---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Friday, March 13, 2009

Sirah Rasulullah - Siri 2

KE PANGKUAN IBUNYA YANG PENYAYANG

Halimah al-Sa'diah terasa takut dengan peristiwa tersebut, dengan itu beliau memulangkan Rasulullah kepangkuan ibunya, Baginda tinggal bersama ibunya hingga meningkat usia enam tahun. Aminah teringat untuk ke Yathrib menziarahi kubur suaminya, sebagai mengenang dan mengingati kematian itu.

Untuk itu beliau keluar dari Makkah, merentas lima ratus kilometer menuju ke destinasi bersama-sama anak lelakinya yang keyatiman itu, di iringi khadamnya Ummu Aiman dan ayah mertuanya Abdul Mutalib, di sana beliau tinggal untuk selama sebulan, setelah itu beliau berpatah balik, semasa perjalanannya dari sana, beliau telah diserang penyakit dan semakin berat, sejak di awal perjalanan lagi, berakhir dengan hembusan nafas terakhir di tempat bernama "al-Abwa' " yang terletak di antara Makkah dan Madinah.

KE PANGKUAN DATUK PEMBELAS KASIHAN

Abdul Mutalib membawa Baginda pulang ke Makkah, dengan perasaan kasih sayang menepu didadanya terhadap cucundanya yang kini yatim piatu, duka lamanya kembali menusuk perasaan, membawa beliau mengasihani cucunya melebihi kasih sayangnya ke atas anak-anak cucunya yang lain. Beliau tidak pernah tinggalkan Baginda keseorangan, meskipun yang dalam keadaan terpaksa, sebaliknya beliau sentiasa mendampinginya dan mengutamakan Baginda lebih dari cucunya yang lain.

Ibnu Hashim menceritakan: Biasanya dihampar di lindungan Kaabah sebidang tikar khusus untuk Abdul Mutalib, anak-anak dan cucunya akan bersila disekeliling tikar itu, tak seorang pun akan duduk di atas tikar itu hanya Abdul Mutalib seorang,k erana menghormati beliau, namun bila Rasulullah datang ketika itu Baginda masih kanak-kanak, Baginda akan duduk di atas hamparan itu, di masa itu bapa-bapa saudaranya akan menarik Rasulullah ke tepi untuk memberi tempat kepada Abdul Mutalib, bila beliau melihat Rasulullah di situ Abdul Mutalib pun menyeru: Biarkan anakku itu demi Allah dia mempunyai kedudukannya, kemudian beliau duduk disampingnya di atas hamparan itu, dengan menyapu-nyapu di belakang Baginda dan beliau sentiasa senang dengan segala perilaku Baginda.

Pada usia lapan tahun dua bulan sepuluh hari datuknya Abdul Mutalib pun meninggal dunia di Makkah, walau bagaimanapun sebelum wafat, beliau telah sempat berwasiat dan menyerah pemeliharaan Rasulullah kepada bapa saudaranya Abu Talib saudara kandung ayahnya. Ke Pangkuan Bapa Saudara Yang Mengasihani Abu Talib selaku bapa saudara, telah memikul tanggungjawab menjaga anak saudaranya dengan sebaik-baiknya, beliau meletakkan Baginda bersama-sama dengan anak-anaknya malah memberi keutamaan ke atas anak-anaknya dengan keistimewaan, penghormatan dan sanjungan, dalam tempoh empat puluh tahun beliau menyokong Baginda, melindungi,membenarkan Baginda malah sanggup berkelahi untuk Baginda.

Bertemu Pendeta Buhaira

Setelah usia Rasulullah meningkat dua belas tahun, ada yang mengatakan dua belas tahun dua bulan sepuluh hari, Baginda keluar belayar bersama Abu Talib untuk berniaga di negeri Syam, sehingga apabila sampai ke Basrah, yang merupakan sebahagian dari Syam di dalam daerah Hawran, namun pada ketika itu Basrah adalah salah sebuah negeri, di daerah negeri Arab dibawah taklukan Rom, di sana terdapat seorang paderi bernama Jarjis yang dikenali sebagai Buhaira.

