---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, January 23, 2009

Adab Berkawan Rasulullah s.a.w

Suatu hari Rasulullah s.a.w didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk Baginda.

Cantik sungguh buahnya. Siapa terlihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Baginda Rasulullah s.a.w seulas demi seulas dengan senyuman.

Biasanya Rasulullah s.a.w akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah s.a.w terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari Baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah s.a.w itu. Lalu mereka bertanya.

Dengan senyum Rasulullah menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian akan memejamkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab itu saya habiskan semuanya". Begitulah akhlak Rasullullah s.a.w.

Baginda tidak akan memperkecil- kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, Dan dari orang yang bukan Islam pula. "Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari dan berburuk sangka pula kepadanya"-Saidina Ali


Oleh itu, hisablah diri kita, adakah kita boleh bersikap seperti Rasulullah s.a.w. Insyallah.

Monday, January 19, 2009

Program Belajar Al-Quran Peringkat Asas

Satu program Kelas Al-Quran Peringkat Asas, Insyallah akan diadakan pada awal Febuari 2009 ini di Surau At-Tarbiyyah. Para jemaah adalah dialu-alukan menyertai program ini bagi mendalami ilmu Al-Quran.

Seperti yang dipersetujui oleh beberapa AJK, program ini akan bermula dari peringkat asas mengenal Al-Quran, dimana para peserta akan didedahkan dengan buku IQRA' Jilid 1 hingga 6.

Pembelajaran akan bermula dengan mengenal huruf-huruf Al-Quran, sebutan/makhraj, tajwid, hukum-hukum bacaan dan lain-lain. Tenaga pengajar buat masa ini adalah terdiri daripada ahli Qariah Surau At-Tarbiyyah sendiri yang terdiri daripada para Imam dan Bilal.

Program Al-Quran ini tidak dikenakan sebarang yuran yakni percuma tetapi jika ada pihak yang ingin menyumbang secara ikhlas atau menderma, bolehlah berbuat demikian untuk tabung surau.

Sehubungan itu satu taklimat kepada semua peserta akan dibuat pada hari Khamis ini 22hb Jan 2009 selepas solat Isyak.
Pengelola Program.