---- B e r i t a ~~~ S e m a s a ---

Solatlah diawal waktu, perkara yang disukai Allah. Amalkan solat witir, kerana Allah menyukai witir(tidak berpasangan/ganjil). Banyakkan selawat keatas junjungan Nabi Muhammad SAW.

Monday, April 4, 2011

Awasi Rumah Anda

Assalamualaikum wbt.

Sejak akhir-akhir ini kejadian mencuri menjadi-jadi di Taman Bukit Indah , Ampang. Ada kejadian mencuri basikal dan motorsikal yang diletak di dalam kawasan rumah dengan pagar berkunci. Ada juga kejadian mencuri tayar kenderaan yang diletak di luar halaman rumah.

Menurut aduan yang diperolehi, semua kejadian adalah berlaku ketika Maghrib, Isyak dan Subuh dan juga ketika hujan lebat. Ketika inilah, kebanyakan dari kita ke surau atau masjid menunaikan solat secara berjemaah.

Ketika kita sibuk beginilah, pencuri mengambil kesempatan atas kelekaan kita. Taktik terbaru dan canggih juga turut dipraktikkan oleh pencuri dengan memasang "SPY" atau "informer". Contohnya, apabila kita sekeluarga keluar dari rumah menaiki kereta, dengan lampu garaj terpasang, pintu pagar terkunci rapi (Pagar Remote), dalam masa 2 atau 3 minit selepas itu, seseorang akan datang ke rumah kita dengan menekan loceng.

Jika tiada sambutan dari dalam rumah, bermakna rumah kita memang kosong atau semua telah keluar menaiki kereta sebentar tadi. Pencuri ini menaiki kereta Waja dan akan meletakkan kenderaan betul-betul dihadapan rumah anda. Pencuri akan cuba merosakkan butang kekunci pada pagar automatik pada sebelah bawah. Hanya itu sahaja kunci yang ada untuk pagar automatik.

Apabila pagar berjaya dibuka, pencuri akan masukkan kereta Waja tadi ke dalam garaj rumah anda bagi menghalang pandangan awam terhadap kerja-kerja pecah pintu rumah. Ini diakui sendiri oleh mangsa kejadian di Fasa 2 dan 3, Tmn Bukit Indah.

Blogger sempat mengunjungi "Locksmith" Tmn Kosas, dan beliau sempat menunjukkan bagaimana kunci-kunci yang dipasang pada grill pintu hadapan dibuka dengan senangnya. Kunci-kunci yang berjenama S**** yang dulunya diakui gagah perkasa pun berjaya dipotong menggunakan pemotong besi.

Kunci yang tahan lasak pula dengan harga mencecah RM60 pula memang berbaloi kerana mereka gagal memotong kunci tersebut tetapi apabila mereka menggunakan jek kereta, lubang untuk mangga yang dipateri pada grill pulak yang patah, apa lagi, berpesta sakanlah mereka.

Pakar kunci telah menyarankan agar kita memasang "clamp" untuk grill rumah bagi mengelakkan lubang untuk mangga yang ada pada grill dipatahkan. Harga dalam lingkungan RM25 sahaja. Mungkin dengan memasang "clamp" nampak lebih selamat sedikit. Wallahuwaklam.

Oleh itu, berhati-hatilah sebelum meninggalkan rumah atau sebelum tidur. Pastikan rumah kita selamat dan kunci yang terbaik dipasang. Bukanlah rumah kita banyak harta tetapi keselamatan isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab kita.

Semoga Allah lindungi keluarga, kenderaan, rumah dan harta benda kita. Terangilah rumah kita dengan bacaan Al-Quran, insyallah rumah kita dilindungi Allah SWT. Insyallah.

No comments:

Post a Comment