Setibanya rombongan ke sana, "Buhaira" keluar untuk menemui mereka, dan memuliakan mereka sebagai tetamu, tapi ini bukan satu kebiasaannya, kerana sebelum ini beliau tidak pernah keluar untuk menemui sesiapa, beliau mengenali Rasulullah dengan segala sifat-sifatnya. Semasa beliau memegang tangan Baginda, terus beliau berkata: Inilah penghulu dunia sejagat, inilah orang yang diutuskan Allah sebagai rahmat untuk sekelian alam. Kata AbuTalib: Dari mana maklumat ini tuan perolehi?

Jawab beliau: Tahukah kamu, bahawa semasa kamu mendekati "al-Aqabah" tidak ada batu dan pokok-pokok pun yang tidak tunduk sujud kepadanya, sujud seperti ini hanya berlaku kepada seorang nabi sahaja, dan aku kenali pada Baginda "Khatam al-Nubuwah" penutup kenabian, ianya terletak di belakang Baginda di bawah tulang dayung bentuknya seperti epal, semua sifat-sifat Baginda tersebut di dalam kitab-kitab kami, seterusnya beliau meminta supaya Abu Talib membawa Muhammad (s.a.w) pulang ke Makkah, dan jangan dibawanya ke negeri Syam kerana ditakuti tindakan jahat Yahudi, oleh itu Abu Talib mengirim Rasulullah untuk berpatah balik ke Makkah bersama-sama dengan beberapa orang suruhannya.
Bersambung dalam Siri akan datang.....!!!!

Thursday, March 12, 2009

Sirah Rasulullah - Siri 1

Rasulullah (s.a.w) penghulu para Rasul telah dilahirkan di Syuaib Bani Hashim di Makkah pada pagi hari Isnin 9 Haribulan Rabiulawwal dipermulaan Tahun Gajah, dan tahun keempat puluh dalam pemerintahan Raja Kisra Anu Syirwan bersamaan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi mengikut perkiraan Ulama Agong Muhammad Sulaiman al-Mansurpuri dan pentakhkik Falak Mahmud Basya.

Ibn Sa'd meriwayatkan bahawa ibu Rasulullah (s.a.w) menceritakan: " Ketika ku melahirkannya, satu cahaya telah keluar dari farajku, menerangi mahligai-mahligai di negeri Syam" , periwayatannya hampir sama dengan apa yang diriwayatkan oleh al-Irbadh bin Sariah. Beberapa irhasat (petanda-petanda) kebangkitan seorang rasul telah berlaku beberapa ketika, sebelum kelahiran Rasulullah, di antaranya runtuhan empat belas anjung dewan Kisra Parsi, terpadamnya api yang disembah penganut agama majusi, robohnya gereja-gereja di sekitar Tasik Sawah yang sebelum ini penuh sesak dengan para pengunjung.

Ia diriwayat oleh al-Baihaqi. Tetapi tidak dipersetujui oleh Muhammad al-Ghazali. Sebaik sahaja Baginda dilahirkan, ibunya Aminah segera memberi tahu kepada datuk Baginda Abdul Mutalib, mengenai perkhabaran yang baik itu, dengan itu Abdul Mutalib terus mengambil dan membawa Baginda ke dalam Kaabah, untuk berdoa dan bersyukur kepada Allah, beliau telah memilih nama "Muhammad" sebagai nama kepada cucunya, nama itu tidak pernah dinamakan kepada sesiapa pun oleh bangsa Arab sebelum ini, Nabi Muhammad (s.a.w) telah berkhatan ketika berada di dalam kandungan ibunya lagi.

Penyusuannya yang pertama selepas ibunya, ialah daripada Thuwaibah hamba Abu Lahab bersama anaknya bemama Masruh dengan itu beliau menjadi saudara sepenyusuan dengan Baginda, sebelum ini Thuwaibah juga telah menyusukan Hamzah bin Abdul Mutalib selepasbeliau Abu Salamah bin Abdul al-Asad al-Makhzumi.

