---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Wednesday, July 30, 2025

Zikir Jika Bermimpi Buruk


عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: إِذَا رَءَا أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلاَثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلاَثًا وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ

Daripada Jabir bin Abdullah, dari Rasulullah SAW sesungguhnya baginda bersabda: Jika salah seorang dari kalian bermimpi buruk yang ia tidak sukai maka hendaklah ia meludah kecil ke arah kirinya sebanyak tiga kali, memohon perlindungan kepada Allah dari gangguan syaitan sebanyak tiga kali dan mengubah posisi tidur sebelumnya. (HR Muslim No: 2262) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mimpi buruk datang daripada Syaitan untuk menimbulkan ketakutan, keresahan, kesedihan, atau gangguan emosi kepada orang yang bermimpi.

2.  Jika kita bermimpi sesuatu yang buruk atau sesuatu yang tidak disukai, Rasulullah SAW mengajar kita agar:

a.  Meludah ke kiri sebanyak tiga kali.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim menjelaskan – meludah ke kiri sebagai meludah sedikit dengan nafas, tanpa mengeluarkan air ludah.

b.  Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada Syaitan sebanyak tiga kali, antaranya dengan membaca ta'awudz:         أعوذ بالله من الشيطان الرجيم 

c.  Mengubah posisi tidur

3.  Islam menolak amalan menafsir mimpi buruk. Kita dinasihatkan agar tidak menceritakan mimpi buruk kepada orang lain, kerana ia tidak membawa manfaat malah boleh menambah keresahan.

4.  Setiap kita disarankan agar memperkuatkan kebergantungan kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan termasuk ketika tidur dengan memperbanyak zikir dan doa sebelum tidur.

Monday, July 21, 2025

Hijrah Untuk Kesejahteraan



عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari (gangguan) lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir (penghijrah) adalah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa  selamat dari gangguan lidah seperti umpatan, fitnah, menyebarkan berita palsu, adu domba dan gangguan perbuatan atau tangannya seperti memukul, mencuri, melanggar dan sebagainya).

2.  Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3.  Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain.  Muhajir atau seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4.  Hijrah dengan meninggalkan segala bentuk larangan Allah, meninggalkan sifat mazmumah seperti hasad, takabur, riak adalah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5.  Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan.  Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

6.  Hadis ini mengajar kita bahawa seorang Muslim yang sebenar ialah yang menjaga akhlak terhadap sesama manusia dan berusaha menjauhi segala bentuk dosa. Ia menekankan pentingnya menjadi insan yang membawa keamanan dan kebaikan dalam masyarakat serta berhijrah sikap dan amal dengan meninggalkan larangan Allah.

7.  Marilah kita melakukan pengorbanan untuk perubahan yang lebih cemerlang. Ayuhlah berhijrah dari maksiat kepada ketaatan, dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah.

Sunday, July 6, 2025

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Rasulullah SAW  tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam), mereka berkata; "Lebih tepatnya pada hari Musa mengalahkan Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah." (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10 muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

2.  Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

3.  Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah sebagai tanda bersyukur.

4. Puasa ‘Asyura’ bukan sekadar ibadah, tetapi juga penghayatan kepada perjuangan nabi terdahulu dan tanda syukur kepada Allah SWT.

Moga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang cinta dan kasih kepada para RasulNya. SELAMAT BERPUASA sunat di bulan Muharam

Saturday, June 14, 2025

Hari Raya Idil-Adha disambut sederhana

 Tanggal 7hb Jun 2025, Hari Raya Idi-Adha disambut sederhana dengan disusuli ibadah korban sebanyak 4 ekor lembu. Para jemaah memenuhi ruang solat muslimin dan muslimat, bersama-sama mengerjakan Solat Sunat Idil-Adha dan diakhiri dengan khutbah Hari Raya bertajuk Korban atau Terkorban yang disediakan oleh JAIS.

