---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, August 12, 2011

Muqaddimah Surah An-Nisaa

Surah ini diturunkan di Madinah, mengandungi 176 ayat. Dinamakan surah An-Nisaa (Perihal Perempuan) kerana banyak sekali hukum-hukum mengenai kaum perempuan ada disebutkan disini.

Menerangkan hukum beristeri lebih dari satu; bayaran mas kahwin; perintah supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik dan jangan terburu-buru menceraikannya jika timbul perasaan benci terhadapnya; larangan mengambil hartabenda yang telah diberikan kepada isteri setelah diceraikan.

Kaum perempuan - seperti kaum lelaki - ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; sebabnya kaum lelaki menjadi pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan; sifat isteri yang soleh; cara melayani isteri yang nusyuz (derhaka); lantikan "orang tengah" semasa berlaku perselisihan antara suami isteri untuk didamaikan.

Ditegaskan pula bahawa orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim dengan cara yang salah, samalah seperti menelan bara dan mereka akan beroleh azab yang pedih. Pembahagian harta pusaka: Dalam surah ini diterangkan panjang lebar tentang orang-orang lelaki dan orang-orang perempuan yang berhak mendapat harta pusaka, dan tentang bahagian yang akan didapati oleh tiap-tiap seorang menurut cara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta'ala.

Orang-orang yang menjalankan pembahagian harta pusaka bertentangan dengan hukum syarak diberi amaran yang sekeras-kerasnya bahawa mereka akan disiksa dalam neraka.

Selain dari itu, surah An-Nisaa dipenuhi dengan hukum-hukum yang diwajibkan ke atas orang-orang Islam menjalankannya untuk mengurus soal-soal hidup dan menegakkan taraf mereka sebagai umat dalam negara yang merdeka dan berdaulat; dan juga supaya mereka bersiap sedia pada bila-bila masa untuk menentang sebarang pengkhianatan atau sebarang serangan bersenjata dari pihak musuh.

Wallahuwaklam.

No comments:

Post a Comment