumus dengan Syirik kecil iaitu Riya’.

3.  Riya adalah perbuatan seseorang  menunjukkan amal untuk dilihat, disebut atau disanjung oleh manusia lain. Contohnya berselfie ketika beribadah dan muat naik di media sosial seperti di TikTok, FB, Instagram dan lain-lain. Di hari kiamat nanti, orang yang riya’ dalam beramal akan diminta untuk menuntut ganjaran daripada manusia yang ingin disanjung atau disebut.

4.  Riya’ boleh berlaku pada agama, tubuh badan, percakapan mahupun amalan seseorang, contohnya:

•  Riya’ pada agama dan tubuh badan dengan menzahirkan kekurusan dan berpakaian lusuh supaya orang menganggapnya bersungguh melakukan ibadah serta seakan-akan dia bersedia menghadapi hari akhirat

•  Riya’ pada percakapan dengan memberi nasihat dan peringatan dengan niat menzahirkan keprihatinan terhadap hal ehwal orang Islam ataupun berzikir kuat di hadapan orang ramai.

•  Riya’ pada amalan seperti menzahirkan qiyam dan ruku’ yang lama ketika bersolat di hadapan orang ramai.

5.  Abu Umamah al-Bahili ketika melihat orang yang menangis ketika sujud di dalam masjid beliau berkata: ”Hai kamu, alangkah baiknya (jika menangis) di rumah.”

6.  Berusahalah melaksanakan ibadah dengan ikhlas dan bermujahadah melawan sifat riya yang datang dalam diri. Jika ibadah tersebut ada pilihan, maka lebih baik dilakukan secara sembunyi seperti bersedekah tidak secara terang-terangan.

7.  Berdoalah agar dijauhi perbuatan syirik.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لاَ أَعْلَمُ

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari perbuatan syirik yang aku sedari. Dan, aku memohon ampun kepada-Mu atas dosa-dosa yang tidak aku ketahui.