 Antara gambar-gambar yang sempat dirakam:

 











Thursday, May 29, 2025

Mensyukuri Nikmat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ صلى الله عليه وسلم انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اَللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW  bersabda: “Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu, kerana yang demikian itu lebih patut, agar kamu tidak memandang remeh nikmat yang telah Allah berikan kepada kamu.” (HR Muslim No: 2963) Status: Hadis Sahih.


Pengajaran:

1.  Setiap kita wajib bersyukur di atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

2.  Satu cara untuk kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang Allah kurniakan adalah dengan sentiasa melihat orang yang lebih rendah daripada kita dalam perkara yang berkaitan dengan nikmat dunia seperti tubuh badan yang menarik dan sihat, pemilikan harta, pangkat dan kedudukan.

3.  Bersyukurlah diatas segala nikmat yang dikurniakan kepada kita. Semoga dengan memiliki sifat bersyukur akan menjauhkan kita dari penyakit tamak,  hasad, dengki dan panjang angan-angan.

4.  Manusia jika melihat kepada orang yang lebih tinggi levelnya dari sisi dunia, maka jiwanya akan menuntut yang serupa dan mulai mengerdilkan kenikmatan yang Allah berikan kepadanya, kemudian bertekad untuk menambah hartanya agar dia dapat mengejar kekayaan orang tersebut atau minima menyamainya. Namun jika dia melihat kepada orang yang lebih rendah darajatnya dalam hal dunia dan harta, akan terpampang di hadapannya kenikmatan Allah yang besar kepadanya, maka dia akan bersyukur atas kenikmatan itu, bersikap rendah hati, serta akan melakukan amalan-amalan kebaikan.

5.  Dalam hal kehidupan dunia, berusahalah sebaik mungkin untuknya namun jangan sering  memandang orang yang berada di atas kita. Bersyukurlah dengan apa yang telah kita miliki kini. Tidak perlu irihati dengan apa yang dimiliki oleh orang lain. Lihatlah orang yang berada di bawah kita. Masih ramai orang yang tidak seberuntung kita. Kerana hal ini akan menjauhkan kita dari bersyukur. Allah SWT telah berfirman

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ  وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih”. (Surah Ibrahim ayat : 7)

Tuesday, May 13, 2025

Keutamaan Sifat Tenang Ketika Beribadah

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّهُ دَفَعَ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَرَفَةَ فَسَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَرَاءَهُ زَجْرًا شَدِيدًا وَضَرْبًا وَصَوْتًا لِلْإِبِلِ فَأَشَارَ بِسَوْطِهِ إِلَيْهِمْ وَقَالَ أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ بِالسَّكِينَةِ فَإِنَّ الْبِرَّ لَيْسَ بِالْإِيضَاعِ

Daripada Ibnu 'Abbas RA, bahawasanya beliau telah bertolak bersama-sama Nabi SAW pada hari 'Arafah. Kemudian Nabi SAW mendengar dari arah belakang Baginda SAW suara yang keras dan bentakan serta pukulan terhadap unta. Maka Baginda SAW memberi isyarat kepada mereka dengan cemeti agar bertenang. Baginda SAW bersabda: "Wahai manusia, hendaklah kamu bertenang, kerana sesungguhnya kebaikan bukan (diperoleh) dengan tergesa-gesa." (HR Bukhari No: 1671) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang membawa rahmat, bukan sahaja kepada sesama manusia bahkan kepada semua makhluk termasuk binatang.

2.  Bersifat rahmah dengan berlemah lembut dengan binatang tunggangan adalah suatu yang dituntut.

3.  Peristiwa dalam hadis ini berlaku ketika para jemaah haji sedang meninggalkan Arafah menuju Muzdalifah, selepas wukuf yang menjadi salah satu rukun dalam ibadah haji. Sebahagian mereka menggesa unta-unta mereka secara kasar dan tergesa-gesa, mungkin kerana ingin segera sampai atau kerana kesesakan.

4.  Ibadah perlu dilakukan dengan ketenangan dan tertib, bukan dalam keadaan tergesa-gesa. Imam Nawawi menjelaskan bahawa hadis ini adalah dalil bahawa ketenangan dan adab ketika ibadah sangat dituntut, terutama semasa menunaikan ibadah haji yang suci.

