---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, January 2, 2009

Permata Hijrah - Barangan Islamik

PermataHijrah adalah syarikat bumiputera yang telah melopori produk-produk berasaskan kitab-kitab lama dan Al-Quran yang menghasilkan banyak barangan yang terbukti berkesan untuk penjagaan kesihatan seperti Toner Mata, yang berkesan memulihkan berbagai jenis penyakit melibatkan mata seperti katarek, mata berair, berpasir dan sebagainya.
Ramai teman telah mencuba dan sungguh berkesan dengan izin Allah. Oleh itu satu majlis perasmian akan diadakan di Kota Bharu , Kelantan oleh Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz b. Nik Mat, Menteri Besar Kelantan seperti berikut:

Majlis Perasmian & Pelancaran Produk Permata Hijrah Enterprise Sempena Tahun Kebudayaan Kelantan 2009

Dirasmikan Oleh:

YAB. Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz B. Nik Mat(Menteri Besar Kelantan)

Tarikh : 3 Januari 2009 (Sabtu)bersamaan 6 Muharam 1430H
Masa : 3.30 Petang
Tempat : Ruang Legar KB MALL Kota Bharu, Kelantan




Layarilah http://www.permatahijrah.com untuk keterangan lanjut

Allah Menyembunyikan 6 perkara

Allah s.n.w selesai menciptakan Jibrail a.s dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap). Setelah itu Jibrail a.s memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah s.n.w berfirman yang bermaksud: "Tidak". Kemudian Jibrail a.s berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah s.n.w dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.
Setelah selesai Jibrail a.s solat, maka Allah s.n.w berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad. Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kekurangan, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail a.s berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?" Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal".

Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa. Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah s.n.w maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap kali dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh arak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat Jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah s.n.w lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah s.n.w berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan"
Subhanallah, Pemurahnya Allah, Maha Penyanyangnya Allah. Beruntungnya kita jadi umat Muhammad s.a.w. Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan solat dengan betul.

Sesungguhnya Allah s.n.w telah menyembunyikan enam perkara iaitu :
  1. Allah s.n.w telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.
  2. Allah s.n.w telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
  3. Allah s.n.w telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
  4. Allah s.n.w telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
  5. Allah s.n.w telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
  6. Allah s.n.w telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.
Semoga kita mendapat berkat, manufaat dan rahmat Allah daripada ilmu yang sedikit ini.

Wallahualam

Tuesday, December 30, 2008

Amalan Bulan Muharram

AMALAN PADA BULAN MUHARRAM

Pada bulan Muharram disunatkan memperbanyakkan amal soleh secara umumnya, manakala secara khususnya amalan yang digalakkan padanya ialah sebulan berpuasa, berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.

PUASA SUNAT MUTLAK YANG PALING AFDHAL IALAH PADA BULAN MUHARRAM

“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Hadis Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis di atas, menunjukkan bahawa puasa sunat yang paling afdhal ialah puasa sunat yang dilakukan pada bulan Muharram. Menurut para ulama’, maksud hadis di atas ialah puasa sunat selama sebulan paling afdhal dilakukan pada bulan Muharram. Adapun puasa sunat tidak sepenuhnya, maka puasa sunat pada Zulhijjah adalah paling afdhal.

SUNAT BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM (TASU’AAA’).

Di antara puasa sunat yang digalakkan ialah berpuasa sunat pada hari yang kesembilan Muharram atau dikenali sebagai hari Tasu’aaa’. Perkara ini berdasarkan hadis berikut; “ Abu Ghathofan berkata, aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: ketika mana Nabi s.a.w berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda s.a.w telah menyuruh para sahabat berpuasa pada hari tersebut.

Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah s.a.w, hari Asyura’ itu hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi s.a.w bersabda; (kalau begitu), apabila tiba tahun hadapan,- insyaallah- kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)

HIKMAT DISUNATKAN BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM

Menurut para ulama’, hikmat sunat berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram ialah untuk membezakan diri dari kelakuan golongan Yahudi. Golongan Yahudi hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja. Oleh itu, disunatkan berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh sebagai tanda perbezaan antara kaum Muslimin dengan golongan Yahudi.

