---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Tuesday, December 30, 2008

Amalan Bulan Muharram

AMALAN PADA BULAN MUHARRAM

Pada bulan Muharram disunatkan memperbanyakkan amal soleh secara umumnya, manakala secara khususnya amalan yang digalakkan padanya ialah sebulan berpuasa, berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.

PUASA SUNAT MUTLAK YANG PALING AFDHAL IALAH PADA BULAN MUHARRAM

“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Hadis Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis di atas, menunjukkan bahawa puasa sunat yang paling afdhal ialah puasa sunat yang dilakukan pada bulan Muharram. Menurut para ulama’, maksud hadis di atas ialah puasa sunat selama sebulan paling afdhal dilakukan pada bulan Muharram. Adapun puasa sunat tidak sepenuhnya, maka puasa sunat pada Zulhijjah adalah paling afdhal.

SUNAT BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM (TASU’AAA’).

Di antara puasa sunat yang digalakkan ialah berpuasa sunat pada hari yang kesembilan Muharram atau dikenali sebagai hari Tasu’aaa’. Perkara ini berdasarkan hadis berikut; “ Abu Ghathofan berkata, aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: ketika mana Nabi s.a.w berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda s.a.w telah menyuruh para sahabat berpuasa pada hari tersebut.

Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah s.a.w, hari Asyura’ itu hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi s.a.w bersabda; (kalau begitu), apabila tiba tahun hadapan,- insyaallah- kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

HIKMAT DISUNATKAN BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM

Menurut para ulama’, hikmat sunat berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram ialah untuk membezakan diri dari kelakuan golongan Yahudi. Golongan Yahudi hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja. Oleh itu, disunatkan berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh sebagai tanda perbezaan antara kaum Muslimin dengan golongan Yahudi.

PUASA SUNAT PADA HARI KESEPULUH MUHARRAM

Berpuasa sunat pada hari Asyura’ adalah sunat hukumnya. Nabi s.a.w berpuasa pada hari tersebut dan memberitahu bahawa berpuasa sunat pada hari tersebut mendapat ganjaran yang besar. “ Dari Ibnu Abbas katanya; aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w bersungguh-sungguh berpuasa sunat selain dari Hari Asyura’ dan pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan”( Hadis Riwayat Bukhari)

KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI ASYURA

Berpuasa sunat pada Hari Asyura mempunyai kelebihan yang besar. Nabi s.a.w telah menjelaskan kelebihan berpuasa pada hari tersebut dengan sabda Baginda s.a.w; “ Berpuasa sunat pada Hari Arafah aku mengharapkan Allah menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Berpuasa Asyura pula, aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Hadis berikut menerangkan bahawa berpuasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.

DOSA YANG DIHAPUSKAN OLEH PUASA SUNAT PADA HARI ASYURA

Menurut para ulama’, dosa yang dapat dihapuskan oleh puasa sunat pada hari Asyura ialah dosa kecil sahaja. Menurut Imam Nawawi, jika sekiranya seseorang itu berpuasa sunat Asyura maka besar harapan agar dosa besar itu diringankan oleh Allah.

PERHATIAN!!!Terdapat orang tersilap faham atau terkena bisikan iblis tanpa ia sedari. Lantaran itu, ia tertipu dengan amalan sendiri. Di antara golongan tersebut ialah mereka beranggapan bahawa kelebihan yang disediakan oleh Allah itu menunjukkan kita tidak perlu bersungguh-sungguh beribadat.

Pada perkiraan mereka, puasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. Kemudiaan apabila seseorang itu berpuasa pada Hari Arafah maka dia mendapat anugerah dihapuskan dosanya untuk dua tahun. Oleh itu, sudah pasti amal soleh telah melebihi dosa yang dikerjakan. Menurut Ibnu al-Qayyim, akibat kefahaman yang menyeleweng ini, maka mereka melakukan maksiat tanpa merasa takut kepada Allah.

Golongan tersebut sebenarnya dirasuk oleh bisikan syaitan. Mereka tidak menjadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan mereka. Mereka sebenarnya jauh dari rahmat Allah.

HUKUM BERPUASA SUNAT HARI ASYURA BAGI MEREKA YANG BELUM MENQADHA’ PUASA WAJIB

Menurut Mazhab syafi’e, makruh bagi orang yang belum menqadha’ puasa wajib mengerjakan puasa Sunat Asyura. Sepatutnya ia menyegerakan dan mengutamakan puasa wajib dari puasa sunat.Akan tetapi, jika seseorang itu berniat qadha’ puasa wajib dan berpuasa sunat pada Hari Asyura (berpuasa dengan dua niat puasa), maka hukumnya tidaklah makruh. Bahkan, dikurniakan kepadanya kelebihan berpuasa Sunat Asyura, Insyaallah.

HUKUM BERPUASA PADA HARI KESEPULUH SAHAJA

Tidak menjadi kesalahan atau makruh berpuasa pada hari kesepuluh sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari kesembilan.

HUKUM BERPUASA HARI ASYURA YANG JATUH PADA HARI JUMAAT ATAU SABTU

Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari Khamis atau Sabtu adalah makruh hukumnya. Begitu juga makruh berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad. Hukum makruh itu bersyarat berpuasa tanpa sebarang sebab. Adapun sekiranya berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja dengan sebab qadha’ atau hari tersebut kebetulan giliran hari puasanya atau disebabkan hari tersebut jatuh pada hari-hari yang dimuliakan, maka hukum berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja tidaklah makruh.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA HARI ASYURA

Pada Hari Asyura, berlaku beberapa peristiwa penting. Di antaranya ialah Nabi Musa a.s terselamat dari buruan Firaun, Nabi Nuh a.s terselamat dari banjir besar dan penerimaan taubat Nabi Adam a.s sebagaimana yang datang pada hadis yang lemah. Peristiwa-peristiwa di atas telah dinyatakan dalam hadis-hadis berikut;“ Dari Abu Hurairah r.a katanya; Nabi s.a.w melalui sekumpulan manusia dari golongan Yahudi yang sedang berpuasa pada Hari Asyura’.

