---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, September 19, 2008

Mendidik kaki berpuasa

Kaki yang berpuasa tidak akan sama sekali melangkah ke arah tempat-tempat dimana syaitan dan sekutunya berkumpul seperti pub, disko dan kasino. Sabda Rasulullah s.a.w: "Zina kaki adalah berjalan (ke arah kemaksiatan, kerosakan)". Hadis Riwayat : Dari Abu Hurairah, Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kaki yang berpuasa senang menuju ke rumah Allah (masjid/surau) untuk bersujud dan merendahkan diri kepada Allah dan juga majlis agama untuk mendengar ayat-ayat dan peringatan Allah.


Mereka yang berjaya pada bulan Ramadhan ini ialah mereka yang berpuasa secara fizikal dan spiritual. Antara kedua-duanya, paling mencabar adalah puasa spiritual yang memerlukan lebih perhatian dan kesabaran.

Thursday, September 18, 2008

Mendidik tangan berpuasa

Tangan yang berpuasa tidak sanggup menyentuh benda-benda yang ditegah oleh agama, Sabda Rasulullah s.a.w : "Zina tangan adalah memegang (wanita yang bukan mahram bagimu)". Hadis Riwayat : Muslim.

Tangan yang berpuasa akan menjauhi daripada perbuatan mencuri, menyentuh wanita atau lelaki yang bukan mahramnya, mengambil duit riba' dan lain-lain.


Tangan yang berpuasa sangat pemurah dan dermawan sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w: "...kekeyaannya adalah apa yang telah dibelanjakan (ke jalan Allah) semasa dia hidup (untuk kebaikan) manakala kekayaan warisnya adalah apa sahaja yang ditinggalkannya selepas kematiannya" Hadis Riwayat: Al-Bukhari.


Tangan yang berpuasa tidak akan bermain alat-alat muzik. Abdulah Ibn Umar r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, judi, gendang dan gitar dan setiap yang memabukkan itu adalah haram." Hadis Riwayat: Musnad Ahmad dan Sunan Abu Dawud.

Tuesday, September 16, 2008

Mendidik telinga berpuasa

Telinga yang berpuasa tidak sanggup memusnahkan amalannya dengan mendengar kata-kata yang tidak berfaedah. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Agung, mafhumNya: "Dan diantara manusia, (ada) orang yang menggunakan perkataan yang tidak berfaedah untuk menyesatkan (manusia) daripada jalan Allah tanpa pengetahuan ...."

Telinga yang berpuasa akan berasa gembira dan tenang apabila mendengar ayat-ayat Allah berkumandang dan akan berasa pedih dan perit apabila mendengar suara-suara Syaitan (muzik) yang menari mengikut rentak dan alunan lagu yang bercanggah dengan syariah.

Nuzul Quran-17hb Ramadhan

Peristiwa Nuzul Al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17hb Ramadhan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad s.a.w. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah.

Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad s.a.w maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia Al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.


Firman Allah mafhumNya:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan Al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad s.a.w ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq, maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Al-‘Alaq:1-5)

Monday, September 15, 2008

Mendidik lidah berpuasa

Lidah yang berpuasa tidak akan berdusta dan memecah belahkan orang kerana takut tidak akan masuk syurga. Rasulullah s.a.w bersabda : "Qattaat (sesorang yang menyampaikan perkara yang tidak benar dan suka melaga-lagakan sesama manusia dengan niat untuk menimbulkan persengketaan) tidak akan masuk Syurga". Hadis Riwayat: Al-Bukhari

Lidah yang berpuasa tidak akan mengeluarkan kata-kata untuk memuaskan nafsu kemarahannya kerana ia sedar akan sabda Rasulullah s.a.w : "Orang yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang berlebih-lebih dalam persengketaan". Hadis Riwayat: Al-Bukhari


Lidah yang berpuasa tidak akan mengejek maupun mempersendakan orang lain kerana ia lebih suka mengikut nasihat Allah yang mafhumNya: "Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik". Apatah lagi untuk mengata, mengumpat atau memfitnah orang lain. Lidah ini tidak mahu esok harinya ia dihidangkan hidangan daging saudaranya. Janji Allah itu benar sepertimana firmanNya, mafhumNya: ".... janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain, sukakah sekiranya salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati?? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya..."


Lidah yang berpuasa sangat memberatkan kata-kata yang benar dan jujur. Sabda Rasulullah s.a.w : "Kebenaran membawa Al-Birr (kebaikan) dan Al-Birr membawa ke Syurga. Seseorang akan senantiasa berkata benar sehingga ia dikenali sebagai seorang yang jujur"

Medidik mata berpuasa

Mata yang berpuasa akan menjaga penglihatannya daripada melihat perbuatan yang diharamkan kerana taat kepada sabda Rasulullah s.a.w : "Zina mata adalah melihat perkara-perkara yang haram (contohnya, wanita yang mendedahkan auratnya baik di tepi jalan mahupun dikaca telivisyen"
Hadis Riwayat : Muslim