PUASA SUNAT PADA HARI KESEPULUH MUHARRAM

Berpuasa sunat pada hari Asyura’ adalah sunat hukumnya. Nabi s.a.w berpuasa pada hari tersebut dan memberitahu bahawa berpuasa sunat pada hari tersebut mendapat ganjaran yang besar. “ Dari Ibnu Abbas katanya; aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w bersungguh-sungguh berpuasa sunat selain dari Hari Asyura’ dan pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan”( Hadis Riwayat Bukhari)

KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI ASYURA

Berpuasa sunat pada Hari Asyura mempunyai kelebihan yang besar. Nabi s.a.w telah menjelaskan kelebihan berpuasa pada hari tersebut dengan sabda Baginda s.a.w; “ Berpuasa sunat pada Hari Arafah aku mengharapkan Allah menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Berpuasa Asyura pula, aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Hadis berikut menerangkan bahawa berpuasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.

DOSA YANG DIHAPUSKAN OLEH PUASA SUNAT PADA HARI ASYURA

Menurut para ulama’, dosa yang dapat dihapuskan oleh puasa sunat pada hari Asyura ialah dosa kecil sahaja. Menurut Imam Nawawi, jika sekiranya seseorang itu berpuasa sunat Asyura maka besar harapan agar dosa besar itu diringankan oleh Allah.

PERHATIAN!!!Terdapat orang tersilap faham atau terkena bisikan iblis tanpa ia sedari. Lantaran itu, ia tertipu dengan amalan sendiri. Di antara golongan tersebut ialah mereka beranggapan bahawa kelebihan yang disediakan oleh Allah itu menunjukkan kita tidak perlu bersungguh-sungguh beribadat.

Pada perkiraan mereka, puasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. Kemudiaan apabila seseorang itu berpuasa pada Hari Arafah maka dia mendapat anugerah dihapuskan dosanya untuk dua tahun. Oleh itu, sudah pasti amal soleh telah melebihi dosa yang dikerjakan. Menurut Ibnu al-Qayyim, akibat kefahaman yang menyeleweng ini, maka mereka melakukan maksiat tanpa merasa takut kepada Allah.

Golongan tersebut sebenarnya dirasuk oleh bisikan syaitan. Mereka tidak menjadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan mereka. Mereka sebenarnya jauh dari rahmat Allah.

HUKUM BERPUASA SUNAT HARI ASYURA BAGI MEREKA YANG BELUM MENQADHA’ PUASA WAJIB

Menurut Mazhab syafi’e, makruh bagi orang yang belum menqadha’ puasa wajib mengerjakan puasa Sunat Asyura. Sepatutnya ia menyegerakan dan mengutamakan puasa wajib dari puasa sunat.Akan tetapi, jika seseorang itu berniat qadha’ puasa wajib dan berpuasa sunat pada Hari Asyura (berpuasa dengan dua niat puasa), maka hukumnya tidaklah makruh. Bahkan, dikurniakan kepadanya kelebihan berpuasa Sunat Asyura, Insyaallah.

HUKUM BERPUASA PADA HARI KESEPULUH SAHAJA

Tidak menjadi kesalahan atau makruh berpuasa pada hari kesepuluh sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari kesembilan.

HUKUM BERPUASA HARI ASYURA YANG JATUH PADA HARI JUMAAT ATAU SABTU

Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari Khamis atau Sabtu adalah makruh hukumnya. Begitu juga makruh berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad. Hukum makruh itu bersyarat berpuasa tanpa sebarang sebab. Adapun sekiranya berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja dengan sebab qadha’ atau hari tersebut kebetulan giliran hari puasanya atau disebabkan hari tersebut jatuh pada hari-hari yang dimuliakan, maka hukum berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja tidaklah makruh.

