---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Thursday, September 25, 2008

Majlis Khatam disempurnakan

Jazakallah!!! Alhamdulillah, bersyukur kehadrat Ilahi, atas limpah kurniaNya dan izinNya, Majlis Khatam Al-Quran Tadarus Ramadhan 1429H berjalan dengan sempurna seperti yang dirancang.

Majlis bermula tepat jam 9.30 malam sesudah solat sunat Witir.
Ketika para jemaah mula mengambil tempat masing-masing, Tn Pengerusi, Ir Tuan Hj Syed Salim memulakan majlis dengan memulakan ucapan terima kasih atas kehadiran Y.Bhg Dato' Muhammad Nazir Merassalam, orang yang menjadi tulang belakang Surau At-Tarbiyyah. Seterusnya beliau memberi sedikit penerangan serta kaedah dan cara membaca Al-Quran.

Majlis Khatam dipimpin oleh Tn Hj Salleh yang terkenal dengan lenggok gaya taranumnya dari Surah Ad-Dhuha hinggalah Surah An-Nas dan doa pula dibaca oleh Imam Tn Hj Raduan. Ketika doa dibacakan, para jemaah agak sayu kerana majlis ini mengimbau kembali kenangan tahun-tahun yang lalu ketika Allahyarham Imam Hj Mohd Shariff Mohd Yusof masih ada, beliaulah orang yang paling sibuk dihadapan bagi memimpin Khatam Al-Quran ini.

Tidak ketinggalan jasa Allahyarham Ust Hj Bahari Samikon, orang yang pertama menjadi tenaga pengajar di Surau At-Tarbiyyah yang sentiasa mendidik, menasihati dan mengambil berat terhadap jemaahnya.

Surau juga amat terasa kehilangan Allahyarham Hj Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Atok Hj Rahman, Allahyarham Jemain, Allahyarham Bahathir dan lain-lain yang sentiasa disenangi oleh para jemaah. Al-Fathihah.

Penyampaian cenderahati telah disempurnakan oleh Y.Bhg Dato' kepada semua peserta Tadarus, para penceramah Ramadhan, dan AJK berupa kali pelikat dan bunga telor. Majlis juga dengan berbesar hati menganugerahkan cenderahati khas kepada Bendahari kita, Sdr Hamzah yang telah bertugas dengan penuh dedikasi, amanah dan jujur serta sentiasa memenuhi keperluan ahli jemaah.

Ahli qariah yang turut sama menerima cenderahati atas khidmat mereka yang tidak terhingga iaitu Tn Hj Abd Rahman, seorang tokoh korporat yang sentiasa menghulurkan segala bentuk bantuan kepada surau baik dari segi wang ringgit dan juga hartabenda, Abang Berahim, yang sentiasa memastikan kebersihan surau, Sdr Aziz, pakar membuat teh tarik yang terbaik, Sdr Zaini Pak Leh atau lebih dikenali sebagai Along yang sentiasa membantu kerja-kerja bahagian dapur, Sdr Zulkarnain, Sdr Rosli, Sdr Syukri Al-Hafiz, atau sentiasa dipanggil Ustaz atas khidmat beliau memimpin solat Tarawih, Sdr Shazrul Hj Amran juga memimpin solat Tarawih, Adik Syamim Pak Leh, bilal muda yang berbakat besar.

Pihak surau juga tidak ketinggalan menyampaikan cenderamata kepada Y.Bhg Dato' Nazir. Majlis berakhir dengan jamuan "moreh" yang agak istimewa seperti satay, pulut kuning dan rendang, mee goreng dan kuih muih.

Sementara itu, kutipan zakat fitrah terus berjalan. Amil yang dilantik saban tahun, Tn Hj Kamal yang sedia berkhidmat 24 jam tidak putus-putus dikunjungi jemaah bagi menunaikan tanggungjawab. Zakat fitrah tahun ini dalah RM5.20 bagi Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Semoga majlis sentiasa diberkati dan dirahmati Allah s.n.w.



