---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Tuesday, December 30, 2008

Bulan-bulan dalam Islam


BILANGAN BULAN DI SISI ALLAH

“Sesungguhnya bulan di sisi Allah adalah sebanyak 12 sebagaimana yang tercatat pada kitab Allah semenjak ia mencipta langit dan bumi. Daripada bulan tersebut terdapat empat bulan Haram. Itulah agama yang lurus. Oleh itu janganlah kamu menzalimi diri kamu pada bulan-bulan tersebut”( Surah at-Taubah: 36)


Sayyid Qutb berkata; "Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa bilangan bulan itu adalah di antara tanda-tanda kebesaran Allah dan bilangan tersebut telah ditetapkan semenjak azali lagi. Penetapan itu adalah sesuai dengan tabiat penciptaan alam. Oleh itu, makhluk tidak mungkin boleh mengubah bilangan bulan atau hari kerana semua itu telah ditentu oleh Allah Subhanahu Wa Taala".




Dari Abi Bakrah katanya dari Nabi s.a.w “…… satu tahun mengandungi dua belas bulan. Di antara jumlah tersebut terdapat empat bulan Haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhor yang berada antara Jumada dan Syaa’ban”.(Hadis Riwayat Bukhari) Syeikh Izzudin berkata “ Kemuliaan masa dan tempat itu dua jenis. Satunya berbentuk keduniaan dan yang kedua keagamaan. Jenis keagamaan ini adalah anugerah Allah kepada makhluknya supaya mereka lebih bersemangat beribadah”.


SEJARAH KELAHIRAN PENGGUNAAN TAHUN HIJRAH

Bulan Hijrah sepertimana yang diguna pakai pada hari ini muncul di Zaman Jahiliyyah lagi. Akan tetapi, penggunaan bulan hijrah secara rasmi adalah berlaku pada masa pemerintahan Saidina Umar. Pengisytiharan penggunaan bulan Hijrah secara rasmi telah dilakukan pada Hari Rabu 20 Juumadaa akhirah pada tahun ke tujuh belas Hijrah bersamaan tahun 622 Masihi.


Menurut ahli sejarah, setiap negara yang dibuka oleh pendakwah Islam telah beramal dengan tahun dan bulan Hijrah dalam urusan kehidupan mereka di samping penggunaan tahun kebangsaan mereka masing-masing.Akan tetapi, apabila Khilafah Uthmaniyyah Islamiyyah tersungkur menyembah bumi pada tahun 1924M, pihak penjajah telah menghapus amalan berpegang dengan tahun Hijrah dan digantikan dengan tahun Masihi.


Menurut ahli sejarah, (kenyataan ini dinukil oleh Prof. Ahmad Syalabi dalam bukunya ‘ENSKLOPEDIA SEJARAH ISLAM’ ), apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah, dia telah menghapuskan undang-undang yang menyebut bahawa Islam agama Negara Turki, Undang-undang Islam diganti dengan Undang-undang Civil Sweden dan Undang-undang Itali, hari cuti umum ialah hari Ahad bukannya hari Jumaat sebagaimana yang diamalkan sebelum ini serta menghapuskan penggunaan tahun Hijrah dan diganti dengan penggunaan tahun Masihi.


Kesan dari tindakan tersebut, kita dapati kaum Muslimin lebih mengetahui bulan Masihi berbanding bulan Hijrah. Bahkan, terdapat anak-anak muda Islam yang tidak tahu bulan-bulan Islam atau bulan-bulan Hijrah. Bukan sekadar itu, mesyuarat berkenaan agama dan program agama terpaksa diumum menggunakan tarikh Masihi bukannya tarikh Hijrah atau Islam.


Menurut para pengkaji, sehingga kini semua negara umat Islam terkena penyakit di atas melainkan Saudi.




NAMA BULAN-BULAN HIJRAH DAN MAKNANYA

Nama-nama bulan Hijrah telah dikenali semenjak zaman Jahiliyyah. Cuma penggunaan secara rasmi adalah di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu sebagaimana dijelaskan sebelum ini.Nama-nama bulan Hijrah dan maknanya adalah seperti berikut:


MUHARRAM

Bulan ini dikenali dengan Muharram kerana orang Arab sejak turun-temurun mengharamkan peperangan pada bulan ini.


