---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, November 7, 2008

Hujan Itu Rahmat

Keadaan sekarang ni boleh dikatakan setiap hari hujan, ribut petir dan guruh kan. Bila langit mula mendung, kekadang terdengar cakap-cakap orang-orang disekeliling "Cuaca buruk je akhir2 ni ye.."

Persoalannya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk? Berapa ramai di kalangan kita yang mengeluh bila hari hujan? Ishh, tak kering lah baju kalau asyik hujan je!!! Alahai, hujan lagi!!!! Tiap-tiap hari hujan, susah lah mcm ni, nak main golf pun tak dapat, bola tampar apatah lagi. Payah nak buat apa2 kalau hujan. Tak boleh balik lagi, hujan!!!

Bukankah rungutan itu lebih baik digantikan dengan doa. "Allahumma syaiyiban nafi'a'", bermaksud "Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanafaat buat kami". Hakikatnya, hujan itu rahmat.'

"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya)." (Al-A'raf : 57)

Sebenarnya hujan terlalu banyak manfaatnya.

  1. Membersihkan udara
  2. Menyubur tanaman
  3. Membekal air ke empangan
  4. Ingat kepada mati
Sedarkah kita? Bila hujan turun, rahmat dilimpahkan buat manusia. Sebab itu, Nabi pun pernah berpesan, bila hujan turun, doa itu mustajab. Sekarang ini, tempat kita ini tiap-tiap hari hujan. Tiap-tiap hari ada masa untuk doa menjadi mustajab. Kenapa lepaskan peluang dengan keluhan sia-sia di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?

"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah" (Al-Qamar : 11) Maka, BERDOALAH. Semoga hari ini lebih baik dari semalam. Dan semoga, hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Dalam ilmu tasawwuf (dan ilmu2 fardhu Ain lain pun ada jugak) mengingatkan kita tentang kebijaksanaan Allah. Tak payah kita tentukan, tak perlu kita perintahkan, Allah tahu bila nak turunkan hujan, kenapa perlu hujan, dan banyak mana atau lama mana nak diturunkan hujan.

Ini ada kena mengena dengan bab redha, sehingga kita sanggup terima apa saja, sebab yakin itu semua dari Allah. Lihatlah firman Allah yg bermaksud : "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya." (Al-Mukminun : 18)

Rupa-rupanya Allah turunkan hujan ADA SUKATAN. Baru hari ni kita tahu, bahawa Allah turunkan hujan lebat kat kita sekarang ni ada sebabnya, ada sukatannya. Kemudian, air tu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah.

"Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya." (Al-Hijr : 22)

Semoga ada iktibar untuk peringatan kita. "Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit dan bumi dan kepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Dia serta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."(Surah Hud : 123)


Wallahuwaklam.

Thursday, November 6, 2008

Solat

Solat dari segi bahasa ertinya doa. Dari segi syarak pula ia bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat yang tertentu.

Firman Allah swt:




"Dan dirikanlah olehmu solat, kerana sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar" (Al Ankabut : 45) . Solat fardhu yang wajib didirikan ialah solat lima waktu sehari semalam iaitu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isya'.

Syarat wajib solat:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
Syarat sah solat:
  1. Suci badan dari dua hadas.
  2. Suci dari najis sama ada di badannya, di tempat solatnya, dan di pakaiannya.
  3. Menutup aurat.
  4. Menghadap qiblat (kecuali yang uzur dan tidak terdaya)
  5. Yakin masuk waktu solat.
Perkara-perkara yang membatalkan solat:
  1. Keluar/kedatangan hadas.
  2. Berkata-kata dengan sengaja walau sedikit, atau tertawa.
  3. Makan/minum walau sedikit.
  4. Melakukan gerakan di luar gerakan solat tiga kali berturut-turut (mutawaliyat).
  5. Berniat keluar dari solat (mufaraqah).
  6. Terkena najis yang tidak dimaafkan.
  7. Beralih arah dari qiblat dengan sengaja.
  8. Terbuka aurat dengan sengaja, atau tidak sengaja tetapi tidak segera ditutup.
  9. Berubah niat dari satu solat ke solat yang lain.
  10. Meninggalkan rukun solat.

Waktu-waktu Solat Fardhu:

Waktu-waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat ialah seperti berikut:


  1. Solat Subuh - bermula daripada fajar menyinsing hinggalah terbit matahari. Masa yang diperuntukkan kira-kira 2 jam.
  2. Solat Zuhur - bermula selepas matahari mulai condong daripada puncaknya sehingga bayang melebihi separuh panjangnya.
  3. Solat Asar - bermula selepas berakhirnya waktu solat Zuhur sehinggalah matahari terbenam.
  4. Solat Maghrib - bermula selepas matahari terbenam sehingga hilang mega merah di ufuk barat.
  5. Solat Isya' - bermula selepas mega merah di ufuk timur hilang dan berterusan sehingga terbit fajar pada hari keesokannya.

Perbuatan sunat sebelum solat:
  1. Azan - ertinya memberitahu, dan pada syarak adalah perkataan tertentu untuk memaklumkan kepada orang ramai tentang masuknya waktu solat fardu.
  2. Iqamah.
  3. Bersugi - ertinya membersihkan mulut dan gigi dengan alatan bersugi.