Wednesday, September 24, 2008

Bacalah Al-Quran

Di dalam Al-Quran termaktub wahyu Allah s.n.w sebagai panduan dan pedoman kepada manusia, kerana itulah umat Islam digalakkan supaya membaca Al-Quran, baik di kala senang ataupun susah, di kala gembira ataupun berduka, kerana ia amalan yang sangat mulia dan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda dan di akhirat nanti orang yang membaca Al-Quran itu akan mendapat syafaat (pertolongan) daripada bacaannya.

Firman Allah s.n.w dalam Surah Faathir, ayat 29: Tafsirnya: "Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Al-Quran dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terangan, mereka dengan amalan yang demikian mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian."

Dari Ibni Umamah Al-Bahili sabda Rasulullah s.a.w : "Bacalah oleh kamu Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada hari qiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Untuk pengetahuan para jemaah sekalian, pahala dan berkat bukan hanya akan diperolehi oleh mereka yang membaca Al-Quran, tetapi juga akan diperolehi oleh orang yang mendengar bacaan Al-Quran. Firman Allah s.n.w dalam Surah Al-‘Aaraaf, ayat 204: "Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat. "

Muslimin yang dirahmati Allah, dalam hal ini, perlu diingatkan apabila Al-Quran dibacakan terutamanya di majlis-majlis peraduan Al-Quran, Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran dan sebagainya, adalah elok kita diam dan mendengar bacaan Al-Quran agar kita dapat menghayati dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya.

Perbuatan sedemikian adalah dikira ibadat dan akan mendapat pahala dari Allah s.nw. Orang yang membaca Al-Quran itu terbahagi kepada dua:

Pertama, membaca Al-Quran tanpa mengetahui makna dan ertinya.

Kedua, membacanya dan sekaligus memahami isinya. Namun demikian keistimewaan Al-Quran itu, sama ada kita baca dengan memahami ataupun tidak, ia tetap menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Akan tetapi, membaca Al-Quran dengan memahami isinya sudah tentunyalah lebih berfaedah dan mendatangkan kesan, kerana dapat menghayati nilai-nilai dan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu.

Al-Quran kitab yang cukup lengkap, mengajak manusia mentauhidkan Allah s.n.w, dan berakhlak mulia. Di dalamnya juga terdapat hukum-hakam dan peraturan melarang manusia berbuat perkara buruk dan keji. Oleh itu sesiapa yang berpegang dengannya akan selamat di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya Al-Quran itu adalah perlembagaan hidup bagi umat Islam. Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah, memandangkan kedudukan Al-Quran semulia-mulia kitab, maka wajiblah dihormati dan dimuliakan menurut apa yang telah diajarkan:

Apabila menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat) Al-Quran hendaklah dalam keadaan suci dan berwudhu’. Tidak meletakkan Al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya seperti berselerak di merata tempat sehingga terdedah kepada najis burung dan cicak.

Al-Quran hendaklah diletakkan di tempat yang terhormat dan jangan diletakkan sesuatu apa pun di atasnya. Ketika membacanya letakkanlah di atas sesuatu seperti rihal, bukan di atas lantai. Jangan dijadikan Al-Quran sebagai bantal dan alat bersandar, dan apabila memberikannya kepada seseorang janganlah dilemparkan. Tidak meletakkan atau menyelitkan apa-apa benda di dalam Al-Quran. Hendaklah menulis ayat Al-Quran dengan tulisan yang cantik dan dilarang menulisnya dipermukaan tanah.

Muslimin yang dirahmati Allah, dalam kehidupan sehari-hari penuntut-penuntut sekolah adalah terdedah kepada kitab-kitab agama termasuk Al-Quran. Oleh itu, para guru dan ibu bapa hendaklah mengambil perhatian dan memahamkan anak-anak atau penuntut-penuntut cara menghormati dan memuliakan Al-Quran. Jangan sampai Al-Quran yang dimuatkan di dalam beg mereka diletakkan di atas lantai dan kusyen kereta sehingga menjadi tempat bersandar dan lebih buruk lagi sehingga terpijak dan dilangkahi.