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA HARI ASYURA

Pada Hari Asyura, berlaku beberapa peristiwa penting. Di antaranya ialah Nabi Musa a.s terselamat dari buruan Firaun, Nabi Nuh a.s terselamat dari banjir besar dan penerimaan taubat Nabi Adam a.s sebagaimana yang datang pada hadis yang lemah. Peristiwa-peristiwa di atas telah dinyatakan dalam hadis-hadis berikut;“ Dari Abu Hurairah r.a katanya; Nabi s.a.w melalui sekumpulan manusia dari golongan Yahudi yang sedang berpuasa pada Hari Asyura’.

Nabi s.a.w bersabda: "Kenapa berpuasa pada hari ini?". "Mereka menjawab inilah hari yang Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel dari tenggelam dan pada hari ini juga Firaun tenggelam. Pada hari ini juga Kapal Nabi Nuh berlabuh di atas bukit al-Juudi, lalu Nabi Nuh dan Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah (setelah mendengar penjelasan tersebut)", Nabi s.a.w bersabda; "Aku lebih layak untuk memeperingati perjuangan Nabi Musa dan lebih patut berpuasa pada hari ini. Kemudian Baginda s.a.w pun mengarahkan sahabatnya berpuasa pada hari tersebut”(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

ASAL USUL PUASA HARI ASYURA

Berpuasa pada Hari Asyura telah diamalkan sejak zaman Jahiliyyah lagi. Saidatina ‘Aisyah r.a menjelaskan bahawa orang Jahiliyyah sejak turun temurun berpuasa pada Hari Asyura. Imam al-Qurthubi berpendapat bahawa orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura kerana mengikut agama Nabi Ibrahim a.s.

Menurut beberapa riwayat yang shahih, Nabi s.a.w telah berpuasa pada Asyura sebelum berhijrah ke Madinah. Bahkan menurut hadis yang shahih juga, berpuasa hari Asyura adalah wajib hukumnya, kemudian apabila diwajibkan berpuasa Ramadhan, maka berpuasa pada hari Asyura hukumnya menjadi sunat.

Kesimpulan dari perbincangan di atas, puasa sunat yang paling afdhal pada bulan Muharram ialah berpuasa sunat pada kebanyakan harinya termasuk hari Asyura dan hari Tasua’aa’. Kemudian berpuasa pada hari Asyura dan hari Tasu’aaa’ sahaja. Kemudian berpuasa pada hari Asyura sahaja atau hari Tasu’aaa’ sahaja.

BULAN MUHARRAM BULAN TAUBAT

Terdapat dalam hadis yang terlalu lemah yang menyatakan bahawa Allah menerima taubat Nabi Adam pada bulan Muharram. Oleh itu, sewajarnya kaum Muslimin memperbanyakkan taubat pada bulan tersebut.Sebagai penyempurnaan kepada amalan bertaubat, di sini kami catat gesaan dan tunjuk ajar Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada rakyatnya apabila hendak bertaubat. Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengeluarkan surat pekeliling kepada seluruh dunia Islam mengajar menyuruh bertaubat dan menyebut beberapa kalimah taubat.

Isi pekeliling yang diedar itu adalah seperti berikut; Katalah kamu sebagaimana kata Nabi Adam a.s; “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri. Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami nescaya kami akan menjadi orang-orang yang rugi” Ucaplah sebagaimana ucapan Nabi Nuh a.s; “ Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni daku, dan merahmati daku, nescaya aku termasuk di dalam golongan yang rugi” Sebutlah apa yang disebut oleh Nabi Musa a.s; “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah daku” Ucaplah ucapan Nabi Yunus a.s; “Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya adalah aku termasuk dalam golongan orang yang zalim”