Nabi s.a.w bersabda: "Kenapa berpuasa pada hari ini?". "Mereka menjawab inilah hari yang Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel dari tenggelam dan pada hari ini juga Firaun tenggelam. Pada hari ini juga Kapal Nabi Nuh berlabuh di atas bukit al-Juudi, lalu Nabi Nuh dan Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah (setelah mendengar penjelasan tersebut)", Nabi s.a.w bersabda; "Aku lebih layak untuk memeperingati perjuangan Nabi Musa dan lebih patut berpuasa pada hari ini. Kemudian Baginda s.a.w pun mengarahkan sahabatnya berpuasa pada hari tersebut”(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

ASAL USUL PUASA HARI ASYURA

Berpuasa pada Hari Asyura telah diamalkan sejak zaman Jahiliyyah lagi. Saidatina ‘Aisyah r.a menjelaskan bahawa orang Jahiliyyah sejak turun temurun berpuasa pada Hari Asyura. Imam al-Qurthubi berpendapat bahawa orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura kerana mengikut agama Nabi Ibrahim a.s.

Menurut beberapa riwayat yang shahih, Nabi s.a.w telah berpuasa pada Asyura sebelum berhijrah ke Madinah. Bahkan menurut hadis yang shahih juga, berpuasa hari Asyura adalah wajib hukumnya, kemudian apabila diwajibkan berpuasa Ramadhan, maka berpuasa pada hari Asyura hukumnya menjadi sunat.

Kesimpulan dari perbincangan di atas, puasa sunat yang paling afdhal pada bulan Muharram ialah berpuasa sunat pada kebanyakan harinya termasuk hari Asyura dan hari Tasua’aa’. Kemudian berpuasa pada hari Asyura dan hari Tasu’aaa’ sahaja. Kemudian berpuasa pada hari Asyura sahaja atau hari Tasu’aaa’ sahaja.

BULAN MUHARRAM BULAN TAUBAT

Terdapat dalam hadis yang terlalu lemah yang menyatakan bahawa Allah menerima taubat Nabi Adam pada bulan Muharram. Oleh itu, sewajarnya kaum Muslimin memperbanyakkan taubat pada bulan tersebut.Sebagai penyempurnaan kepada amalan bertaubat, di sini kami catat gesaan dan tunjuk ajar Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada rakyatnya apabila hendak bertaubat. Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengeluarkan surat pekeliling kepada seluruh dunia Islam mengajar menyuruh bertaubat dan menyebut beberapa kalimah taubat.

Isi pekeliling yang diedar itu adalah seperti berikut; Katalah kamu sebagaimana kata Nabi Adam a.s; “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri. Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami nescaya kami akan menjadi orang-orang yang rugi” Ucaplah sebagaimana ucapan Nabi Nuh a.s; “ Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni daku, dan merahmati daku, nescaya aku termasuk di dalam golongan yang rugi” Sebutlah apa yang disebut oleh Nabi Musa a.s; “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah daku” Ucaplah ucapan Nabi Yunus a.s; “Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya adalah aku termasuk dalam golongan orang yang zalim”

BEBERAPA PERKARA PENTING BERKAITAN KEDATANGAN BULAN MUHARRAM
  1. HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN PADA HARI ASYURA SECARA MEWAH -Para ulama’ Islam telah berselisih pendapat hadis yang menyebut;”Barangsiapa yang memberi kelapangan kepada keluarganya (berbelanja lebih) pada Hari Asyura nescaya Allah akan member kelapangan kepadanya selama setahun”Hadis di atas telah didebatkan oleh para ulama’ dan kedudukannya. Sebahagian ulama’ menghukum hadis di atas sebagai hadis palsu. Sebahagian yang lain pula berpendapat hadis di atas adalah terlalu lemah dan tidak boleh diamalkan. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hadis ini boleh diamalkan. Kekhilafan di atas sebenarnya patut diberi perhatian oleh masyarakat Islam di Malaysia secara khusus. Ini disebabkan pada hari Asyura, acara memasak sure akan dilakukan. Kalau kita membuat penilaian kepada amalan masyarakat Melayu kita, kita akan dapati mereka melakukan perkara berikut pada hari Asyura:• Memasak suree• Sebahagian berpuasa, sebahagian tidak berpuasa. Berkenaan memasak suree, perlu diberi perhatian dari segi kaitan suree dengan hari Asyura. Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah; apakah kaitan antara makanan sure dengan hari tersebut? Apakah anggapan masyarakat terhadap penyediaan makanan suree pada hari tersebut?Ringkasnya, pegangan masyarakat itu adalah penentu hukum kepada amalan tersebut.Berkenaan tidak berpuasa sunat pada hari Asyura tetapi bersungguh-sungguh menyediakan suree juga patut diberi perhatian. Apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w adalah berpuasa sunat pada hari tersebut. Adapun penyediaan makanan secara mewah adalah perselisihan dalam kalangan ulama’. Oleh itu, alangkah eloknya kalau pada hari kesembilan dan hari kesepuluh itu, masjid atau surau menganjur ifthor jamai’i sebagai mengikut Sunnah Nabi s.a.w berpuasa sunat pada hari tersebut

  2. MENGUCAP TAHNIAH SEMPENA KEDATANGAN TAHUN BARU -Menurut al-Qomuli, kami tidak pernah menemui ulasan para ulama’ berkenaan ucapan tahniah sempena kedatangan tahun baru atau bulan baru. Akan tetapi, melihat catatan Syeikh Zakiyuddin Abdul ‘Azim yang menyebut bahawa al-Hafiz Abul Hasan al-Maqdisi ditanya berkenaan perbuatan mengucap tahniah sempena kedatangan tahun baru dan bulan baru. Beliau berpendapat hukumnya adalah harus bukannya sunat atau bid’ah yang keji

  3. DOA TAHUN BARU- Bulan Muharram adalah bulan yang pertama mengikut bulan Hijrah. Oleh itu, kedatangan bulan Muharram menandakan tibanya tahun baru. Sesetengah tempat diedar doa tahun baru. Berkenaan doa tahun baru, sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat sebagaimana mereka tidak pernah menyambut hari lahir mereka.

