Pada bulan Muharram disunatkan memperbanyakkan amal soleh secara umumnya, manakala secara khususnya amalan yang digalakkan padanya ialah sebulan berpuasa, berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
PUASA SUNAT MUTLAK YANG PALING AFDHAL IALAH PADA BULAN MUHARRAM
“Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram” (Hadis Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis di atas, menunjukkan bahawa puasa sunat yang paling afdhal ialah puasa sunat yang dilakukan pada bulan Muharram. Menurut para ulama’, maksud hadis di atas ialah puasa sunat selama sebulan paling afdhal dilakukan pada bulan Muharram. Adapun puasa sunat tidak sepenuhnya, maka puasa sunat pada Zulhijjah adalah paling afdhal.
SUNAT BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM (TASU’AAA’).
Di antara puasa sunat yang digalakkan ialah berpuasa sunat pada hari yang kesembilan Muharram atau dikenali sebagai hari Tasu’aaa’. Perkara ini berdasarkan hadis berikut; “ Abu Ghathofan berkata, aku pernah mendengar Ibnu Abbas berkata: ketika mana Nabi s.a.w berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda s.a.w telah menyuruh para sahabat berpuasa pada hari tersebut.
Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah s.a.w, hari Asyura’ itu hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Nabi s.a.w bersabda; (kalau begitu), apabila tiba tahun hadapan,- insyaallah- kita juga akan berpuasa pada hari kesembilan. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
HIKMAT DISUNATKAN BERPUASA PADA HARI KESEMBILAN MUHARRAM
Menurut para ulama’, hikmat sunat berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram ialah untuk membezakan diri dari kelakuan golongan Yahudi. Golongan Yahudi hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja. Oleh itu, disunatkan berpuasa pada hari yang kesembilan dan kesepuluh sebagai tanda perbezaan antara kaum Muslimin dengan golongan Yahudi.
PUASA SUNAT PADA HARI KESEPULUH MUHARRAM
PUASA SUNAT PADA HARI KESEPULUH MUHARRAM
Berpuasa sunat pada hari Asyura’ adalah sunat hukumnya. Nabi s.a.w berpuasa pada hari tersebut dan memberitahu bahawa berpuasa sunat pada hari tersebut mendapat ganjaran yang besar. “ Dari Ibnu Abbas katanya; aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w bersungguh-sungguh berpuasa sunat selain dari Hari Asyura’ dan pada bulan ini iaitu bulan Ramadhan”( Hadis Riwayat Bukhari)
KELEBIHAN BERPUASA PADA HARI ASYURA
Berpuasa sunat pada Hari Asyura mempunyai kelebihan yang besar. Nabi s.a.w telah menjelaskan kelebihan berpuasa pada hari tersebut dengan sabda Baginda s.a.w; “ Berpuasa sunat pada Hari Arafah aku mengharapkan Allah menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. Berpuasa Asyura pula, aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dengannya dosa setahun sebelumnya. (Hadis Riwayat Imam Muslim). Hadis berikut menerangkan bahawa berpuasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya.
DOSA YANG DIHAPUSKAN OLEH PUASA SUNAT PADA HARI ASYURA
Menurut para ulama’, dosa yang dapat dihapuskan oleh puasa sunat pada hari Asyura ialah dosa kecil sahaja. Menurut Imam Nawawi, jika sekiranya seseorang itu berpuasa sunat Asyura maka besar harapan agar dosa besar itu diringankan oleh Allah.
PERHATIAN!!!Terdapat orang tersilap faham atau terkena bisikan iblis tanpa ia sedari. Lantaran itu, ia tertipu dengan amalan sendiri. Di antara golongan tersebut ialah mereka beranggapan bahawa kelebihan yang disediakan oleh Allah itu menunjukkan kita tidak perlu bersungguh-sungguh beribadat.
Pada perkiraan mereka, puasa sunat pada Hari Asyura dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. Kemudiaan apabila seseorang itu berpuasa pada Hari Arafah maka dia mendapat anugerah dihapuskan dosanya untuk dua tahun. Oleh itu, sudah pasti amal soleh telah melebihi dosa yang dikerjakan. Menurut Ibnu al-Qayyim, akibat kefahaman yang menyeleweng ini, maka mereka melakukan maksiat tanpa merasa takut kepada Allah.
Golongan tersebut sebenarnya dirasuk oleh bisikan syaitan. Mereka tidak menjadikan Nabi s.a.w sebagai ikutan mereka. Mereka sebenarnya jauh dari rahmat Allah.