BEBERAPA PERKARA PENTING BERKAITAN KEDATANGAN BULAN MUHARRAM
  1. HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN PADA HARI ASYURA SECARA MEWAH -Para ulama’ Islam telah berselisih pendapat hadis yang menyebut;”Barangsiapa yang memberi kelapangan kepada keluarganya (berbelanja lebih) pada Hari Asyura nescaya Allah akan member kelapangan kepadanya selama setahun”Hadis di atas telah didebatkan oleh para ulama’ dan kedudukannya. Sebahagian ulama’ menghukum hadis di atas sebagai hadis palsu. Sebahagian yang lain pula berpendapat hadis di atas adalah terlalu lemah dan tidak boleh diamalkan. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hadis ini boleh diamalkan. Kekhilafan di atas sebenarnya patut diberi perhatian oleh masyarakat Islam di Malaysia secara khusus. Ini disebabkan pada hari Asyura, acara memasak sure akan dilakukan. Kalau kita membuat penilaian kepada amalan masyarakat Melayu kita, kita akan dapati mereka melakukan perkara berikut pada hari Asyura:• Memasak suree• Sebahagian berpuasa, sebahagian tidak berpuasa. Berkenaan memasak suree, perlu diberi perhatian dari segi kaitan suree dengan hari Asyura. Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah; apakah kaitan antara makanan sure dengan hari tersebut? Apakah anggapan masyarakat terhadap penyediaan makanan suree pada hari tersebut?Ringkasnya, pegangan masyarakat itu adalah penentu hukum kepada amalan tersebut.Berkenaan tidak berpuasa sunat pada hari Asyura tetapi bersungguh-sungguh menyediakan suree juga patut diberi perhatian. Apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w adalah berpuasa sunat pada hari tersebut. Adapun penyediaan makanan secara mewah adalah perselisihan dalam kalangan ulama’. Oleh itu, alangkah eloknya kalau pada hari kesembilan dan hari kesepuluh itu, masjid atau surau menganjur ifthor jamai’i sebagai mengikut Sunnah Nabi s.a.w berpuasa sunat pada hari tersebut

  2. MENGUCAP TAHNIAH SEMPENA KEDATANGAN TAHUN BARU -Menurut al-Qomuli, kami tidak pernah menemui ulasan para ulama’ berkenaan ucapan tahniah sempena kedatangan tahun baru atau bulan baru. Akan tetapi, melihat catatan Syeikh Zakiyuddin Abdul ‘Azim yang menyebut bahawa al-Hafiz Abul Hasan al-Maqdisi ditanya berkenaan perbuatan mengucap tahniah sempena kedatangan tahun baru dan bulan baru. Beliau berpendapat hukumnya adalah harus bukannya sunat atau bid’ah yang keji

  3. DOA TAHUN BARU- Bulan Muharram adalah bulan yang pertama mengikut bulan Hijrah. Oleh itu, kedatangan bulan Muharram menandakan tibanya tahun baru. Sesetengah tempat diedar doa tahun baru. Berkenaan doa tahun baru, sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat sebagaimana mereka tidak pernah menyambut hari lahir mereka.

Penghulu istighfar: Nabi s.a.w bersabda; “ Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu ia mati sebelum tiba waktu petang, maka dia adalah ahli syurga. Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu petang dengan penuh keyakinan, maka ia mati sebelum tiba waktu pagi, maka dia adalah ahli syurga. “


Sumbangan:

Tn Hj Radzuan
Imam At-Tarbiyyah

Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.

Semua Warga At-Tarbiyyah: Moderator mohon maaf atas kelewatan menyiarkan tazkirah ini.

Bulan-bulan dalam Islam


BILANGAN BULAN DI SISI ALLAH

“Sesungguhnya bulan di sisi Allah adalah sebanyak 12 sebagaimana yang tercatat pada kitab Allah semenjak ia mencipta langit dan bumi. Daripada bulan tersebut terdapat empat bulan Haram. Itulah agama yang lurus. Oleh itu janganlah kamu menzalimi diri kamu pada bulan-bulan tersebut”( Surah at-Taubah: 36)


Sayyid Qutb berkata; "Allah menjelaskan di dalam ayat di atas bahawa bilangan bulan itu adalah di antara tanda-tanda kebesaran Allah dan bilangan tersebut telah ditetapkan semenjak azali lagi. Penetapan itu adalah sesuai dengan tabiat penciptaan alam. Oleh itu, makhluk tidak mungkin boleh mengubah bilangan bulan atau hari kerana semua itu telah ditentu oleh Allah Subhanahu Wa Taala".