SOFAR

Sofar bermakna kosong. Bulan ini dikenali sebagai Bulan Sofar kerana orang Arab mengosongkan kediaman mereka kerana mencari makanan dan berpindah ke tempat lain untuk menghindar diri dari musim panas yang melampau.


RABI’ULAWAL

Makna Rabi’ ialah musim bunga. Dinamakan bulan ini sebegitu kerana pada kebiasaannya bulan ini tiba pada awal musim bunga.


RABI’ULAKHIR

Maknanya ialah musim bunga yang terakhir. Ini kerana bulan ini tiba pada akhir musim bunga. Bulan ini dikenali juga sebagai Rabi’ussani.


JUUMADAL UULA

Maknanya ialah pembekuan yang pertama. Ini kerana bulan ini tiba ketika awal musim sejuk dan air menjadi beku.


JUUMADUL AKHIRAH

Maknanya ialah pembekuan yang akhir. Ini kerana bulan ini tiba ketika akhir musim sejuk dan air menjadi beku.


RAJAB (REJAB)

Kalimah Rajab bermakna gerun atau takut. Bulan ini dikenali dengan Rajab kerana orang Arab menghormati dan merasa gerun terhadap bulan ini. Lantaran itu mereka tidak berperang kerana tibanya bulan Rajab.


SYAA’BAN

Syaa’ban bermakna berkecai atau bertaburan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana orang Arab bertaburan di atas muka bumi kerana berperang setelah mereka tidak berbuat demikian pada bulan Rajab.


RAMADHAN

Ramadhan bermakna waktu yang sangat panas. Bulan ini dikenali sebagai Ramadhan kerana kebiasaannya ketibaan bulan ini adalah pada musim panas.


SYAWWAL

Syawwal bermakna kering atau kurang. Ini kerana pada kebiasaannya susu binatang akan kering atau kehabisan setelah musim kemarau ( bulan Ramadhan) melanda.


ZULQA’DAH ATAU ZULQI’DAH

Ia bermakna bulan duduk. Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan tersebut dan duduk di tempat masing-masing kerana menghormati bulan tersebut.


ZULHIJJAH

Zulhijjah bermakna bulan yang dilakukan haji padanya


PEMIKIRAN KHURAFAT BERKENAAN BULAN-BULAN HIJRAH

Penulis terbaca satu kenyataan berkenaan bulan Hijrah dan kaitannya dengan keperibadiaan seseorang. Penulis dapati kenyataan yang dibuat itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam dan wajib ditolak. Berikut kenyataan khurafat yang dimaksudkan:Seseorang itu dapat mengetahui tabiatnya melalui bulan kelahirannya.


Tabiat itu adalah seperti berikut;


Muharram - Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna. Walaupun begitu, jika dididik dengan baik dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat. Safar tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengaku kesalahannya. Ibu bapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu.


Jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ia akan mendatangkan hasil. Rabi’ul Awal perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang yang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.




Rabi’ul Akhir - perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar dan tabiat buruknya itu. Ibu bapa menempuh kesukaran dalam dirinya.


Jamadil Awal - Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya yang menemui kegagalan jua.


Jamadil Akhir - Wataknya berani. Hormat orang lain. Pelbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tetapi apabila dia mengetahui dia benar, pendiriannya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibu bapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.


Rejab - Semasa kecilnya dia degil dan nakal. Ibu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun, hidupnya selamat dan sentosa.


Syaa’ban - Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya, dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawannya. Kelakuannya baik, berbudi bahasa sehingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya dan mudah mendapat rezeki.


Ramadhan - Dia baik, pendiam dan suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan dirinya. Kehidupannya selalu selamat.


Syawal - Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya. Oleh itu, ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak, kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.


Zulkaedah - Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir kerana sifat ini. Suatu hari nanti, dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi, oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadangkala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang memuaskan.


Zulhijjah - Jika dia jahat dia terlalu jahat. Jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya. Kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. Oleh kerana dia tidak memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk pada perbuatannya. Dia sering kali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan. Kenyataan seperti yang disebutkan itu adalah khurafat yang wajib ditolak. Ini kerana akhlak itu samada diwarisi dari keturunan atau diusaha melalui mujahadah yang dilakukan.


Wallahuaa’lam.



Sumbangan

Tn Hj Radzuan

Imam Surau At-Tarbiyyah


Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.

No comments:

Post a Comment