Penghulu istighfar: Nabi s.a.w bersabda; “ Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu ia mati sebelum tiba waktu petang, maka dia adalah ahli syurga. Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu petang dengan penuh keyakinan, maka ia mati sebelum tiba waktu pagi, maka dia adalah ahli syurga. “


Sumbangan:

Tn Hj Radzuan
Imam At-Tarbiyyah

Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.

Semua Warga At-Tarbiyyah: Moderator mohon maaf atas kelewatan menyiarkan tazkirah ini.

Bulan-bulan dalam Islam


BILANGAN BULAN DI SISI ALLAH

“Sesungguhnya bulan di sisi Allah adalah sebanyak 12 sebagaimana yang tercatat pada kitab Allah semenjak ia mencipta langit dan bumi. Daripada bulan tersebut terdapat empat bulan Haram. Itulah agama yang lurus. Oleh itu janganlah kamu menzalimi diri kamu pada bulan-bulan tersebut”( Surah at-Taubah: 36)


Sayyid Qutb berkata; "Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa bilangan bulan itu adalah di antara tanda-tanda kebesaran Allah dan bilangan tersebut telah ditetapkan semenjak azali lagi. Penetapan itu adalah sesuai dengan tabiat penciptaan alam. Oleh itu, makhluk tidak mungkin boleh mengubah bilangan bulan atau hari kerana semua itu telah ditentu oleh Allah Subhanahu Wa Taala".




Dari Abi Bakrah katanya dari Nabi s.a.w “…… satu tahun mengandungi dua belas bulan. Di antara jumlah tersebut terdapat empat bulan Haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhor yang berada antara Jumada dan Syaa’ban”.(Hadis Riwayat Bukhari) Syeikh Izzudin berkata “ Kemuliaan masa dan tempat itu dua jenis. Satunya berbentuk keduniaan dan yang kedua keagamaan. Jenis keagamaan ini adalah anugerah Allah kepada makhluknya supaya mereka lebih bersemangat beribadah”.


SEJARAH KELAHIRAN PENGGUNAAN TAHUN HIJRAH

Bulan Hijrah sepertimana yang diguna pakai pada hari ini muncul di Zaman Jahiliyyah lagi. Akan tetapi, penggunaan bulan hijrah secara rasmi adalah berlaku pada masa pemerintahan Saidina Umar. Pengisytiharan penggunaan bulan Hijrah secara rasmi telah dilakukan pada Hari Rabu 20 Juumadaa akhirah pada tahun ke tujuh belas Hijrah bersamaan tahun 622 Masihi.


Menurut ahli sejarah, setiap negara yang dibuka oleh pendakwah Islam telah beramal dengan tahun dan bulan Hijrah dalam urusan kehidupan mereka di samping penggunaan tahun kebangsaan mereka masing-masing.Akan tetapi, apabila Khilafah Uthmaniyyah Islamiyyah tersungkur menyembah bumi pada tahun 1924M, pihak penjajah telah menghapus amalan berpegang dengan tahun Hijrah dan digantikan dengan tahun Masihi.


Menurut ahli sejarah, (kenyataan ini dinukil oleh Prof. Ahmad Syalabi dalam bukunya ‘ENSKLOPEDIA SEJARAH ISLAM’ ), apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah, dia telah menghapuskan undang-undang yang menyebut bahawa Islam agama Negara Turki, Undang-undang Islam diganti dengan Undang-undang Civil Sweden dan Undang-undang Itali, hari cuti umum ialah hari Ahad bukannya hari Jumaat sebagaimana yang diamalkan sebelum ini serta menghapuskan penggunaan tahun Hijrah dan diganti dengan penggunaan tahun Masihi.


Kesan dari tindakan tersebut, kita dapati kaum Muslimin lebih mengetahui bulan Masihi berbanding bulan Hijrah. Bahkan, terdapat anak-anak muda Islam yang tidak tahu bulan-bulan Islam atau bulan-bulan Hijrah. Bukan sekadar itu, mesyuarat berkenaan agama dan program agama terpaksa diumum menggunakan tarikh Masihi bukannya tarikh Hijrah atau Islam.


Menurut para pengkaji, sehingga kini semua negara umat Islam terkena penyakit di atas melainkan Saudi.




NAMA BULAN-BULAN HIJRAH DAN MAKNANYA

Nama-nama bulan Hijrah telah dikenali semenjak zaman Jahiliyyah. Cuma penggunaan secara rasmi adalah di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu sebagaimana dijelaskan sebelum ini.Nama-nama bulan Hijrah dan maknanya adalah seperti berikut:


MUHARRAM

Bulan ini dikenali dengan Muharram kerana orang Arab sejak turun-temurun mengharamkan peperangan pada bulan ini.


SOFAR

Sofar bermakna kosong. Bulan ini dikenali sebagai Bulan Sofar kerana orang Arab mengosongkan kediaman mereka kerana mencari makanan dan berpindah ke tempat lain untuk menghindar diri dari musim panas yang melampau.


RABI’ULAWAL

Makna Rabi’ ialah musim bunga. Dinamakan bulan ini sebegitu kerana pada kebiasaannya bulan ini tiba pada awal musim bunga.


RABI’ULAKHIR

Maknanya ialah musim bunga yang terakhir. Ini kerana bulan ini tiba pada akhir musim bunga. Bulan ini dikenali juga sebagai Rabi’ussani.


JUUMADAL UULA

Maknanya ialah pembekuan yang pertama. Ini kerana bulan ini tiba ketika awal musim sejuk dan air menjadi beku.


JUUMADUL AKHIRAH

Maknanya ialah pembekuan yang akhir. Ini kerana bulan ini tiba ketika akhir musim sejuk dan air menjadi beku.


RAJAB (REJAB)

Kalimah Rajab bermakna gerun atau takut. Bulan ini dikenali dengan Rajab kerana orang Arab menghormati dan merasa gerun terhadap bulan ini. Lantaran itu mereka tidak berperang kerana tibanya bulan Rajab.


