---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, September 12, 2008

Hadis 25

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "jika kamu berpuasa maka bersiwaklah (gosok gigi) diwaktu pagi dan jangan diwaktu petang, maka sesungguhnya tiada orang puasa yang kering bibirnya diwaktu petang melainkan akan menjadi cahaya di depan matanya pada Hari Qiamat"
Hadis Riwayat: At-Tabrani

Thursday, September 11, 2008

Mendidik Hati Berpuasa

Hati yang berpuasa akan berasa insaf dan sedih memikirkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Tidak ada ruang untuk berdendam pada orang lain, mahupun berasa cemburu, irihati dan dengki khianat kerana kelebihan yang dimiliki oleh orang tersebut.
Sebaliknya, lebih suka mengikut pesanan Rasulullah s.a.w yang pernah bersabda:"Tidak kamu beriman kecuali apa yang dikehendaki untuk saudaranya sama dengan apa yang dikehendaki untuk dirinya sendiri" Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim.

Hati yang berpuasa tidak gemar mencari kesalahan dan kelemahan orang lain kerana takut kepada amaran Allah mafhumnya: "Wahai orang yang beriman! Jangan menjadi kumpulan yang menghina kumpulan lain, kemungkinan kumpulan yang dihina itu adalah lebih baik......."

Hati yang berpuasa tidak suka sifat syak wasangka dan tidak akan menghukum dan mengkritik orang lain kerana mengingati firman Allah yang Maha Agung mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada prasangka, (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa....."


Hati yang berpuasa akan memastikan segala anggota yang lain patuh kepada perintah Allah kerana sabda Rasulullah s.a.w : "Sesungguhnya ada seketul daging dalam badan dimana jika ia baik, seluruh badan akan sihat dan jika ia sakit, seluruh badan akan berpenyakit. Sesungguhnya itu adalah hati" Hadis riwayat: Al-Buhkari dan Muslim dari Nu'man bin Bashir.

Marilah kita sama-sama berusaha untuk meletakkan hati kita di jalan yang lurus sepertimana kita memohon kepada Allah dalam solat harian, sebanyak 17 kali: "Tunjukkanlah kami jalan yang lurus" (Surah Al-Fatihah ayat 6)

Hati yang berpuasa akan sentiasa bersyukur dan tiada ruang untuk rungutan.

Allah yang Maha Tingi telah berfirman mafhumnya : "....dan bersyukurlah kepada-Ku (atas nikmat yang Aku berikan padamu) dan janganlah kamu mengikari (nikmat) Ku". (Surah Al-Imran, ayat 152)

Wednesday, September 10, 2008

Hadis 24

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Apabila salah seorang kamu lupa bahawa dia berpuasa, lalu dia makan dan minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya kerana sesungguhnya dia telah diberi makan dan minum oleh Allah s.w.t"
Hadis Riwayat: Al-Bukhari dan Muslim

Tuesday, September 9, 2008

Hadis 23

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Permulaan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan (maghrifah) dan penghujungnya adalah kebebasan dari api neraka".

Monday, September 8, 2008

Hadis 22

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: "Semua amal anak Adam a.s dilipatgandakan kebaikan (pahala) dari 10 sampai 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ada pun puasa itu adalah untuk Allah s.w.t dan Dia akan terus memberikan pahala kepada sekalian."

Hadis Riwayat: Muslim