---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, April 3, 2009

5 cara REDHA. tenang terima musibah

Sesetengah orang tidak dapat menerima penderitaan yang dihadapinya seperti kehilangan orang yang disayangi atau harta benda. Apakah keengganan menerima keadaan perkara yang berlaku bererti menyanggah kekuasaan Allah?
Apakah yang perlu dilakukan apabila mengalami sesuatu musibah? Apabila seseorang menghadapi musibah, dia wajib menerima dengan berlapang dada dan bersabar. Contohnya menghadapi kematian orang yang dikasihi, kemalangan dan sakit. Ini adalah kerana musibah ialah ujian yang meningkatkan iman iaitu jalan untuk menambahkan kebaikan pada diri seseorang mukmin seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan terhadapnya, Dia akan mengujinya dengan ditimpa musibah." (Hadis riwayat Bukhari).
Sabda Baginda s.a.w dalam hadis lain pula, bermaksud, "Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya. " (Hadis riwayat Bukhari, Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a.)
Bagi menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya ialah:
  1. Bersabar ketika mula ditimpa musibah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Sesungguhnya sabar adalah pada kejutan pertama musibah berlaku." (Hadis riwayat Bukhari). Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud," Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga." (Hadis riwayat Bukhari).
  2. Mengucap 'Innalillahi wa inna ilaihi raji'un' iaitu merujuk kembali apa pun musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah s.n.w. Dari Ummu Salamah r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak seorang pun di antara orang-orang muslim yang ditimpa musibah, lalu dibacanya apa yang diperintahkan Allah: "Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Allahumma ajurni fi musibati, wakhluf li khairan minha." (Sesungguhnya kita datang dari Allah dan kepadanya kita kembali, Ya Allah berikanlah ganjaran kerana musibah ini, berikanlah aku pengganti yang lebih baik daripadanya) nescaya Allah s.n.w memberi ganjaran kepadanya kerana bencana tersebut dan menggantikan kepadanya yang lebih baik daripadanya, Ummu Salamah berkata lagi: "Semasa Abu Salamah meninggal dunia aku mengucapkan sepertimana yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w kepadaku, lalu Allah Taala menggantikan kepadanya (Ummu Salamah) seorang yang lebih baik daripada Abu Salamah (menjadi suaminya) iaitu Rasulullah s.a.w." (Hadis sahih riwayat Muslim). Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata, "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Maksud surah al-Baqarah, ayat 156) Seseorang itu hendaklah redha dan menerima hakikat bahawa setiap yang hidup itu akan mati. Dalam hal ini Rasulullah SAW menganjurkan kita agar mengamalkan doa apabila ditimpa ujian berbentuk kematian dan sebagainya di mana doa itu hendaklah dibaca dengan penuh yakin supaya hati kembali menjadi tenang dan lapang. Kemungkinan dengan kesabaran itu, Allah SWT akan memberikan sesuatu ganjaran atau balasan yang lebih baik kerana segalanya adalah bergantung pada ketentuan dan kehendak Allah SWT.
  3. Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan dan bukan menjadi kesalahan. Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa sebarang musibah. Dikhuatiri mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan ketentuan Allah SWT ataupun musuh bergembira melihat kesedihan kesan musibah yang kita hadapi.
  4. Cendekiawan Islam dan orang yang bertakwa berusaha menyembunyikan musibah. Mereka gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang bakal diterima. Gembira dan redha secara syarie bukan secara tabiie kerana tabiat manusia tentu tidak menyukai musibah. Dari Jabir bin Abdullah r.a. katanya: "Rasulullah SAW datang berkunjung ke rumah Ummu Saib maka bertanya baginda, "Sakit apa kamu sampai menggigil begitu?" Jawab Ummu Saib, "Demam! Allah Ta'ala tidak memberi berkat dengannya." Sabda Nabi SAW., "Janganlah kamu menyalahkan penyakit kerana penyakit itu dapat menghilangkan kesalahan-kesalahan (dosa-dosa) anak Adam, seperti halnya dapur tukang besi membersihkan karat-karat besi." (Jabir bin Abdullah)
  5. Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Bersabarlah dan jangan mengeluh.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud, "Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut." (Hadis riwayat al-Hakim)
  • Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup. Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah
  • Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
  • Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.
  • Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya, "Sesungguhnya setelah tiap-tiap kesukaran/kesulitan disertai kemudahan." (Surah al-Insyirah, ayat 6)
  • Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.
Elakkan berkata 'kalau'.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah.
Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata: "Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku." Tetapi katakanlah: "Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki- Nya, sesungguhnya 'kalau' akan membukakan pintu amalan syaitan." (Hadis riwayat Muslim)
Huraian:
  1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.
  2. Orang yang sentiasa bewaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.
  3. Ucapan 'kalau' tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua. Renung-renungkan dan selamat beramal!