Demi menjaga kesucian Al-Quran dan agama Islam, maka adalah menjadi kewajipan kita umat Islam supaya menjaga dan menghoramti ayat-ayat Al-Quran yang ditulis pada surat-surat khabar, kad-kad jemputan atau seumpamanya. Janganlah dibuang atau dicampakkan di merata tempat dan dijadikan pembungkus barang, alas kaki, alas duduk, dan sebagainya yang boleh menghina kemuliaan ayat Al-Quran.

Di samping kita memperkatakan tentang kesucian dan kelebihan Al-Quran, elok juga kita mengambil ingatan bahawa di bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar. Sebahagian besar ulama’ mengatakan bahawa Lailatulqadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah dijangkakan berlakunya Lailatulqadar dan kemungkinan besar ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu sama ada pada malam ke 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29, ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w dari Abi Salamah : "Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Firman Allah s.n.w dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 – 5: Tafsirnya: "Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar. "

Tuesday, September 23, 2008

Majlis Khatam Al-Quran Rabu 24hb

Untuk makluman ahli qariah yang dirahmati Allah, satu Majlis Khatam Al-Quran oleh kumpulan tadarus Ramadhan pada kali ini, insyallah akan diadakan pada hari Rabu, 24hb September 2008 bersamaan dengan 24hb Ramadhan 1429H bertempat di Surau At-Tarbiyyah selepas selesai solat Tarawih dan Witir.

Semua ahli qariah dijemput hadir bagi bersama-sama menjayakan Majlis Khatam Al-Quran. Insyallah.

Monday, September 22, 2008

Mencari Malam Lailatulqadar

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin.
Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sebab turun surah Al-Qadr:
Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.

Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.n.w menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka.

Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini, menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira. Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam Lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.

Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut maksudnya: "Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya" . Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah.

Kata Aisyah r.a. Maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatulqadar.
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: "Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam Lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.

Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya.

Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat.

Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat

Ganjaran yang menanti

Janji Allah kepada mereka yang berpuasa semata-mata keranaNya:

1. Membuka pintu ganjaran
Sabda Rasulullah s.a.w:"semua amalan anak Adam digandakan pahalanya; setiap satu kebaikan akan menerima sepuluh kali ganda serupa dengannya, hingga tujuh ratus kali ganda, Allah berfirman mafhumNya: "Kecuali puasa, kerana ia untuk Aku dan Aku yang akan membalasnya, dia telah meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku". Hadis Riwayat: Al-Bukhari.

2. Dosa silam dihapuskan
Rasulullah s.a.w bersabda: "Dia yang berpuasa kerana iman dan mengharapkan pahala (daripada Allah) , dosa silamnya akan diampuni". Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim.

3. Pintu Khas di Jannah
Sahl bin Saad berkata Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Pada Hari Pembalasan mereka yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut". Hadis Riwayat: Ibn Khuzaimah.

4. Perisai daripada api neraka
Rasulullah s.a. bersabda: "Puasa menjadi perisai dimana seseorang hamba itu dapat melindungi dirinya daripada api neraka". Hadis Riwayat: Ahmad

5. Mendapat Syafaat
Rasulullah s.a.w bersabda: "Pada Hari Pembalasan, Puasa akan berkata: "Ya Allah, aku telah mencegahnya daripada makanan dan syahwat, maka terimalah syafaatku untuknya". Hadis Riwayat: Ahmad, Al-Hakim dan Abu Nu'aim, Hassan.

6. Ganjaran memberi makan kepada mereka yang berpuasa
Sabda Rasulullah s.a.w: "Barangsiapa yang memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk ia berbuka puasa, akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, dengan tidak kurang sedikitpun daripada orang itu." Hadis Riwayat: Al-Tarmizi, Sahih al-Targhib.