DIPERSADA BANI SA'AD
Mengikut resam bangsa Arab Hadhar (bandar), bahawa usaha memperolehi penyusu-penyusu untuk anak-anak mereka dari pendalaman, sebagai usaha mencegah dari penyakit-penyakit yang terdapat di bandar, di samping menguatkan pembinaan jasad anak-anak, mengemaskan otot-otot, malah ianya juga sebagai cara untuk membantu lisan bahasa Arab dengan bahasa yang baik sejak dalam buaian lagi, untuk itu Abdul Mutalib telah berusaha mencari penyusu-penyusu untuk Rasulullah, dengan itu beliau menyerahkan Muhammad kepada Bani Sa'ad binBakr, iaitu Halimah binti Abi Zuaib suaminya dikenali sebagai al-Harith bin Abd al-Qira bergelar Abu Kabsyah dari Qabilah yang sama.

Adapun saudaranya yang sepenyusuan di Bani Sa'ad adalah Abdullah bin al-Harith, Anisah binti al-Harith, Huzafah atau Jazimah binti al-Harith (iaitu al-Syaima', gelarannya lebih di kenali, beliaulah yang mengasuh Rasulullah, dan Abu Sufian Ibn al-Harith bin Abdul Mutalib, anak bapa saudara Rasulullah itu pun sepenyusuan dengan Baginda juga. Bapa saudara Rasulullah Hamzah bin Abdul Mutalib pun pernah menyusu di Bani Sa'd bin Bakr, maka Hamzah menjadi saudara sepenyusuan dengan Rasulullah dari dua orang ibu; Thuwaibah dan Halimah al-Sa'diah, kerana ibu susuan Hamzah di suatu hari telah memberi susuannya kepada Rasulullah.

Semasa Baginda bersama Halimah, beliau telah menyaksikan banyak keberkatan-keberkatan Rasulullah. Ibn Ishaq telah menyebut: Halimah telah berkata yang ianya telah keluar dari kampung bersama suaminya dan disertai oleh anak kecil yang masih menyusu, beliau keluar bersama-sama wanita-wanita Bani Sa'd, dalam rangka mencari anak-anak susuan dengan katanya: Ini berlaku di tahun kedua di mana kami tidak memiliki apa-apa pun katanya lagi: Aku telah keluar dengan menunggangi kaldai betina "Qamra" panggilannya, bersama kami unta-unta, demi Allah unta kami itu tidak mengeluar susu setitik pun.

Malah pada masanya kami tidak dapat tidur kerana anak kecil kami menangis disepanjang malam lantaran kelaparan, dadaku tidak dapat mengenyangkan, unta kami tidak dapat memberi makanan, namun demikian kami masih tetap mengharapkan hujan, daku keluar dengan kaldai betinaku itu, hingga pecah-pecah dan berdarah kaki kerana muatan berat, seluruh yang bermusafir itu terasa berat, lemah dan kekurusan, akhirnya sampai juga kami di Kota Makkah mencari anak-anak susuan, setiap dari kami telah diajukan Rasulullah untuk penyusuannya maka setiap orang pula menolaknya iaitu apabila diceritakan tentang keyatimannya, kerana setiap kami sebagai ibu susu mengharapkan budi baik dari si bapa, setiap kami menyebut-menyebut yatim!!

Apa yang akan boleh dilakukan oleh si ibu dan si datuknya maka setiap kami membencinya kerana keyatimannya. Setiap yang datang bersama denganku telah membawa pulang bayi susuannya kecuali ku seorang sahaja bila kami telah bersiap untuk pulang, ku pun menyebut kepada suamiku: Demi Allah aku tidak sukalah untuk pulang bersama-sama dengan teman-temanku yang lain tanpa membawa bersamaku seorang bayi susuan pun, demi Allah aku mesti ambil si yatim tadi.