Dari Abi Bakrah katanya dari Nabi s.a.w “…… satu tahun mengandungi dua belas bulan. Di antara jumlah tersebut terdapat empat bulan Haram. Tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab Mudhor yang berada antara Jumada dan Syaa’ban”.(Hadis Riwayat Bukhari) Syeikh Izzudin berkata “ Kemuliaan masa dan tempat itu dua jenis. Satunya berbentuk keduniaan dan yang kedua keagamaan. Jenis keagamaan ini adalah anugerah Allah kepada makhluknya supaya mereka lebih bersemangat beribadah”.


SEJARAH KELAHIRAN PENGGUNAAN TAHUN HIJRAH

Bulan Hijrah sepertimana yang diguna pakai pada hari ini muncul di Zaman Jahiliyyah lagi. Akan tetapi, penggunaan bulan hijrah secara rasmi adalah berlaku pada masa pemerintahan Saidina Umar. Pengisytiharan penggunaan bulan Hijrah secara rasmi telah dilakukan pada Hari Rabu 20 Juumadaa akhirah pada tahun ke tujuh belas Hijrah bersamaan tahun 622 Masihi.


Menurut ahli sejarah, setiap negara yang dibuka oleh pendakwah Islam telah beramal dengan tahun dan bulan Hijrah dalam urusan kehidupan mereka di samping penggunaan tahun kebangsaan mereka masing-masing.Akan tetapi, apabila Khilafah Uthmaniyyah Islamiyyah tersungkur menyembah bumi pada tahun 1924M, pihak penjajah telah menghapus amalan berpegang dengan tahun Hijrah dan digantikan dengan tahun Masihi.


Menurut ahli sejarah, (kenyataan ini dinukil oleh Prof. Ahmad Syalabi dalam bukunya ‘ENSKLOPEDIA SEJARAH ISLAM’ ), apabila Mustafa Kamal Ataturk berjaya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah, dia telah menghapuskan undang-undang yang menyebut bahawa Islam agama Negara Turki, Undang-undang Islam diganti dengan Undang-undang Civil Sweden dan Undang-undang Itali, hari cuti umum ialah hari Ahad bukannya hari Jumaat sebagaimana yang diamalkan sebelum ini serta menghapuskan penggunaan tahun Hijrah dan diganti dengan penggunaan tahun Masihi.


Kesan dari tindakan tersebut, kita dapati kaum Muslimin lebih mengetahui bulan Masihi berbanding bulan Hijrah. Bahkan, terdapat anak-anak muda Islam yang tidak tahu bulan-bulan Islam atau bulan-bulan Hijrah. Bukan sekadar itu, mesyuarat berkenaan agama dan program agama terpaksa diumum menggunakan tarikh Masihi bukannya tarikh Hijrah atau Islam.


Menurut para pengkaji, sehingga kini semua negara umat Islam terkena penyakit di atas melainkan Saudi.




NAMA BULAN-BULAN HIJRAH DAN MAKNANYA

Nama-nama bulan Hijrah telah dikenali semenjak zaman Jahiliyyah. Cuma penggunaan secara rasmi adalah di zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab Radiallahu’anhu sebagaimana dijelaskan sebelum ini.Nama-nama bulan Hijrah dan maknanya adalah seperti berikut:


MUHARRAM

Bulan ini dikenali dengan Muharram kerana orang Arab sejak turun-temurun mengharamkan peperangan pada bulan ini.


SOFAR

Sofar bermakna kosong. Bulan ini dikenali sebagai Bulan Sofar kerana orang Arab mengosongkan kediaman mereka kerana mencari makanan dan berpindah ke tempat lain untuk menghindar diri dari musim panas yang melampau.


RABI’ULAWAL

Makna Rabi’ ialah musim bunga. Dinamakan bulan ini sebegitu kerana pada kebiasaannya bulan ini tiba pada awal musim bunga.