5.  Antara rahmat yang diberikan Allah SWT kepada hamba-Nya adalah dapat melakukan ibadah dengan taufik dan hidayah-Nya. Setiap ibadah yang dilakukan seperti solat, haji dan sebagainya hendaklah dilakukan dengan penuh ketenangan. Hanya ibadah yang dilaksanakan dengan penuh ketenangan akan melahirkan kebesaran dan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam hatinya.

6.  Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan bahawa teguran Nabi itu bertujuan meluruskan kefahaman para sahabat, bahawa kebaikan (al-birr) bukanlah diukur melalui kepantasan, tetapi melalui adab dan ketenangan dalam amal ibadah.

7.  Menolak sikap tergesa-gesa (ta‘ajul) – Islam menekankan ketenangan dalam segala hal, terutama dalam ibadah. Tergesa-gesa boleh membawa kepada kesilapan dan hilangnya roh ibadah.

8. Setiap Muslim hendaklah sentiasa bersifat tenang kerana sifat tergesa-gesa akan menyebabkan seseorang itu melakukan kesilapan dan ketidaksempurnaan dalam melakukan amal ibadah yang akhirnya menyebabkan amalan tersebut ditolak oleh Allah SWT.

9. Buat para Jemaah Haji yang diberi peluang mengerjakan ibadah haji dan menjadi tetamu duyufurrahman pada tahun ini, semoga sentiasa tenang beribadat di sana serta didoakan kebaikan dan mendapat haji yang mabrur.

زَوَّدَكَ اللَّهُ التَّقْوَى وَغَفَرَ ذَنْبَكَ وَيَسَّرَ لَكَ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتَ

“Semoga Allah SWT membekalkanmu dengan ketaqwaan, mengampunkan dosamu dan Allah memudahkan kebaikan untukmu di mana sahaja kamu berada.”

اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا

“Semoga Allah menganugerahkan haji yang mabrur, usaha yang disyukuri dan dosa yang diampuni.”

Friday, May 9, 2025

Umrah Menghapuskan Dosa Haji Mabrur Balasannya Syurga



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلَّا الْجَنَّة

Daripada Abi Hurairah RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Antara satu umrah ke satu umrah menghapuskan dosa antara keduanya dan haji yang mabrur tidak ada baginya ganjaran melainkan syurga” (HR Bukhari No: 1773) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Ibadat umrah yang dilakukan secara berulang menjadi penghapus dosa antara keduanya. Iaitu sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah secara berulang kali, ia menjadi penghapus dosa-dosa kecil sepanjang tempoh jarak antara ibadah umrah tersebut.


2.  Menurut Imam al-Nawawi dan para ulama lain, hadis ini menunjukkan bahawa ibadah umrah berperanan menyucikan jiwa dan menghapuskan kesalahan lalu, seperti mana solat dan puasa juga menjadi kafarah dosa.


3.  Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa hadis ini menjadi dalil keutamaan melakukan umrah secara berulang-ulang jika mampu, kerana ia menjadi sebab diampunkan dosa.

4.  Mereka yang diterima ibadah hajinya (haji mabrur) di sisi Allah, tidak ada sebaik-baik ganjaran yang akan diperolehi di sisi Allah melainkan syurga untuknya.

5.  Menurut Imam al-Nawawi, haji mabrur adalah haji yang tidak dicemari dengan maksiat, dilakukan dengan niat yang ikhlas, memenuhi syarat dan rukun dengan sempurna.

6.  Setiap muslim mestilah berazam bersungguh-sungguh untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut agar mendapat haji yang mabrur. Firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali-Imran: 97)

7.  Menurut Syeikh al-Maraghi dalam menafsirkan ayat di atas, ia menerangkan bahawa ibadah haji ini diwajibkan kepada setiap orang muslim mukallaf yang berkemampuan. Perlaksanaan ibadah haji dan umrah mampu menjadi mercu tanda dan bukti pengabdian setiap hamba kepada Penciptanya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 2/853)

Laksanakanlah ibadat haji dan umrah dengan memelihara rukun dan sunat serta meninggalkan larangan dengan sempurna.  Rebut peluang menjadikan ibadat haji dan umrah sebagai pembersih dosa-dosa dan mendapat keampunan serta ganjaran syurga.