SYAA’BAN

Syaa’ban bermakna berkecai atau bertaburan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana orang Arab bertaburan di atas muka bumi kerana berperang setelah mereka tidak berbuat demikian pada bulan Rajab.


RAMADHAN

Ramadhan bermakna waktu yang sangat panas. Bulan ini dikenali sebagai Ramadhan kerana kebiasaannya ketibaan bulan ini adalah pada musim panas.


SYAWWAL

Syawwal bermakna kering atau kurang. Ini kerana pada kebiasaannya susu binatang akan kering atau kehabisan setelah musim kemarau ( bulan Ramadhan) melanda.


ZULQA’DAH ATAU ZULQI’DAH

Ia bermakna bulan duduk. Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan tersebut dan duduk di tempat masing-masing kerana menghormati bulan tersebut.


ZULHIJJAH

Zulhijjah bermakna bulan yang dilakukan haji padanya


PEMIKIRAN KHURAFAT BERKENAAN BULAN-BULAN HIJRAH

Penulis terbaca satu kenyataan berkenaan bulan Hijrah dan kaitannya dengan keperibadiaan seseorang. Penulis dapati kenyataan yang dibuat itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam dan wajib ditolak. Berikut kenyataan khurafat yang dimaksudkan:Seseorang itu dapat mengetahui tabiatnya melalui bulan kelahirannya.


Tabiat itu adalah seperti berikut;


Muharram - Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna. Walaupun begitu, jika dididik dengan baik dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat. Safar tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengaku kesalahannya. Ibu bapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu.


Jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ia akan mendatangkan hasil. Rabi’ul Awal perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang yang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.




Rabi’ul Akhir - perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar dan tabiat buruknya itu. Ibu bapa menempuh kesukaran dalam dirinya.


Jamadil Awal - Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya yang menemui kegagalan jua.


Jamadil Akhir - Wataknya berani. Hormat orang lain. Pelbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tetapi apabila dia mengetahui dia benar, pendiriannya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibu bapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.


Rejab - Semasa kecilnya dia degil dan nakal. Ibu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun, hidupnya selamat dan sentosa.


Syaa’ban - Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya, dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawannya. Kelakuannya baik, berbudi bahasa sehingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya dan mudah mendapat rezeki.


Ramadhan - Dia baik, pendiam dan suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan dirinya. Kehidupannya selalu selamat.


Syawal - Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya. Oleh itu, ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak, kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.


Zulkaedah - Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir kerana sifat ini. Suatu hari nanti, dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi, oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadangkala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang memuaskan.


Zulhijjah - Jika dia jahat dia terlalu jahat. Jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya. Kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. Oleh kerana dia tidak memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk pada perbuatannya. Dia sering kali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan. Kenyataan seperti yang disebutkan itu adalah khurafat yang wajib ditolak. Ini kerana akhlak itu samada diwarisi dari keturunan atau diusaha melalui mujahadah yang dilakukan.


Wallahuaa’lam.



Sumbangan

Tn Hj Radzuan

Imam Surau At-Tarbiyyah


Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.

Wednesday, December 24, 2008

Hadis 40 - #4

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata:
Rasulullah s.a.w telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai): "Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak
lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga."

Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim :
Kefahaman Hadis :
  1. Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim :
    Ayat-ayat yang berkaitan dengannya (Al-Haj : 5) (Al- Mu’minun :12-14)
    Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat : Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara (tadarruj) beransur-ansur tidak gopoh atau gelojoh.
  2. Ditiup Ruh :
    Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.
    Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari bagi menjamin kesucian rahimnya(tak mengandung).
  3. Menggugurkan Janin :
    Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi
    pendapat yang dhaif.
  4. Keluasan Ilmu Allah :
    Maha mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya. Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).

Pengajaran hadis:
Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah s.n.w mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah s.n.w yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.

Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah s.n.w semenjak dia belum lahir ke bumi - rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang.

Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Boleh jadi dia sangat baik si sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya.

Tuesday, December 23, 2008

Tn Hj Mokhtar - HUKM

Salah seorang ahli jemaah kita Tn Haji Mokhtar (bapa mertua Amir) telah dimasukkan ke wad HUKM pada hari Selasa lepas. Sesiapa yang ada kelapangan dan kesempatan bolehlah menziarahi beliau di HUKM Tingkat 5, Wad Surgeri 3, Katil 15.

Banyak sebenarnya akan kelebihan menziarah orang sakit ni, antaranya:
Hadith dari Abu Hurairah riwayat Tirmizi mengatakan bahawa "Allah akan bina para pelawat orang sakit akan satu tempat tinggal yang khas dalam syurga".

Dalam riwayat yang lain dari Tsauban r.a, "Pelawat orang sakit akan dapat tinggal dalam Khurfah, dimana Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan Khurfah adalah buah-buahan?" Tak tahu macam mana nak gambarkan dengan fikiran waras kita, mungkin sebab tu juga orang ziarah selalu bawak buah walaupun orang sakit tak boleh makan, tapi orang ziarah pulak yang dapat makan sebelum makan besar dalam Khurfah!

Tapi menurut hadith, pelawat diingatkan agar berwudhu dulu sebelum menziarah orang sakit. Dan ganjaran untuk wudhu itu, Allah akan jauhkan kita dari api neraka sajauh 70 puluh kharif, dan Nabi Muhammad ss.a.w menjelaskan satu Kharif adalah bersamaan satu tahun, bermakna apabila bumi mengambil masa selama satu tahun untuk mengelingi matahari, maka jaraknya adalah bersamaan 187 juta batu didarabkan dengan 70"


Oleh itu, menziarah orang yang sakit amatlah dituntut dalam Islam. Walaubagaimanapun dalam adab ziarah pesakit, kita jangan cerita tentang azab ALLAH, tapi banyakkan cerita tentang RAHMAT Allah

Dari Anas bin Malik r.a pula meriwayatkan bahawa Nabi bersabda:"Barangsiapa yang mengunjungi orang sakit, dia melompat dalam Rahmat Allah, dan apabila duduk dengan orang sakit, dia akan tenggelam dalam Rahmat Allah."