Jawab suamiku: tidak mengapalah untuk kau berbuat demikian, semoga Allah jua akan memberikan kita keberkatan kerananya. Katanya! Aku pergi ambil si yatim itu, yang mendesak ku mengambilnya, kerana tidak ada yang lain untuk ku ambil, katanya, setelahku dukung ke tunggangan ku, dan sebaik sahaja ku letakkannya ke ribaku, terasa dadaku dipenuh susu, maka si yatim pun menghisapnya hingga puas, saudaranya pun menyusu juga hingga puas dan tertidur, sebelum ini kami tidak pernah tidur bersamanya, kemudian suami ku pergi ke unta kami, dan didapati uncang susunya penuh dengan susu, beliau memerahnya lalu diminumnya dan diberi kepada yang lain-lain kiranya kami semua puas dan kenyang, malam itu kami dapat tidur dengan nyenyak, Halimah berkata: Suamiku telah berkata bila kami bangun dipagi hari: Demi Allah, tahu tak wahai Halimah, sebenarnya tiupan bayu keberkatan mula menghembus nafasnya, kata Halimah.

Ku menjawab: Demi Allah sesungguhnya ku mengharapkan demikian, dan katanya lagi: Setelah itu kami pun bergerak keluar dari daerah Makkah, aku menunggangi kaldai betina ku itu,di atasnya juga ku membawa Rasulullah, demi Allah binatang tungganganku merentasi perjalanan kiranya tidak dapat disaingi oleh kaldai-kaldai mereka yang lain, hinggakan teman-temanku yang lain, tertanya-tanya dan berkata: Wahai puteri Abu Zuaib apa kamu ini? Perlahanlah sedikit, tidakkah tunggangan kamu itu yang naik ke sini dulu, jawabku kepada mereka: Bahkan demi Allah yang itu itulah: jawab mereka: Demi Allah, ianya ada keistimewaan, kata Halimah.

Setelah itu kami semua pun sampailah ke kampung kami iaitu persada Bani Sa'd, ku tidak pernah melihat sebuah bumi yang paling kontang dari bumi Bani Sa'd, namun setelah kami pulang dari mengambil bayi susuan kami itu nampaknya kambing-kambing kami sarat perut kekenyangan, uncang-susu dipenuh susu, kami memerahnya dan meminumnya, sedang ternakan orang lain tetap tidak menghasilkan setitik susu pun, uncang susu kekeringan, menyebabkan penduduk-penduduk yang lain menyuruh penternak-penternak mereka dengan berkata: Binasa kamu, cubalah bawa ternakan-ternakan ke tempat yang selalu puteri Abu Zuaib berternak itu, namun kambing-kambing mereka tetap kelaparan tidak mengeluar walau setitik susu pun, sedangkan ternakan kami kekenyangan uncangnya sarat dengan susu.

Beginilah seterusnya kami terus menerima limpahan kurnia dari Allah hingga berlalu dua tahun umur Baginda di mana Baginda pun tinggal susu, Baginda membesar tidak seperti kanak-kanak lain, sebelum sampai usia dua tahun Baginda telah menjadi besar segar, kata Halimah: Setelah beberapa masa kami bawa Baginda pulang kepangkuan ibunya, walau macam mana pun kami tetap prihatin agar Baginda terus tinggal bersama kami, kerana kami dapat menikmati keberkatannya, untuk itu kami pun mengemukakan harapan ini kepada ibunya, dan ku berkata kepadanya: Kalaulah puan benarkan anakku ini terus tinggal bersamaku hingga meningkat tampan, pun ada baiknya, kerana ku takut wabak-wabak di Makkah akan menyeranginya nanti, katanya lagi.

Masih lagi kami merayu-rayu hingga ibunya pun membenarkannya pulang bersama kami. Demikianlah halnya Rasulullah kembali tinggal kepangkuan Bani Sa'ad, hinggalah apabila Baginda meningkat empat atau lima tahun, di mana berlakunya peristiwa pembedahan dada Baginda, Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadith dari Anas (r.a) bahawa Rasulullah telah didatangi Jibril (a.s), di ketika Baginda sedang bermain-main dengan anak-anak lain, Jibril memegang Baginda dan merebahkannya lalu dibelah dadanya dan dibawa keluar hati dan dikeluarkan segumpal darah dari dalamnya, dengan berkata: Inilah bahagian tempat syaitan bersarang, setelah itu dicucikan hati Baginda di dalam sebuah talam emas dengan air Zam-zam setelah itu disembuhkan semula badannya dan dibawa semula Rasulullah ke tempat anak-anak tadi, manakala anak-anak lain berlarian pergi menemui ibunya Halimah menceritakan, dengankata mereka, "Muhammad telah dibunuh". Apabila mereka menemuinya semula didapati Baginda kepucatan.
Tunggu sambungan Seerah Rasulullah pada siri akan datang!!! Tunggu!!!!!!!!!!!!!!!!!