Monday, April 21, 2025

Sambutan Hariraya Idilfitri SAT disambut sederhana

 Sambutan Hari Raya Idilfitri SAT disambut sederhana pada 17hb April 2025 yang lalu. Nasi minyak disediakan bersama kuih muih, ada jemaah yang sudi membawa juadah secara potluck, masing-masing ada selera tersendiri.

Diantara aksi-aksi yang disempat dirakamkan pada majlis tersebut:


















 


 

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya (aibnya). Sesungguhnya sesiapa yang mencari-cari keaiban orang lain, maka Allah akan mencari-cari keaibannya. Maka siapa saja yang Allah dedahkan keaibannya, maka Allah akan memalukannya walaupun yang ada di dalam rumahnya sendiri." (Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

2.  Islam mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain kerana ia merupakan dosa besar.

3.  Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: "Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah)

4.  Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19)

Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat. Mengumpat dan membongkar aib orang lain bukanlah sifat seorang Muslim sejati. Sebaliknya, seorang mukmin yang benar-benar beriman akan menjaga lidah, menutup aib orang, dan menjaga kehormatan sesama Muslim. Allah menjanjikan bahawa siapa yang membuka aib orang, maka aibnya juga akan dibuka – walau dia sembunyikan sebaik mungkin

Friday, April 18, 2025

Berakhlak Dalam Pertuturan


عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (kematian ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu kematian dan laknat!. Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu mencintai kelembutan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(HR Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.  Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kelembutan dalam semua perkara termasuk semasa kita dihina atau marah. Kelembutan dalam pertuturan membantu meredakan ketegangan dan menjaga hubungan.

3.  Walaupun orang lain mungkin bersikap kasar atau menghina kita, Islam mengajarkan kita untuk tidak membalas keburukan dengan keburukan. Sebaliknya, kita hendaklah menunjukkan akhlak yang baik dan bersabar. Hal ini adalah cara yang lebih mulia dan akan menerima ganjaran di sisi Allah.

4.  Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا


Maksudnya: “Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.  Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. Malangnya rata-rata di media sosial hari ini komen berbentuk celaan, makian, umpatan serta fitnah telah menjadi makanan harian.

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

Thursday, April 17, 2025

Derhaka kepada ibubapa

Anak yang derhaka kepada ibu bapa tidak akan dipandang oleh Allah SWT dan pahala amalannya menjadi sia² di sisi-Nya. Rasulullah ﷺ bersabda:

ثَلَاثَةٌ لَا يَقْبَلُ اللهُ مِنْهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَرْفًا وَلَا عَدْلًا: عَاقٌّ، وَمَنَّانٌ، وَمُكَذِّبٌ بِالْقَدَرِ

"Tiga golongan yang Allah tidak akan menerima dari mereka amalan wajib dan sunat mereka pada hari Kiamat kelak; derhaka kepada orang tuanya, mengungkit² sedekah pemberiannya dan mendustakan takdir."
(Riwayat Ibn Abi Ashim)

Antara bentuk sifat derhaka adalah menimbulkan sesuatu yang tidak disukai oleh kedua ibu bapanya, baik dengan perkataan (ucapan) atau pun perbuatan yang membuat orang tua itu sedih atau sakit hati.

MUTIARA KATA
°<><><><><><>°
Ya Allah, aku tidak punya apa²pun yang boleh ku tunjukkan, namun aku berharap Engkau menyukai salah satu kebaikanku walau kebanyakan yang aku miliki adalah "dosa".