Kemudian Anas bertanya: "Wahai Rasullulah, ini adalah ganjaran untuk orang sihat mengunjungi orang sakit, bagaimana pula untuk orang sakit? "Nabi bersabda: "Dosa-dosa orang sakit akan di ampuni"

Masyaallah, besar sungguh nikmat Allah, bagi orang-orang sakit bila ada orang ziarah mereka maka dosa mereka pula akan di ampunkan. Subhanallah.

Wallahuwaklam.

Sumbangan:
Tn Hj Radzuan
Imam Surau At-Tarbiyyah

Monday, December 22, 2008

Selamat Pengantin Baru - Ezam & Nur Musyahadah

Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di daun pandan
Berjalan seiring bersentuh bahu
Sama cantik sama padan

Amat garang datuk bentara
Musuh melanggar habis dibenam
Dulu seorang kini berdua
Hidup bersama susah senang


Selamat Pengantin Baru kepada Mohd Khairul Ezam dan Nur Musyahadah yang telah pun selamat diijabkabulkan pada 12hb Dis 2008 yang lalu di Ipoh, Perak dan semalam 21hb Dis 2008, kedua mempelai telah selamat diraikan dalam Majlis Sambut Menantu di kediaman Tn Hj Mohd Rasali bin Abdul Rahman dan isteri Hjh Hoznia, Taman Bukit Indah, Ampang, ayahanda dan bonda kepada pengantin lelaki Raja Sehari Mohd Khairul Ezam.

Sebelum itu Majlis Tahlil Arwah dan doa selamat diadakan pada jam 10:45 pagi dikediaman Tn Hj Mohd Rasali bersama-sama ahli qariah Tmn Bukit Indah diketuai oleh Imam Tn Hj Raduan bagi memohon keberkatan dan keredhaan Allah s.n.w sepanjang Majlis Sambut Menantu berlangsung.




Para tetamu mula tiba lebih kurang jam 12:00 tengahari disambut oleh para penyambut tetamu lengkap dengan samping adalah terdiri daripada ahli-ahli qariah, jiran dan sahabat handai. Semuanya bersatu padu dan bekerjasama bagi menjayakan majlis, maklum sajalah inilah majlis pertama diadakan oleh Tn Hj Mohd Rasali dan alhamdulillah dengan izin Allah, majlis berjalan dengan lancar seperti yang dihajati.

Tepat jam 1:30 tengahari, kompang dipalu menandakan Raja Sehari telah pun tiba untuk diraikan, direnjis mawar oleh ahli keluarga terdekat diatas pelamin, makan pengantin dan sesi bergambar. Doa selamat telah dibacakan sendiri oleh Pengerusi Surau At-Tarbiyyah, Ir Tn Hj Syed Salim. Pengantin juga sempat beramah mesra dengan tetamu sambil diiringi oleh Tn Hj Mohd Rasali.

Alhamdulillah. Majlis berakhir lebih kurang jam 4 petang. Kami mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua para hadirin yang telah bersama-sama meraikan Majlis Sambut Menantu Tn Hj Mohd Rasali bin Abdul Rahman dan Hjh Hoznia. Tidak lupa kepada semua para jemaah, qariah Surau At-Tarbiyyah dan jiran tetangga yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut. Hanya Allah jua yang dapat membalas budi baik jemaah.


Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Tuesday, December 16, 2008

Majlis Berkampung Tn Hj Mohd Rasali

Alhamdulillah, istiadat berkampung selamat diadakan di rumah Tn Hj Mohd Rasali malam tadi selepas solat Isyak yang dipengerusikan sendiri oleh beliau.

Beliau kemudian melantik Tn Hj Salleh sebagai Ketua bagi membincangkan segala macam persediaan yang perlu bagi melancarkan perjalanan Majlis Perkahwinan anakanda Tn Hj Mohd Rasali pada hari Ahad ini, 21hb Dis 2008.

Sdr Hamzah selaku Bendahari surau telah diamanahkan untuk mencatit minit dalam istiadat berkampung tersebut.
Banyak perkara telah dibincangkan diantaranya soal susunan meja dan khemah, penanda arah jalan, tempat letak kereta tetamu, PA System, pemasangan banting (Bena), penyambut tetamu dan bermacam-macam lagi.

Alhamdulillah, semua ahli yang hadir memberi kerjasama dan buah fikiran yang bernas bagi memudah dan melancarkan majlis nanti. Dan yang ditunggu telah pun tiba, sudah semestinya diakhir majlis, pihak tuan rumah telah menghidangkan Mee Hun Sup Tulang dan kuih muih untuk para tetamu.

Semoga Allah memberkati majlis dan disudahi dengan doa selamat oleh Tn Hj Salleh. AMIN






Friday, December 12, 2008

Mengenali Ulama Hadith

Biografi para ulama ahlul hadith mulai dari zaman sahabat hingga sekarang yang masyhur :

1. Khalifah ar-Rasyidin :
  • Abu Bakr Ash-Shiddiq
  • Umar bin Al-Khaththab
  • Utsman bin Affan
  • Ali bin Abi Thalib
2. Al-Abadillah :

  • Ibnu Umar
  • Ibnu Abbas
  • Ibnu Az-Zubair
  • Ibnu Amr
  • Ibnu Mas’ud
  • Aisyah binti Abubakar
  • Ummu Salamah
  • Zainab bint Jahsy
  • Anas bin Malik
  • Zaid bin Tsabit
  • Abu Hurairah
  • Jabir bin Abdillah
  • Abu Sa’id Al-Khudri
  • Mu’adz bin Jabal
  • Abu Dzarr al-Ghifari
  • Sa’ad bin Abi Waqqash
  • Abu Darda’
3. Para Tabi’in :
  • Sa’id bin Al-Musayyab wafat 90 H
  • Urwah bin Zubair wafat 99 H
  • Sa’id bin Jubair wafat 95 H
  • Ali bin Al-Husain Zainal Abidin wafat 93 H
  • Muhammad bin Al-Hanafiyah wafat 80 H
  • Ubaidullah bin Abdillah bin Utbah bin Mas’ud wafat 94 H
  • Salim bin Abdullah bin Umar wafat 106 H
  • Al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr Ash Shiddiq
  • Al-Hasan Al-Bashri wafat 110 H
  • Muhammad bin Sirin wafat 110 H
  • Umar bin Abdul Aziz wafat 101 H
  • Nafi’ bin Hurmuz wafat 117 H
  • Muhammad bin Syihab Az-Zuhri wafat 125 H
  • Ikrimah wafat 105 H
  • Asy Sya’by wafat 104 H
  • Ibrahim an-Nakha’iy wafat 96 H
  • Aqamah wafat 62 H
4. Para Tabi’ut tabi’in :

