---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, August 12, 2011

Muqaddimah Surah An-Nisaa

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 176 ayat. Dinamakan surah An-Nisaa (Perihal Perempuan) kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai kaum perempuan ada disebutkan disini.

Menerangkan hukum beristeri lebih dari satu; bayaran mas kahwin; perintah supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan jangan terburu-buru menceraikannya jika timbul perasaan benci terhadapnya; larangan mengambil hartabenda yang telah diberikan kepada isteri setelah diceraikan.

Kaum perempuan - seperti kaum lelaki - ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; sebabnya kaum lelaki menjadi pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan; sifat isteri yang soleh; cara melayani isteri yang nusyuz (derhaka); lantikan "orang tengah" semasa berlaku perselisihan antara suami isteri untuk didamaikan.

Ditegaskan pula bahawa orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah, samalah seperti menelan bara dan mereka akan beroleh azab yang pedih. Pembahagian harta pusaka: Dalam surah ini diterangkan panjang lebar tentang orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang berhak mendapat harta pusaka, dan tentang bahagian yang akan didapati oleh tiap-tiap seorang menurut cara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.

Orang-orang yang menjalankan pembahagian harta pusaka bertentangan dengan hukum syarak diberi amaran yang sekeras-kerasnya bahawa mereka akan disiksa dalam neraka.

Selain dari itu, surah An-Nisaa dipenuhi dengan hukum-hukum yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam menjalankannya untuk mengurus soal-soal hidup dan menegakkan taraf mereka sebagai umat dalam negara yang merdeka dan berdaulat; dan juga supaya mereka bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menentang sebarang pengkhianatan atau sebarang serangan bersenjata dari pihak musuh.

Wallahuwaklam.

Monday, August 8, 2011

Muqaddimah Surah Al-Imran

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 200 ayat, dinamakan suran Al-Imran (Perihal Keluarga Imran) kerana kisah mereka ada disebutkan mulai ayat 33. Kisah keluarga Imran ini menerangkan perihal Nabi Isa a.s yang sebenarnya dan kesesatan kaum Kristian yang menyifatkan Nabi Isa sebagai Tuhan atau Anak Tuhan.

Pada umumnya surah ini menggambarkan keadaan umat Islam di Madinah setelah mereka mencapai kemenangan yang besar di medan perang Badar dan berjaya menghancurkan kaum kafir musyrik yang menceroboh.

Kemenangan umat Islam ini menyebabkan kaum Yahudi dan kaum munafik di Madinah marah - kerana hasad dengkinya, lalu merancang berbagai-bagai pakatan jahat terhadap umat Islam.

Sebab itulah Allah Ta'ala mengingatkan sebagaimana yang tersebut di dalam surah ini supaya umat Islam sentiasa sedar dan waspada terhadap golongan-golongan kafir yang memusuhi Islam.

Apa yang telah dan sedang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan Komunis terhadap Islam dan umat Islam makin menjelaskan hakikat ini. Dalam surah ini juga diterangkan peristiwa "Peperangan Uhud" dan sebab-sebab yang menjadikan orang-orang Islam gagal dalam peperangan itu, iaitu sebahagian diantara mereka melanggar perintah Rasulullah SAW.

Untuk menanamkan semangat perjuangan jihad, ditegaskan dalam surah ini, bahawa orang-orang Islam yang telah gugur syahid dalam perjuangan membela Islam bukanlah orang yang mati dan lenyap denagn tidak disebut-sebut dan dikenang, bahkan mereka hidup secara istimewa dan meningkat ke tempat yang mulia disisi Allah dengan dilimpahi Nur dan pelbagai nikmat yang disediakan oleh Allah Ta'ala di dalam syurga.

Wallahuwaklam.