Saturday, April 5, 2025

Ucapan Salam Dan Bersalaman Menggugurkan Dosa

 عن حذيفة بن اليمان ، عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِنَّ المُؤْمِنَ إِذَا لَقِيَ الْمُؤْمِنَ فَسَلَّمَ عَلَيهِ وَأَخَذَ بِيَدِهِ فَصَافَحَهُ تَنَاثَرَتْ خَطَايَاهُمَا كَمَا يَتَنَاثَرُ وَرَقُ الشَّجَرِ

Daripada Huzaifah al-Yaman RA daripada Nabi SAW baginda bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin apabila bertemu dengan mukmin lainnya lalu mengucapkan salam kepadanya dan mengambil tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosa mereka seperti gugurnya daun-daun dari pepohon”  (Mu’jam Awsat li Tabarani No: 247) Maktabah Maarif.  Status: Al-Munziri kata tiada perawi dalam jalur sanad ini yang dikritik.

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab yang perlu dilaksanakan apabila bertemu sesama Muslim ialah mengucapkan salam.

2.  Ucapan salam juga tanda kecintaan kepada sesama Muslim. Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ


“Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlan (ucapkanlah) salam diantara kalian.” (Sahih Muslim No: 54) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.  Berjabat tangan dalam Islam bukan sekadar kebiasaan sosial, tetapi mengandungi nilai Rohani yang besar, ia adalah ibadah yang disyariatkan ketika bertemu dan berpisah juga merupakan salah satu cara untuk membersihkan dosa.

4.  Berjabat tangan juga menjadi sunnah para sahabat, sebagaimana digambarkan dalam riwayat berikut:

عَنْ قَتَادَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ قُلْتُ لِأَنَسٍ أَكَانَتْ الْمُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ نَعَمْ


Daripada Qatadah ra, aku berkata kepada Anas bin Malik, “Apakah berjabat tangan selalu dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah SAW?” Anas menjawab, “Ya”. (Sahih Bukhari No: 5908) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

5.  Ibn Hajar mengatakan, “berjabat tangan adalah melekatkan telapak tangan pada telapak tangan yang lain.” (Fathul Bari, 11/54). Menurut Imam An Nawawi dalam al-Adzkar - ditahan beberapa saat, selama tempoh waktu yang cukup untuk menyampaikan salam.”

6.  Muslim yang berjabat tangan apabila bertemu akan menggugurkan dosa-dosanya seperti dedaun

Ambillah kesempatan Syawal untuk saling kunjung-mengunjung, ambil kesempatan mengucapkan salam dan bersalaman sesama jantina yang dibenarkan syarak

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Daripada Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata,  Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam” (Muwatta No: 1685)  Dar Ihya Ulum Arabiyyah. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Berjabat tangan akan melahirkan perasaan kasih sayang, “mengeratkan” ukhuwah Islamiyah diantara sesama muslim

2.  Berjabat tangan akan menghilangkan permusuhan dan kedengkian di dalam hati, menghilangkan rasa “al-ghil” (dengki atau hasad - perasaan tidak suka). Berjabat tangan menghilangkan perasaan benci dan mencipta suasana penuh kasih sayang dan saling menghormati.

3.  Berusaha untuk memulai berjabat tangan terlebih dahulu ketika  bertemu. Rasulullah SAW merupakan orang yang terlebih dahulu memulai berjabat tangan apabila bertemu sahabat.

4.  Bersalaman merupakan bentuk penghormatan, kita dianjurkan untuk membalas penghormatan dengan cara yang lebih baik daripada penghormatan yang dilakukan oleh saudara kita. Apabila saudara kita mengucapkan salam, maka hendaknya kita balas dengan salam serupa atau yang lebih baik (lebih sempurna) daripada salamnya, dan jika ia menjabat tangan, maka hendaklah kita membalasnya dengan jabatan tangan yang lebih erat dan lebih mesra kepadanya. Dalam sebuah riwayat disebutkan :

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ تَمَامِ التَّحِيَّةِ الْأَخْذُ بِالْيَدِ


Daripada Abdullah bin Masud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Diantara bentuk penghormatan yang paling sempurna adalah berjabat tangan. (Sunan Tirmizi No: 2730) Dar Kutub Ilmiyyah.

5.  Saling memberi hadiah akan melahirkan perasaan kasih dan sayang sesama kita. Memberi duit raya kepada kanak-kanak akan melahirkan rasa kegembiraan dan kasih sayang.

