---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, December 24, 2008

Hadis 40 - #4

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata:
Rasulullah s.a.w telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): "Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak
lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga."

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim :
Kefahaman Hadis :
  1. Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim :
    Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14)
    Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara (tadarruj) beransur-ansur tidak gopoh atau gelojoh.
  2. Ditiup Ruh :
    Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.
    Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari bagi menjamin kesucian rahimnya(tak mengandung).
  3. Menggugurkan Janin :
    Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi
    pendapat yang dhaif.
  4. Keluasan Ilmu Allah :
    Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya. Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Pengajaran hadis:
Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah s.n.w mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah s.n.w yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.

Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah s.n.w semenjak dia belum lahir ke bumi - rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang.

Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Boleh jadi dia sangat baik si sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya.

Tuesday, December 23, 2008

Tn Hj Mokhtar - HUKM

Salah seorang ahli jemaah kita Tn Haji Mokhtar (bapa mertua Amir) telah dimasukkan ke wad HUKM pada hari Selasa lepas. Sesiapa yang ada kelapangan dan kesempatan bolehlah menziarahi beliau di HUKM Tingkat 5, Wad Surgeri 3, Katil 15.

Banyak sebenarnya akan kelebihan menziarah orang sakit ni, antaranya:
Hadith dari Abu Hurairah riwayat Tirmizi mengatakan bahawa "Allah akan bina para pelawat orang sakit akan satu tempat tinggal yang khas dalam syurga".

Dalam riwayat yang lain dari Tsauban r.a, "Pelawat orang sakit akan dapat tinggal dalam Khurfah, dimana Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan Khurfah adalah buah-buahan?" Tak tahu macam mana nak gambarkan dengan fikiran waras kita, mungkin sebab tu juga orang ziarah selalu bawak buah walaupun orang sakit tak boleh makan, tapi orang ziarah pulak yang dapat makan sebelum makan besar dalam Khurfah!

Tapi menurut hadith, pelawat diingatkan agar berwudhu dulu sebelum menziarah orang sakit. Dan ganjaran untuk wudhu itu, Allah akan jauhkan kita dari api neraka sajauh 70 puluh kharif, dan Nabi Muhammad ss.a.w menjelaskan satu Kharif adalah bersamaan satu tahun, bermakna apabila bumi mengambil masa selama satu tahun untuk mengelingi matahari, maka jaraknya adalah bersamaan 187 juta batu didarabkan dengan 70"


Oleh itu, menziarah orang yang sakit amatlah dituntut dalam Islam. Walaubagaimanapun dalam adab ziarah pesakit, kita jangan cerita tentang azab ALLAH, tapi banyakkan cerita tentang RAHMAT Allah

Dari Anas bin Malik r.a pula meriwayatkan bahawa Nabi bersabda:"Barangsiapa yang mengunjungi orang sakit, dia melompat dalam Rahmat Allah, dan apabila duduk dengan orang sakit, dia akan tenggelam dalam Rahmat Allah."

Kemudian Anas bertanya: "Wahai Rasullulah, ini adalah ganjaran untuk orang sihat mengunjungi orang sakit, bagaimana pula untuk orang sakit? "Nabi bersabda: "Dosa-dosa orang sakit akan di ampuni"

Masyaallah, besar sungguh nikmat Allah, bagi orang-orang sakit bila ada orang ziarah mereka maka dosa mereka pula akan di ampunkan. Subhanallah.

Wallahuwaklam.

Sumbangan:
Tn Hj Radzuan
Imam Surau At-Tarbiyyah

Monday, December 22, 2008

Selamat Pengantin Baru - Ezam & Nur Musyahadah

Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di daun pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Sama cantik sama padan

Amat garang datuk bentara
Musuh melanggar habis dibenam
Dulu seorang kini berdua
Hidup bersama susah senang


Selamat Pengantin Baru kepada Mohd Khairul Ezam dan Nur Musyahadah yang telah pun selamat diijabkabulkan pada 12hb Dis 2008 yang lalu di Ipoh, Perak dan semalam 21hb Dis 2008, kedua mempelai telah selamat diraikan dalam Majlis Sambut Menantu di kediaman Tn Hj Mohd Rasali bin Abdul Rahman dan isteri Hjh Hoznia, Taman Bukit Indah, Ampang, ayahanda dan bonda kepada pengantin lelaki Raja Sehari Mohd Khairul Ezam.

Sebelum itu Majlis Tahlil Arwah dan doa selamat diadakan pada jam 10:45 pagi dikediaman Tn Hj Mohd Rasali bersama-sama ahli qariah Tmn Bukit Indah diketuai oleh Imam Tn Hj Raduan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah s.n.w sepanjang Majlis Sambut Menantu berlangsung.




Para tetamu mula tiba lebih kurang jam 12:00 tengahari disambut oleh para penyambut tetamu lengkap dengan samping adalah terdiri daripada ahli-ahli qariah, jiran dan sahabat handai. Semuanya bersatu padu dan bekerjasama bagi menjayakan majlis, maklum sajalah inilah majlis pertama diadakan oleh Tn Hj Mohd Rasali dan alhamdulillah dengan izin Allah, majlis berjalan dengan lancar seperti yang dihajati.

Tepat jam 1:30 tengahari, kompang dipalu menandakan Raja Sehari telah pun tiba untuk diraikan, direnjis mawar oleh ahli keluarga terdekat diatas pelamin, makan pengantin dan sesi bergambar. Doa selamat telah dibacakan sendiri oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Ir Tn Hj Syed Salim. Pengantin juga sempat beramah mesra dengan tetamu sambil diiringi oleh Tn Hj Mohd Rasali.

Alhamdulillah. Majlis berakhir lebih kurang jam 4 petang. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua para hadirin yang telah bersama-sama meraikan Majlis Sambut Menantu Tn Hj Mohd Rasali bin Abdul Rahman dan Hjh Hoznia. Tidak lupa kepada semua para jemaah, qariah Surau At-Tarbiyyah dan jiran tetangga yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut. Hanya Allah jua yang dapat membalas budi baik jemaah.


Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.