Thursday, April 2, 2009

Kita Bertanya, Al-Quran Menjawab

KITA BERTANYA : KENAPA AKU DIUJI?

QURAN MENJAWAB : Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan 'Kami telah beriman, ('I am full of faith to Allah') sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan, sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.' -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

KITA BERTANYA : KENAPA AKU TAK DAPAT APA YG AKU IDAM-IDAMKAN?

QURAN MENJAWAB : Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.' - Surah Al-Baqarah ayat 216
KITA BERTANYA : KENAPA UJIAN SEBERAT INI?

QURAN MENJAWAB : Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. ' - Surah Al-Baqarah ayat 286

KITA BERTANYA : KENAPA RASA KECEWA?

QURAN MENJAWAB : 'Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.' - Surah Al-Imran ayat 139

KITA BERTANYA : BAGAIMANA HARUS AKU MENGHADAPINYA?

QURAN MENJAWAB : 'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk' - Surah Al-Baqarah ayat 45

KITA BERTANYA : APA YANG AKU DAPAT DARIPADA SEMUA INI?

QURAN MENJAWAB : 'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri, harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka... ? - Surah At-Taubah ayat 111

KITA BERTANYA : KEPADA SIAPA AKU BERHARAP?

QURAN MENJAWAB : 'Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dari Nya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal. ' - Surah At-Taubah ayat 129

KITA BERKATA : AKU TAK DAPAT TAHAN!!!

QURAN MENJAWAB : '... ..dan jgnlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.' - Surah Yusuf ayat 12

Wednesday, April 1, 2009

Ciumlah anak-anak kita

Keistimewaan yang bakal diperoleh apabila anak-anak anda boleh digelar kanak-kanak atau kupu-kupu syurga. Barangsiapa yang mengembirakan anakperempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah.

Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya. Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat.

Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak. Barangsiapa keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama.

Barangsiapa memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi s.a.w mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata: "Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium." Sabda Nabi s.a.w: "Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi."

Barangsiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumahm, pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.

Maka barangsiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail. Seorang lelaki bertanya: "Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? "Jawab baginda: "Berbaktilah kepada ibu bapamu."

Kata lelaki itu lagi: "Ibu bapaku sudah tiada lagi." Sabda Nabi s.a.w: "Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu."

Sama-samalah kita mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Tuesday, March 31, 2009