Wednesday, March 11, 2009

Jagalah 7 Sunnah Rasulullah

Kita baru sahaja menyambut Hari Maulidur Rasul, mendengar ceramah dan kisah Rasulullah s.a.w. Tetapi adakah kita benar-benar menyayangi baginda? Adakah kita amalkan nasihat baginda? Adakah kita menjauhi perkara-perkara yang baginda larang? Ramai diantara kita hanya manis dimulut sahaja, tetapi tidak dihati. Hanya Allah jua yang mengetahuinya.
Setidak-tidaknya kita jangan mempermainkan sunnah baginda. Jagalah tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi s.a.w itu adalah:
  1. Tahajjud - kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
  2. Membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari - Alangkah baiknya sebelum
    mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
  3. Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan rumah Allah.
  4. Jaga solat dhuha - kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
  5. Jaga sedekah setiap hari - Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
  6. Jaga wudhu terus menerus - Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata Khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu sentiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
  7. Amalkan istighfar setiap saat - Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan
ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya.
Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.
Wallahuwaklam.

Tuesday, March 10, 2009

Monday, March 9, 2009

Majlis Maulidur Rasul


Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah. Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah s.a.w telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;
  1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah s.a.w. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa Nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang.
  2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi s.a.w diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi s.a.w berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulalah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  3. Wafatnya junjungan besar kita, Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah r.a dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

Pada hari ini 9hb Mac 2009 bersamaan 12 Rabiulawal 1430H, bertempat di Perkarangan Masjid Bukit Indah, telah berlangsung perarakan Maulidurrasul dengan meriah sekali. Seawal 7:30 pagi, program ini disertai oleh qariah Surau Insaniah, Surau Al-Huda, Surau Ulul Azmi, Surau Tiara, murid-murid dan guru Sek Men Bukit Indah, Sek Ren Bukit Indah, Sek Seri Ilmi dan sudah semestinya Surau At-Tarbiyyah.


Taklimat ringkas disampaikan oleh Pegawai-pegawai Masjid Bukit Indah. Perbarisan dimulakan tepat jam 8:15 pagi. Lihatlah betapa segaknya Pasukan Surau At-Tarbiyyah berarak sambil berselawat.

Dipertengahan perarakan, hujan rahmat telah turun membasahi semua peserta, namun mereka tetap bersemangat tanpa berganjak. Jauhnya perarakan adalah dalam lingkungan 2.2 Km. Hujan bertambah lebat apabila jemaah Surau At-Tarbiyyah menghampiri pintu utama Masjid Bukit Indah. Basah kuyup masing-masing, tetapi tetap berselawat.

Lebih kurang jam 9:00 pagi, semua peserta telah memenuhi ruang dalam Masjid Bukit Indah untuk acara berzanji dan berselawat bagi Majlis Bercukur Rambut bayi anak qariah masjid. Pegawai Masjid telah mengambil kesempatan mengumumkan Juara Pearakan tahun ini adalah Surau Insaniah, tempat kedua Sek Seri Ilmi dan tempat ketiga Persatuan Silat, Sek men Bukit Indah.

Tepat jam 10:00 pagi seperti yang dijanjikan, Y Bhg Dato' Ismail Kamus tiba bagi menyampaikan ceramah yang bertajuk "Ketaatan Kepada Rasulullah s.a.w.". Dengan gaya yang tersendiri, Dato' Ismail Kamus berjaya memukau para jemaah dengan ceramahnya sambil menyelitkan unsur-unsur jenaka.

Di antara gambar-gambar yang sempat difokus :