HUKUM BERPUASA SUNAT HARI ASYURA BAGI MEREKA YANG BELUM MENQADHA’ PUASA WAJIB
Menurut Mazhab syafi’e, makruh bagi orang yang belum menqadha’ puasa wajib mengerjakan puasa Sunat Asyura. Sepatutnya ia menyegerakan dan mengutamakan puasa wajib dari puasa sunat.Akan tetapi, jika seseorang itu berniat qadha’ puasa wajib dan berpuasa sunat pada Hari Asyura (berpuasa dengan dua niat puasa), maka hukumnya tidaklah makruh. Bahkan, dikurniakan kepadanya kelebihan berpuasa Sunat Asyura, Insyaallah.
HUKUM BERPUASA PADA HARI KESEPULUH SAHAJA
Tidak menjadi kesalahan atau makruh berpuasa pada hari kesepuluh sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari kesembilan.
HUKUM BERPUASA HARI ASYURA YANG JATUH PADA HARI JUMAAT ATAU SABTU
Berpuasa pada hari Jumaat sahaja tanpa digabungkan dengan puasa pada hari Khamis atau Sabtu adalah makruh hukumnya. Begitu juga makruh berpuasa pada hari Sabtu sahaja tanpa diikuti dengan puasa pada hari Jumaat atau Ahad. Hukum makruh itu bersyarat berpuasa tanpa sebarang sebab. Adapun sekiranya berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja dengan sebab qadha’ atau hari tersebut kebetulan giliran hari puasanya atau disebabkan hari tersebut jatuh pada hari-hari yang dimuliakan, maka hukum berpuasa pada Hari Jumaat sahaja atau Hari Sabtu sahaja tidaklah makruh.
PERISTIWA-PERISTIWA PENTING PADA HARI ASYURA
Pada Hari Asyura, berlaku beberapa peristiwa penting. Di antaranya ialah Nabi Musa a.s terselamat dari buruan Firaun, Nabi Nuh a.s terselamat dari banjir besar dan penerimaan taubat Nabi Adam a.s sebagaimana yang datang pada hadis yang lemah. Peristiwa-peristiwa di atas telah dinyatakan dalam hadis-hadis berikut;“ Dari Abu Hurairah r.a katanya; Nabi s.a.w melalui sekumpulan manusia dari golongan Yahudi yang sedang berpuasa pada Hari Asyura’.
Nabi s.a.w bersabda: "Kenapa berpuasa pada hari ini?". "Mereka menjawab inilah hari yang Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel dari tenggelam dan pada hari ini juga Firaun tenggelam. Pada hari ini juga Kapal Nabi Nuh berlabuh di atas bukit al-Juudi, lalu Nabi Nuh dan Nabi Musa berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesyukuran kepada Allah (setelah mendengar penjelasan tersebut)", Nabi s.a.w bersabda; "Aku lebih layak untuk memeperingati perjuangan Nabi Musa dan lebih patut berpuasa pada hari ini. Kemudian Baginda s.a.w pun mengarahkan sahabatnya berpuasa pada hari tersebut”(Hadis Riwayat Imam Ahmad)
ASAL USUL PUASA HARI ASYURA
Berpuasa pada Hari Asyura telah diamalkan sejak zaman Jahiliyyah lagi. Saidatina ‘Aisyah r.a menjelaskan bahawa orang Jahiliyyah sejak turun temurun berpuasa pada Hari Asyura. Imam al-Qurthubi berpendapat bahawa orang Quraisy berpuasa pada hari ‘Asyura kerana mengikut agama Nabi Ibrahim a.s.
Menurut beberapa riwayat yang shahih, Nabi s.a.w telah berpuasa pada Asyura sebelum berhijrah ke Madinah. Bahkan menurut hadis yang shahih juga, berpuasa hari Asyura adalah wajib hukumnya, kemudian apabila diwajibkan berpuasa Ramadhan, maka berpuasa pada hari Asyura hukumnya menjadi sunat.
Kesimpulan dari perbincangan di atas, puasa sunat yang paling afdhal pada bulan Muharram ialah berpuasa sunat pada kebanyakan harinya termasuk hari Asyura dan hari Tasua’aa’. Kemudian berpuasa pada hari Asyura dan hari Tasu’aaa’ sahaja. Kemudian berpuasa pada hari Asyura sahaja atau hari Tasu’aaa’ sahaja.
BULAN MUHARRAM BULAN TAUBAT
Terdapat dalam hadis yang terlalu lemah yang menyatakan bahawa Allah menerima taubat Nabi Adam pada bulan Muharram. Oleh itu, sewajarnya kaum Muslimin memperbanyakkan taubat pada bulan tersebut.Sebagai penyempurnaan kepada amalan bertaubat, di sini kami catat gesaan dan tunjuk ajar Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada rakyatnya apabila hendak bertaubat. Khalifah Umar Abdul Aziz telah mengeluarkan surat pekeliling kepada seluruh dunia Islam mengajar menyuruh bertaubat dan menyebut beberapa kalimah taubat.