  • Malik bin Anas wafat 179 H
  • Al-Auza’i wafat 157 H
  • Sufyan bin Said Ats-Tsauri wafat 161 H
  • Sufyan bin Uyainah wafat 193 H
  • Al-Laits bin Sa’ad wafat 175 H
  • Syu’bah ibn A-Hajjaj wafat 160 H
  • Abu Hanifah An-Nu’man wafat 150 H
5. Atba’ Tabi’it Tabi’in (Setelah para tabi’ut tabi’in):
  • Abdullah bin Al-Mubarak wafat 181 H
  • Waki’ bin Al-Jarrah wafat 197 H
  • Abdurrahman bin Mahdy wafat 198 H
  • Yahya bin Sa’id Al-Qaththan wafat 198 H
  • Imam Syafi’i wafat 204 H
6. Murid-Murid atba’ Tabi’it Tabi’in :
  • Ahmad bin Hambal wafat 241 H
  • Yahya bin Ma’in wafat 233 H
  • Ali bin Al-Madini wafat 234 H
  • Abu Bakar bin Abi Syaibah Wafat 235 H
  • Ibnu Rahawaih Wafat 238 H
  • Ibnu Qutaibah Wafat 236 H
7. Kemudian murid-muridnya seperti:
  • Al-Bukhari wafat 256 H
  • Muslim wafat 271 H
  • Ibnu Majah wafat 273 H
  • Abu Hatim wafat 277 H
  • Abu Zur’ah wafat 264 H
  • Abu Dawud : wafat 275 H
  • At-Tirmidzi wafat 279H
  • An Nasa’i wafat 234 H
8. Generasi berikutnya (orang-orang generasi berikutnya yang berjalan di jalan mereka adalah) :

  • Ibnu Jarir ath Thabary wafat 310 H
  • Ibnu Khuzaimah wafat 311 H
  • Muhammad Ibn Sa’ad wafat 230 H
  • Ad-Daruquthni wafat 385 H
  • Ath-Thahawi wafat 321 H
  • Al-Ajurri wafat 360 H
  • Ibnu Hibban wafat 342 H
  • Ath Thabarany wafat 360 H
  • Al-Hakim An-Naisaburi wafat 405 H
  • Al-Lalika’i wafat 416 H
  • Al-Baihaqi wafat 458 H
  • Al-Khathib Al-Baghdadi wafat 463 H
  • Ibnu Qudamah Al Maqdisi wafat 620 H
9. Murid-Murid Mereka :
  • Ibnu Daqiq Al-led wafat 702 H
  • Ibnu Taimiyah wafat 728 H
  • Al-Mizzi wafat 742 H
  • Imam Adz-Dzahabi (wafat 748 H)
  • Imam Ibnul-Qoyyim al-Jauziyyah (wafat 751 H)
  • Ibnu Katsir wafat 774 H
  • Asy-Syathibi wafat 790 H
  • Ibnu Rajab wafat 795 H
10. Ulama Generasi Akhir :

  • Ash-Shan’ani wafat 1182 H
  • Muhammad Shiddiq Hasan Khan wafat 1307 H
  • Al-Mubarakfuri wafat 1427 H
  • Abdurrahman As-Sa`di wafat 1367 H
  • Ahmad Syakir wafat 1377 H
  • Muhammad bin Ibrahim Alu Asy-Syaikh wafat 1389 H
  • Muhammad Amin Asy-Syinqithi wafat 1393 H
  • Muhammad Nashiruddin Al-Albani wafat 1420 H
  • Abdul Aziz bin Abdillah Baz wafat 1420 H
  • Hammad Al-Anshari wafat 1418 H
  • Hamud At-Tuwaijiri wafat 1413 H
  • Muhammad Al-Jami wafat 1416 H
  • Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin wafat 1423 H
  • Muqbil bin Hadi Al-Wadi’i wafat 1423 H
  • Shalih bin Fauzan Al-Fauzan hafidhahullah
  • Abdul Muhsin Al-Abbad hafidhahullah
  • Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali hafidhahullah
Sumber: Makanatu Ahli Hadits karya Asy-Syaikh Rabi bin Hadi Al-Madkhali dan Wujub Irtibath bi Ulama dengan sedikit tambahan.

Wallahuwaklam.

Thursday, December 11, 2008

Hari Raya Korban


Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan, keampunan dan pahala amalan.
Disebutkan oleh Nabi s.a.w : "Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ; Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ
"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad Al-Ma'ad, Ibn Qayyim). Ia juga disebut oleh Nabi s.a.w dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah s.n.w untuk hambanya memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
  1. Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar. Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah s.n.w juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28). Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
  2. Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Nabi s.a.w bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
    "Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim). Nabi s.a.w juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
  3. Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah s.n.w.
  4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
  5. Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Ali k.w menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tashriq.
  6. Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan berkorban". Allah SWT juga menyebut :
    وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

    Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)
    Sebuah hadis menyebut :
    ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم

    Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah s.n.w pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )


POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

من أراد أن يضحي فدخل العشر فلا يأخذ من شعره ولا من أظفاره شيئاً حتى يضحي
Ertinya :

Barangsiapa yang ingin menyembelih (berkorban ), dan telah masuk sepuluh awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hambali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya. Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi s.a.w mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban. Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedekahkan atas niat Qurban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang disyariatkan di hari raya Aidiladha. Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedekah harganya sahaja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Adalah diingatkan juga agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi s.a.w dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedekahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :
لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a.