RABI’ULAKHIR

Maknanya ialah musim bunga yang terakhir. Ini kerana bulan ini tiba pada akhir musim bunga. Bulan ini dikenali juga sebagai Rabi’ussani.


JUUMADAL UULA

Maknanya ialah pembekuan yang pertama. Ini kerana bulan ini tiba ketika awal musim sejuk dan air menjadi beku.


JUUMADUL AKHIRAH

Maknanya ialah pembekuan yang akhir. Ini kerana bulan ini tiba ketika akhir musim sejuk dan air menjadi beku.


RAJAB (REJAB)

Kalimah Rajab bermakna gerun atau takut. Bulan ini dikenali dengan Rajab kerana orang Arab menghormati dan merasa gerun terhadap bulan ini. Lantaran itu mereka tidak berperang kerana tibanya bulan Rajab.


SYAA’BAN

Syaa’ban bermakna berkecai atau bertaburan. Bulan ini dinamakan sedemikian kerana orang Arab bertaburan di atas muka bumi kerana berperang setelah mereka tidak berbuat demikian pada bulan Rajab.


RAMADHAN

Ramadhan bermakna waktu yang sangat panas. Bulan ini dikenali sebagai Ramadhan kerana kebiasaannya ketibaan bulan ini adalah pada musim panas.


SYAWWAL

Syawwal bermakna kering atau kurang. Ini kerana pada kebiasaannya susu binatang akan kering atau kehabisan setelah musim kemarau ( bulan Ramadhan) melanda.


ZULQA’DAH ATAU ZULQI’DAH

Ia bermakna bulan duduk. Ini kerana orang Arab tidak berperang pada bulan tersebut dan duduk di tempat masing-masing kerana menghormati bulan tersebut.


ZULHIJJAH

Zulhijjah bermakna bulan yang dilakukan haji padanya


PEMIKIRAN KHURAFAT BERKENAAN BULAN-BULAN HIJRAH

Penulis terbaca satu kenyataan berkenaan bulan Hijrah dan kaitannya dengan keperibadiaan seseorang. Penulis dapati kenyataan yang dibuat itu adalah menyeleweng dari ajaran Islam dan wajib ditolak. Berikut kenyataan khurafat yang dimaksudkan:Seseorang itu dapat mengetahui tabiatnya melalui bulan kelahirannya.


Tabiat itu adalah seperti berikut;


Muharram - Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna. Walaupun begitu, jika dididik dengan baik dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat. Safar tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengaku kesalahannya. Ibu bapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu.


Jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ia akan mendatangkan hasil. Rabi’ul Awal perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang yang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.




Rabi’ul Akhir - perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar dan tabiat buruknya itu. Ibu bapa menempuh kesukaran dalam dirinya.


Jamadil Awal - Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya yang menemui kegagalan jua.


Jamadil Akhir - Wataknya berani. Hormat orang lain. Pelbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tetapi apabila dia mengetahui dia benar, pendiriannya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibu bapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.


Rejab - Semasa kecilnya dia degil dan nakal. Ibu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun, hidupnya selamat dan sentosa.


Syaa’ban - Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya, dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawannya. Kelakuannya baik, berbudi bahasa sehingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya dan mudah mendapat rezeki.


Ramadhan - Dia baik, pendiam dan suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan dirinya. Kehidupannya selalu selamat.


Syawal - Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya. Oleh itu, ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak, kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.


Zulkaedah - Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir kerana sifat ini. Suatu hari nanti, dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi, oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadangkala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang memuaskan.


Zulhijjah - Jika dia jahat dia terlalu jahat. Jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya. Kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. Oleh kerana dia tidak memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk pada perbuatannya. Dia sering kali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan. Kenyataan seperti yang disebutkan itu adalah khurafat yang wajib ditolak. Ini kerana akhlak itu samada diwarisi dari keturunan atau diusaha melalui mujahadah yang dilakukan.


Wallahuaa’lam.



Sumbangan

Tn Hj Radzuan

Imam Surau At-Tarbiyyah


Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.