---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Selamat Menyambut Tahun Baru 2016 semoga kita sentiasa mendapat keberkatan Allah.

Monday, January 18, 2010

Apa yang kita cari selama ini

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Ilahi, Allah s.n.w atas limpah kurniaNya, kita masih diberi kesempatan menghirup udara segar, bernafas dalam dunia ciptaanNya. Samada kita sedar mahupun tidak, hari demi hari, minggu silih berganti, tahun menggamit tahun, usia melangkah begitu cepat.

Apakah yang kita cari selama ini? Kita bekerja siang dan malam tanpa mengira penat dan lelah, perancangan demi perancangan, pelaburan demi pelaburan, mana ada peluang pasti kita rebut, susah cara susah, senang apatah lagi.


Tetapi sedarkan kita bahawa kita manusia terlalu mengejar apa yang hanya sementara, tetapi tidak mengejar apa yang kekal yakni bekalan yang akan kita bawa menghadap Allah s.n.w untuk dihisap dan dihitung.


Apa yang kita sibuk adalah mengumpul sebanyak mana harta dan wang ringgit, sekali pandang memang tidak mencukupi, dua kali pandang terasa masih kosong kantung akaun bank, tiga kali pandang memang jauh lagi. Sampai bila entah ler...


Tapi kita tidak pula menghitung apakah amalan atau pahala yang dikumpul, dosa yang telah kita terlanjur, adakah semalam aku membuat kesalahan dengan sesama insan, terasa hatikah sahabat handai, jiran tetangga, adik beradik, sanak saudara dan ibubapa kita sendiri dengan tingkah laku kita.


Sudahkah kita memohon kemaafan daripada mereka, atau kita menunggu mereka memohon maaf dari kita atas alasan aku lebih tua, aku lebih berpangkat, aku ada status, aku adalah suami, aku adalah orang yang menyara mereka belajar tetapi mereka hanya orang kampung, tidak berpelajaran tinggi, mereka tiada wang, mereka hanya mengharapkan pertolongan aku, aduhai... adakah Rasulullah s.a.w mengajar kita begitu.


Sama-samalah kita menghitung amalan dan pendapatan yakni harta yang kekal ini, yang akan kita bawa untuk diadili, dihadapan Allah s.n.w. Mampukah harta dunia yang kita kumpul ini membayar kesangsaraan di hari pengadilan, mampukah harta ini dibawa bersama, mampukah harta ini menjamin kita ke syurga Allah, mampukah harta membeli iman dan taqwa.


Tepuk dada tanyalah iman. Bersama membentuk diri muslim sejati dengan mengamal sunnah Rasulullah s.a.w dan bertaqwa dengan Al-Quran yang suci.