Isi pekeliling yang diedar itu adalah seperti berikut; Katalah kamu sebagaimana kata Nabi Adam a.s; “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami menzalimi diri kami sendiri. Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni kami dan merahmati kami nescaya kami akan menjadi orang-orang yang rugi” Ucaplah sebagaimana ucapan Nabi Nuh a.s; “ Jika sekiranya Engkau tidak mengampuni daku, dan merahmati daku, nescaya aku termasuk di dalam golongan yang rugi” Sebutlah apa yang disebut oleh Nabi Musa a.s; “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah daku” Ucaplah ucapan Nabi Yunus a.s; “Tiada Tuhan melainkan Engkau, sesungguhnya adalah aku termasuk dalam golongan orang yang zalim”
BEBERAPA PERKARA PENTING BERKAITAN KEDATANGAN BULAN MUHARRAM
- HUKUM MENYEDIAKAN MAKANAN PADA HARI ASYURA SECARA MEWAH -Para ulama’ Islam telah berselisih pendapat hadis yang menyebut;”Barangsiapa yang memberi kelapangan kepada keluarganya (berbelanja lebih) pada Hari Asyura nescaya Allah akan member kelapangan kepadanya selama setahun”Hadis di atas telah didebatkan oleh para ulama’ dan kedudukannya. Sebahagian ulama’ menghukum hadis di atas sebagai hadis palsu. Sebahagian yang lain pula berpendapat hadis di atas adalah terlalu lemah dan tidak boleh diamalkan. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa hadis ini boleh diamalkan. Kekhilafan di atas sebenarnya patut diberi perhatian oleh masyarakat Islam di Malaysia secara khusus. Ini disebabkan pada hari Asyura, acara memasak sure akan dilakukan. Kalau kita membuat penilaian kepada amalan masyarakat Melayu kita, kita akan dapati mereka melakukan perkara berikut pada hari Asyura:• Memasak suree• Sebahagian berpuasa, sebahagian tidak berpuasa. Berkenaan memasak suree, perlu diberi perhatian dari segi kaitan suree dengan hari Asyura. Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah; apakah kaitan antara makanan sure dengan hari tersebut? Apakah anggapan masyarakat terhadap penyediaan makanan suree pada hari tersebut?Ringkasnya, pegangan masyarakat itu adalah penentu hukum kepada amalan tersebut.Berkenaan tidak berpuasa sunat pada hari Asyura tetapi bersungguh-sungguh menyediakan suree juga patut diberi perhatian. Apa yang dilakukan oleh Nabi s.a.w adalah berpuasa sunat pada hari tersebut. Adapun penyediaan makanan secara mewah adalah perselisihan dalam kalangan ulama’. Oleh itu, alangkah eloknya kalau pada hari kesembilan dan hari kesepuluh itu, masjid atau surau menganjur ifthor jamai’i sebagai mengikut Sunnah Nabi s.a.w berpuasa sunat pada hari tersebut
- MENGUCAP TAHNIAH SEMPENA KEDATANGAN TAHUN BARU -Menurut al-Qomuli, kami tidak pernah menemui ulasan para ulama’ berkenaan ucapan tahniah sempena kedatangan tahun baru atau bulan baru. Akan tetapi, melihat catatan Syeikh Zakiyuddin Abdul ‘Azim yang menyebut bahawa al-Hafiz Abul Hasan al-Maqdisi ditanya berkenaan perbuatan mengucap tahniah sempena kedatangan tahun baru dan bulan baru. Beliau berpendapat hukumnya adalah harus bukannya sunat atau bid’ah yang keji
- DOA TAHUN BARU- Bulan Muharram adalah bulan yang pertama mengikut bulan Hijrah. Oleh itu, kedatangan bulan Muharram menandakan tibanya tahun baru. Sesetengah tempat diedar doa tahun baru. Berkenaan doa tahun baru, sebenarnya tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w dan para sahabat sebagaimana mereka tidak pernah menyambut hari lahir mereka.
Penghulu istighfar: Nabi s.a.w bersabda; “ Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu siang dengan penuh keyakinan lalu ia mati sebelum tiba waktu petang, maka dia adalah ahli syurga. Barangsiapa yang mengucapnya pada waktu petang dengan penuh keyakinan, maka ia mati sebelum tiba waktu pagi, maka dia adalah ahli syurga. “
Sumbangan:
Tn Hj Radzuan
Imam At-Tarbiyyah
Nota: Tulisan asal as-Syeikh Ahmad Tirmizi bin Thaha yang disusun semula oleh Biro Akademik Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu (KPT) sesi 08/09.
Semua Warga At-Tarbiyyah: Moderator mohon maaf atas kelewatan menyiarkan tazkirah ini.
No comments:
Post a Comment