Waktu-waktu yang dimakruhkan solat tanpa sebab:


  1. Selepas solat subuh sehingga naik matahari.
  2. Ketika naik matahari sehingga sekadar segalah.
  3. Ketika matahari di tengah-tengah langit.
  4. Selepas solat asar sehingga masuk matahari atau matahari terbenam.
  5. Ketika masuk matahari.
Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Wednesday, November 5, 2008

Wuduk

Wuduk adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur'an. Perintah wajib wuduk ini turun bersama dengan perintah wajib solat. Firman Allah s.n.w, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki." (Al-Maidah : 6).
Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah s.n.w tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Hadis Riwayat: Abu Daud).

Syarat Wuduk ada lima:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Tidak berhadas besar
  4. Memakai air yang mutlak (suci dan menyucikan)
  5. Tidak ada yang menghalangi kulit
Rukun Wuduk ada enam:
  1. Niat dengan bacaan:
    "Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah."
  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
  3. Membasuh dua tangan sampai ke siku.
  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air.
  5. Membasuh dua kaki sampai mata kaki (buku lali).
  6. Tertib (berturutan).
Sunat Wuduk ada 12:
  1. Didahului dengan membaca Bismillah dalam hati.
  2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
  3. Berkumur.
  4. Menggosok gigi (bersiwak).
  5. Membersihkan hidung dengan air.
  6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
  7. Membasuh kedua cuping telinga.
  8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
  9. Tidak berbicara.
  10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
  11. Membasuh anggota wuduk sampai tiga kali.
  12. Membaca doa sesudah berwuduk:
    "Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Ya Allah jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang suci serta jadikanlah aku termasuk golongan hamba-hambaMu yang soleh."
Perkara yang dapat membatalkan Wuduk ada lima:
  1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
  3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
  5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).
Nota: Ada kekeliruan tentang sama ada batal wuduk apabila tersentuh yang bukan muhrim. Menurut mazhab Syafi'i, hukum wuduk batal secara mutlak (tanpa syarat) bila tersentuh bukan muhrim termasuk dengan isteri/suami sendiri ("bukan muhrim" ertinya tidak haram dinikahi). Menurut Mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk lelaki jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), ataupun merasai keghairahan ketika bersentuhan. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan. Wallahuwaklam.


Sumbangan Lt Kol Tn Hj Amran haron
Imam Surau At-Tarbiyyah



Tuesday, November 4, 2008

Taharah (Bersuci)

Ertinya:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: "Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat". Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu)
dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah ayat 222)

Pengertian bersuci:
Pada Bahasa: Membersihkan diri atau sesuatu daripada sebarang kekotoran. Sama ada benda itu najis ataupun tidak. Benda-benda najis seperti darah, bangkai, tahi dan sebagainya. Benda-benda yang kotor tetapi tidak najis seperti air ludah, hingus dan lain-lain.

Erti pada Syarak: Menghilangkan halangan beribadat kerana ada hadas atau najis atau menghilangkan halangan memakan sesuatu benda disebabkan terkena najis. Iman Al-Ghazali menegaskan dalam kitab Ihya Ulumuddin bersuci itu terbahagi kepada empat tingkat iaitu:
  1. Mensucikan anggota-anggota lahir daripada hadas-hadas, anasir-anasir jahat dan kelebihan-kelebihan yang tidak perlu.
  2. Mensucikan anggota-anggota badan dari perbuatan-perbuatan salah dan dosa.
  3. Mensucikan hati dari akhlak yang terkeji dan kelakuan-kelakuan yang dibenci dan terkutuk.
  4. Mensucikan kebatinan dari semua perkara selain daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala, dan ini adalah cara bersuci para Nabi salawatullahi-alaihim dan juga pada Siddiqin.

Taharah zahir dan batin.
Taharah yang bersifat batin ialah mensucikan jiwa daripada kekotoran dosa dan maksiat. Caranya ialah dengan bertaubat dengan sebenar-benarnya taubat. Dengan membersihkan hati daripada kotoran syirik, ragu-ragu, hasad, dengki, menipu dan dosa besar, juga daripada ujub, riya'. Perkara ini dilakukan dengan ikhlas, yakin, mencintai kebaikan, bersabar, jujur dan rendah diri. Serta sentiasa mengharapkan memperoleh keredaan Allah dengan niat dan amalan soleh.
Taharah yang bersifat lahiriah pula ialah dengan membersihkan kotoran dan hadas, membersihkan kotoran dengan cara menghilangkan najis dengan air yang suci lagi menyucikan dari badan, tempat, dan pakaian untuk mengerjakan solat.
Sumbangan: Lt Kol Tn Hj Amran Haron
Imam Surau At-Tarbiyyah

Monday, November 3, 2008

Ibadah Korban

Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah. Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke 2 Hijrah bersamaan dengan perintah solat Eidul Adha dan zakat.
Firman Allah s.n.w yang bermaksud: "Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah." Al-Kautsar:2.

Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut: "Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya."

Nabi s.a.w juga telah bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat (sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya." (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim)

Oleh yang demikian, surau kita juga tidak ketinggalan menjalankan ibadah korban. Pada tahun ini, 4 ekor lembu akan dikorbankan dan telah ditetapkan iaitu RM380.00 bagi satu bahagian. Para jemaah yang ingin mengambil bahagian bolehlah terus berhubung dengan Bendahari kita, Sdr Hamzah.