Sirah Rasulullah - Siri 6

PENANGGUHAN WAHYU

Adapun tempoh penangguhan wahyu, mengikut riwayat Ibn Saad daripada Ibn Abbas yang bermaksud bahawa penangguhan itu adalah beberapa hari, pendapat yang rajih (berat) malah itulah pendapat yang tepat, iaitu setelah dilihat dari beberapa aspek. Manakala pendapat yang masyhur mengatakan yang ianya berlarutan hingga tiga tahun atau dua tahun setengah, ini bukan pendapat yang sahih dari mana-mana sudut pun.
Namun bukan di sini ruang untuk kita perlihatkan pendapat tersebut. Di hari-hari penangguhan wahyu Rasulullah hidup dalam keadaan muram dan berduka, Baginda dilanda kehairanan dan kebimbangan, hal ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhari di dalam bahagian kitab al-Tabir dengan nasnya yang bermaksud: Dan Wahyu pun tertangguh beberapa ketika menyebabkan Baginda berduka, mengikut maklumat yang sampai kepada kita, bahawa Baginda tersangat berdukacita, hingga mendorong Baginda berkejar, berkali-kali ke kemuncak bukit, hendak menghumban diri, namun apabila sampai ke kemuncak sana untuk mencampak dirinya, Jibril pun menampilkan diri sambil berkata: Wahai Muhammad! Sesungguhnya engkau adalah utusan Allah yang sebenar.
Dengan itu gelora dalam hatinya pun kembali tenang danjiwa kembali tenteram, dengan itu Baginda pulang semula ke rumah, sekali lagi bila wahyu tertangguh kembali pula Baginda dilanda perasaan gundah dan dukacita, berulang pula Baginda ke kemuncak bukit dan sekali lagi Jibril menampakkan dirinya seraya melaung ungkapan yang sama kepada Rasulullah.
JIBRIL MEMBAWA WAHYU DI KALI KEDUA
Ibnu Hajar menceritakan penangguhan wahyu pun sudah berlalu, itu adalah dengan tujuan untuk membuang perasaan gerun dari hati Baginda dan untuk membangkit perasaan merindukan wahyu, setelah mana perasaan kehairanan sudah tiada lagi, disebaliknya tertegak pula tunggak hakikat.
Kini Rasulullah sudah arif dengan penuh keyakinan bahawa Baginda adalah nabi utusan Allah s.w.t, yang datang menemui itu adalah duta wahyu membekal Baginda warta dan perkhabaran langit, hingga dengan itu Baginda sudah kepiftginan dengan Jibril dan wahyu Ilahi, sikap inilah yang membawa Baginda cekal dan sanggup menerima dan memikul tugas dakwah, ketika Jibril kembali datang menemui Baginda iaitu dikali kedua.
Al- Bukhari telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah bahawa beliau telah mendengar Rasulullah menceritakan mengenai penangguhan wahyu dengan sabdanya yang bermaksud: "Di ketika daku sedang berjalan tiba-tibaku terdengar satu suara dari langit maka ku pun mengangkat pandanganku ke arah langit, tiba-tiba malaikat yang mendatangi daku di gua Hira dahulu sekali lagi ku lihatnya sedang duduk di atas kursi di antara langit dan bumi, daku terkejut dan tergamam hingga terjatuh ke bumi, kemudian aku segera pulang menemui keluarga dengan meminta: Selimutkanlah daku, selimutkanlah daku, selimutkanlah daku", disusuli dengan turunnya ayat Allah: Wahai orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat .manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya! Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi. (al-Muddadstsir: 1-5)
PENJELASAN LANJUT MENGENAI JENIS-JENIS WAHYU
Sebelum kita menghuraikan secara terperinci mengenai penghidupan sebagai seorang rasul dan nabi, kita berpendapat ada baiknya terlebih dahulu kita mengenali jenis-jenis wahyu yang merupakan sumber risalah dan bekalan dakwah.
Ibnu al-Qayyim telah menyebut peringkat-peringkat wahyu:
Pertama: Mimpi benar, ianya adalah permulan wahyu kepada Rasulullah.
Kedua: Sesuatu yang dicampakkan oleh Malaikat ke dalam dadanya dan hati naluri Rasulullah tanpa melihatnya, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasulullah (s.a.w): Sesungguhnya Jibril telah mencampak ke dalam hatiku bahawa: Sesuatu jiwa itu tidak akan mati kecuali setelah genap rezekinya, hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah, dan berusahalah dengan baik di dalam usaha mencari rezeki, dan jangan sekali-kali dek kelewatan rezeki itu ianya mendesak kamu berusaha secara memaksiati Allah, kerana sesungguhnya sesuatu di sisi Allah itu tidak boleh diperolehi kecuali dengan mentaatinya.
Ketiga: Rasulullah didatangi Jibril yang menjelma dirinya sebagai seorang lelaki, dan berblcara dengan Baginda di mana Rasulullah menyedari dan mengingati segala apa yang diperkatakan kepadanya, di dalam peringkat ini para sahabat pun turut dapat melihat Jibril pada ketikaketikanya.
Keempat: Rasulullah didatangi melalui bunyian seperti deringan loceng, cara ini yang paling berat bagi Rasulullah untuk menerimanya, melaluinya Jibril turut menyertainya, hinggakan dahi Baginda mencucur keringat walaupun di hari yang terlalu dingin, malah tunggangannya sekali turut bersimpuh ke bumi. Di suatu ketika wahyu dalam bentuk ini turun kepada Rasulullah (s.a.w) sedang pahanya di atas paha Zaid bin Thabit, Zaid terasa berat bagaikan nak pecah.
Kelima: Baginda melihat malaikat Jibril dalam bentuk parasnya yang di ciptakan, lalu diwahyukan kepadanya sekehendak Allah, cara ini terjadi kepada Baginda dua kali, seperti mana Allah menyebutnya di dalam surah al-Najm.
Keenam: Tanpa hijab: sebagaimana yang diwahyukan kepada Baginda semasa Baginda berada di petala langit di malam Mikraj, Baginda menerima perintah solat dan sebagainya.
Ketujuh: Percakapan Allah secara langsung kepadanya tanpa perantaraan Malaikat seperti mana Allah berbicara dengan Musa bin Imran, jenis ini sabit kepada Musa a.s di dalam al- Quran, juga sabit kepada Rasulullah di dalam peristiwa al-Isra'. Sesetengah ulama menambahkan peringkat kelapan iaitu percakapan Allah bersemuka dengan rasulnya tanpa hijab, ini adalah masalah khilafiah di antara salaf dan khalaf.'
Berakhir sudah, dengan ringkasan singkat mengenai peringkat permulaan hingga kelapan penurunan wahyu.
SELEPAS KERASULAN
Kemunculan dakwah Rasulullah S.A.W. di tengah kegelapan jahiliyah, mendorong dakwah itu dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat. Permulaan dakwah nabi secara rahsia, sebagai strategi dakwah nabi yang sangat cermat. Ia mengambil masa yang panjang dan penuh berhati-hati kerana apa yang hendak disampaikan adalah bercanggah secara total dengan kepercayaan dan amalan harian kaum jahiliyah Arab.