---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Thursday, September 2, 2010

Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim

Alhamdulillah, bertepatan 31hb Ogos 2010 iaitu cuti umum Sambutan Hari Kebangsaan, bersamaan 21 Ramadhan 1431H, pihak pengurusan Surau At-Tarbiyyah telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim Darul Hayah, Kg Melayu , Ampang, Selangor.
Initiatif yang dimulakan oleh Lajnah Muslimah telah membuahkan hasil, apabila cadangan tersebut diterima sebulat suara AJK dan memang dialu-alukan. Seramai 20 orang anak-anak yatim telah diraikan dari berbagai peringkat umur, 15 lelaki dan 5 perempuan.

Darul Hayah ini adalah satu badan yang bergerak atas nama individu pada peringkat awalnya dan dimulakan oleh Tn Hj Khalil sejak tahun 2005 beralamat di 220, Jalan Jati, Kg Melayu, Ampang bermula dengan 5 orang anak yatim.

Dengan kapasiti kewangan dan tenaga yang terhad, bantuan demi bantuan diterima sehinggalah bilangan anak-anak yatim sudah pun bertambah seramai 20 orang. Menurut Tn Hj Khalil, sememangnya telah dirancang agar kewujudan Darul Hayah ini tidak diperhebahkan atas sebab-sebab kapasiti dan kemampuan.

Bukan mudah untuk menguruskan sebuah pusat anak-anak yatim tanpa bantuan dari berbagai pihak termasuk masyarakat. Tahniah kepada Tn Hj Khalil atas usaha murni yang tak terhingga dan hanya Allah s.n.w yang mampu membalasnya.

Acara bermula seawal jam 6 petang dengan dihadiri lebih kurang 130 ahli qariah. Pengerusi majlis Tn Hj Radzuan mengalu-alukan kehadiran tetamu istimewa yang dirai Anak-anak Yatim Darul Hayah, Kg Melayu yang diketuai oleh Tn Hj Khalil, tetamu kehormat Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam, Timbalan Nazir Masjid Bukit Indah dan ahli-ahli qariah.



Tazkirah pendek telah disampaikan Ust Tn Hj Zamri dengan memetik beberapa hadis dan ayat-ayat Al-Quran bagaimana kita dituntut untuk mengambil berat hal-hal anak-anak yatim dan mencari jalan bagaimana dapat kita bersama-sama memberi keselesaan dan hak yang sama dengan ahli masyarakat yang lain umumnya.












Dalam ucapan Tn Pengerusi Surau At-Tarbiyyah pula, Tn Hj Syed Salim mengucapkan jutaan terima kasih kepada Lajnah Muslimah atas dorongan cetusan idea berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Pengerusi Surau juga mengucapkan terima kasih kepada arkitek dan jurutera yang telah bertungkus lumus melukis pelan dan bangunan Madrasah Surau At-Tarbiyyah yang telah pun siap sekitar awal Ogos yang lalu.

Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada MNM Teambuilders atas kerjasama dan komitmen mereka bagi menyiapkan bangunan baru ini tepat pada masanya.
Majlis tidak ketinggalan memberi peluang kepada Tn Hj Khalil selaku penaung Darul Hayah bagi menyampaikan sepatah dua kata. Tn Hj Khalil mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pihak Pengurusan Surau At-Tarbiyyah dan semua ahli qariah yang terlibat bagi meraikan anak-anak yatim Darul Hayah.

Majlis penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Y Bhg Dato' Muhammad Nazir diikuti oleh sumbangan peribadi oleh Ust Tn Hj Zamri dan juga Tn Hj Abd Rahman. Anak-anak yatim qariah juga diraikan dan diberi sumbangan. Tidak lupa juga para arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembangunan madrasah surau.

Tepat jam 7 petang, satu tahlil ringkas diadakan sementara menunggu waktu berbuka puasa dan telah diketuai oleh Imam 1, Lt Kol Tn Hj Amran b Haron. Waktu berbuka telah pun tiba, anak-anak yang diraikan telah hidangkan nasi putih, kari kambing, ayam goreng dan berbagai kuih muih.

Selesai solat maghrib berjemaah, satu majlis solat hajat bagi anak-anak mengambil peperiksaan UPSR, PMR dan SPM diadakan dan diimamkan oleh Imam 3, Tn Hj Radzuan Ahmad.

Antara gambar-gambar yang sempat dirakam:

Ustaz Tn Hj Zamri menyampaikan tazkirah ringkas mengenai tanggungjawab masyarakat membantu anak-anak yatim.
Tn Hj Khalil penaung Darul Hayah, dengan tenang memberi ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam meraikan anak-anak dibawah jagaannya.

Inilah sebahagian anak-anak yatim yang rata-rata berumur bawah 12 tahun, menunggu penuh sabar.
Anak-anak ibarat kain putih, terpulanglah kepada kita mencorakkannya.

Pengerusi Surau Ir Tn Hj Syed Salim, Penaung Darul Hayah Tn Hj Khalil dan Y Bhg Dato' Muhammad Nazir b Meraslam, dengan tekun mendengar tazkirah dari Ust Hj Zamri.

Apa yang menggelikan hati Tn Imam kita ni ya!!!!

Para AJK mengambil tempat yang "terbaik" bagi meluruskan mana-mana yang bengkok....

Sebahagian anak-anak yatim yang diraikan....


Majlis penyampaian sumbangan disampaikan oleh Y Bhg Dato' dan sumbangan peribadi disampaikan oleh Tn Hj Abd Rahman dan Ustaz Tn Hj Zamri

Lagi penyampaian sumbangan...

Apa lagi... perut dah keroncong, azan akan dilaungkan....ambik je lah kambing...kuih...

Para VIP yang hadir sedang menunggu azan berkumandang...

Anak-anak yatim sedang mengambil tempat untuk berbuka