---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, November 5, 2008

Wuduk

Wuduk adalah salah satu cara bersuci dari hadas kecil sebelum mengerjakan ibadah solat atau membaca Al-Qur'an. Perintah wajib wuduk ini turun bersama dengan perintah wajib solat. Firman Allah s.n.w, "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat maka basuhlah mukamu, kedua tanganmu sampai siku dan sapulah kepalamu serta basuhlah kedua kakimu sampai mata kaki." (Al-Maidah : 6).
Sabda Rasulullah s.a.w: "Allah s.n.w tidak akan menerima solat seseorang yang berhadas sehingga ia berwuduk." (Hadis Riwayat: Abu Daud).

Syarat Wuduk ada lima:
  1. Islam
  2. Baligh
  3. Tidak berhadas besar
  4. Memakai air yang mutlak (suci dan menyucikan)
  5. Tidak ada yang menghalangi kulit
Rukun Wuduk ada enam:
  1. Niat dengan bacaan:
    "Aku niat berwuduk untuk menghilangkan hadas kecil kerana Allah."
  2. Membasuh muka dari tempat tumbuh rambut di kepala sampai ke tulang dagu, dan dari batas telinga kanan sampai batas telinga kiri.
  3. Membasuh dua tangan sampai ke siku.
  4. Mengusap sebahagian kepala dengan air.
  5. Membasuh dua kaki sampai mata kaki (buku lali).
  6. Tertib (berturutan).
Sunat Wuduk ada 12:
  1. Didahului dengan membaca Bismillah dalam hati.
  2. Membasuh telapak tangan sampai pergelangan.
  3. Berkumur.
  4. Menggosok gigi (bersiwak).
  5. Membersihkan hidung dengan air.
  6. Mengusap seluruh kepala dengan air.
  7. Membasuh kedua cuping telinga.
  8. Menyeliti jemari tangan dan jemari kaki.
  9. Tidak berbicara.
  10. Mendahulukan basuhan anggota kanan.
  11. Membasuh anggota wuduk sampai tiga kali.
  12. Membaca doa sesudah berwuduk:
    "Aku bersaksi bahwa tidak ada Tuhan selain Allah yang esa, tidak ada sekutu bagiNya. Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah hamba dan pesuruhNya. Ya Allah jadikanlah aku termasuk orang-orang yang bertaubat dan jadikanlah aku termasuk orang-orang yang suci serta jadikanlah aku termasuk golongan hamba-hambaMu yang soleh."
Perkara yang dapat membatalkan Wuduk ada lima:
  1. Keluar sesuatu dari qubul dan dubur.
  2. Hilangnya akal sama ada gila, pengsan ataupun mabuk.
  3. Bersentuhan kulit laki-laki dengan kulit perempuan kecuali mereka itu masih muhrim.
  4. Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan, sama ada milik sendiri maupun milik orang lain, dewasa maupun anak-anak.
  5. Tidur, kecuali apabila tidurnya dengan duduk dan masih dalam keadaan semula (tidak berubah kedudukannya).
Nota: Ada kekeliruan tentang sama ada batal wuduk apabila tersentuh yang bukan muhrim. Menurut mazhab Syafi'i, hukum wuduk batal secara mutlak (tanpa syarat) bila tersentuh bukan muhrim termasuk dengan isteri/suami sendiri ("bukan muhrim" ertinya tidak haram dinikahi). Menurut Mazhab Maliki pula, menyentuh kulit perempuan ajanabi membatalkan wuduk lelaki jika dengan tujuan `talazzuz' (berlazat-lazat), ataupun merasai keghairahan ketika bersentuhan. Mazhab Hanafi pula berpendapat bahawa menyentuh kulit perempuan ajnabi tidak membatalkan secara mutlak, samada dengan tujuan talazzuz atau merasainya ketika bersentuhan. Wallahuwaklam.


Sumbangan Lt Kol Tn Hj Amran haron
Imam Surau At-Tarbiyyah



No comments:

Post a Comment