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan. Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi s.a.w kepada Fatimah yang ingin berqurban :
احضري أضحيتك، يغفر لك بأول قطر من دمها

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari titisan darah sembelihanmu yang pertama"

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau. Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT :
  • 1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban
  • 1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
  • 1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.
    Ia berdasarkan firman Allah SWT :
    فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ
    Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :
    فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ
    Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA.

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga) hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam hal ini.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi s.a.w menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar, beliau menjawab: "Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaksudkan di dalam ayat surat At-Taubah. Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah, bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia adalah hari Qurban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya ‘Idil adha ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti Saudi.

Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan.


Wallahuwaklam

Thursday, December 4, 2008

Hadis 40 - Hadis #3

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn 'Umar ibn al-Khatthab (ﺎﻤﻬﻨﻋ ﷲا ﻲﺿر) beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "lslam itu terbina atas lima perkara:
  1. Naik saksi mengaku bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan
    Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah
  2. Mendirikan sembahyang
  3. Mengeluarkan zakat
  4. Mengerjakan haji ke baitulLah dan
  5. Menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim (Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya dalam Kitab (al- Iman) bab ﺲﻤﺥ ﻰﻠﻋ مﻼﺳﻹا ﻲﻨﺑ ﻢﻠﺳو ﻪﻴﻠﻋ ﷲا ﻰﻠﺻ ﻲﺒﻨﻟا لﻮﻗو نﺎﻤیﻹا بﺎﺑ ( hadis nombor 8. Al-Imam Muslim dalam bab ( نﺎﻴﺑ بﺎﺑ مﺎﻈﻌﻟا ﻪﻤﺋﺎﻋدو مﻼﺳﻹا نﺎآرأ ( hadis nombor 16).

Pokok Perbincangan Hadis :
  1. Binaan Islam :
    Diibaratkan sebagai penyelamat manusia yang mengeluarkannya dari daerah kekufuran dan melayakkannya masuk syurga serta jauh dari neraka. Struktur binaan yang kemas dan kukuh dengan asas-asas dan cabang-cabangnya.
  2. Ikatan Antara Rukun-Rukun Islam :
    Sempurna iman bagi yang menerima sepenuhnya. Bagi yang menolak semuanya - hukumnya kafir . Sesiapa yang ingkar salah satu - bukan muslim (ijma) . Sesiapa yang menerima tapi malas melakukannya (kecuali syahadah) - fasiq dan sesiapa yang melakukan dan iqrar secara pura-pura - munafiq
  3. Matlamat Ibadat :
    Syahadah - syarat diterima amalan lain. Solat - penghubung antara hamba dengan tuhannya - pertama dihisab . Zakat - suburkan harta/ berkat - sucikan diri. Haji - tidak harus bagi orang yang berkemampuan untuk itu melewatkan pemergiannya - wajib
    segerakan. Haji Mabrur merupakan sebaik-baik jihad. Puasa - syahwat dikengkang/ maksiat terhindar - sebab kepada ketinggian darjah di sisi Allah.
Pengajaran hadis:
Hadis ini juga menerangkan tentang rukun lslam lima perkara. Hadis ini mengumpamakan lslam sebagai sebuah binaan yang tertegak megah dengan lima batang tiang. Tanpa lima perkara ini lslam seseorang akan goyah dan runtuh. lni membayangkan betapa rukun-rukun ini mestilah ditegakkan oleh setiap muslim dengan penuh ikhlas dan tanggungjawab.
Menegakkan rukun lslam bermakna kesempurnaan, keteguhan, keutuhan dan keelokan binaan lslam sebaliknya kecuaian bererti keruntuhan, kehancuran dan kemusnahan lslam.
Oleh yang demikian, muhasabahlah diri kita. Adakah kita mempunyai ciri-ciri yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w.
Wallahuwaklam.

Wednesday, December 3, 2008

Penjual Tempe

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Disitu ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak.

Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi. Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil.

Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin" Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe.

Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku.

Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin". Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termanggu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi, sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang.

Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum dimakbul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin".

Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yang berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun terkejut seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan.

Dia merasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamirkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi.

Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang.

Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. "Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika.

Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi. Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur kepada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?". Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna.

Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan.

Kesimpulan:

Moral Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita.

Moral Kedua: Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita.

Moral Ketiga: Tiada yang mustahil bagi Tuhan

Moral Keempat: Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedangkan kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.

Oleh itu, peliharalah solat kita dan amal ibadah kita dengan seikhlas-ikhlasnya, semoga Allah redha dan suka dengan perbuatan dan amalan kita.


Wallahuwaklam.

Tuesday, December 2, 2008

Maafkan kami

Ada seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun ianya hanya satu masalah kecil sahaja. Pada suatu hari, bapanya telah menghadiahkannya dengan seguni paku. "Untuk apakah paku-paku ini ayah?" tanya pemuda tersebut.

"Setiap kali kamu marah, kamu pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ini, bagi melepaskan kemarahan mu" jawab ayahnya. Pada hari yang pertama sahaja, pemuda itu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut.

Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya dari memukul paku menembusi tembok batu tersebut. Akhirnya tibalah pada suatu hari, di mana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun.

Dia pun memberitahu ayahnya mengenai perkara tersebut dengan gembira. Bapanya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut kembali paku itu satu persatu, pada setiap hari yang ia lalui tanpa kemarahan. Hari berganti hari, dan akhirnya dia berjaya mencabut kesemua paku-paku tersebut. Pemuda tersebut lantas memberitahu perkara tersebut kepada bapanya dengan bangganya.

Bapanya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata "Kau telah melakukannya dengan baik anakku, tetapi lihatlah kesan lubang-lubang di tembok batu tersebut, tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkan kesan parut dan luka, sama seperti ini.

Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tetapi ingatlah, tak kisah berapa kali kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatam mu, namun lukanya masih tetap ada. Luka di hati adalah lebih pedih dari luka fizikal. Sahabat adalah permata yang sukar dicari.

