---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Monday, September 15, 2008

Mendidik lidah berpuasa

Lidah yang berpuasa tidak akan berdusta dan memecah belahkan orang kerana takut tidak akan masuk syurga. Rasulullah s.a.w bersabda : "Qattaat (sesorang yang menyampaikan perkara yang tidak benar dan suka melaga-lagakan sesama manusia dengan niat untuk menimbulkan persengketaan) tidak akan masuk Syurga". Hadis Riwayat: Al-Bukhari

Lidah yang berpuasa tidak akan mengeluarkan kata-kata untuk memuaskan nafsu kemarahannya kerana ia sedar akan sabda Rasulullah s.a.w : "Orang yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang berlebih-lebih dalam persengketaan". Hadis Riwayat: Al-Bukhari


Lidah yang berpuasa tidak akan mengejek maupun mempersendakan orang lain kerana ia lebih suka mengikut nasihat Allah yang mafhumNya: "Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik". Apatah lagi untuk mengata, mengumpat atau memfitnah orang lain. Lidah ini tidak mahu esok harinya ia dihidangkan hidangan daging saudaranya. Janji Allah itu benar sepertimana firmanNya, mafhumNya: ".... janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain, sukakah sekiranya salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati?? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya..."


Lidah yang berpuasa sangat memberatkan kata-kata yang benar dan jujur. Sabda Rasulullah s.a.w : "Kebenaran membawa Al-Birr (kebaikan) dan Al-Birr membawa ke Syurga. Seseorang akan senantiasa berkata benar sehingga ia dikenali sebagai seorang yang jujur"

No comments:

Post a Comment