6.  Saling memberi hadiah menghilangkan perasaan dendam dan marah. Alangkah elok bagi yang muda menziarahi orang tua di musim perayaan dengan memberi hadiah kepada mereka sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kuih muih.

Dengan melaksanakan sunnah berjabat tangan serta memberi hadiah, akan mampu menanam rasa kasih sayang, dapat mengelakkan perasaan dengki dan permusuhan, serta mewujudkan masyarakat yang penuh dengan ukhuwah dan keharmonian

Saturday, March 29, 2025

Majlis Khatam Quran SAT 1446H

 Tanggal 27hb Mac 2025 bersamaan 26 Ramadhan 1446H, Majlis Khatam Quran telah pun diadakan di Surau At-Tarbiyyah selepas solat Taraweh. Terdapat 50 muslimin dan 52 muslimat terlibat dalam Tadarus pada tahun ini. Cenderahati disampaikan oleh Dato' Seri Mohamad Nazir Meraslam. Antara gambar-gambar yang dirakamkan







 










Friday, March 28, 2025

Rugilah Jika Ramadan Berlalu Dosa Tidak Diampunkan

 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Rugi (celaka) orang yang disebutkan namaku (nama Rasulullah SAW) di hadapannya, tetapi ia tidak mahu berselawat kepadaku. Rugi (celaka) orang yang masuk Ramadan, kemudian Ramadan itu berlalu sebelum dosa-dosanya diampuni. Rugi (celaka) seorang yang mendapatkan kedua orang tuanya di waktu tua (lanjut usia), tetapi keduanya tidak dapat menyebabkannya masuk Syurga.” (Sunan Tirmizi No: 3545) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Satu daripada adab kita terhadap Rasulullah SAW ialah apabila nama baginda disebut, kita hendaklah menyahutnya dengan berselawat ke atas junjungan baginda SAW. Antaranya dengan lafaz

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Rugi mereka yang tidak menyahut dan berselawat ke atas Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

“Orang bakhil ialah mereka yang apabila disebut nama-Ku mereka tidak berselawat”. [HR: Tirmizi. No: 3469]. Status: Sahih
 
2.  Ramadan adalah bulan anugerah istimewa kepada umat Nabi Muhammad SAW untuk mendapat keampunan Allah dengan melaksanakan ibadat puasa di siang hari dan menghidupkan malam hari dengan pelbagai ibadat.

3.  Alangkah ruginya kita jika tidak berusaha bersungguh-sungguh menjadikan ibadat puasa, ibadat di malam hari bermula daripada berbuka puasa, solat maghrib, solat isya, solat tarawih, solat tahajud, solat witir, solat sunat yang lain, tilawah, iktikaf, wirid, zikir, istighfar, bersahur, berdoa dan bersedekah sebagai instrumen pengampunan dosa-dosa kita yang lalu.

4.  Memuliakan dan berbakti kepada kedua orang tua adalah suatu kewajipan, kerana itu Allah menghubungkan berbuat baik kepada keduanya dengan bertauhid kepada Allah di dalam firman-Nya [Al-Israa': 23]:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

“Dan Rabb-mu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkan-lah kepada mereka perkataan yang mulia.”

Rugi mereka yang masih ada orang tua tetapi tidak berbuat baik kepada keduanya, tidak menunaikan tanggungjawab sebagai anak, menyayangi dan membantu segala keperluan mereka.

5.  Hadis ini memberi peringatan kepada kita mengenai tiga peluang besar yang boleh membawa kepada kebahagiaan dan keampunan Allah, iaitu berselawat kepada Nabi Muhammad SAW, memanfaatkan bulan Ramadan untuk berdoa dan beribadah, serta berbakti kepada ibu bapa. Orang yang gagal dalam ketiga-tiga perkara ini akan merugikan diri mereka sendiri dan mendapat kecelakaan. Semoga Ramadan yang kita lalui ini benar-benar menghapuskan dosa-dosa yang lalu dan kita kembali kepada fitrah bersih dari dosa