Mereka membuatkan kamu ketawa dan menggalakkan mu ke arah kejayaan. Sahabat juga adalah seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

"Maafkan kami sekiranya kami pernah meninggalkan kesan berlubang di dinding hati anda."


Wallahuwaklam.

Monday, December 1, 2008

Hadis 40 - Hadis #2

Daripada Saiyidina 'Umar juga, r.a. beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih, berambut sangat hitam, yang tidak ternampak pada dirinya kesan-kesan tanda musafir dan tidak seorangpun di kalangan kami yang mengenalinya.

Lalu dia duduk menghampiri Nabi s.a.w lalu disandarkan kedua-dua lututnya ke lutut Baginda dan meletakkan dua tapak tangannya atas dua paha Baginda seraya berkata: "Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam". Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: "lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya".
Lelaki tersebut berkata: "Benarlah engkau". Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: "Terangkan kepadaku tentang lman". Baginda bersabda: "(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk".
Lelaki itu berkata: "Benarlah engkau". Dia berkata lagi: "Terangkanlah kepadaku tentang Ehsan". Baginda bersabda: "Ehsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatnya, maka sesungguhnya
Dia melihatmu".
Lelaki itu bertanya lagi: "Terangkan kepadaku tentang Qiamat". Baginda bersabda: "Orang yang ditanya tentang Qiamat tidaklah lebih mengetahui daripada orang yang bertanya". Lelaki itu berkata: "Maka terangkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya".
Baginda bersabda: "(Antara tandatandanya ialah) apabila seorang hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila engkau melihat orang-orang miskin yang berkaki ayam, tidak berpakaian dan papa kedana yang hanya menjadi pengembala kamibng berlumba-lumba membina bangunan (iaitu bertukar menjadi kaya raya)".

Kemudian lelaki itu berlalu, lalu aku terdiam sebentar. Kemudian Baginda bertanya: "Wahai 'Umar! Adakah engkau tahu siapa lelaki yang bertanya itu"? Aku berkata: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui". Baginda bersabda: "Sesungguhnya dia adalah Malaikat Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajar kamu tentang agama kamu. "

Hadis riwayat al-lmam Muslim (Hadis riwayat Muslim, kitab al-iman, no: 9 dan 10, al-Tirmizi, kitab al-iman, no: 2535, beliau berkata: "Hadis ini hasan shahih, al-Nasaa’ie, kitab al-iman, no: 4904, 4905, Abu Dawud, kitab al-sunnah, no:4075, Ibn Majah, kitab al-muqaddimah, no: 62 dan 63, Ahmad, musnad ﻦیﺮﺸﺒﻤﻟا ةﺮﺸﻌﻟا, no: 346).

Pokok Perbincangan Hadis :
  1. Kedudukan hadis ini - ibu kepada hadis-hadis lain. mengandungi penjelasan Din secara keseluruhannya.
  2. Islam - terangkum ibadat badani/ lisani/ maali/ badani wa maali.
  3. Iman - asal iman/ iman dan islam/ qaul - amal juga sebahagian dari iman. Hadis Imatotulatza - tolak pendapat Al Murji’ah. iman kepada qadho’ dan qadar………..
  4. Membezakan antara sifat Allah dengan sifat makluk…cth. Ilmu Allah…
  5. Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat..
  6. Sifat-sifat Jilbril (Ruh Al-Amiin) :rupa asal - 2 kali , tahun ketiga dilantik menjadi rasul di langit , semasa isra’ dan mi’raj - mempunyai enam ratus sayap.
Pengajaran hadis:

Agama lslam adalah agama yang datang dari Allah. Oleh itu ia dipanggil agama samawie atau bersifat Rabbaanie, iaitu bersumberkan wahyu dari langit yang diturunkan melalui malaikat Jibril. la bukanlah agama ciptaan akal manusia yang cetek, kerana itu ia amat sesuai untuk seluruh umat manusia di setiap tempat dan zaman.

Hadis ini menerangkan tiga tunggak agama, iaitu rukun lslam, rukun iman dan ehsan. Rukun lslam lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji di Baitullahilharam. Rukun lman enam perkara iaitu percaya atau beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari Qiamat dan beriman dengan qadar baik dan buruk datang dari Allah.

Kesempurnaan seorang mukmin akan tercapai apabila dia menunaikan segala rukun lslam,
menyempurnakan tuntutan rukun iman dan sifat ehsan. lslam tidak sempurna kalau hanya diambil dari segi zahir sahaja, atau batin sahaja atau aspek kerohanian semata-mata. Kesempurnaan lslam hanya akan terserlah apabila diamalkan keseluruhannya. llmu dalam lslam mestilah dipelajari secara berguru dan berdasarkan panduan yang betul. llmu agama tidak boleh dipelajari melalui mimpi dan sebagainya.

Seorang murid mestilah mempunyai adab-adab yang tinggi sebagaimana beradabnya Jibril ketika datang mengadap Rasulullah s.a.w untuk bertanya beberapa soalan agama. Demikian juga seorang guru mestilah mempunyai adab yang tinggi. Dia sewajibnya hanya mengajar atau menjawab soalan yang diketahui dan meninggalkan apa yang dia tidak tahu. ltu adalah tanda wara' para ulama dan orang berilmu.

Hari qiamat adalah peristiwa besar yang menjadi salah satu rukun lman. Tiada seorang manusiapun yang tahu bila ia akan berlaku, walaupun Rasulullah s.a.w. la adalah sebahagian dari ilmu ghaib yang tidak diketahui kecuali oleh Allah s.n.w. Sesiapa yang mengaku tahu bila berlaku qiamat atau mengetahui ilmu ghaib, maka dia adalah seorang penipu besar.

Walaupun tarikh qiamat tidak diketahui, namun ada beberapa tanda yang menunjukkan ia hampir tiba, antaranya ialah terjadi peristiwa seorang ibu melahirkan tuannya atau bossnya sendiri, yang menjadi hamba kepada anaknya. Di akhir zaman juga berlaku peristiwa si-miskin yang papa merempat bertukar menjadi hartawan yang kaya raya.
Wallahuwaklam.